Malam semalam saya tak dapat melelapkan mata, pusing kanan pusing kiri, semua posisi tidak selesa. Sungguh teruk, sebulan dua ni selalu mengalami insomnia. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi, saya dah mula berkira-kira, macamana ni? esok kerja. Tiba-tiba pula jadi teringat pada arwah atok-atok saya. Rindu mula bersarang di jiwa. Saya tidak sempat menikmati masa bersama yang lama dengan mereka semua. Seawal menginjak alam remaja mereka telah kembali ke sana. Teringat pada arwah tok belah abah yang kami panggil chek, arwah tok belah mak yang kami panggil tok ayah dan arwah moyang saya yang juga kami panggil chek, bezanya pada gelar nama asalnya. Arwah atok belah abahkami panggil chek Majid sementara arwah moyang kami panggil chek Yusof, memegang nama asal mereka. Secebis kenangan bersama mereka mahu saya kongsikan buat tatapan generasi terkemudian.
Chek M seorang yang berlemah-lembut dalam setiap urusan, halus pertuturan dan budi bahasanya. Chek M memang baik, seingat saya dia tidak pernah meninggikan suara dengan cucu-cucunya. Bila kami berkumpul beramai-ramai, time hari raya atau kenduri , pasti riuh rumah chek dengan sorak hilai kami, bergegar-gegar papan kayu yang menjadi lantai. Bantal-bantal kecik milik nenek selalu menjadi kuda tunggangan kami. Habis ruang tamu kami sapu dengan kuda tunggangan kami. Kami jadikan sebagai medan perlumbaan. Puas menunggang, kami jadikan bantal-bantal tu sebagai senjata plak, kami hayunkan bantal mengena antara satu sama lain. sebab tu bantal nenek tak der yang keras-keras, semuanya lembik-lembik dek dikerjakan oleh kami. Tapi chek tak pernah meninggikan suara, ditegur dengan lembut. Bila ditegur, kami berhentilah sekejap, sambil-sambil melepaskan lelah. Tak sampai lima minit, kekecohan kami bermula semula. Indah sungguh waktu itu. Dunia kanak-kanak yang tak pernah memikirkan apa-apa masalah.
Chek juga seorang yang suka bercerita. Tanpa kita minta dia akan bercerita tentang apa-apa saja kisah. Kisah-kisah dongeng rakyat dan juga seloka-seloka nasihat. Hati cukup terhibur. Bila kami dah besar sikit, chek selalu bercerita tentang kisah-kisah zaman pendudukan jepun. Macam-macam diceritakan, bagaimana mula-mula Jepun sampai ke Malaya, bagaimana Jepun boleh sampai ke kelantan, jalan-jalan darat yang dilalui tentera Jepun, penderitaan zaman Jepun dan hampir semualah cerita-cerita tentang zaman Jepun diceritakan pada kami, pendek kata chek seperti seorang tokok sejarah yang ralit menceritakan kronologi pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Kelantan kepada kami. Kami tidak tahu, samada cerita itu untuk mengembalikan memorinya pada kisah yang begitu memberi kesan pada hidupnya atau juga sebagai ilmu buat kami. Kadang-kadang ada juga rasa jemu bila chek asyik bercerita benda yang sama saja. (^_^)
Chek sangat sukakan kanak-kanak dan seorang yang penyayang. Chek yang tak pernah menyimpan rambutnya (sehingga saya tak pernah tahu bagaimana rupa dan gaya chek berambut), suka menggeselkan kepalanya pada muka dan badan kami. Kadang-kadang, rambut-rambut tajam chek yang baru tumbuh digesel-geselkan ke badan kami. Membuatkan kami mengekek ketawa menahan geli, dan kadang-kadang lari menyelamatkan diri daripada tusukan kepala gondol chek. Seingat saya, rambut chek tak pernah di potong di kedai-kedai gunting. Rambut chek biasanya dicukur terus oleh nenek. Tiap-tiap petang selepas waktu sekolah saya selalu ke rumah chek, bertenggek di tepi tangga memerhati nenek mencukur rambut chek. Geli hati bila sesekali melihat chek tersengguk-sengguk menahan kantuk. Best orang main-main kepala dan usik-usik rambut kan? Habis jer cukur rambut, nenek akan potong kuku plak. Saya suka sekali tengok nenek potong kuku chek, kuku chek keras-keras, nampak terkial-kial juga nenek membuang kuku yang panjang. Sekali dipusing ke kiri, sekali dipusing ke kana. Nenek tak pakai sepit kuku, nenek pakai pisau gillete jer, err... ngeri. Nenek tak pernah merungut buat kerja-kerja ni. Tanggungjawab dan kesetiaan yang ditunjukkan ini meresap ke relung jiwa saya. Mudah-mudahan ya Allah, aku juga bisa berbakti pada suami ku seperti mana nenek berbakti pada chek. Melaksanakan tugas yang kecil dengan penuh keikhlasan.
