Friday, May 20, 2011

DAKWAH BIL KITABAH

Bismillahirrahmanirrahim..................





Metodologi Dakwah bil Kitabah


Alhamdulillah, selama sebulan nih hujung minggu saya terisi dengan banyak perkara yang menarik. Sudah sampai masanya memberi makna pada sebuah kehidupan. Hujung minggu 13-15 Mei 2011 yang lepas, saya telah diberi peluang dan diizinkan Allah SWT mengikuti Bengkel Asas Penulisan anjuran Sahabat Pena Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM). Alhamdulillah, sedikit sebanyak kefahaman tentang dakwah bil kitabah semakin saya telan dengan yakin. Perlu juga kita fahami bahawa usaha ini harus digembelengkan secara bersama dengan pemuda-pemuda serta pemudi-pemudi lain yang berada di luar sana tanpa mengira apa saja latar belakang akademik. Dakwah ini tidak hanya tergalas pada pundak orang-orang yang belajar agama sahaja, tetapi semua sekali, semua sekali tau..!!! (^^). Bukankah sabda Baginda SAW;


بلغوا عني ولو آية


Sampaikan olehmu daripadaku walau sepotong ayat. (HR Bukhari dan Muslim)




Terima kasih Ya Allah kerana telah melorongkan hamabaMu pada jalan ini. Aktiviti hujung minggu lepas mahu saya kongsikan bersama dengan sahabat-sahabat pembaca sekalian, hujung minggu saya berbengkel tulis-menulis. (^_^)



Dakwah dan Penulisan


Dakwah merupakan usaha berterusan yang sentiasa berkelangsungan sehingga akhir zaman. Pelbagai medium dakwah yang boleh kita manfaatkan bagi meneruskan gerak kerja ini. Sebagai buktinya, pelbagai penemuan baru yang boleh diaplikasikan dalam bidang dakwah seperti teknologi maklumat, dakwah dan bisnes, dakwah dan komunikasi, dakwah dan pengurusan, dakwah dan dunia penyiaran, dakwah dan penulisan serta sebagainya lagi yang seharusnya disuburkan menjadi medan dakwah, khususnya oleh golongan muda yang masih segar dengan idea-idea yang pelbagai dan terkini.


Dakwah bil kitabah atau melalui tinta pena adalah antara metod dakwah yang paling meluas boleh diaplikasikan oleh semua orang. Apa yang dimaksudkan dengan penulisan ialah satu kegiatan memikir, mengkaji, merakam dan menulis sekumpulan pengalaman diri hasil daripada pemerhatian, pengalaman dan pemikiran seseorang pengkarya. Kegiatan penulisan sama ada penuilisan kreatif atau non kreatif dapat membantu idea-idea dan pemikiran serta ilmu tersebar dengan meluas. Penulisan dakwah merupakan aktiviti penyampaian maklumat tentang Islam dan mengajak manusia ke arah kebaikan serta memberi peringatan kepada manusia yang lalai. Peluang untuk menulis dan berkarya melalui blog, laman-laman sosial, penulisan kreatif, dan sebagainya merentasi batasan masa dan jarak. Ketuk saja papan kekunci, InsyaAllah pasti dakwah akan tersebar... (^^)


Oleh sebab itu, maka berDAKWAHlah dengan pena yang ada di tangan kita, hunuskanlah sentiasa tanpa ada rasa jemu dan lelah.





Akan saya kongsikan beberapa perkara melalui sesi pembentangan “Penulisan sebagai Pembagunan Ummah” yang telah disampaikan oleh Dr. Nor Raudah Hj. Siren, pensyarah daripada Jabatan Dakwah dan Pembanguan, APIUM. Kita sorot bagaimanakah ciri-ciri yang perlu ada pada penulis dakwah itu. Seorang penulis dakwah perlulah seorang yang cintakan Allah SWT dan RasulNya / sentiasa membaca dan berilmu / berdaya kreatif dan inovatif / kemahiran menulis dan menguasai IT / disiplin diri / gaya tersendiri / menghargai pengalaman / sensitif.


Seterusnya, kenapakah penulisan merupakan satu perkara yang penting? Bagaimana penulisan boleh menjadi salah satu daripada cabang dakwah? Ini tidak lain kerana penulisan merupakan satu elemen pembangun yang begitu utuh sekali. Penulisan adalah pembangunan minda, pembangun akhlak, pembangun akidah, pembangun ibadat, pembangun masyarakat dan sosail serta juga pembangun tamadun.


