
Ainulyaqin
Sesungguhnya pertolongan akan datang setelah kesabaran, kelapangan akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan
Friday, February 24, 2012
SYAMAIL MUHAMMADIYAH

Sunday, January 15, 2012
DI BAWAH LINDUNGAN KA'BAH (FILEM)

Pada waktu industri perfileman tanah air dikritik hebat buat kesekian kalinya dengan kemunculan filem Ombak Rindu yang menjadikan agama sebagai modus operandi meraih keuntungan semata, maka di tanah seberang sana muncul pula filem Islami yang juga idea asalnya digarap daripada novel. Novel tua karya Buya Hamka Di bawah Lindungan Kaabah. Filem fenomena Islam yang entah ke berapa kalinya dihasilkan mereka. Walau serumpun, namun idea, semangat, kreativiti dan kefahaman tetap tidak sama. Kita masih jauh ketinggalan di belakang. Sisa-sisa penjajah masih utuh memasak pemikiran dan gaya hidup.
Sungguh menyedihkan, seakan fenomena baru dalam dunia perfileman apabila kebanyakan filem dan drama memasukkan elemen-elemen agama. Tidak salah, namun cara dan gayanya tidak kena. Secara kasarnya boleh dikatakan agama telah dipergunakan, agama menjadi tempelan dan penghias pada babak-babak yang jauh sekali daripada nilai-nilai kemanusiaan. Fatamorgana semuanya ini!
Namun hal ini dilihat jauh berbeza dengan latar cerita bagi filem Di bawah Lindungan Kaabah. Di bawah Lindungan Kaabah adalah cerita tentang ketabahan, tentang semangat, tentang kesungguhan, tentang kekuatan jiwa, tentang kekentalan jiwa, tentang kesetiaan, tentang cita-cita menuju Allah, tentang kisah cinta yang tidak kesampaian, tentang kisah rasa yang terpendam dengan air mata, tentang kisah kebergantungan yang tinggi dengan Allah SWT. Kisah yang penuh dengan air mata, kisah tentang cinta yang terkubur.
Pertama kali saya mengenal dan bertaarufan dengan Buya Hamka lewat karya-karya agamanya ketika dibangku kuliah. Saya terus menyusurinya lewat karya-karya beliau yang lain. Saya terus jadi terpikat dan jatuh hati melalui novel-novel tulisan beliau. Saya khatamkan novel Di bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Sementara novel yang belum saya dapatkan lagi antaranya Merantau ke Deli, Keadilan Ilahi, Ayahku dan mungkin banyak lagi yang di luar daripada pengetahuan saya, dan ianya perlu terus disingkap. Baiklah bagi menyorot kisah ini secara menyeluruh, mari lihat kata-kata indah yang terselit dalam filem ini.
Tentang kesungguhan dan ketidak putus asaan dalam hidup
“Masih banyak ilmu yang harus saya cari. Dan tu tidak bisa saya dapatkan dengan hanya berdiam diri.”
Tentang keyakinan ma’iyatullah (kebersamaan Allah)
"Apapun yang akan terjadi Hamid, ingatlah ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup."
“Tak tegar aku meninggalkan mu sendirian mak.” “Bukankah kau juga pergi sendirian Hamid? Dan kita tahu sebenarnya kita tak pernah sendirian, kita punya Allah.”
“Kamu tidak pernah sendiri!”
Tentang cinta dan kasih sayang
“Untuk melewati badai, kita harus terus berjalan dan bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan hanya ada 2 hal yang harus kita bawa, keyakinan dan cinta.”
“Bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar berbanding kesedihan ketika saya difitnah dan diusirkan daripada kampung ini.”
“Lelaki yang mencintaiku dan aku cintai.”
Tentang Kebergantungan sepenuhnya terhadap Allah
“Allah yang akan menentukan hidup kita Mid, bukan manusia lain.”
“Ku titipkan surat ini untuk Hamid Leh.” “Aku harus temui Hamid di mana?” “Aku tak tahu. Siapa tau kau bertemu Hamid di pelabuhan ketika kapalmu singgah, atau di Mekah. Kau bawa sajalah surat itu. InsyaAllah, kalau Allah melindungi surat itu, pasti akan sampai di tangan Hamid. Biarlah surat itu menempuh takqirnya sendiri.”
Tentang segalanya yang melebihi kehendak diri
“Pendamkan saja rasa yang bersarang. Telan saja pahit yang mengelatkan hatimu.”
"Sampai kapanpun, emas takkan setara dengan loyang dan sutera tak sebangsa dengan benang."
Surat daripada Zainab kepada Hamid
Aku beranikan menulis surat ini dengan keyakinan surat ini akan dibawa ke rumah-Nya, di mana ku tahu di sanalah engkau akan tiba. Setiap pagi aku terbangun dengan air di mata. Bukan kerana aku menderita oleh cinta, bukan juga kerana hidup yang tak berpihak kepada kita, tapi kerana syukur bahawa dia masih memberiku nafas untuk menunggumu. Dan di sinilah aku hamid, menunggumu satu-satunyanya lelaki yang aku bayangkan akan menjadi imamku kelak. Lelaki yang mencintaiku dan aku cintai. Hamid, jika dunia ini terlalu sempit untuk kita, biarlah Allah membukakan pintu lain untuk kita ke tempat di mana sejenis sesuatu menjadi abadi. Dan semoga ketika dunia tidak merestui cinta kita, kita punya Allah yang akan merestuinya.
