Tuesday, May 31, 2011

PERKATAAN BOLEH JADI SETAJAM PISAU





Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia berkata akan yg baik atau hendaklah ia diam. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Barangsiapa beriman kpd Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan tamunya". (HR. Bukhari dan Muslim)




Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras. (Hamka).




Berhati-hatilah kamu dalam mengatakan sesuatu tentang agama Allah SWT, jangan kamu cepat menghukum dengan sesuatu yang kamu jahil tentangnya kerana ianya telah diperingatkan oleh Rasulullah Saw kepada Abu Dzar r.a. Nabi bersabda: "Hai Abu Zar, jika engkau ditanya sesuatu yang tidak engkau ketahui, jawablah saya tidak mengetahui supaya selamat dari tanggungjawabnya, dan jangan memberi fatwa terhadap apa yang engkau tidak ketahui, supaya selamat dari siksa Allah swt pada hari kiamat."


Disarankan oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk memperbanyakkan kata-kata yang baik (Minda Positive & Hati Positive Menjadi Doa Tanpa Sedar), atau jika sememangnya yakin kita akan mengeluarkan kata-kata yang tidak baik, maka lebih baik mendiamkan diri. Pastinya untuk mengelakkan kita daripada mengeluarkan kata-kata yang mampu menambahkan saham dosa yang mungkin sahaja sudah sedia tinggi di bursa saham dosa milik kita. Silap berkata ada yang terasa, silap berkata orang melihat keaiban kita, silap berkata kita pula yang membuka keaiban orang, silap berkata macam-macam perkara tidak baik keluar dari mulut. Mulut juga boleh jadi sebagai pusat utama untuk melakukan dosa.


Bukan susah nak berkata-kata. Tidak memerlukan penggunaan tenaga yang banyak. Namun, semuanya bukanlah bermakna kita hanya perlu diam sepanjang masa. 'Berkata baik atau diam'. Banyak sebenarnya perkara-perkara baik yang boleh kita sampaikan. Kita disarankan untuk lebih berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata supaya apa yang kita perkatakan tidaklah sampai dipandang sebagai kata-kata buruk. Mungkin kita perlu lebih berhati-hati dalam menuturkan kata-kata. Kerana kata-kata itu sebenarnya berbisa. seseorang boleh membunuh hanya kerana kata-kata dan boleh juga dibunuh kerana kata-katanya. Hebat, penangan sesuatu yang dinamakan 'kata-kata'. Berhati-hati juga, kita bertanggungjawab di atas apa yang kita sampaikan. Semakin banyak kita berkata-kata lebih banyak peranan kita terhadap kata-kata sendiri. Kerana itulah adanya istilah 'diuji dengan kata-kata sendiri'.


Jangan pula sampai terbantut niat menyampaikan kebaikan hanya kerana bimbang menyakitkan hati sesiapa. Berdoalah, agar kita dapat menjadikan kata-kata dan penulisan kita dalam bentuk yang berhikmah serta semoga Allah segera menyedarkan kita apabila kita sendiri lalai dengan kata-kata kita sendiri. Kerana kata-kata itu boleh menjadi pemberat timbangan untuk ke syurga dan boleh juga menjadi laluan ke neraka. Semua ini sama ada secara LISAN mahupun BERTULIS. Berhati-hati yer...!!! (^_^)


Sumber - www.iluvislam.com



SEGELAS KENANGAN, SETEGUK RASA




Malam semalam saya tak dapat melelapkan mata, pusing kanan pusing kiri, semua posisi tidak selesa. Sungguh teruk, sebulan dua ni selalu mengalami insomnia. Jam sudah menunjukkan pukul dua pagi, saya dah mula berkira-kira, macamana ni? esok kerja. Tiba-tiba pula jadi teringat pada arwah atok-atok saya. Rindu mula bersarang di jiwa. Saya tidak sempat menikmati masa bersama yang lama dengan mereka semua. Seawal menginjak alam remaja mereka telah kembali ke sana. Teringat pada arwah tok belah abah yang kami panggil chek, arwah tok belah mak yang kami panggil tok ayah dan arwah moyang saya yang juga kami panggil chek, bezanya pada gelar nama asalnya. Arwah atok belah abahkami panggil chek Majid sementara arwah moyang kami panggil chek Yusof, memegang nama asal mereka. Secebis kenangan bersama mereka mahu saya kongsikan buat tatapan generasi terkemudian.


