Friday, February 24, 2012

SYAMAIL MUHAMMADIYAH



FIZIKAL RASULULLAH SAW


Bismillah walhamdulillah...
Masih dalam mood manyambut kelahiran Junjungan Besar SAW. Seharusnya juga mood ini perlu berterusan sepanjang masa. Justeru bagi mengimarahkan hari-hari kita dengan kehidupan dan rasa kebersamaan dengan Rasulullah, jadi saya memetik hadis-hadis tentang perihal Baginda SAW yang disusun dan ditulis oleh Imam al-Tirmizi dalam Syamail Muhammadiyah dan saya tinggalkan sahabat-sahabat dengan nukilan berkenaan fizikal Rasulullah SAW.


Ali bin Abi Talib bercerita mengenai sifat Rasulullah SAW;

Rasulullah tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Baginda bertubuh sederhana dalam kalangan kaumnya. Rambutnya tidak kerinting bergulung dan tidak juga lurus kaku, melainkan ikal beralun. Badannya tidak gemuk, bentuk wajahnya tidak bulat tetapi bujur telur.

Kulitnya putih kemerah-merahan. Matanya hitam pekat dan bulu matanya lentik. Tulang sendinya gagah, bahunya bidang. Badannya bersih daripada bulu dan rambut, tetapi Baginda mempunyai bulu lebat yang memanjang dari dada sampai pusat. Telapak tangan dan kaki Baginda terasa tebal.

Apabila Rasulullah berjalan, pergerakannya kelihatan tegap (kakinya diangkat dengan kekuatan), seolah-olah Baginda sedang turun di lereng yang curam. Apabila Baginda berpaling, kedua-dua bahunya berpaling serentak (seluruh badannya turut berpaling). Di antara kedua-dua bahunya, terdapat khatamun-nubuwah, iaitu tanda kenabian bagi para nabi. Rasulullah merupakan seorang manusia yang hatinya paling pemurah (Rasulullah tidak pernah berkeluh- kesah atas sikap tidak bertimbang rasa dan penyeksaan oleh kaumnya). Baginda adalah orang yang kata-katanya paling jujur.

Manusia yang perangainya paling lembut dan paling ramah dalam pergaulannya. Sesiapa yang melihatnya buat pertama kali, pasti akan menaruh hormat dan segan kepadanya. Sesiapa yang berkenalan dengan Baginda tentu nanti akan mencintainya. Orang yang menceritakan sifat Rasulullah, tentunya akan berkata, "Belum pernah aku melihat seseorang yang setanding dengan beliau, sama ada sebelum kelahirannya ataupu sesudah Baginda meninggal dunia."


(Direkodkan oleh Tirmizi)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...