Zainab
Surat daripada Hamid kepada Zainab
Zainab, maafkan aku pergi tanpa sempat pamit secara pantas kepadamu. Maafkan aku kerana baru berkirim khabar setelah melalui perjalanan yang panjang. Dan saat ini, akhirnya aku bisa berada di tanah suci Mekah. Selama perjalanan panjang kelmarin Zainab, kau memang tak hadir secara kasar mata di dekatku, tapi aku tak perlu mata untuk merasakan kehadiranmu ke dalam jiwaku. Tuhan memberiku kekuatan luar biasa untuk terus mencintai. Bahkan di saat-saat ku kalah, cinta ku tak dibiarkan lekang dan hilang. Maka di sinilah aku berada Zainab, di negeri di mana impian kita berpusat. Ku bawa jiwamu, cintamu dan cinta-Nya bersama ku. Teruslah memohon Zainab, agar cinta kita menuju jalan terindah milik Allah semata.
Hamid
Ya Rabbi Ya Tuhanku... Engkau Yang Maha Tahu Ya Allah. Engkau yang telah memilihkan jalan mana yang harus ku tempuh. Engkau tak pernah membiarkan diriku sendirian menempuh. Kau juga yang telah menanamkan cinta dalam jiwa ini. Kau selalu menjaga cinta ini sebagaimana kau menjaga jiwa ini. Tak ada seutaas talipun tempat aku bergantung selain tali-Mu ya Allah. Tak ada satu pun pintu akan ku ketuk selain pintu-Mu. Ya Rabbi ya Tuhanku yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Kaabah, aku serahkan cinta dan jiwa ini kembali kepada-Mu.
Allah... indah sungguh rangkaian kata-kata yang digubah Hamka. Dibaca pada zaman yang terkedepan, namun masih tidak dirasakan tua. Malah masih indah nian membelai jiwa. Teringat saya pada tulisan Syaikh Dr Aa’idh ibn Abdullah al-Qarni dalam kitab besar karangan beliau La Tahzan, 'sekiranya anda ingin ucapan dan syair anda menyentuh hati pembacanya, maka masuklah terlebih dahulu ke dalamnya, kemudian sentuhlah, rasakanlah dan resapilah, nescaya anda akan merasakan sendiri bahawa ucapan dan syair anda tadi mampu mempengaruhi orang lain.'
Kalau yang ditulis itu ikhlas datangnya dari hati, maka ianya akan terus sampai dan masuk menyentuh hati. Benar sekali, menulis dengan rasa akan memberi rasa. Buya Hamka telah menulis dengan rasa dan memberikan roh pada karya tulisannya sehingga saya mula berbisik, ini bukan kisah Romeo dan Juliet, ini bukan kisah Laila dan Majnun, ini bukan kisah Shah Jehan dan Mumtaz Mahal, bukan juga kisah Hayati dan Zainuddin, tapi ini adalah kisah tentang Hamid dan Zainab! Ini adalah kisah tentang dua jiwa dan dua harapan yang berbeza. Kedua-dua harapan yang berbeza itu sebenarnya berada dalam satu keinginan yang akhirnya bersatu Di bawah Lindungan Kaabah.
Mungkin saya terlalu berlebih-lebih dalam menukilkan tentang Di Bawah Lindungan Kaabah. Walau apa pun, paling tidak ada barisan pelangi yang muncul bersama mentari, mula menyinari dan mewarnai dunia Islam. Kala ini, saya juga sudah mula melirik, tersenyum melihat keindahannya. Subhanallah...
Monday, January 09, 2012
KOTA BHARU-TIDAK TUTUP AURAT KOMPAUN RM500
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my
KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.
Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.
Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).
Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.
"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.
Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.
ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI memeriksa peniaga dan pembantu kedai yang tidak menutup aurat di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu malam kelmarin.
Namanya pun SERAMBI MEKAH, memang patut sangatlah kan? Aceh dan Kelantan banyak berkongsi persamaan. Ya Allah, kekalkanlah jajahan ini sebagai sebuah daerah yang patuh melaksanakan syariat-Mu, tetap kekal istiqamah di atas jalan-Mu. Limpahkan kesihatan kepada pemerintahnya serta kebahagian dan ketenangan hati pada setiap pemilik jiwa di daerah ini....
Sumber - kosmo
Thursday, January 05, 2012
PEMUDA PUNK BANDA ACEH KENA RENDAM DALAM SUNGAI
Pelatih lelaki juga diarahkan mandi beramai-ramai di dalam sungai
Daripada 65 orang yang ditahan, 30 daripadanya berasal dari Acheh manakala selebihnya datang dari wilayah lain di Indonesia seperti Lampung, Palembang, Jambi, Batam, Riau, Sumatera Barat, Jakarta, Bali dan Jawa Barat. Seorang remaja punk yang dikenali sebagai Riyan berkata, latihan membina jiwa yang dijalaninya di SPN sangat berguna. "Banyak perkara yang diajar kepada kami terutamanya mengenai disiplin dan peranan kami sebagai anggota masyarakat".
