Sunday, May 22, 2011

APABILA MENDUNG BERARAK


Hari itu hujan turun dengan lebat. Awan hitam dan tebal menyelubungi langit seolah-olah langit hendak runtuh. Angin ribut bertiup kencang melanggar setiap apa yang ada dihadapannya. Nabi Muhammad SAW kelihatan begitu gelisah dan pucat. Baginda seakan-akan takut sesuatu akan berlaku. Kegelisahan dan ketakutan itu dilihat oleh isteri Baginda, Aisyah RA.

Lalu Aishah menghampiri Nabi dan berkata, "Wahai Kekasih Allah, setiap kali datang awan yang menandakan hujan akan turun, setiap orang akan bergembira. Namun, aku melihat Kamu begitu gelisah dan takut sekali?" Jawab Baginda Nabi SAW, "Wahai Aisyah, bagaimana aku boleh rasa selamat jika angin ini datang bersama-sama kemurkaan Allah? Kaum Ad juga ditimpakan azab dengan angin. Tetapi kaum Ad dibinasakan semuanya."

Kekasih Allah yang juga adalah manusia terhebat dan mulia ini takut dengan azab dan kemurkaan Allah. Namun manusia hari ini sedikit pun tidak rasa gentar dan bimbang dengan dosa dan maksiat. Di dalam al-Quran, surah al-Ahqaaf ayat 24 dan 25 Allah SWT berfirman;



فَلَمَّا رَأَوْهُ عَارِضاً مُّسْتَقْبِلَ أَوْدِيَتِهِمْ قَالُواْ هَـذَا عَارِضٌ مُّمْطِرُنَا بَلْ هُوَ مَا اسْتَعْجَلْتُم بِهِ رِيحٌ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌ - تُدَمِّرُ كُلَّ شَىْءٍ بِأَمْرِ رَبِّهَا فَأْصْبَحُواْ لاَ يُرَى إِلاَّ مَسَـكِنُهُمْ كَذَلِكَ نَجْزِى الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ


((Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka; 'Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami'. (Bukan)! Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih. Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa.))

Maha Suci Allah, Tuhan yang Maha Agung dan Maha Kuasa, tidak ada sesuatu pun yang mampu mengalahkanNya. Apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepadaNya. Sesungguhnya bagiMu segala pujian, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau yang Maha Esa, tiada sekutu bagiMu, Maha Pemberi Nikmat. Wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi serta segala isinya, wahai Tuhan yang Hidup, wahai Tuhan yang menguruskan segala sesuatu. Kami berlindung kepadaMu Ya Allah daripada berbuat dosa, kami berlindung kepadaMu daripada kerugian di dunia dan akhirat. Kami berlindung kepadaMu daripada azab kubur, kami berlindung kepadaMu daripada fitnah dajjal, kami berlindung kepadaMu daripada fitnah kehidupan dan sesudah kematian. Hiasilah kami dengan keimanan dan jadikanlah kami sebagai penunjuk jalan lurus yang memperoleh bimbingan daripadaMu.




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...