NIKAH ANTARA ADAT DAN IBADAT
Sekarang ni musim kahwin sepanjang tahun, bukan saja pada waktu-waktu cuti sekolah. Ada yang dah lepas, ada yang akan datang, ada yang dapat kita hadiri dan ada juga yang tidak, pendek kata dalam planner tahunan tu penuh undangan perkahwinan, daripada Januari hingga Disember. Perkahwinan @ pernikahan adalah satu ibadat dalam Islam, namun berapa ramai yang setia kekal bersama jodohnya hingga akhir hayat? Perkara inilah yang seringkali menghantui fikiran, bimbang jodoh tidak kekal selamanya. Sama-sama kita koreksi balik, di mana silapnya? Mungkin perlu dilihat dari awal lagi, sejak dari mula perkenalan lagi hingga akhirnya menjalin ikatan perkahwinan, soal keberkatan di dalamnya perlu dititik beratkan, kerana tujuan dari sebuah perkahwinan itu adalah untuk memberi ketenangan sesuai dengan tuntutan fitrah.
Firman Allah s.w.t dalam Surah al-Rum, ayat 21;
( ومن آيته أن خلق لكم من أنفسكم أزوجا لتسكنوا إليها وجعل بينكم مودة ورهمة. إن في ذلك لأيت لقوم يتفكرون )
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.”
Dua jiwa satu hati dimaterikan dengan ikatan pernikahan. Itulah dinamakan jodoh ketentuan Ilahi. Pada dasarnya perkahwinan adalah merupakan satu ibadat bila mana segalanya disandarkan kepada mencari keredhaan Allah s.w.t.
Namun, fenomena majlis perkawinan kini banyak dikomersilkan sehingga menagih keadaan ‘tak ada wang, tak boleh kahwin.’ Persiapan perkahwinan bermula daripada `A to Z` diambil kira kedua-dua belah pihak. Jika dicongak-congak, ada yang mencecah ratusan ribu ringgit kos perbelanjaan. Katanya “ ala.. kahwin sekali seumur hidup.” Ada juga yg berkata “Kahwin? Nanti dulu…” Semuanya bersandar kepada kemampuan kewangan dalam melangsungkan majlis perkahwinan.
Terdapat banyak perbezaan antara perkahwinan dahulu dan sekarang. Apa yang lebih ketara adalah perlaksanaan majlis perkahwinan. Di zaman yang serba lengkap hari ini, ramai umat Islam kita telah lari daripada menjalankan majlis perkahwinan yang penuh dengan keberkatan. Sambutan majlis perkahwinan pada hari ini disambut dengan begitu meriah sekali. Memang tidak salah untuk disambut secara besar-besaran, tetapi syaratnya janganlah sampai kepada tahap pembaziran. Membazir adalah sahabat kepada syaitan laknatullah.
Allah s.w.t telah berfirman dalam surah al-Furqan ayat 67;
( والذين إذآ أنفقوا لم يسرفوا ولم يقتروا وكان بين ذالك قواما )
“Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, dan adalah (perbelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.”
Perlu difahami secara menyeluruh bahawa pembaziran bukanlah dipandang dengan menilai lauk yang tidak habis atau sebagainya. Ia dipandang dari aspek tersirat. Hantaran perkahwinan sebagai contoh, hantaran yang tinggi secara tidak langsung membentuk satu budaya bermegah dan boleh melahirkan kesan sampingan yang lain. Begitu juga dengan persiapan perkahwinan yang lain seperti persiapan persalinan pengantin, pelamin, sesi fotografi dan sebagainya.
Saya sisipkan mutiara kata daripada Saidina Umar al-Khattab; “ Ketahuilah jangan berlebih-lebihan dalam menetapkan mahar para wanita. Kerana sesunggunya jika (mahar yang mahal) itu dimaksudkan sebagai bukti kemuliaan di dunia atau sebagai kemudahan bertakwa kepada Allah, maka orang yang paling bertakwa di antara kamu adalah Rasulullah s.a.w, namun baginda tidak pernah menetapkan mahar kepada seorang pun di antara ister-isterinya begitu pula kepada puteri-puterinya melebihi 12 Uqiyah (1 Uqiyah = 40 dirham). Sesungguhnya bila seseorang lelaki dikenakan kadar mahar yang tinggi, nescaya dapat menimbulkan permusuhan dalam dirinya kepada isterinya.”
Tepuk dada tanya selera masing-masing, apa yang kita cari sebenarnya? Semua bergantung pada individu itu sendiri. Mahu kaca maka kacalah dapatnya, mahu permata maka permatalah yang akan diperolehinya. Saya tidak pandai merungkai ayat untuk memberi makna yang bernilai pada pembaca semua. Namun jelas sekali pernikahan pada hari ini seringkali mengundang pelbagai persepsi masyarakat dalam meraikan hari berbahagia pasangan raja sehari. Pernikahan antara ADAT dan IBADAT, apa sebenarnya yang dicari?
1 comment:
setuju sangat....
Post a Comment