Tuesday, May 29, 2012

SEJUTA CINTA BUAT IBUNDA



Tanggal 13 Mei pada setiap tahun merupakan tarikh sambutan Hari Ibu yang digunapakai oleh rakyat Malaysia. Tika menulis entry ini, tarikh sambutan Hari Ibu telah berlalu hampir 3 minggu. Bagi seorang perantau yang jauh daripada tanah kelahiran, setiap hari merupakan hari ibu yang senantiasa menagihkan kehadiran ibu di sisi. Jauh di lubuk hati tertanam perasaan rindu yang amat mendalam pada bonda tercinta.

KECINTAAN SEORANG ANAK TERHADAP IBU

Kecintaan serang anak terhadap ibunya menjadi amal yang tidak boleh diremehkan begitu sahaja. Satu kisah tentang seorang sahabat yang bernama Jahimah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; 'Wahai Rasulullah, aku ingin ikut berperang dan minta pendapatmu.' Rasulullah bertanya kepadanya; "Adakah kamu masih mempunyai ibu?" Jawabnya; 'Ya, masih ada wahai Rasulullah.' Baginda berkata; "Uruslah ibumu, sesungguhnya syurga terletak di bawah telapak kakinya."

Begitu juga kisah tentang seorang sahabat yang datang menemui Rasululah SAW menanyakan sesuatu; 'Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak menerima baktiku?' Nabi menjawab; "Ibumu." 'Kemudian siapa lagi?' "Ibumu." 'Siapa lagi?' "Ibumu." 'Kemudian siapa lagi?' "Bapamu."

Seterusnya kisah yang berlaku ketika Rasulullah SAW sedang tawaf. Baginda bertemu seorang anak muda yang bahunya bengkak-bengkak. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada anak muda itu; "Kenapa bahumu itu?" Jawab anak muda itu; 'Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah meninggalkannya. Saya hanya meletakkannya ketika buang hajat, ketika solat atau ketika istirehat. Selain itu, saya sentiasa mendukungnya." Lalu anak muda itu bertanya; 'Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua?' Rasulullah SAW memeluk anak muda itu sambil berkata; "Sungguh Allah reda kepadamu. Kamu anak yang soleh, anak yang berbakti. Tetapi anakku, ketahuilah cinta orang tuamu tidak akan terbalas olehmu."

Banyak lagi kisah-kisah lain yang boleh dijadikan ikhtibar seperti kisah daripada Zainal Abidin yang terkenal dengan ketaatan kepada ibunya sehingga ada yang bertanya kepadanya; 'Engkau adalah orang yang paling berbakti kepada ibu. Mengapa kami tidak pernah melihat kamu makan berdua dengannya dalam satu talam?' Apa jawapan beliau? 'Aku khuatir tanganku mengambil sesuatu yang mata ibuku lirik sehingga aku derhaka kepadanya.' Kita juga sering kali disuntik dengan kisah tentang Uwais al-Qarni yang sedia menggalas ibunya sejauh perjalanan daripada Yaman menuju Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Tidak tergambar dalam fikiran kita, bagaimana begitu tingginya bakti yang telah diberikan kepada seorang ibu. Allah... demikianlah mereka dalam berbakti kepada insan yang telah melahir, menjaga dan mendidik mereka sehingga mampu melangkah gagah dengan kudrat sendiri.



KELEBIHAN BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Tugas seorang anak adalah berbakti kepada orang tuanya. Berbakti kepada ibu bapa adalah merupakan amal utama. Sabda Rasulullah SAW; 'Daripada Abdullah bin Mas'ud, aku bertanya kepada Nabi SAW tentang amal-amal yang utama dan dicintai Allah? Nabi SAW menjawab, "Pertama solat pada waktunya (solat pada awal waktunya), kedua berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, ketiga jihad di jalan Allah." (HR Bukhari dan Muslim).

Kelebihan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang reda mereka. Sabda Baginda SAW lagi; "Reda Allah bergantung pada keredaan ibu bapa dan murka Allah bergantung pada kemurkaan ibu bapa." (HR al-Bukhari). Berbakti kepada mereka juga dapat menghilangkan kesusahan yang sedang dialami iaitu dengan cara bertawasul dengan amal soleh sebagaimana kisah yang disampaikan oleh Rasululaah SAW dalam hadis yang panjang berkenaan dengan 3 orang lelaki yang terkurung dalam gua. Mereka bertawasul melalui amal terbaik yang pernah dilakukan dengan harapan agar Allah menghilangkan kesukaran yang dihadapi. Salah seorang daripada mereka telah bertawasul dengan amal bakti yang dilakukan terhadap ibu bapa yang sudah tua melebihi diri sendiri dan keluarganya. Dengan izin Allah, kesukaran mereka telah dihilangkan dan diangkat oleh Allah SWT. 

Dalam riwayat yang lain disebutkan, berbakti kepada ibu bapa mesti didahulukan daripada berbuat baik kepada isteri, sebagaimana yang berlaku kepada Abdullah bin Umar ketika diperintahkan oleh bapanya Saidina Umar al-Khattab supaya menceraikan isterinya. Dia bertanya kepada Rasulullah SAW dan Baginda menjawab; "Ceraikan isterimu." (HR Abu Daud dan Tirmidzi). Berbakti kepada ibu bapa juga akan diluaskan rezeki dan dipanjangkan umur serta akan dimasukkan ke syurga oleh Allah SWT serta merupakan sifat para nabi, sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT berkenaan Nabi Yahya dalam surah Maryam ayat 14, Nabi Isa dalam surah Maryam ayat 32 dan Nabi Ismail dalam surah al-Saffat ayat 102. Lebih daripada itu, janji yang paling menggembirakan hati ialah apabila semua amal soleh diterima dan kesalahan-kesalahan diampunkan. Siapa yang tidak gembira apabila amal solehnya diterima dan kesalahannya diampunkan? 

Walau bagaimanapun, perlu kita fahami secara benar bahawa kewajipan birrul walidain bukan kerana politik balas budi anak kepada ibu bapanya, tetapi kerana Allah SWT memang memerintahkan demikian. Sebagai manusia, kadang kita tersalah melakukan sesuatu yang tidak disenangi oleh orang tua atau juga telah membuatkan mereka bersedih hati dengan perbuatan dan perkataan kita. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merekodkan, Abu Bakr berkata dalam kitab Zaadul Mafasir, "Barangsiapa yang menyebabkan kedua-dua ibu bapanya marah dan menangis, maka dia harus mengembalikan kedua-duanya agar mereka boleh ketawa kembali."

Saya merenung diri, menghitung setiap kebajikan yang telah saya lakukan. Melihat bakti apa yang telah saya curahkan pada ibunda. Kerdilnya diri, tidak banyak yang mampu saya lakukan. Hanya sekudus doa yang saya lantunkan usai solat menjadi hadiah setia menemani ibu walau di mana berada. Aku ingin mendoakanmu Ibu....



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...