Sunday, January 15, 2012

DI BAWAH LINDUNGAN KA'BAH (FILEM)



Pada waktu industri perfileman tanah air dikritik hebat buat kesekian kalinya dengan kemunculan filem Ombak Rindu yang menjadikan agama sebagai modus operandi meraih keuntungan semata, maka di tanah seberang sana muncul pula filem Islami yang juga idea asalnya digarap daripada novel. Novel tua karya Buya Hamka Di bawah Lindungan Kaabah. Filem fenomena Islam yang entah ke berapa kalinya dihasilkan mereka. Walau serumpun, namun idea, semangat, kreativiti dan kefahaman tetap tidak sama. Kita masih jauh ketinggalan di belakang. Sisa-sisa penjajah masih utuh memasak pemikiran dan gaya hidup.



Sungguh menyedihkan, seakan fenomena baru dalam dunia perfileman apabila kebanyakan filem dan drama memasukkan elemen-elemen agama. Tidak salah, namun cara dan gayanya tidak kena. Secara kasarnya boleh dikatakan agama telah dipergunakan, agama menjadi tempelan dan penghias pada babak-babak yang jauh sekali daripada nilai-nilai kemanusiaan. Fatamorgana semuanya ini!



Namun hal ini dilihat jauh berbeza dengan latar cerita bagi filem Di bawah Lindungan Kaabah. Di bawah Lindungan Kaabah adalah cerita tentang ketabahan, tentang semangat, tentang kesungguhan, tentang kekuatan jiwa, tentang kekentalan jiwa, tentang kesetiaan, tentang cita-cita menuju Allah, tentang kisah cinta yang tidak kesampaian, tentang kisah rasa yang terpendam dengan air mata, tentang kisah kebergantungan yang tinggi dengan Allah SWT. Kisah yang penuh dengan air mata, kisah tentang cinta yang terkubur.





Pertama kali saya mengenal dan bertaarufan dengan Buya Hamka lewat karya-karya agamanya ketika dibangku kuliah. Saya terus menyusurinya lewat karya-karya beliau yang lain. Saya terus jadi terpikat dan jatuh hati melalui novel-novel tulisan beliau. Saya khatamkan novel Di bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Sementara novel yang belum saya dapatkan lagi antaranya Merantau ke Deli, Keadilan Ilahi, Ayahku dan mungkin banyak lagi yang di luar daripada pengetahuan saya, dan ianya perlu terus disingkap. Baiklah bagi menyorot kisah ini secara menyeluruh, mari lihat kata-kata indah yang terselit dalam filem ini.



Tentang kesungguhan dan ketidak putus asaan dalam hidup


“Masih banyak ilmu yang harus saya cari. Dan tu tidak bisa saya dapatkan dengan hanya berdiam diri.”



Tentang keyakinan ma’iyatullah (kebersamaan Allah)


"Apapun yang akan terjadi Hamid, ingatlah ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup."


“Tak tegar aku meninggalkan mu sendirian mak.” “Bukankah kau juga pergi sendirian Hamid? Dan kita tahu sebenarnya kita tak pernah sendirian, kita punya Allah.”


“Kamu tidak pernah sendiri!”



Tentang cinta dan kasih sayang


“Untuk melewati badai, kita harus terus berjalan dan bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan hanya ada 2 hal yang harus kita bawa, keyakinan dan cinta.”


“Bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar berbanding kesedihan ketika saya difitnah dan diusirkan daripada kampung ini.”


“Lelaki yang mencintaiku dan aku cintai.”



Tentang Kebergantungan sepenuhnya terhadap Allah


“Allah yang akan menentukan hidup kita Mid, bukan manusia lain.”


“Ku titipkan surat ini untuk Hamid Leh.” “Aku harus temui Hamid di mana?” “Aku tak tahu. Siapa tau kau bertemu Hamid di pelabuhan ketika kapalmu singgah, atau di Mekah. Kau bawa sajalah surat itu. InsyaAllah, kalau Allah melindungi surat itu, pasti akan sampai di tangan Hamid. Biarlah surat itu menempuh takqirnya sendiri.”



Tentang segalanya yang melebihi kehendak diri


“Pendamkan saja rasa yang bersarang. Telan saja pahit yang mengelatkan hatimu.”


