Sunday, May 06, 2012

DIRIMU YANG TERTULIS UNTUKKU


Bismillahirrahmanirrahim, saya menulis dengan nama Allah. Entry kali ini membuatkan sudut pandang saya berubah 360 darjah. Temukan setiap masalah dan kekurangan dalam hidup pada titik positif. InsyaAllah semuanya akan menjadi indah dan manis. Kali ini saya muatkan satu edisi siasat, bedah hati seorang isteri dalam merungkai persoalan hati seorang suami. 


Kenapa awak menerima saya?

Kenapa awak menerima saya sedang awak tahu yang saya cuma orang biasa, tidak sepadan bergandingan dengan awak yang memiliki semua kelebihan berbanding saya. Ceritalah dengan jujur, saya ingin mengetahuinya. Siapa saya pada pandangan awak. 



SUAMI : Saya seorang yang tidak berharta. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI  : Saya bermodalkan Firman Allah SWT; "Dan nikahkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Nur: 32)

Saya bersangka baik dengan Allah, janji-Nya pasti dipenuhi. Saya melihat harta dalam konteks yang lebih luas. Mudah-mudahan Allah akan menganugerahkan anak-anak yang soleh sebagai harta buat kita. Jariahnya tidak habis-habis walau sampai kita ke alam sana.


SUAMI  : Saya seorang yang tidak berjawatan tinggi. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI  :  Saya bertawakkal kepada Allah. Firman Allah SWT; "Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Al-Talaq: 2-3)  "

Saya menganggap ini ujian yang sedang Allah berikan pada saya. Mudah-mudahan suatu hari nanti akan ada jalan keluarnya. Sementara kita temui jalan keluarnya, akan saya jadikan ini sebagai ladang amal buat saya untuk bercucuk tanam benih-benih pahala di dalamnya.


SUAMI  :  Saya seorang yang tidak kacak dan tampan. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI :  Saya memahami bilamana Allah tidak memandang rupa manusia, kenapa perlu saya melampaui tentang hal itu? Sabda Rasulullah SAW; "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, juga tidak memandang kepada harta kamu, akan tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu." (HR Muslim)

Saya menerima bahawa saya juga tidaklah secantik bidadari-bidadari yang diciptakan Allah itu. Kecantikan dan ketampanan itu anugerah Allah. Orang yang memiliki fizikal yang menawan lebih cenderung untuk merasa takjub pada kelebihan yang ada padanya. Pintu-pintu fitnah lebih dekat pada mereka. Begitu juga pada pasangan mereka. Sedang orang yang sederhana itu, hatinya sentiasa tunduk dengan menerima kekurangan yang ada. Mudah-mudahan tidak ada fitnah ke atas awak yang akan memberatkan jiwa saya suatu hari nanti.


SUAMI : Saya seorang yang sudah tidak beribu dan berbapa. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI  : Ibu ayah awak adalah ibu ayah saya juga. Firman Allah SWT; "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Al-Isra': 23)

Saya bersyukur pada Allah atas taqdir ini. Allah telah menyelamatkan saya daripada tersalah melakukan sesuatu yang mungkin menyakitkan hati orang tua suatu ketika nanti. Allah telah meringankan sebahagian daripada sebab-sebab yang memungkinkan saya melakukan dosa secara sedar atau tidak. 



SUAMI  : Itu saja? Ada lagi tak?
ISTERI  : Ya, yang paling penting saya menerima awak adalah kerana agama yang ada pada awak. Sabda Rasulullah SAW; "Apabila datang (meminang) kepadamu orang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas." (HR Tirmidzi) 

Saya takut andai saya menolak, sesuatu yang buruk akan berlaku. Dan ketahuilah wahai suamiku, sesungguhnya nama kita telah disandingkan di langit Allah. Awaklah yang telah tercatat kemas untuk saya di Luh Mahfuz. Awaklah imam, nakhoda dan ayah kepada anak-anak kita nanti. Mudah-mudahan saya sudah dikira lulus dalam ujian ini.




Syukur, segala puji bagi Allah. Memiliki ISTERI SOLEHAH merupakan satu keberuntungan buat seorang suami. Sabda Rasulullah SAW; "Barangsiapa diberikan isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah diberikan pertolongan untuk meraih separuh daripada agamanya. Kemudian hendaklah ia bertakwa kepada Allah dalam memelihara separuh yang lain." (HR Thabrani dan Hakim)


Alhamdulillah juga. Kesemua yang terlakar diambil sebagai turning point kepada matlamat sebenar sebuah perkahwinan. Ayuh wanita! Berkongsilah apa yang ada pada kalian, jadilah sesuatu yang menguntungkan orang lain yang dengannya tidak sedikitpun merugikan dirimu. Win-win situasion diredhai Allah. 




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...