Bismillahirrahmanirrahim...
Sudah lama benar saya tidak menulis di sini. Bukan tidak ada idea atau
terlalu sibuk dengan kerja, tapi tidak tahulah apa yang sedang melanda hidup
saya kebelakangan ini. Fokus pada urusan hidup sedikit berkurangan jadinya. Beku
dan kosong! Sebulan Ramadhan langsung tidak
saya endahkan blog ni. Bukan kata nak menulis, menjengahnya pun langsung tidak.
Alhamdulillah puasa sudah, raya pun sudah, puasa balik pun sudah dan raya balik
pun dah sudah. Makan angin pun dah sudah, jadi setelah kembali daripada outstation
yang agak ringan dan dengan jadual ala-ala bercuti, otak saya sedikit mampu
bekerja dengan lebih baik. Hari ini saya mampu melawat, menulis, berkongsi dan
meninggalkan sesuatu di sini.
Permulaan kepada percutian yang agak lama haruslah diawali dengan artikel yang
ringan-ringan saja. Seperti biasanya juga, saya masih suka sekali untuk
berkongsi tentang karya penulisan dan tentang filem. Cakap saja suka-suka, saya
tidak pernah memiliki apa-apa ilmu dalam kedua-dua bidang ini. Apa yang
membuatkan saya lebih bersemangat adalah saat membicarakan berkenaan karya Kang
Abik yang hebat semuanya.
Baiklah kali ini bercakap sedikit tentang novel CINTA SUCI ZAHRANA yang
juga telah difilemkan dengan jayanya. Saya masih belum memiliki novel ini,
namun seawal tahun 2008 saya telah memiliki 1 naskhah novel yang memuatkan 3
cerpen di dalamnya dan salah satu daripadanya adalah cerpen tentang CSZ ini. Novel
ini asalnya telah dikembangkan daripada cerpen Kang Abik yang dimuatkan bersama
dengan cerpen Dalam Mihrab Cinta serta Mahkota Cinta yang kemudian kedua-dua
daripada CSZ dan DMC telah dipisahkan menjadi novel yang berasingan dengan
jalan cerita yang lebih mantap. Judul asal daripada novel ini adalah Takbir
Cinta Zahrana. Ok, review sedikit sinopsisnya.
“Apa gunanya gelar sarjana dan karir setinggi langit, jika belum menikah. Untuk apa menikah, jika mendapat pasangan yang tidak seiman, yang tidak sayang pada keluarga, yang tidak bisa menjadi imam di dalam keluarga.”
Begitulah antara pesanan yang terdapat dalam novel “Cinta
Suci Zahrana” karya Habiburahman El-Shirazi yang telah difilemkan sekali lagi
lewat layar perak. Satu lagi filem yang telah diadaptasi dari novel pembangun
jiwa adikarya novelis nombor 1 Indonesia ini. Filem ini mengisahkan tentang seorang
pensyarah wanita yang bernama Dewi Zahrana. Beliau
seorang yang berprestasi, bercita-cita tinggi, mendapat penghargaan antarabangsa
sebagai arkitek ulung dari universiti luar negara, tulisan-tulisannya termuat
dalam jurnal-jurnal antarabangsa dunia reka bina serta bakal melanjutkan pengajian
peringkat PHD. Zahrana berusia 34 tahun, pada usia sebegini wanita dari
tanah Jawa itu diamuk tekanan masyarakat khususnya ibu bapa sendiri untuk
melihat Zahrana mendirikan rumahtangga, mempunyai suami dan cahaya mata
penyejuk hati. Semua jerih payah dan prestasi hebat
Zahrana sedikitpun tidak membuatkan kedua orang tuanya merasa bangga. Mereka
tidak mengimpikan untuk mendapat penghargaan sebegini melainkan melihat Zahrana
bersanding di pelamin dan dapat segera menimang cucu.
Kedua orang tua Zahrana
menjadi bimbang apabila anak mereka dilabel sebagai 'anak perawan tua'. Jiran-jiran
juga mula berkata tentang Zahrana yang sukar menemui jodoh pada usia sebegitu
dan ditambah dengan pendapat pakar perubatan tentang kesukaran mendapatkan
zuriat pada usia wanita lewat 30-an. Mereka khuatir andai keturunan mereka
tidak bersambung ekoran kesukaran Zahrana bertemu jodohnya. Namun demikian, Zahrana
tidak pernah membenci cinta dan menguburkan impian untuk berumah tangga.