Pemuda punk yang telah dibotakkan kepala direndam di sebatang sungai di Banda Aceh bagi membersihkan diri mereka. "Secara peribadi, kini saya merasakan saya mampu untuk mengatur hidup dengan lebih baik. Lebih penting lagi, kami dididik untuk mendirikan solat lima waktu," katanya kepada portal berita tempatan. Pendapat Riyan itu disokong rakannya M. Fauzi. "Selain disiplin, kami didedahkan dengan latihan fizikal untuk menjaga kecergasan tubuh. Saya juga menghargai usaha kumpulan ulama yang datang ke sini untuk memberi kefahaman akidah kepada kami," katanya.
Selain suapan rohani dan jasmani, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatans setiap hari. Hasil pemeriksaan mendapati tiga pelatih mempunyai gejala hepatitis dan seorang disahkan positif penyakit itu. "Jika ad pelatih yang tidak sihat, dia akan dikecualikan daripada mengikuti aktiviti fizikal," kata Fauzi lagi.
SYARIAH
Seorang pelatih perempuan, dikenali sebagai Sarah, 18, memberitahu, sepanjang berada di kem tersebut, dia menjadi lebih berdisiplin dan mendapat banyak pengetahuan agama. Dia yang dibesarkan dalam keluarga yang berpecah berkata, pengaruh kawan telah mengheretnya kepada budaya punk. "Saya sedar silap. Selepas keluar dari sini, saya mahu ke sekolah dan berazam menjadi anak yang baik," ujarnya.
Walaupun SPN bertujuan mendidik kumpulan yang telah rosak akhlak, masih ada pihak di Indonesia yang menganggap penahan itu sebagai satu pencabulan hak asasi manusia. Bagaimanapun, Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf memprtahankan tindakan tersebut. "Mereka terbabait dalam gaya hidup yang bertentangan dengan undang-undang syariah yang dilaksanakan di Aceh. Didikan disiplin, akidah dan moral ini merupakan keprihatinan kerajaan tempatan dan bukannya pencabulan hak asasi," jelas Irwandi.
Menurut beliau, lebih 700 pengikut punk tinggal di Aceh. Mereka biasanya makan dan tidur di tepi jalan atau di tempat letak kenderaan.
Riak sedih remaja punk apabila rambutnya dipotong pendek oleh pihak berkuasa
Mereka tidak mempunyai pekerjaan bahkan tidak mendapat pendidikan di sekolah agama mahupun sekolah biasa. "Walaupun itu hak mereka, kerajaan perlu memikirkan masa depan mereka. Bolehkah mereka sekadar menjadi punk ketika muda? Bagaimana jika mereka gagal mendapat pekerjaan? Apa akan jadi pada mereka pada masa akan datang?" tanya Irwandi. Selepas tempoh latihan di SPN tamat, pihak berkuasa akan membantu pelatih terbabit mencari pekerjaan yang sesuai. Mereka juga diberi biasiswa bagi meneruskan persekolahan.
WAJAR
"Kami menahan mereka bukan disebabkan cara mereka berpakaian. Islam tidak melarang umatnya berpakaian seperti kumpulan punk. Ramai juga yang mengaitkan penahan ini dengan undang-undang syariah di Aceh tetapi ia sebenarnya tiada kaitan langsung," kata Irwandi. "Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah. Malah, mahkamah syariah Aceh mempunyai bidang kuasa yang berbeza berbanding mahkamah syariah yang terdapat di wilayah lain. Perundangan syariah memang wajar dilaksanakan bukan sahaja di Aceh tetapi di seluruh Indonesia kerana 95 peratus penduduknya beragama Islam. Bahkan, Indonesia adalah negara yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia," kata Ketua Komuniti Masyarakat Aceh Malaysia, Mansur Usman.
Mansur yang sudah 28 tahun berhijrah ke Malaysia menyifatkan penahan komuniti punk baru-baru ini sebagai wajar. "Punk adalah budaya liar yang mengancam sosiobudaya masyarakat Aceh. Sebelum pengaruhnya terus menular, ia perlu disekat. Sekurang-kurangnya kehidupan mereka masih boleh dibetulkan dan menjadi pengajaran kepada orang lain," ujarnya ketika ditemui di Kampung Baru, Kuala lumpur baru-baru ini.
Pemuda bertatu dididik supaya mendirikan solat secara teratur
Bukan untuk menzalimi, katanya lagi, undang-undang syariah dianggap pelengkap ke arah kesempurnaan Islam. Menurut peniaga makanan, Fida, 38, masyarakat Aceh menerima baik pelaksanaan undang-undang tersebut. "Sebelum ini, gadis bebas memakai pakain ketat dan tidak bertudung, begitu juga pergaulan lelaki dan perempuan. Namun, sekarang keadaan berubah. Mereka patuh kepada undang-undang kerana enggan dimalukan di khalayak umum," katanya yang pulang ke Aceh setahun sekali.