Chek M seorang yang berlemah-lembut dalam setiap urusan, halus pertuturan dan budi bahasanya. Chek M memang baik, seingat saya dia tidak pernah meninggikan suara dengan cucu-cucunya. Bila kami berkumpul beramai-ramai, time hari raya atau kenduri , pasti riuh rumah chek dengan sorak hilai kami, bergegar-gegar papan kayu yang menjadi lantai. Bantal-bantal kecik milik nenek selalu menjadi kuda tunggangan kami. Habis ruang tamu kami sapu dengan kuda tunggangan kami. Kami jadikan sebagai medan perlumbaan. Puas menunggang, kami jadikan bantal-bantal tu sebagai senjata plak, kami hayunkan bantal mengena antara satu sama lain. sebab tu bantal nenek tak der yang keras-keras, semuanya lembik-lembik dek dikerjakan oleh kami. Tapi chek tak pernah meninggikan suara, ditegur dengan lembut. Bila ditegur, kami berhentilah sekejap, sambil-sambil melepaskan lelah. Tak sampai lima minit, kekecohan kami bermula semula. Indah sungguh waktu itu. Dunia kanak-kanak yang tak pernah memikirkan apa-apa masalah.


Chek juga seorang yang suka bercerita. Tanpa kita minta dia akan bercerita tentang apa-apa saja kisah. Kisah-kisah dongeng rakyat dan juga seloka-seloka nasihat. Hati cukup terhibur. Bila kami dah besar sikit, chek selalu bercerita tentang kisah-kisah zaman pendudukan jepun. Macam-macam diceritakan, bagaimana mula-mula Jepun sampai ke Malaya, bagaimana Jepun boleh sampai ke kelantan, jalan-jalan darat yang dilalui tentera Jepun, penderitaan zaman Jepun dan hampir semualah cerita-cerita tentang zaman Jepun diceritakan pada kami, pendek kata chek seperti seorang tokok sejarah yang ralit menceritakan kronologi pendudukan Jepun di Tanah Melayu dan Kelantan kepada kami. Kami tidak tahu, samada cerita itu untuk mengembalikan memorinya pada kisah yang begitu memberi kesan pada hidupnya atau juga sebagai ilmu buat kami. Kadang-kadang ada juga rasa jemu bila chek asyik bercerita benda yang sama saja. (^_^)


Chek sangat sukakan kanak-kanak dan seorang yang penyayang. Chek yang tak pernah menyimpan rambutnya (sehingga saya tak pernah tahu bagaimana rupa dan gaya chek berambut), suka menggeselkan kepalanya pada muka dan badan kami. Kadang-kadang, rambut-rambut tajam chek yang baru tumbuh digesel-geselkan ke badan kami. Membuatkan kami mengekek ketawa menahan geli, dan kadang-kadang lari menyelamatkan diri daripada tusukan kepala gondol chek. Seingat saya, rambut chek tak pernah di potong di kedai-kedai gunting. Rambut chek biasanya dicukur terus oleh nenek. Tiap-tiap petang selepas waktu sekolah saya selalu ke rumah chek, bertenggek di tepi tangga memerhati nenek mencukur rambut chek. Geli hati bila sesekali melihat chek tersengguk-sengguk menahan kantuk. Best orang main-main kepala dan usik-usik rambut kan? Habis jer cukur rambut, nenek akan potong kuku plak. Saya suka sekali tengok nenek potong kuku chek, kuku chek keras-keras, nampak terkial-kial juga nenek membuang kuku yang panjang. Sekali dipusing ke kiri, sekali dipusing ke kana. Nenek tak pakai sepit kuku, nenek pakai pisau gillete jer, err... ngeri. Nenek tak pernah merungut buat kerja-kerja ni. Tanggungjawab dan kesetiaan yang ditunjukkan ini meresap ke relung jiwa saya. Mudah-mudahan ya Allah, aku juga bisa berbakti pada suami ku seperti mana nenek berbakti pada chek. Melaksanakan tugas yang kecil dengan penuh keikhlasan.


Watak tok ayah pula berbeza sekali dengan watak chek. Di rumah tok ayah saya menjadi kanak-kanak perempuan yang baik, pasif dan solehah (^_^). Adegan kejar mengejar dan berlari-larian di ruang tamu sedia terkeluar daripada senarai tugas. Tok ayah seorang yang tegas dan garang. Saya hampir lupa, bila saya bergurau dengan tok ayah. Rasa-rasanya seperti tidak ada. Kadang saya mahu memulakannya, tapi tiba-tiba jer hati jadi kecut. Tok ayah seorang yang pandai dalam bidang agama, juga berbeza dengan chek. Kalau ada majlis tahlil, solat hajat, naik rumah dan seumpamanya, tok ayahlah yang akan mengepalainya. Saudara-mara tok ayah juga ramai yang menetap dan berkeluarga di Tanah haram. Jarang-jarang sekali balik ke Malaysia. Bila ke sana, tok ayah akan mencari semua saudara-maranya, mengeratkan kembali silaturrahim. Bila tok ayah dah tak ader, semuanya terputus hubungan. Sungguh teruk sekali!.