"Sampai kapanpun, emas takkan setara dengan loyang dan sutera tak sebangsa dengan benang."



Surat daripada Zainab kepada Hamid


Aku beranikan menulis surat ini dengan keyakinan surat ini akan dibawa ke rumah-Nya, di mana ku tahu di sanalah engkau akan tiba. Setiap pagi aku terbangun dengan air di mata. Bukan kerana aku menderita oleh cinta, bukan juga kerana hidup yang tak berpihak kepada kita, tapi kerana syukur bahawa dia masih memberiku nafas untuk menunggumu. Dan di sinilah aku hamid, menunggumu satu-satunyanya lelaki yang aku bayangkan akan menjadi imamku kelak. Lelaki yang mencintaiku dan aku cintai. Hamid, jika dunia ini terlalu sempit untuk kita, biarlah Allah membukakan pintu lain untuk kita ke tempat di mana sejenis sesuatu menjadi abadi. Dan semoga ketika dunia tidak merestui cinta kita, kita punya Allah yang akan merestuinya.



Zainab



Surat daripada Hamid kepada Zainab


Zainab, maafkan aku pergi tanpa sempat pamit secara pantas kepadamu. Maafkan aku kerana baru berkirim khabar setelah melalui perjalanan yang panjang. Dan saat ini, akhirnya aku bisa berada di tanah suci Mekah. Selama perjalanan panjang kelmarin Zainab, kau memang tak hadir secara kasar mata di dekatku, tapi aku tak perlu mata untuk merasakan kehadiranmu ke dalam jiwaku. Tuhan memberiku kekuatan luar biasa untuk terus mencintai. Bahkan di saat-saat ku kalah, cinta ku tak dibiarkan lekang dan hilang. Maka di sinilah aku berada Zainab, di negeri di mana impian kita berpusat. Ku bawa jiwamu, cintamu dan cinta-Nya bersama ku. Teruslah memohon Zainab, agar cinta kita menuju jalan terindah milik Allah semata.



Hamid






Ya Rabbi Ya Tuhanku... Engkau Yang Maha Tahu Ya Allah. Engkau yang telah memilihkan jalan mana yang harus ku tempuh. Engkau tak pernah membiarkan diriku sendirian menempuh. Kau juga yang telah menanamkan cinta dalam jiwa ini. Kau selalu menjaga cinta ini sebagaimana kau menjaga jiwa ini. Tak ada seutaas talipun tempat aku bergantung selain tali-Mu ya Allah. Tak ada satu pun pintu akan ku ketuk selain pintu-Mu. Ya Rabbi ya Tuhanku yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Kaabah, aku serahkan cinta dan jiwa ini kembali kepada-Mu.



Allah... indah sungguh rangkaian kata-kata yang digubah Hamka. Dibaca pada zaman yang terkedepan, namun masih tidak dirasakan tua. Malah masih indah nian membelai jiwa. Teringat saya pada tulisan Syaikh Dr Aa’idh ibn Abdullah al-Qarni dalam kitab besar karangan beliau La Tahzan, 'sekiranya anda ingin ucapan dan syair anda menyentuh hati pembacanya, maka masuklah terlebih dahulu ke dalamnya, kemudian sentuhlah, rasakanlah dan resapilah, nescaya anda akan merasakan sendiri bahawa ucapan dan syair anda tadi mampu mempengaruhi orang lain.'



Kalau yang ditulis itu ikhlas datangnya dari hati, maka ianya akan terus sampai dan masuk menyentuh hati. Benar sekali, menulis dengan rasa akan memberi rasa. Buya Hamka telah menulis dengan rasa dan memberikan roh pada karya tulisannya sehingga saya mula berbisik, ini bukan kisah Romeo dan Juliet, ini bukan kisah Laila dan Majnun, ini bukan kisah Shah Jehan dan Mumtaz Mahal, bukan juga kisah Hayati dan Zainuddin, tapi ini adalah kisah tentang Hamid dan Zainab! Ini adalah kisah tentang dua jiwa dan dua harapan yang berbeza. Kedua-dua harapan yang berbeza itu sebenarnya berada dalam satu keinginan yang akhirnya bersatu Di bawah Lindungan Kaabah.