Watak tok ayah pula berbeza sekali dengan watak chek. Di rumah tok ayah saya menjadi kanak-kanak perempuan yang baik, pasif dan solehah (^_^). Adegan kejar mengejar dan berlari-larian di ruang tamu sedia terkeluar daripada senarai tugas. Tok ayah seorang yang tegas dan garang. Saya hampir lupa, bila saya bergurau dengan tok ayah. Rasa-rasanya seperti tidak ada. Kadang saya mahu memulakannya, tapi tiba-tiba jer hati jadi kecut. Tok ayah seorang yang pandai dalam bidang agama, juga berbeza dengan chek. Kalau ada majlis tahlil, solat hajat, naik rumah dan seumpamanya, tok ayahlah yang akan mengepalainya. Saudara-mara tok ayah juga ramai yang menetap dan berkeluarga di Tanah haram. Jarang-jarang sekali balik ke Malaysia. Bila ke sana, tok ayah akan mencari semua saudara-maranya, mengeratkan kembali silaturrahim. Bila tok ayah dah tak ader, semuanya terputus hubungan. Sungguh teruk sekali!.
Tok ayah dulu belajar di Pondok Lubuk Tapah, jadi banyak sekali kitab-kitab lama dalam simpanannya. Selepas tok ayah meninggal, nenek mengeluarkan semua kitab-kitab yang sudah tidak dipakai tok ayah. Kitab-kitab tu tok ayah simpan elok dalam peti besi lama yang berukir-ukir di tepi kiri dan kanannya. Semua kitab-kitab yang masih elok diberikan kepada saya. Kata nenek, tidak ada orang yang boleh baca dan berhajat pada kitab tu. Hanya saya sahaja yang layak menerimanya pada waktu itu. Saya dengan berbesar hati dan dengan sangat terujanya terus menerima kesemua sekali, walau pun ada daripada kitab-kitab yang telah tercerai isi dan kulitnya. Sekarang setelah lebih 15 tahun, semua kitab-kitab ni masih elok dalam jagaan saya. Tapi malangnya masih belum sempat saya khatamkan semuanya.
Chek Y pulak seorang yang cukup sederhana. Seorang yang moderate antara chek M dan tok ayah. Chek Y tak banyak berdiam seperti tok ayah dan juga tak banyak bercakap seperti chek M. Chek Y akan bercakap bila perlu saja. Biasanya apa yang terkeluar daripada mulutnya berupa mutiara yang tak mahu kita lepaskan. Chek M adalah guru mengaji rasmi saya sejak saya masuk sekolah. Petang-petang selepas sekolah saya akan ke rumah chek Y untuk mengaji. Lucu, selalu bila saja mengaji saya akan terlelap. Chek Y selalu marahkan saya. Puas saya cuba celikkan mata. Tapi nak terpejam saja. Syaitan kacau nih, kata chek Y. Saya pun tak tau apa masalah saya. Agaknya chek Y tak cukup garang macam tok ayah, tu yang menyebabkan saya tak serius. Tapi setahun kemudian, bila kami dah berpindah ke rumah baru di kampung sebelah, saya pun dah mengaji dengan tok guru lain, elok saja bacaan saya, tajwid dan makhrajnya lebih bagus lagi. Cepat saja saya boleh khatamkan al-Quran. Memang kita kena belajar mengaji daripada orang lain agaknya. Tidak boleh belajar dengan ahli keluarga sendiri. Kita jadi tidak serius dan main-main.