Tok ayah dulu belajar di Pondok Lubuk Tapah, jadi banyak sekali kitab-kitab lama dalam simpanannya. Selepas tok ayah meninggal, nenek mengeluarkan semua kitab-kitab yang sudah tidak dipakai tok ayah. Kitab-kitab tu tok ayah simpan elok dalam peti besi lama yang berukir-ukir di tepi kiri dan kanannya. Semua kitab-kitab yang masih elok diberikan kepada saya. Kata nenek, tidak ada orang yang boleh baca dan berhajat pada kitab tu. Hanya saya sahaja yang layak menerimanya pada waktu itu. Saya dengan berbesar hati dan dengan sangat terujanya terus menerima kesemua sekali, walau pun ada daripada kitab-kitab yang telah tercerai isi dan kulitnya. Sekarang setelah lebih 15 tahun, semua kitab-kitab ni masih elok dalam jagaan saya. Tapi malangnya masih belum sempat saya khatamkan semuanya.


Chek Y pulak seorang yang cukup sederhana. Seorang yang moderate antara chek M dan tok ayah. Chek Y tak banyak berdiam seperti tok ayah dan juga tak banyak bercakap seperti chek M. Chek Y akan bercakap bila perlu saja. Biasanya apa yang terkeluar daripada mulutnya berupa mutiara yang tak mahu kita lepaskan. Chek M adalah guru mengaji rasmi saya sejak saya masuk sekolah. Petang-petang selepas sekolah saya akan ke rumah chek Y untuk mengaji. Lucu, selalu bila saja mengaji saya akan terlelap. Chek Y selalu marahkan saya. Puas saya cuba celikkan mata. Tapi nak terpejam saja. Syaitan kacau nih, kata chek Y. Saya pun tak tau apa masalah saya. Agaknya chek Y tak cukup garang macam tok ayah, tu yang menyebabkan saya tak serius. Tapi setahun kemudian, bila kami dah berpindah ke rumah baru di kampung sebelah, saya pun dah mengaji dengan tok guru lain, elok saja bacaan saya, tajwid dan makhrajnya lebih bagus lagi. Cepat saja saya boleh khatamkan al-Quran. Memang kita kena belajar mengaji daripada orang lain agaknya. Tidak boleh belajar dengan ahli keluarga sendiri. Kita jadi tidak serius dan main-main.


Saya masih ingat lagi, bila kami dah berpindah ke kampung sebelah yang jaraknya dalam 2 KM, tiap-tiap pagi hujung minggu chek akan datang ke rumah kami. Melepaskan rindu barangkali. Chek Y bukan datang dengan kereta atau motor. Chek Y tak memiliki semuanya tu. Chek Y datang hanya dengan basikal tua miliknya. Basikal tu memang setia bersamanya ke mana saja. Berulang setiap waku ke masjid pun dengan basikal itu lah. Sampai saja pasti chek Y akan membunyikan loceng basikalnya. Sebaik saja mendengar deringan loceng basikal tua chek Y, kami sudah tahu dan bergegas-gegas membuka pintu menyambut chek Y dengan senyuman melebar di bibir. Mana tidaknya, chek Y datang bukan dengan tangan kosong. Pasti ada saja buah tangan yang dibawanya. Roti canai dan kuih muih pagi sentiasa menjadi sarapan istimewa kami. Kalau nasib lebih baik, dapat makan nasi kerabu ayam bakar (^_^). Chek Y tak bercakap banyak, bertanya khabar kami, menyerahkan bungkusan makanan dan bercakap sepatah dua sahaja. Kemudian chek Y akan bersembang lama dengan emak.


Apa yang menarik tentang Chek Y, arwah suka membela lembu. Tapi chek Y hanya membela seekor lembu sahaja untuk tempoh setahun. Lembu tu dijaga dengan baik dan sentiasa diberi makan yang cukup. Tidak dilepaskan keluar merayau-rayau mengelilingi kampung. Sentiasa diikat kuat di belakang rumah, air garam dan rumput dihidang terus ke kandangnya. Tujuan chek Y memelihara lembu tu sebenarnya untuk tujuan korban. Chek Y sentiasa menghidupkan amalan korban setiap tahun. Selang sebulan dua selepas hari raya, chek Y akan mendapatkan lembu yang lain sebagai ganti dan akan dijaga sama seperti lembu-lembu sebelumnya. Begitulah rutin chek Y selama hayatnya.