Sumber: kosmo
Monday, December 12, 2011
PELAKSANAAN HUKUM SYARIAH DI ACEH
Cara Aceh laksana syariahDia memakai topi keledar dan menunggang skuter di Banda Aceh, ibu negeri wilayah Aceh, Indonesia dengan mematuhi semua peraturan dan undang-undang. Namun, Yuli masih ditahan polis syariah. Kesalahannya: memakai jeans ketat dan baju yang agak menjolok mata. Gadis berusia 20 tahun itu hanya tunduk dan tidak membantah apabila ditegur pegawai lelaki yang menahannya. "Saya berjanji akan berpakaian lebih sopan," kata Yuli, menyebabkan dia hanya diberi amaran oleh pegawai berkenaan.
Dalam masa sejam saja 18 wanita ditahan kerana berpakaian yang pada pandangan mata pasukan Wilayatul Hisbah itu mendedahkan terlalu banyak bahagian tubuh mereka. Hanya tiga lelaki ditahan sepanjang tempoh itu kerana memakai seluar pendek. "Kita terpaksa menghormati undang-undang syariah yang diluluskan kerajaan tempatan. Undang-undang itu mewajibkan wanita hanya boleh mendedahkan muka dan tapak tangan mereka," kata Komander Wilayatul Hisbah, Haji Marzuki.
Aceh yang terletak di bahagian paling hujung pulau Sumatera, kira-kira 1,000 kilometer ke barat laut Jakarta, adalah antara wilayah paling konservatif di Indonesia. Sebahagian besar penduduk Islam di negara yang mempunyai jumlah populasi kira-kira 234 juta orang itu berfahaman sederhana dan moden. Pada masa sama, Indonesia mengiktiraf lima agama rasmi termasuk Buddha dan Kristian.
Tetapi Aceh mempunyai autonomi khas dan satu daripada cara ia membezakan dirinya dengan wilayah lain di seluruh Indonesia ialah menerusi pelaksanaan undang-undang dan pembentukan pasukan Wilayatul Hisbah yang tugasnya untuk melaksanakan amal makruf nahi mungkar. Pasukan itu dianggotai 1,500 kakitangan termasuk 60 wanita.
Bagaimanapun, tidak seperti di Arab Saudi, pasukan seumpama itu di Aceh tidak mencetuskan sebarang masalah dengan penduduk. Anggotanya sentiasa kelihatan riang. Mereka tidak membawa senjata dan sering membebaskan pesalah dengan hanya memberi amaran. "Matlamat kami bukan untuk menghukum. Kita perlu meyakinkan dan menjelaskan kepada penduduk mengenai peraturan undang-undang Islam," kata Iskander, ketua pasukan itu di Banda Aceh. Dengan pangkat selaku ketua yang baru disandangnya kira-kira setahun lalu, dia mempunyai kuasa untuk mengarahkan hukuman rotan terhadap pesalah.
Sebelum ini, beberapa pesalah menjalani hukuman rotan di tempat awam sejak 2005 kerana minum arak, berjudi dan berzina. Mereka yang bersetuju dengan Wilayatul Hisbah berkata, kewujudan pasukan itu memberi kesan terhadap kehidupan harian masyarakat. "Mesej kami sudah tersebar dan ketika ini jenayah semakin berkurangan," kata pegawai kanan pasukan berkenaan, Syariffudin. Menurutnya, kebanyakan mereka yang ditangkap di bawah undang-undang syariah adalah hasil maklumat daripada orang ramai termasuk penangkapan sekumpulan lelaki yang berjudi di sebuah kafe awal bulan ini.
Satu lagi kes yang ditangani Wilayatul Hisbah ialah berkenaan khalwat. Pasangan kekasih muda atau lelaki dan wanita yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan perlu berhati-hati jika mahu bermadu kasih di tepi pantai. "Anda perlu berwaspada jika mahu berpacaran," kata pelajar, Fira, yang baru berusia 17 tahun. "Kami tahu bagaimana mahu mengelak daripada ditangkap. Lagi pun, jika ditangkap, kami hanya akan diberi nasihat dan kemudian dibebaskan," katanya.
Namun, keadaan mungkin berubah sedikit masa lagi apabila peraturan baru dikuatkuasakan termasuk yang membenarkan hukuman rejam dilaksanakan ke atas mereka yang didapati bersalah berzina dan hukuman sebat terhadap yang melakukan kegiatan seks sejenis. Undang-undang itu akan ditandatangani kerajaan Aceh sedikit masa lagi. Ia diluluskan Majlis Perundangan Aceh pada September lalu, tetapi kini dikaji semula dewan perhimpunan baru sebelum ditandatangani gabenor, Irwandi Yusuf.
