~~ Mari Bercerita ~~
Pada suatu hari, ada seorang perempuan ingin menaiki untanya. Oleh kerana unta itu besar, dia sukar hendak menaikinya. Dia cuba juga untuk naik ke atas badan untanya dengan segala usaha. Namun dia masih tidak berjaya. Satu rombongan perang lalu berhampiran dengannya, lantas dia menahan salah seekor kuda rombongan itu. Kuda itu adalah kepunyaan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Perempuan itu dengan gembiranya berkata, ''Wahai Nabi Kekasih Allah, bantulah aku naik ke atas badan unta ini.''
Rombongan yang menuju medan perang itu berhenti setelah diarahkan oleh Nabi Muhammad SAW. "Aku akan naikkan kamu ke atas anak unta,'' kata Nabi Muhammad. "Aku mahu naik unta ini, bukan anak unta, wahai Utusan Allah,'' kata perempuan itu. "Tidak, aku akan naikkan kamu ke atas anak unta juga,'' jawab Nabi Muhammad dengan tegas. "Anak unta itu kecil. Ia tidak mampu menanggung beban seluruh badanku," kata perempuan itu sambil merayu. "Aku kata, aku akan naikkan kamu ke atas anak unta," jawab Nabi Muhammad lagi.
Perempuan itu hampir menangis apabila mendengar Nabi Muhammad SAW mengulangi kata-kata yang Baginda akan menaikkannya ke atas anak unta. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada bersama-sama pada waktu itu tersenyum melihatkan peristiwa itu. Melihat mereka tersenyum, perempuan itu kebingungan. Dia mula hendak marah kepada mereka. Seorang sahabat lalu berkata, "Bukankah setiap unta itu asalnya daripada anak unta?"
Perempuan itu kebingungan. Selepas mengamati kata-kata sahabat itu, barulah dia faham. Anak unta yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah untanya yang sebenar. Unta itu juga berasal daripada anak unta. Barulah dia tahu bahawa Nabi Muhammad SAW hendak bergurau dengannya. Selepas memahami maksud kata-kata NAbi SAW, perempuan itu tersenyum. Nabi Muhammad SAW turun daripada kuda dan membantu perempuan itu menaiki untanya. Perempuan itu naik ke atas untanya dengan mudah. Selepas mengucapkan terima kasih, perempuan itu berlalu pergi. Sambil memandang sahabat-sahabat yang lain, perempuan yang tidak jadi marah itu tersenyum sendirian. Baginda SAW dan sahabat-sahabat juga tersenyum memerhatikan perempuan itu.
No comments:
Post a Comment