Sekarang mereka semua telah tiada. Semua telah pergi meninggalkan kami dalam masa yang agak sama. Seawal saya menjejakkan kaki ke sekolah menengah. Tok-tok semua, cucumu ini sentiasa mengingati dan mendoakan tok-tok di sana. Semoga di tempatkan bersama orang-orang yang beriman. InsyaAllah kita akan berjumpa dan disatukan kembali di syurga Allah. Allahumma amin ya rabbal alamin. Semoga akhlak dan peribadi yang ditunjukkan chek M dapat kami ikuti dan menyebati dalam diri membentuk akhlak yang mulia. Mudah-mudahan chek M diberi ganjaran atas didikan yang sempurna pada kami. Semoga ilmu-ilmu yang ada dalam kitab-kitab peninggalan tok ayah mampu saya kutip dan telan. Semoga saya dapat sampaikannya pada orang lain juga. Mudah-mudahan tok ayah mendapat sesuatu daripadanya. Semoga ilmu mengaji yang chek Y ajarkan pada saya, sentiasa bertali arus mengalir ke sana. Saya yang dulu selalu tidak fokus semasa mengaji bukan saja dah boleh baca al-Quran, alhamdulillah saya dah boleh mengajarkannya pada orang lain. Mudah-mudahan teranglah chek Y di sana. Ini cerita kenangan saya bersama mereka yang bergelar tok. Cerita tentang abah saya, biarlah cucu-cucunya nanti yang bercerita. Inilah segelas kenangan, seteguk rasa untuk dikongsi bersama.


Monday, May 30, 2011

CINTA DI RUMAH HASAN AL-BANNA





~PERMATA dari Cinta di rumah Hasan al-Banna~



Buku ini sememangnya buku yang baik, menyorot bagaimana peribadi Hasan al-Banna dari pandang sisi anak-anaknya sebagai seorang ayah yang berperanan aktif dalam kepimpian sebuah jemaah Islam. Saya begitu kesuntukan masa untuk mengulas buku Cinta di rumah Hasan al-Banna ini. Walaubagaimanapun saya akan sisipkan beberapa permata yang dinukilkan terus daripada karya ini. Mudah-mudahan kita beroleh sesuatu daripadanya.



(Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan izin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur). al-A'araf: 58



-Ayah adalah orang penting dalam membangunkan umat. Dlm sebuah keluarga, kdudukan ayah adalah salah satu batu-bata yang menyokong bangunan umat Islam. Jika para ayah berjaya menunaikan misinya dalam keluarga, akan kukuhlah bangunan umat Islam di pelbagai bidang kehidupan. Sebaliknya, sikap endah tdk endah para bapa dlm menjalankan misinya di dalam keluarga akan menyebabkan lemah rapuhnya bangunan umat ini.



-Lontaran kalimah emas Hasan al-Banna; 'Aku inigin sekali menyampaikan dakwah ini hingga kepada janin yang ada di dalam perut ibu mereka'.



-Salah satu daripada wasiat ayah; Sebenarnya pekerjaan yang harus dilakukan lebih banyak daripada waktu yang tersedia'. (Tsana)




-Berikan cinta kamu sepenuhnya tanpa henti dan berubah, meskipun pada suatu masa anak kamu mungkin tidak menyenangkan kamu. (Syeikh Abdul Hamid Jasim al-Bilali-Funun Tarbiyati al-Abna')



-Hasan al-Banna memberikan anak-anaknya 3 kategori wang belanja; wang harian (3 qirsy), wang mingguan (10 ma'adin) serta wang bulanan (50 qirsy).




-Sesetengah orang menganggap bahawa perbuatan tidak bergaul membantu pendidikan yang betul untuk memelihara anak daripada pelbagai musuh akhlak yang ingin merosakkan mereka. Tapi sebenarnya ketertutupan ini tidak menghasilkan peribadi yang stabil dan sulit untuk boleh membangunkan mental sosial di mana seseorang boleh hidup di tengah-tengah masyarakat dan bekerja dengan tulus.



-Orang yang hanya mementingkan diri sendiri tidak patut dilahirkan sebagai manusia. Seorang pendidik yang berjaya adalah yang boleh mendidik anaknya untuk bangkit bersama-sama dengan umatnya dengan cara memberikan manfaat kepada orang lain. Perkara ini dapat dimulakan secara sederhana semasa anak itu masih kanak-kanak agar dia mahu berinfaq di jalan Allah. Agar dia kelak tidak menjadi manusia egois yang hanya memikirkan dirinya sahaja.



-Ayah yang berjaya adalah ayah yang selalu menghapuskan air mata anak-anaknya dan mengusir kesedihan dalam hati mereka. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW; "Fatimah adalah sebahagian daripada diriku, sesiapa yang menyakiti hatinya bererti dia telah menyakitiku".




-Pelihara perasaan seseorang, meskipun dia telah melakukan kesalahan, diiringan dengan anjuran yang lembut, memberikan pendidikan yang baik dan meninggalkan kesan kepadanya untuk mengubah kesalahan yang dilakukannya.



-Jika engkau ingin mengenali seseorang, kenalilah daripada buku-buku di perpustakaannya.




-AKHLAK YANG CUKUP INDAH-


Sunday, May 22, 2011

APABILA MENDUNG BERARAK


Hari itu hujan turun dengan lebat. Awan hitam dan tebal menyelubungi langit seolah-olah langit hendak runtuh. Angin ribut bertiup kencang melanggar setiap apa yang ada dihadapannya. Nabi Muhammad SAW kelihatan begitu gelisah dan pucat. Baginda seakan-akan takut sesuatu akan berlaku. Kegelisahan dan ketakutan itu dilihat oleh isteri Baginda, Aisyah RA.