Saya masih ingat lagi, bila kami dah berpindah ke kampung sebelah yang jaraknya dalam 2 KM, tiap-tiap pagi hujung minggu chek akan datang ke rumah kami. Melepaskan rindu barangkali. Chek Y bukan datang dengan kereta atau motor. Chek Y tak memiliki semuanya tu. Chek Y datang hanya dengan basikal tua miliknya. Basikal tu memang setia bersamanya ke mana saja. Berulang setiap waku ke masjid pun dengan basikal itu lah. Sampai saja pasti chek Y akan membunyikan loceng basikalnya. Sebaik saja mendengar deringan loceng basikal tua chek Y, kami sudah tahu dan bergegas-gegas membuka pintu menyambut chek Y dengan senyuman melebar di bibir. Mana tidaknya, chek Y datang bukan dengan tangan kosong. Pasti ada saja buah tangan yang dibawanya. Roti canai dan kuih muih pagi sentiasa menjadi sarapan istimewa kami. Kalau nasib lebih baik, dapat makan nasi kerabu ayam bakar (^_^). Chek Y tak bercakap banyak, bertanya khabar kami, menyerahkan bungkusan makanan dan bercakap sepatah dua sahaja. Kemudian chek Y akan bersembang lama dengan emak.
Apa yang menarik tentang Chek Y, arwah suka membela lembu. Tapi chek Y hanya membela seekor lembu sahaja untuk tempoh setahun. Lembu tu dijaga dengan baik dan sentiasa diberi makan yang cukup. Tidak dilepaskan keluar merayau-rayau mengelilingi kampung. Sentiasa diikat kuat di belakang rumah, air garam dan rumput dihidang terus ke kandangnya. Tujuan chek Y memelihara lembu tu sebenarnya untuk tujuan korban. Chek Y sentiasa menghidupkan amalan korban setiap tahun. Selang sebulan dua selepas hari raya, chek Y akan mendapatkan lembu yang lain sebagai ganti dan akan dijaga sama seperti lembu-lembu sebelumnya. Begitulah rutin chek Y selama hayatnya.
Sekarang mereka semua telah tiada. Semua telah pergi meninggalkan kami dalam masa yang agak sama. Seawal saya menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Tok-tok semua, cucumu ini sentiasa mengingati dan mendoakan tok-tok di sana. Semoga di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. InsyaAllah kita akan berjumpa dan disatukan kembali di syurga Allah. Allahumma amin ya rabbal alamin. Semoga akhlak dan peribadi yang ditunjukkan chek M dapat kami ikuti dan menyebati dalam diri membentuk akhlak yang mulia. Mudah-mudahan chek M diberi ganjaran atas didikan yang sempurna pada kami. Semoga ilmu-ilmu yang ada dalam kitab-kitab peninggalan tok ayah mampu saya kutip dan telan. Semoga saya dapat sampaikannya pada orang lain juga. Mudah-mudahan tok ayah mendapat sesuatu daripadanya. Semoga ilmu mengaji yang chek Y ajarkan pada saya, sentiasa bertali arus mengalir ke sana. Saya yang dulu selalu tidak fokus semasa mengaji bukan saja dah boleh baca al-Quran, alhamdulillah saya dah boleh mengajarkannya pada orang lain. Mudah-mudahan teranglah chek Y di sana. Ini cerita kenangan saya bersama mereka yang bergelar tok. Cerita tentang abah saya, biarlah cucu-cucunya nanti yang bercerita. Inilah segelas kenangan, seteguk rasa untuk dikongsi bersama.
No comments:
Post a Comment