Baiklah kita beralih pula kepada penulisan secara umum dan menyeluruh. Bagaimana untuk mencambah idea. Ilmu ini dikongsikan oleh Tn Nazmi Yaakub, syukran atas ilmunya. Percambahan idea itu boleh diperolehi melalui al-Quran dan Hadis / buku, majalah dan akhbar / proses kreatif pengarang lain / filem, dokumentari dan berita / karya kreatif sasterawan dan pengarang / lawatan dan kembara / pengalaman dan bebelan orang tua / perbualan dengan rakan-rakan / khayalan dan imaginasi / soalan-soalan yang bertubi-tubi.


Sementara proses memulakan aktiviti penulisan pula adalah melibatkan persediaan; peralatan, persekitaran dan keadaan fizikal yang baik serta sesuai / draf pertama; catatan secara ringkas, kasar di atas kertas atau komputer / penulisan; menulis berdasarkan kecenderungan dan kemampuan sama ada proses terus-menerus atau terputus-putus / tempoh bertenang; mengosongkan fikiran daripada proses penulisan karya yang baru selesai dengan melakukan kerja atau karya lain / penyemakan dan penghalusan; mencantas kesalahan tatabahasa dan bahasa serta unsur yang tidak logik, sesuai atau tepat / penghantaran; mengirimkan karya kepada penerbitan yang bersesuaian.


Sekiranya idea kita tersangkut, ada bebarapa perkara yang boleh dilakukan aiitu berehat sekejap, tinggalkan karya bagi tempoh tertentu / membaca bahan bacaan lain yang ada kaitan / minta pandangan individu yang dikenali / tanya pengalaman orang lain yang mungkin ada persamaan / memberikan jalan penyelesaian yang lain daripada yang sudah dirangka / melangkaui sekatan idea dengan membiarkan bahagian itu kosong dan menulis bahagian seterusnya / membaca al-Quran.


Ini adalah bengkel penulisan rasmi yang pertama saya sertai. Jadi saya sedikit teruja untuk merakamkannya di sini. Izinkan saya ya untuk menyisipkan kenangan-kenangan selama 3H2M di sana, di Pusat Tarbiyyah YADIM, di Sungai Semungkis sana...(^^)





Hajah Mahaya Mohd Yasin - Bekas Pensyarah Cemerlang Maktab Perguruan Raja Melewar. Inilah guru pertama saya yang mengajar tentang ilmu penulisan. Mama Mahaya gelarnya.




Puan Nisah Haron dengan penuh semangat berkongsi pengalaman sebagai seorang penulis. Daripada seorang peguam, bertukar profesion kepada penulis sepenuh masa. Berkongsi 'Derita yang Nikmat' sebagai seorang penulis.




Tuan Ahmad Zahiruddin Zabidi. Seorang penulis genre 'sastera spiritual' atau 'sastera agama'. Indah kalam ustaz memberi kuliah maghrib. Ini penulis daripada negeri kelahiran saya. (^^)




Tuan Nazmi Yaakub yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan. Asalnya juga dari bumi Serambi Makkah. Karya 'Lambaian Huda' tulisan beliau telah saya miliki pada tahun 2005. Waktu ni novel-novel genre sastera spiritual masih kurang di pasaran. 'Lambaian Huda', karya segar sekembalinya beliau dari Bumi Mesir.




Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman. juga kelahiran bumi Kelantan (^^). Anak seorang sasterawan tidak menjanjikan dirinya untuk turut serta dalam dunia penulisan. Namun ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Darah orang tua beliau, kekal mengalir dalam urat nadinya. Kata SM Zakir, 'membaca novel-novel cinta tidak menjadikan kita seorang yang romantik, tetapi dengan banyak membaca dan mendalami pelbagai bidang ilmu akan menjadikan kita lebih romantik. Saya rasa, saya lebih romantik daripada orang yang membaca sekian banyak novel cinta'. (^^)




Walau apa pun, perlu kita ingat, satu perkara yang nak tak nak mesti ada pada mereka yang ingin menjadi seorang penulis adalah dengan mengilmukan diri melalui pembacaan. Memenuhkan hari-hari dan waktu-waktu yang ada dengan aktiviti membaca. Hal ini sebagaimana untaian kata yang disimpulkan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said iaitu; Jika ingin menjadi seorang penulis, pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis. Benarkan, inilah kalam Allah yang mula-mula sekali diwahyukan pada junjungan kita Muhammad SAW. IQRA`.... Baiklah, azam baru. Ainulyaqin akan mempertingkatkan lagi speed bacaan yang lembab seperti kura-kura supaya lebih laju. Agar dengan kelajuan ini, lebih banyak lagi buku-buku dan kitab-kitab yang tersusun saja di atas rak boleh dibaca. (^^)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...