Lalu Aishah menghampiri Nabi dan berkata, "Wahai Kekasih Allah, setiap kali datang awan yang menandakan hujan akan turun, setiap orang akan bergembira. Namun, aku melihat Kamu begitu gelisah dan takut sekali?" Jawab Baginda Nabi SAW, "Wahai Aisyah, bagaimana aku boleh rasa selamat jika angin ini datang bersama-sama kemurkaan Allah? Kaum Ad juga ditimpakan azab dengan angin. Tetapi kaum Ad dibinasakan semuanya."

Kekasih Allah yang juga adalah manusia terhebat dan mulia ini takut dengan azab dan kemurkaan Allah. Namun manusia hari ini sedikit pun tidak rasa gentar dan bimbang dengan dosa dan maksiat. Di dalam al-Quran, surah al-Ahqaaf ayat 24 dan 25 Allah SWT berfirman;



فَلَمَّا رَأَوْهُ عَارِضاً مُّسْتَقْبِلَ أَوْدِيَتِهِمْ قَالُواْ هَـذَا عَارِضٌ مُّمْطِرُنَا بَلْ هُوَ مَا اسْتَعْجَلْتُم بِهِ رِيحٌ فِيهَا عَذَابٌ أَلِيمٌ - تُدَمِّرُ كُلَّ شَىْءٍ بِأَمْرِ رَبِّهَا فَأْصْبَحُواْ لاَ يُرَى إِلاَّ مَسَـكِنُهُمْ كَذَلِكَ نَجْزِى الْقَوْمَ الْمُجْرِمِينَ


((Maka tatkala mereka melihat azab itu berupa awan yang menuju ke lembah-lembah mereka, berkatalah mereka; 'Inilah awan yang akan menurunkan hujan kepada kami'. (Bukan)! Bahkan itulah azab yang kamu minta supaya datang dengan segera (iaitu) angin yang mengandung azab yang pedih. Yang menghancurkan segala sesuatu dengan perintah Tuhannya, maka jadilah mereka tidak ada yang kelihatan lagi kecuali (bekas-bekas) tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami memberi balasan kepada kaum yang berdosa.))

Maha Suci Allah, Tuhan yang Maha Agung dan Maha Kuasa, tidak ada sesuatu pun yang mampu mengalahkanNya. Apa yang ada di langit dan di bumi bertasbih kepadaNya. Sesungguhnya bagiMu segala pujian, tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau yang Maha Esa, tiada sekutu bagiMu, Maha Pemberi Nikmat. Wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi serta segala isinya, wahai Tuhan yang Hidup, wahai Tuhan yang menguruskan segala sesuatu. Kami berlindung kepadaMu Ya Allah daripada berbuat dosa, kami berlindung kepadaMu daripada kerugian di dunia dan akhirat. Kami berlindung kepadaMu daripada azab kubur, kami berlindung kepadaMu daripada fitnah dajjal, kami berlindung kepadaMu daripada fitnah kehidupan dan sesudah kematian. Hiasilah kami dengan keimanan dan jadikanlah kami sebagai penunjuk jalan lurus yang memperoleh bimbingan daripadaMu.




ANAK UNTA JUGA ADALAH UNTA

~~ Mari Bercerita ~~

Pada suatu hari, ada seorang perempuan ingin menaiki untanya. Oleh kerana unta itu besar, dia sukar hendak menaikinya. Dia cuba juga untuk naik ke atas badan untanya dengan segala usaha. Namun dia masih tidak berjaya. Satu rombongan perang lalu berhampiran dengannya, lantas dia menahan salah seekor kuda rombongan itu. Kuda itu adalah kepunyaan Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Perempuan itu dengan gembiranya berkata, ''Wahai Nabi Kekasih Allah, bantulah aku naik ke atas badan unta ini.''

Rombongan yang menuju medan perang itu berhenti setelah diarahkan oleh Nabi Muhammad SAW. "Aku akan naikkan kamu ke atas anak unta,'' kata Nabi Muhammad. "Aku mahu naik unta ini, bukan anak unta, wahai Utusan Allah,'' kata perempuan itu. "Tidak, aku akan naikkan kamu ke atas anak unta juga,'' jawab Nabi Muhammad dengan tegas. "Anak unta itu kecil. Ia tidak mampu menanggung beban seluruh badanku," kata perempuan itu sambil merayu. "Aku kata, aku akan naikkan kamu ke atas anak unta," jawab Nabi Muhammad lagi.

Perempuan itu hampir menangis apabila mendengar Nabi Muhammad SAW mengulangi kata-kata yang Baginda akan menaikkannya ke atas anak unta. Sahabat-sahabat Nabi SAW yang berada bersama-sama pada waktu itu tersenyum melihatkan peristiwa itu. Melihat mereka tersenyum, perempuan itu kebingungan. Dia mula hendak marah kepada mereka. Seorang sahabat lalu berkata, "Bukankah setiap unta itu asalnya daripada anak unta?"