Zahrana berusaha keras untuk mencapai puncak kejayaannya dalam pelajaran dan
kerjayanya. Zahrana terlalu fokus pada matlamat dan impiannya. Walau
bagaimanapun, Zahrana tetap punya keinginan dan kerisauan memandangkan diri
yang belum berpunya. Dia berusaha untuk mencari jodohnya tetapi dengan cara
yang begitu berhati-hati. Wanita kental ini tidak mahu perkahwinannya berantakan di kemudian hari, mendapat suami yang
hanya menyakitkan hati atau menzalimi dirinya sendiri. Zahrana bertahan lama
hidup dengan tohmahan 'anak perawan tua' kerana mengejar jodoh terbaik buatnya.
Sudah banyak laki-laki yang meminangnya, namun Zahrana menolaknya dengan
halus. Prinsip Zahrana dalam memilih pasangan, bukan diukur dari kedudukan,
harta dan jabatannya, tapi karena akidah yang sama, karena kesolehannya, dan
mampu menjadi imam bagi dirinya. Zahrana pernah dipinang oleh Dekan Fakultas Teknik di Universiti
Mangunkarsa berusia lewat 50-an. Kejelitaan, kebijaksanaan dan penghargaan yang
diperoleh Zahrana menjadikan dia begitu tergila-gilakan pensyarah muda
berkenaan. Zahrana yang mengetahui sikap mata keranjang dan kebejatan moral Dekan
fakultinya itu telah menolak lamarannya. Penolakan lamaran itu membuatkan
Zahrana diancam sehingga menarik diri dari kerjayanya di universiti berkenaan.
Dendam ketuanya yang menganggap dirinya besar, terhormat dan tidak wajar
ditolak lamarannya oleh Zahrana telah mengatur strategi agar Zahrana kekal
sebagai perawan tua.
Setelah menarik diri dari
Universitas Mangunkarsa, Zahrana berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pesantren.
Di pesantren, Zahrana tekad memenuhi impian kedua orang tuanya dengan memohon
bantuan kiyai melalui sahabatnya agar mencarikan calon suami yang soleh dan
bertakwa untuk dirinya. Status, pelajaran dan kewangan tidak diutamakan Zahrana
bagi calon suami, yang dipentingkan ialah ketakwaan dan keimanan bakal suami
bagi mendidik diri dan anak-anaknya nanti. Dekan fakulti yang ditolak
lamarannya sebelum ini mendapat tahu Zahrana bakal menikahi Rahmad yang
merupakan seorang penjual keropok yang soleh telah mengatur strategi membunuh
Rahmad pada hari pernikahannya dengan Zahrana. Selain kematian Rahmad, Zahrana
juga diterjah duka lantaran kematian ayahnya yang diserang sakit jantung pada
hari yang sama.
Zahrana semakin buntu
sehingga akhirnya bertemu dengan Hassan yang pernah menjadi anak didiknya di
universiti dahulu telah memberikan laluan yang baru. Hassan yang menyambung
pelajaran peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia memohon agar ibu
angkatnya yang mengenali Zahrana untuk meminang Zahrana bagi dirinya. Jarak
usia empat tahun dan kedudukan Hassan sebagai mantan muridnya membuatkan
Zahrana terpinga-pinga dalam membuat keputusan. Namun pada akhirnya, Zahrana
menerima lamaran dan pada hari yang sama meminta agar dia dan Hassan dinikahkan
pada malam kedua Ramadhan di masjid berdekatan rumah Zahrana.
Karya ini berdiri teguh
atas konflik emosi Zahrana yang menjadi fokus pengarang. Kejayaan dan
kecemerlangan akademik namun kekurangan nilai tambah sebagai seorang wanita
ditelusuri dengan penuh berhati-hati. Seorang wanita yang tegas, mahukan
kejayaan namun cukup prihatin dalam mencari calon suami yang penuh keimanan
untuk jaminan masa depan. Cinta Suci
Zahrana membawa khalayak menelusuri liku jiwa pengembaraan seorang
wanita 'perawan tua' mendepani kehidupannya yang sering dipandang negatif oleh
kebanyakan masyarakat.
Ini antara sinopsi tentang
CSZ. Trailernya saya letak di bawah sebagai bayangan kepada jalan ceritanya.
Setelah fenomena KCB, hati mula berbisik lagi, ‘Masih banyak betul persamaan
yang dibawa oleh Kang Abik kali ini. Saya dan Zahrana mula bersatu atas jalan
yang sama.’ Ketahuilah, seorang wanita tidak pernah merancang dengan sengaja
untuk melewatkan hari bergelar isteri. Hasbunallah wani’mal wakil, ni’mal mawla
wa ni’mal nasir.
No comments:
Post a Comment