Beberapa anggota Parlimen di Jakarta menyuarakan rasa tidak senang hati mereka terhadap hukuman itu yang boleh diisytihar tidak sah oleh Mahkamah Agung Indonesia. Tetapi jika itu berlaku, ia akan membuka semula luka lama mengenai perjuangan rakyat Aceh untuk mendapatkan pemerintahan autonomi. -Agensi
Tuesday, December 06, 2011
BANGAU OH BANGAU
BANGAU OH BANGAU!
oleh : Hamzah Fansuri
Bangau oh bangau mengapa engkau kurus? Macamana aku tak kurus ikan tak mahu timbul
Ikan oh ikan kenapa tak mahu timbul? Macamana aku nak timbul rumput panjang sangat
Rumput oh rumput kenapa panjang sangat? Macamana aku tak panjang kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau kenapa tak makan rumput? Macamana aku nak makan perut aku sakit
Perut oh perut mengapa engkau sakit? Macamana aku tak sakit makan nasi mentah
Nasi oh nasi mengapa engkau mentah? Macamana aku tak mentah kayu api basah
Kayu oh kayu mengapa engkau basah? Macamana aku tak basah hujan timpa aku
Hujan oh hujan kenapa kau timpa kayu? Macamana tak timpa kayu katak panggil aku
Katak oh katak mengapa panggil hujan? Macamana aku tak panggil ular nak makan aku
Ular oh ular kenapa nak makan katak? Macamana aku tak makan memang makanan aku, memang makanan aku
Begitulah lirik lagu ~Bangau oh Bangau~ yang kita selalu dengar dan nyanyikan ketika kecil. Mungkin sahabat semua tertanya-tanya kan, kenapa plak saya bercerita tentang lagu ni. Sebenarnya lagu nih dah lama tak dengar dan tak nyanyi, alih-alih masa kursus NLP tempoh hari, our coach Mr Rizal bercerita balik pasal lagu ni. Maka alkisahnya saya pun mahulah berkongsi sama pengajaran daripada lagu ini. J
Kursus NLP ni tidaklah nampak begitu executive seperti kursus-kursus lain yang tido bangun kat hotel mewah, tapi inilah kursus termahal pernah saya ikuti. Untungnya tak payah keluar duit, tidur di teratak sendiri pun tidak kisah, yang penting ilmu ni tak senang didapati di mana-mana. Itulah namanya exclusive kan?. Rugi lah pada sapa-sapa yang nama dah tercalon, tapi tak nak ikut. Hihihi... Ok2 ! Stop merepeking, and back to the topic bangau!
Apakah makna “bangau + ing = bangauing”? Ok, mari lihat! Mengikut lagu bangau oh bangau ni, kita dah diajar dan ditanam dalam diri sejak sekian lama tentang pemikiran suka menyalahkan sesuatu ataupun pihak lain. Kalau boleh saya katakan, ini adalah antara helah bela diri yang cukup ampuh sering kita amalkan dalam hidup samada antara sedar atau tidak. Percayalah! Kalau kita tak dapat buat sesuatu atau tak dapat sesuatu, banyak sekali alasan-alasan yang kita berikan. Situasinya tidak ubah seperti bangau yang beralih dari 1 pihak ke 1 pihak yang lain, saling menuding jari dan menafikan kelemahan diri sendiri. Jadi kata Mr. Mohd Rizal Hassan -Take Charge; STOP BANGAUing! Usah membangau lagi! Every moment is a choice, every choice is my choices, so, choose lah!!..
Apa yang boleh kita faham, lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.
Iktibarnya, kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya (sama ada dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.
Secara sinisnya, ‘bangau’ hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, “Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.
Akhir sekali, bagi mengatasi masalah budaya ‘Bangau oh bangau’ ini maka kita perlulah bersikap berani. Berani mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Berani menanggung risiko akibat pilihan dan perlakuan kita sendiri. Dan kemudian berani pula untuk memperbaiki kelemahan itu dengan meningkatkan ilmu, kemahiran dan sikap kita terhadap sesuatu perkara. Di samping itu, kita juga perlu tahu akan kekuatan-kekuatan yang ada pada diri. Kita yakin pada kekuatan itu dan menambah serta mempertingkatkannya dari semasa ke semasa. Yakinlah setiap insan dilahirkan dengan keistimewaan masing-masing. Kita adalah unik dan terbaik dalam bidang-bidang tertentu. Kenali bidang itu dan terokailah dengan yakin. Bukankah bangau punya tengkuk yang panjang dan ikan mempunyai ketangkasan berenang dan menyelam? Dan dengan tengkuk yang panjang bangau boleh menyusup ke celah-celah rumput yang panjang dan dengan ketangkasan berenang dan menyelam ikan boleh timbul ke permukaan. Lihat pada apa yang ada, barulah kita bersyukur. Jangan dikenang apa yang tiada, nanti kita kufur.
Saya mahu berkongsi satu lagi maksud tersirat di sebalik lagu ini. Benar atau tidak, tak dapatlah saya sahkan. Apa pun ianya boleh diambil perhatian sama. Selain memaparkan sikap manusia yang suka menyalahkan orang lain, ia juga membawa maksud berikut;
Sesungguhnya bangau kurus itu ialah Islam yang putih bersih tetapi lemah. Ikan pula Umat Islam yang belum sedar. Manakala rumput yang panjang adalah kiasan bagi halangan yang menyukarkan rakyat bangun menentang kezaliman dan kemungkaran yang beraja. Kerbau yang tidak makan ialah perbandingan bagi ulama yang tidak menghalang atau membanteras kemungkaran dan kezaliman. Perut yang sakit pula diibaratkan kekuatan dan semangat ulama yang hilang atau hati mereka yang sudah rosak berpunca dari sogokan hasil rezeki yang tidak berapa bersih dan halal yang telah diumpamakan sebagai nasi mentah. Seterusnya persoalan mengapa nasi itu mentah dikaitkan dengan kayu api basah yang bermaksud punca kurangnya halal dan bersih rezeki para ulama ialah semangat Jihad yang telah ditinggalkan atau dalam kata lainnya telah padam kerana sikap manusia yang lebih suka mengharap rahmat bantuan langit daripada berusaha. Tepatlah perbandingan katak dengan manusia yang berteriak minta diturunkan hujan untuk menyelamatkan diri dari serangan si ular rakus kuffar Yahudi, Kristian dan gerombolan sekutunya yang sentiasa berusaha memusnahkan ketuanan dan survival Islam di muka bumi ini kerana telah termaktub dalam kata si ular, "katak itu memang makanan aku".