Perempuan itu kebingungan. Selepas mengamati kata-kata sahabat itu, barulah dia faham. Anak unta yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah untanya yang sebenar. Unta itu juga berasal daripada anak unta. Barulah dia tahu bahawa Nabi Muhammad SAW hendak bergurau dengannya. Selepas memahami maksud kata-kata NAbi SAW, perempuan itu tersenyum. Nabi Muhammad SAW turun daripada kuda dan membantu perempuan itu menaiki untanya. Perempuan itu naik ke atas untanya dengan mudah. Selepas mengucapkan terima kasih, perempuan itu berlalu pergi. Sambil memandang sahabat-sahabat yang lain, perempuan yang tidak jadi marah itu tersenyum sendirian. Baginda SAW dan sahabat-sahabat juga tersenyum memerhatikan perempuan itu.

Saturday, May 21, 2011

RAHSIA MENDAPAT ANAK SOLEH

Assalamualaikum dan selamat pagi buat sahabat2 pembaca....

Hari cuti. Pagi yang redup, dengan bumi yang basah disimbah hujan. Mata kembali terasa kantup, terbuai dek alunan irama mator di pagi yang hening ini...(^^) Sedari bangkit jam 5.30 pagi saya tahan-tahan mata ini, elok-elok pulak hujan turun awal-awal pagi... Alahai, asyiknya rasa. Hihihi... perut pun sudah bergendang-gendang minta diadakan pesta makan. Apa pun, kita isi dulu minda dan jiwa kita dengan makanan yang akan menyegarkankan roh kita, agar mampu kita menjalankan amanah-Nya dengan baik hari ini.

Jom kita lihat artikel karangan Prof Madya Dr. Norita Md Norwawi tentang 'Rahsia Mendapat Anak Soleh'. Tetiba pulak bercerita pasal rahsia anak soleh (^^). Tapi cerita ni bukan sekadar cerita kosong, harus dipandang secara serius dan bukan main-main. Saat menulis ini, saya memang serius (^^) kerana melihat kepada tujuan dan matlamat daripada setiap perkahwinan itu yang antaranya adalah untuk melahirkan generasi pelapis perjuangan yang utuh dan mantap. Jatuh bangun sesebuah bangsa dilihat pada masyarakatnya, justeru melalui pentarbiyahan yang kukuh dari awal ini ,mampu melahirkan generasi yang hebat dan mantap jati diri sebagai muslimnya, insya-Allah seterusnya akan mengembalikan semula kegemilangan Islam di muka bumi ini.

Rahsia Mendapat Anak Yang Soleh
Prof. Madya Dr. Norita Md Norwawi

"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa." [Al-Furqan; 74]



Tips Untuk Kaum Bakal Ibu/Ibu Bagi Mendapat Anak Soleh - Dari Satu Diskusi


Lazimi makanan yang Halaalan Toyyiban terutama yang makanan yang diproses pastikan Halal dan Toyyib.


Berusaha untuk menghafaz Al-Quran bagi mendidik deria pendengaran janin. Boleh mulakan dengan surah-surah lazim. Allah berikan kita kekuatan aqal, jangan under estimate atau kufur dengan nikmat akal. Don't say no before you even start. Saya pernah mendengar kata seorang ustaz, jika kita dah berniat untuk menghafaz al-Quran dan berusaha untuk menghafaz tetapi dijemput dengan ajal terlebih dahulu, maka malaikat akan bantu kita dalam alam barzakh untuk habiskan hafazan 30 juzu'. Wallahuálam.


Gunakan bahasa-bahasa yang baik semasa berkomunikasi. Jauhkan perkataan yang kasar, carut, sumpah dan laknat. Mulai belajar menggunakan bahasa yang baik dan positif. Contoh yang diberi adalah apabila nak suruh anak solat. "Solat sekarang, kalau tidak masuk neraka". Walaupun mesej betul tetapi bahasa kurang sesuai. Bagaimana kalau - "anak-anak, sekarang waktu solat sudah masuk. Allah beri kita mata untuk kita melihat, kaki untuk kita berjalan. Kalau kawan kita berikan kita kuih, kita akan ucapkan apa? tentunya "terima kasih". Begitu juga kita dengan Allah, kita kena ucapkan terima kasih dengan pelbagai nikmat yang Allah berikan. Caranya pergi solat. Allah kata kalau orang yang berterima kasih dengan Allah, nanti Allah akan pasti tambah lagi. Allah sayang dengan orang yang tahu bersyukur dengan ni'mat Allah." Tak mungkin pemikiran agung (Islam) disampaikan dengan bahasa yang kasar dan kesat. Sedangkan iklan maksiat pun guna bahasa yang menarik, apatah lagi dalam membentuk generasi pemimpin berperibadi Muslim.


