Thursday, October 14, 2010

TOKOH IBU MITHALI 1431H


Kepenatan setelah seharian suntuk merempuh perjalan ke pwtc, memeriah dan meraikan Majlis Anugerah Tokoh Ibu Mithali 1431 Hijrah. Seramai 4 orang finalis yg layak dan telah dipilih untuk dinobatkan sebagai tokoh ibu mithali bagi tahun ini. Mahu saya berkongsi sedikit cerita tentang siapakah mereka yang berjiwa kental ini;


1. Dayang Hajijah binti Awang Abas


Dilahirkan pada 5 Jun 1941 di Kg. Benoni, Papar. Dikurniakan 9 orang anak dengan 4 orang lelaki dan 5 orang perempuan. Beliau merupakan anak sulung daripada 12 adik beradik, ini membuatkan beliau terpaksa memikul dua tanggungjawab menjaga adik-adik di samping menjaga anak yang masih kecil. Beliau menampung perbelanjaan sekolah anak-anak dengan menjahit, menjual kuih, bersawah dan menjala ikan.


2. Hajah Awiah binti Awi


Dilahirkan pada 1 Mac 1946 di Kg. Kesang Laut, Muar. Dikurniakan 9 orang anak yang kesemuanya adalah lelaki. Beliau berkahwin ketika berusia 9 tahun dan mula hidup bersama dengan suaminya apabila sudah berusia 13 tahun, persis sejarah Aisyah Ummul Mu`minin ketika disatukan dengan Rasulullah s.a.w.


http://www.yadim.com.my/berita/BeritaPenuh.asp?newsId=4857


3. Hajah Halimah binti Muhammad


Dilahirkan pada 28 Disember 1943 di Kg. Padang To`La, Pasir Mas. Dikurniakan 8 orang anak dengan 4 orang lelaki dan 4 orang perempuan. Empat orang daripada anaknya telah berjaya dalam bidang perubatan. Salah seorang anak beliau telah memberi sumbangan sebanyak 480 pound sterling kepada pelajar cemerlang dalam 9 subjek teras di sekolah lamanya iaitu MRSM Bitara, Pengkalan Chepa setiap tahun.


4. Hajah Sajipah binti Abdul Aziz


Dilahirkan pada 16 Oktober 1943 di Kg Bukit Belimbing, Selangor. Dikurniakan 12 orang anak dengan 6 lelaki dan 6 perempuan. Hampir kesemua anaknya mempunyai latar belakang akademik dalam bidang agama. Beliau seorang yang suka berbudi pada tanah, seorang yang mengamalkan sikap berjimat cermat dengan memasang niat untuk menunaikan haji sebelum mencecah usia 40 tahun. Sehingga kini beliau telah 5 kali menunaikan haji dan 6 kali umrah.

Sebelum keputusan diumumkan, saya meneka-neka kalau tidak Hajah Awiah mesti Hajah Sapiah yang akan dinobatkan sebagai tokoh ibu mithali tahun ni, sebab anak mereka ramai, hihi..alasan biasa nih, anak-anak pun semua berjaya... ranking mereka berdua lebih tinggi drp yang lain.. hihi dah jadi macam penganalisis plak saya. Apa pun semua itu tidak penting. Ibu-ibu ini pun saya yakin sama sekali tidak mengharap dan menjangkakan diri akan menerima anugerah ini. Apa yang dibuat tidak lebih daripada memegang serta menunaikan amanah dan tanggungjawab dari Allah swt dalam mendidik anak-anak supaya berjaya dunia akhirat..




Bila saja diumumkan Hajah Awiah binti Awi sebagai tokoh yang dipilih (yes, tepat sangkaan saya.. hihi), sepantas kilat anak-anak beliau memeluk dan mencium ibu tercinta... syahdu saya menyaksikannya... air mata yang ditahan-tahan akhirnya gugur juga. Sungguh anak-anak beliau beruntung memiliki ibu sepertinya... seorang demi seorang dari putera beliau menghadiahkan ciuman.


Saya memerhati dari jauh, tidak ada apa yang istimewanya pada Hajah Awiah, kecuali kekentalan jiwa yang luar biasa. Pakaiannya cukup sederhana, bertudung labuh dan berjubah rona ungu, tidak ada aksesori-aksesori tambahan sebagai pelengkap gaya. Dengan tenang beliau duduk di pentas utama menghayati kembali kisah perjuangan dan perjalan hidup membesar dan mendidik kesembilan anak-anak dipaparkan kepada hadirin di Dewan Merdeka ini.


Saya cuba menggantikan diri pada posisi beliau, lantas saya melepaskan nafas yang berat, arggh... memang saya tidak sekuat beliau, tak mampu rasanya membesarkan anak dalam jumlah yang ramai, ditambah kesemuanya lelaki... imaginasi saya terbang pulang ke kampung, dua orang hero di rumah saya sudah cukup membuatkan diri merasa sesak, panjat sana, panjat sini, selerak sana, selerak sini.. bingit dan bisingnya layak seperti kenduri satu kampung... aargh, saya mengeluh lagi, cuba membayangkan keadaan, seorang berlari ke sana, seorang berlari ke sini, seorang di bawah kerusi, seorang di atas meja, seorang memanjat almari, seorang jatuh pokok, yang adik menangis dan yang abang entah ke mana... tapi itulah beliau. Hasilnya sudah diraih, beliau sudah mampu menarik nafas lega dengan penuh rasa puas.


Semua anak-anak beliau berjaya meraih Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PHD yang majoritinya dalam bidang Pengajian Islam serta menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta. Salah seorang daripada anak beliau juga memegang Diploma Tahfiz al-Quran. Inilah bukti pada kita bahawa kunci utama dalam mendidik anak-anak tidak lain adalah dengan menerapkan nilai-nilai kegamaan yang benar serta tegas dalam sesuatu perkara yang dirasakan wajar dalam memberi nilai kepada anak-anak.


Hari ini, sisa-sisa umur beliau diwakafkan sepenuhnya kepada mendidik anak-anak bangsa pula. Sebahagian daripada rumah peninggalan suami empat tahun yang lalu telah diwakafkan sebagai madrasah untuk anak-anak belajar Tahfiz al-Quran. Madrasah Tahfiz al-Quran ini dikhususkan kepada anak-anak yatim dan orang miskin. Kehidupan seharian beliau hanya bersama anak-anak ini dari celik mata di subuh hari hinggalah pejam mata di malam hari.


Sungguh Hajah Awiah berjiwa kental menunaikan amanah sebagai ibu. Sambil mengulum senyuman sempat saya berjenaka dengan teman di sebelah “makcik, boleh tak saya jadi menantu makcik?”



AY: Segenggam tabah...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...