Rujukan;
1. ukhwah
2. genta-rasa
Saturday, December 03, 2011
NEURO LINGUISTIC PROGRAMMING
Berbalik pada cerita NLP tadi, sebenarnya saya nak cerita panjang-panjang dan secara detail pun tak reti juga. Tahu tak sebab apa tak reti? Sebabnya belum benar-benar mastery. Ilmu yang dapat hanya di hujung kuku saja, bahkan kalau boleh dikumpulkan dengan ilmu-ilmu lain, maka ianya akan jadi lebih sedikitlah. Tak sampai pun hujung kuku, kalau nak tengok mungkin kena pakai mikroskop. Hihihi...
Tahu tak yang NLP ni sebenarnya dapat membantu kita dengan izin Tuhan bagi mencapai apa yang kita hajati secara mudah dan senang. NLP juga adalah merupakan bahagian daripada ilmu psikologi dan kaunseling. Saya tak pernah belajar kaunseling, kecuali sedikit saja dalam kursus perguruan dulu dan melalui pembacaan saja. Jadi tak boleh hurai lebih-lebih, nanti salah... haru! Baca saja apa yang saya tampal ni ya.
APAKAH ITU NLPNLP adalah singkatan daripada “Neuro Linguistic Programming”. NEURO ini dapat kita fahami sebagai proses berfikir, bagaimana kita menggunakan penglihatan, pendengaran, perasaan, rasa dan bau untuk memahami apa yang berlaku di sekeliling kita. Manakala , LINGUISTIC (bahasa) pula adalah bahasa yang kita gunakan bagi menyatakan, menerangkan, mengkategori dan menganalisa realiti yang kita hadapi. Hasilnya, ia akan mempengaruhi kita dan orang di sekeliling kita. Bahasa yang berbeza memberikan model pemikiran yang berbeza. Sementara PROGRAMMING pula adalah corak pemikiran dan gaya kita melihat serta memberikan respon terhadap sesuatu perkara. Kita mentafsir dunia ini berdasarkan kepada pengalaman dan ilmu, bagi mencapai keperluan kita. Kita mencipta tingkahlaku dan strategi tertentu untuk mendapatkan apa yang kita mahu. Kemudian kita menceritakan semula pengalaman itu, dan dapat mengulanginya semula.

DEFINISI NLP
Terdapat pelbagai definisi tentang NLP, ada yang menyebutnya sebagai psikologi ekselensi. Melalui teknik-teknik NLP seseorang berkemungkian untuk menjadikan dirinya tumbuh menjadi manusia yang cemerlang, daripada tidak tahu potensi dirinya yang tersimpan di fikiran bawah sedar menjadi sedar untuk mengoptimakannya. Selain itu, terdapat satu definisi yang cukup representatif untuk mamahami apa itu NLP. Coolingwood (2005) mendefinisikannya “NLP studies the way people take information from the world, how they describe it to themselves with their senses, filter it with their beliefs and value and act on the result”. Definisi Coolingwood ini menerangkan bahawa NLP merupakan pengajian tentang;
Bagaimana manusia mengambil informasi dari dunia sekitar melalui interaksi dan stimulus. Hasilnya, yakni sensing melalui apa yang ia lihat, dengar dan rasakan diolah oleh cortex, mengubahnya menjadi informasi yang tersimpan di fikiran. Apa yang tercatat dan tersimpan itu disebut representasi internal.
Bagaimana apa yang sudah direpresentasikan (gambarkan/bayangkan) itu dapat difahami oleh dirinya. Tentunya tingkat pemahamananya sangat subjektif –maka disebut subjective experience—sifatnya menurut tingkat pendidikan, kepercayaan/keyakinan,dan nilai-nilai subjektif lainnya. Di sinilah pentingnya peranan bahasa (linguistic). Apa yang kita alami dalam hidup ini tidak cukup untuk diri kita sendiri tetapi akan lebih bermakna bila dikomunikasikan dengan orang lain melalui bahasa.
Bagaimana hasil daripada pemahaman itu, atau bagaimana apa yang direprensentasikan ke dalam fikiran itu menjadi lebih bermanfaat untuk dirinya dan orang lain. Sebuah pengalaman, sebuah pemahaman subjektif bukanlah berakhir pada pemahaman itu sendiri, melainkan kebermanfaatan bagi dirinya dan orang lain jauh lebih penting. Sebuah pengalaman memasak misalnya kurang bermanfaat bila hanya disimpan dalam pikiran sebagai arsip. Namun apa bila dipraktikkan dan diambil tindakan (take action), akan menjadi lebih bermanfaat bagi dirinya dan orang lain.