Mentadabbur Al-Quran melalui majlis ilmu. Oleh itu, disarankan juga untuk pelajari Bahasa Arab bagi membantu memahami ayat yang dibaca dan menghayati maksudnya.


Belajar ilmu-ilmu lain yang diperlukan dalam membentuk generasi pemimpin berperibadi Muslim dalam rahim.


Amalkan mandi sunat Pagi Jumaat. Jika terlupa niat mandi sunat Jumaat, niatkan waktu mandi petang. Jika terlupa hari Jumaat, hari Sabtu baru teringat, maka niatlah pada hari Sabtu. Menunjukkan satu komitmen bagi melahirkan generasi pemimpin berperibadi Muslim.


Hubungan suami-isteri adalah satu tanggung jawab membina generasi pemimpin berperibadi Muslim, bukan sekadar melepaskan keinginan shahwat.

Mudah-mudahan kita beroleh sesuatu daripadanya. Teringat saya pada pesan hukama;


"Didiklah diri kamu dahulu. Jadilah seperti mana anak yang kamu inginkan"



Benar sekali. Perlu mujahadah dengan sebenar-benar mujahadah.


"Di dalam rahimku, generasi pemimpin berperibadi Muslim. Ditanganku, generasi pemimpin berperibadi Muslim"



Friday, May 20, 2011

DAKWAH BIL KITABAH

Bismillahirrahmanirrahim..................





Metodologi Dakwah bil Kitabah


Alhamdulillah, selama sebulan nih hujung minggu saya terisi dengan banyak perkara yang menarik. Sudah sampai masanya memberi makna pada sebuah kehidupan. Hujung minggu 13-15 Mei 2011 yang lepas, saya telah diberi peluang dan diizinkan Allah SWT mengikuti Bengkel Asas Penulisan anjuran Sahabat Pena Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM). Alhamdulillah, sedikit sebanyak kefahaman tentang dakwah bil kitabah semakin saya telan dengan yakin. Perlu juga kita fahami bahawa usaha ini harus digembelengkan secara bersama dengan pemuda-pemuda serta pemudi-pemudi lain yang berada di luar sana tanpa mengira apa saja latar belakang akademik. Dakwah ini tidak hanya tergalas pada pundak orang-orang yang belajar agama sahaja, tetapi semua sekali, semua sekali tau..!!! (^^). Bukankah sabda Baginda SAW;


بلغوا عني ولو آية


Sampaikan olehmu daripadaku walau sepotong ayat. (HR Bukhari dan Muslim)




Terima kasih Ya Allah kerana telah melorongkan hamabaMu pada jalan ini. Aktiviti hujung minggu lepas mahu saya kongsikan bersama dengan sahabat-sahabat pembaca sekalian, hujung minggu saya berbengkel tulis-menulis. (^_^)



Dakwah dan Penulisan


Dakwah merupakan usaha berterusan yang sentiasa berkelangsungan sehingga akhir zaman. Pelbagai medium dakwah yang boleh kita manfaatkan bagi meneruskan gerak kerja ini. Sebagai buktinya, pelbagai penemuan baru yang boleh diaplikasikan dalam bidang dakwah seperti teknologi maklumat, dakwah dan bisnes, dakwah dan komunikasi, dakwah dan pengurusan, dakwah dan dunia penyiaran, dakwah dan penulisan serta sebagainya lagi yang seharusnya disuburkan menjadi medan dakwah, khususnya oleh golongan muda yang masih segar dengan idea-idea yang pelbagai dan terkini.


Dakwah bil kitabah atau melalui tinta pena adalah antara metod dakwah yang paling meluas boleh diaplikasikan oleh semua orang. Apa yang dimaksudkan dengan penulisan ialah satu kegiatan memikir, mengkaji, merakam dan menulis sekumpulan pengalaman diri hasil daripada pemerhatian, pengalaman dan pemikiran seseorang pengkarya. Kegiatan penulisan sama ada penuilisan kreatif atau non kreatif dapat membantu idea-idea dan pemikiran serta ilmu tersebar dengan meluas. Penulisan dakwah merupakan aktiviti penyampaian maklumat tentang Islam dan mengajak manusia ke arah kebaikan serta memberi peringatan kepada manusia yang lalai. Peluang untuk menulis dan berkarya melalui blog, laman-laman sosial, penulisan kreatif, dan sebagainya merentasi batasan masa dan jarak. Ketuk saja papan kekunci, InsyaAllah pasti dakwah akan tersebar... (^^)


Oleh sebab itu, maka berDAKWAHlah dengan pena yang ada di tangan kita, hunuskanlah sentiasa tanpa ada rasa jemu dan lelah.