Mungkin saya terlalu berlebih-lebih dalam menukilkan tentang Di Bawah Lindungan Kaabah. Walau apa pun, paling tidak ada barisan pelangi yang muncul bersama mentari, mula menyinari dan mewarnai dunia Islam. Kala ini, saya juga sudah mula melirik, tersenyum melihat keindahannya. Subhanallah...


6 comments:

Anonymous said...

A master piece from indonesia.. Maaf peminat ombak rindu.. Di bawah lindungan Ka'bah cukup meresap....

Anonymous said...

Filem Di Bawah Lindungan Ka'abah,
Meninggalkan Rasa Indahnya Cinta Dengan Keyakinan Kepada Takdir ALLAH.
puitis Bahasa Indah Terhadap Keyakinan Dan Cinta Yang Dipegang Dalam Satu Impian Yang Sama :)

Pg Ismail said...

Ulasan saudari mengenai Movie "DILKA" amat menepati massage yang hendak di sampaikan oleh Buya HAMKA, Sememangnya penceritaan tentang cinta telah digaraop dengan baik sehinggakan saya sendiripun tidak malu untuk menitiskan airmata dihadapan sahabat-sahabat saya sewaktu menonton cerita cinta agung ini.

Namun dalam garapan Buya HAMKA mengenai "cinta" dan perjuangan hidup, pada pandangan saya ada message yang lebih besar yang telah disampaikan Buya HAMKA iaitu bagaimana layanan masyarakat golongan atasan Melayu terhadap masyarakat bahawahan seperti Hamid. Ketidakadilan, kebencian, syak wasangka dan "ketidak bertimbangrasaan" jelas dalam cerita ini. Sebagai contoh ketika Hamid dibicarakan dihadapan para tetua, bukti dan hujah sudah menjelaskan hamid tidak bersalah. Namun para tetua telah memutuskan untuk membuang Hamid dari Kampung tersebut. Satu yang menjadi persoalan saya ketika para tetua menyampaikan penghakimannya mengatakan"Dalam kejadian ini tiada yang betul dan tiada yang salah, namun untuk menjaga keharmonian kampung ini, Hamid dihukum.....".Kata-kata tersebut seolah-olah mengambarkan para tetua tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghukum Hamid.Apakah ketidakberdayaan para tetua disebabkan kes tersebut difailkan oleh golongan atasan? Mungkin kerana menyedari hakikat inilah Hamid terpaksa menyerahkan nasibnya sepenuhnya kepada takdir dengan berkata "Para tetua lebih banyak makan asam garamn kehidupan, apapun keputusan para tetua akan saya turuti demi tegaknya agama"

Ketidakprihatinan golongan atasan terhadap golongan bawahan boleh dilihat dalam secene ibu Zainab meminta Hamid untuk memujuk Zainab berkahwin dengan Ariffin. Walhal pada ketika itu, Hamid dirundung kesedihan yang teramat sangat kerana kehilangan satu-satunya insan yang sentiasa memberikan semangat dan sokongan dikala Hamid kesedihan. Ibu Zainab langsung tidak memikirkan hal tersebut dan tergamak mendesak Hamid untuk memujuk Zainab

Itu antara persoalan sosial yang cuba digarap oleh Buya HAMKA. Oleh yang demikian wajar juga kita memikirkan apakah "Malay Feudalisme" ini masih wujud dalam masyarakat melayu kita pada hari ini.Sekiranya masih berlaku, cerita ini wajar dijadikan panduan bahawa ketidakadilan terhadap golongan bawahan ini akhirnya akan merugikan golongan atasan itu sendiri.

Pg Ismail Pg Musa

Anonymous said...

tonton filem terbaru indonesia:
1. 5 cm
2. habibie-ainun
3. soegija
4. 39 derajat celciuss
5. hello goodbye
6. tanah surga..katanya
7. cita-citaku setinggi tanah
8. perahu kertas
9. testpack you are my baby
10.demi ucok
11.lovely man
13.rumah di seribu ombak
14.rumah kentang

Anonymous said...

best citer nie... suka sangat.

Anonymous said...

maaf ralat untuk film 39 derajat celcius,seharusnya Atambua 39 derajat celcius(karya Riri Reza).Kabarnya novel Tenggelamnya kapal Van Der Wijck (karya Buya Hamka) juga sedang di buat filmnya.Semoga filmnya bagus dan hebat.Salam damai dari Indonesia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...