SEJARAH NLP
NLP memulakan sejarahnya di Universiti California Santa Cruz pada pertengahan tahun 1970'an oleh Richard Bandler seorang pelajar sarjana dalam matematik/komputer dan psikologi serta Dr. John Grinder seorang pensyarah bahasa di universiti tersebut.
NLP bermula daripada tesis Richard Bandler bersama profesornya Dr. John Grinder yang mana Bandler ingin menjawab sebuah pertanyaan kenapa seseorang boleh berjaya sementara orang lain tidak? Setelah melakukan penelitian secara intens-sistematis, mereka menemukan sebuah jawabannya. Ternyata, orang-orang sukses dalam meraih keberhasilannya memiliki perilaku yang nyaris sama dalam hal strategi-strateginya. Kesemua strategi itu akhirnya dapat dikodifikasikan dan dimodelkan yang pada gilirannya dapat ditiru (dimodel) oleh orang lain yang ingin sukses.
Pada awalnya mereka melakukan tiga pencontohan ke atas individu yang cemerlang dalam bidang masing-masing iaitu Milton Erickson (seorang pengamal perubatan dan pakar hipnosis), Virginia Satir (pakar terapi keluarga), dan Fritz Pearls (pakar psikologi gestalt).
Pendekatan mereka adalah pragmatik dan berorientasikan hasil dari berteori sahaja. Richard Bandler menyifatkan NLP sebagai satu proses untuk membantu manusia menggunakan otak mereka dengan lebih berkesan itu menjalankan otak mereka dari membiarkan otak menjalankan mereka. Pakar-pakar dan pemaju NLP mentakrifkan NLP mengikut pandangan perspektif mereka masing-masing:
“NLP adalah satu sikap dan kaedah yang meninggalkan jejak di belakangnya” .......... Richard Bandler.
“NLP adalah strategi pembelajaran pantas (accelerated learning strategy) untuk menjejaki dan menggunakan corak-corak di dalam dunia” .......... John Grinder.
“NLP adalah apa juga yang dapat menjayakan sesuatu” .... Robert Dilts
APLIKASI NLP
Anthony Robbins menggunakan NLP dalam kerjayanya dari “jualan ‘zero’ hingga menjadi pakar motivasi terbaik dunia. Malahan Tony Robbins menggunakan NLP untuk meningkatkan prestasi permainan tenis Andre Agasi untuk bangkit semua menjuarai kejuaraan dunia selepas prestasinya menurun beberapa waktu.
Buku-buku terkenal tulisan Anthony Robbins iaitu "Unlimited Power" dan "Awaken The Giant Within" secara khususnya memperihalkan bagaimana teknologi NLP boleh digunakan dalam mencapai apa juga yang kita mahu. Walaupun beliau menukarnya kepada satu akronim yang baru iaitu NAC (Neuro Associative Conditioning) hakikatnya apa yang dipaparkannya adalah berlatarbelakangkan NLP.
BAGAIMANA NLP DAPAT MEMBANTU SETIAP INDIVIDU
Selagi setiap manusia yang dipanggil insan masih lagi mempunyai apa sahaja kemahuan atau keinginan maka sesukar dan sesulit mana pun kemahuan tersebut NLP dapat membantunya untuk mencapai keinginan tersebut. Dua soalan utama NLP iaitu "Apakah yang saya mahu?" adalah sebagai penunjuk arah tuju dan kompas bagi sesuatu destinasi keinginan. Ini disusuli dengan pertanyaan "Bagaimanakah saya dapat mencapainya?" yang merupakan soalan proses dan kaedah serta rancangan dan tindakan untuk mencapai matlamat tersebut.
Oleh kerana semua tindakan merupakan perlakuan yang dicerna dan dikendali oleh minda maka apa juga program serta skrip yang kita jana bentuk dan jana dalam minda akan mempengaruhi hasil yang diperolehi. Komunikasi dari minda kepada motor yang mengawal saraf dan otot yang mengendali tindakan penting bagi mendapatkan sesuatu. Disinilah peranan bahasa dalam menghubungkan neuro atau saraf kepada otak. Skrip yang kita bina menjadi baris-baris atau 'kod-kod seperti dalam program komputer. Setiap baris menghasilkan sesuatu. Jika baris itu dapat ditukar dan digantikan maka pastinya hasil yang diperolehi juga berubah dari sebelumnya.
Oleh sebab penggantian inilah ia menghasilkan sesuatu dengan cepat sekali. Trauma dan fobia dapat diubah dalam masa yang pendek. Apabila skrip "ketakutan" atau "kebencian" diubah dalam minda maka hasilnya juga berubah. Tiada lagi ketakutan atau kebencian. Kod ketakutan atau kebencian sudah digantikan dengan kod lain. Dan saraf serta otot yang menimbal balas akan mengikut arahan minda yang baru melalui koding yang baru. Ianya nampak amat abstrak tetapi kaedahnya penuh dengan tatacara dan konsep saintifik yang dapat dibuktikan. Hasil yang diperolehi adalah bukti yang paling nyata. Maka jika anda inginkan sesuatu yang masih elusif atau bagaikan mengejar pelangi petang maka kaedah NLP pastinya dapat membantu anda.
Kesimpulannya NLP sangat peduli dengan “acting on the result”, bukan hanya sekadar memahami dunia di sekilingnya, melainkan bagaimana semua pengalaman yang kita miliki menjadi kekuatan, menuju manusia cemerlang. Maka tidak hairanlah kalau para ahli NLP menyebut NLP adalah program fikiran menjadi kenyataan, from mind to real. Singkatnya, bagaimana sebuah program fikiran benar-benar terwujud sehingga menjadi perilaku cemerlang.
Bagi mendapatkan huraian dan penerangan yang lebih detail lagi bolehlah juga merujuk kepada penjelasan NLP mengikut wikipedia di alamat ini ; NLP
Seterusnya mari kita sama-sama menonton beberapa video tentang NLP yang digunapakai oleh Darren Brown seorang yang Mastery dalam bidang ini.
Alhamdulillah, mudah-mudahan sahabat pembaca beroleh sedikit maklumat melalui penjelasan ini. Kata En Rizal lagi, “Saya hanya menyampai dan mengajarkan ilmu ini pada tuan puan sekalian, selebihnya baik atau buruk dan bagaimana hendak menggunakannya dalam hidup, terserah sendiri.” Terima kasih banyak-banyak pada En Mohd Rizal Hassan ~Penghalau Bangau~ atas ilmunya. Saya telah berjaya dipasak oleh beliau barangkali !!
RUJUKAN;
http://www.take-charge.com.my/
http://mus-mindasukses.blogspot.com/2011/04/memahami-apakah-itu-nlp.html
http://sapadunia.wordpress.com/2008/07/24/apa-itu-nlp/
Sunday, November 27, 2011
PUYUH OH PUYUH
Monday, November 21, 2011
CIRI-CIRI WANITA MUSLIMAH
Baiklah, post kali ini simple saja, tapi cukup bernilai buat teman-teman muslimah semua. Saya muatkan tentang 33 ciri-ciri gadis muslimah sopan dan berakhlak yang sempurna. Jom kita semak, ada tak pada diri kita ciri-ciri ni. Kalau dah ada, Alhamdulillah... kekalkan istiqamah. Kalau tak ada, maka perlu diadakanlah ya.
CIRI-CIRI WANITA MUSLIMAH
1. Solat tepat waktu
2. Banyak amalan sunat dan bibir basah dengan zikir.
3. Setiap bicaranya bermula dengan kalimah Bismillah.
4. Butir bicaranya terselit dengan kalimah Alhamdulillah, InsyaALLAH, Subhanallah, Allahuakhbar dan lain-lain zikir.
5. Tidak mengeluh dengan masalah remeh dalam kehidupan sehariannya.
6. Bercakap dengan suara yang rendah.
7. Lembut dan halus tingkahlakunya.
8. Tuturbicara yang senang didengar tanpa kata lucah atau sumpah seranah.
9. Pakaian longgar tanpa mendedahkan bentuk tubuh.
10. Rambut, leher dada yang sentiasa ditutup dan dijaga dari pandangan lelaki bukan muhrim dan mereka yang bukan Islam.
11. Sukakan kanak-kanak dan kanak-kanak menyukainya.
12. Pandai mengambil hati orang tua.
13. Menghormati dan taat ibubapa.
14. Kesayangan keluarga dan tetangga.
15. Contoh kepada adik-adik dan mencontohi orang tua.
16. Sentiasa berkuku pendek bagi menyempurnakan wudhu.
17. Rambut tak diwarnakan.
18. Murah dengan senyuman.
19. Banyak mendengar dari bercakap.
20. Senyuman adalah ketawanya.
21. Tidak ketawa terbahak-bahak.
22. Suaranya tidak lantang dan jarang didengari oleh lelaki bukan muhrim.
23. Tidak suka bersiar-siar atau keluar rumah tanpa urusan penting bagi mengelakkan fitnah.
24. Menjauhi kumpulan yang sedang mengumpat dan mengeji supaya tidak dikira bersubahat.
25. Tidak menghebohkan kedukaan hatinya dan menyembunyikan kesedihannya.
26. Menerima dugaan sebagai ujian ALLAH dan kafarah dosanya.
27. Sentiasa berdoa baik untuk keluarga, orang lain dan juga untuk orang yang menganiayanya.
28. Pandai bergaul dengan semua orang tanpa mengira tahap pendidikan dan taraf kedudukan.
29. Tidak boros dalam berbelanja dan pandai menguruskan kewangannya.
30. Berhati-hati dengan apa yang dimakannya dan menjauhi makanan yang syubhah.
31. Sayangkan dan kasihkan binatang peliharaan seperti kucing, arnab, burung, ikan dan lain-lain.
32. Suka kepada alam sekitar, suka berkebun dan bercucuk tanam.
33. Menitik-beratkan aurat yang dianggap remeh seperti tumit kaki, kaki, siku dan lengan. Caranya dengan memakai sarung tangan dan sarung kaki.
Ok, macamana teman-teman semua? Renung-renungkan dan Selamat Beramal!