Akan saya kongsikan beberapa perkara melalui sesi pembentangan “Penulisan sebagai Pembagunan Ummah” yang telah disampaikan oleh Dr. Nor Raudah Hj. Siren, pensyarah daripada Jabatan Dakwah dan Pembanguan, APIUM. Kita sorot bagaimanakah ciri-ciri yang perlu ada pada penulis dakwah itu. Seorang penulis dakwah perlulah seorang yang cintakan Allah SWT dan RasulNya / sentiasa membaca dan berilmu / berdaya kreatif dan inovatif / kemahiran menulis dan menguasai IT / disiplin diri / gaya tersendiri / menghargai pengalaman / sensitif.


Seterusnya, kenapakah penulisan merupakan satu perkara yang penting? Bagaimana penulisan boleh menjadi salah satu daripada cabang dakwah? Ini tidak lain kerana penulisan merupakan satu elemen pembangun yang begitu utuh sekali. Penulisan adalah pembangunan minda, pembangun akhlak, pembangun akidah, pembangun ibadat, pembangun masyarakat dan sosail serta juga pembangun tamadun.


Baiklah kita beralih pula kepada penulisan secara umum dan menyeluruh. Bagaimana untuk mencambah idea. Ilmu ini dikongsikan oleh Tn Nazmi Yaakub, syukran atas ilmunya. Percambahan idea itu boleh diperolehi melalui al-Quran dan Hadis / buku, majalah dan akhbar / proses kreatif pengarang lain / filem, dokumentari dan berita / karya kreatif sasterawan dan pengarang / lawatan dan kembara / pengalaman dan bebelan orang tua / perbualan dengan rakan-rakan / khayalan dan imaginasi / soalan-soalan yang bertubi-tubi.


Sementara proses memulakan aktiviti penulisan pula adalah melibatkan persediaan; peralatan, persekitaran dan keadaan fizikal yang baik serta sesuai / draf pertama; catatan secara ringkas, kasar di atas kertas atau komputer / penulisan; menulis berdasarkan kecenderungan dan kemampuan sama ada proses terus-menerus atau terputus-putus / tempoh bertenang; mengosongkan fikiran daripada proses penulisan karya yang baru selesai dengan melakukan kerja atau karya lain / penyemakan dan penghalusan; mencantas kesalahan tatabahasa dan bahasa serta unsur yang tidak logik, sesuai atau tepat / penghantaran; mengirimkan karya kepada penerbitan yang bersesuaian.


Sekiranya idea kita tersangkut, ada bebarapa perkara yang boleh dilakukan aiitu berehat sekejap, tinggalkan karya bagi tempoh tertentu / membaca bahan bacaan lain yang ada kaitan / minta pandangan individu yang dikenali / tanya pengalaman orang lain yang mungkin ada persamaan / memberikan jalan penyelesaian yang lain daripada yang sudah dirangka / melangkaui sekatan idea dengan membiarkan bahagian itu kosong dan menulis bahagian seterusnya / membaca al-Quran.


Ini adalah bengkel penulisan rasmi yang pertama saya sertai. Jadi saya sedikit teruja untuk merakamkannya di sini. Izinkan saya ya untuk menyisipkan kenangan-kenangan selama 3H2M di sana, di Pusat Tarbiyyah YADIM, di Sungai Semungkis sana...(^^)





Hajah Mahaya Mohd Yasin - Bekas Pensyarah Cemerlang Maktab Perguruan Raja Melewar. Inilah guru pertama saya yang mengajar tentang ilmu penulisan. Mama Mahaya gelarnya.




Puan Nisah Haron dengan penuh semangat berkongsi pengalaman sebagai seorang penulis. Daripada seorang peguam, bertukar profesion kepada penulis sepenuh masa. Berkongsi 'Derita yang Nikmat' sebagai seorang penulis.




Tuan Ahmad Zahiruddin Zabidi. Seorang penulis genre 'sastera spiritual' atau 'sastera agama'. Indah kalam ustaz memberi kuliah maghrib. Ini penulis daripada negeri kelahiran saya. (^^)




Tuan Nazmi Yaakub yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan. Asalnya juga dari bumi Serambi Makkah. Karya 'Lambaian Huda' tulisan beliau telah saya miliki pada tahun 2005. Waktu ni novel-novel genre sastera spiritual masih kurang di pasaran. 'Lambaian Huda', karya segar sekembalinya beliau dari Bumi Mesir.




Tuan Syed Mohd Zakir Syed Othman. juga kelahiran bumi Kelantan (^^). Anak seorang sasterawan tidak menjanjikan dirinya untuk turut serta dalam dunia penulisan. Namun ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Darah orang tua beliau, kekal mengalir dalam urat nadinya. Kata SM Zakir, 'membaca novel-novel cinta tidak menjadikan kita seorang yang romantik, tetapi dengan banyak membaca dan mendalami pelbagai bidang ilmu akan menjadikan kita lebih romantik. Saya rasa, saya lebih romantik daripada orang yang membaca sekian banyak novel cinta'. (^^)




Walau apa pun, perlu kita ingat, satu perkara yang nak tak nak mesti ada pada mereka yang ingin menjadi seorang penulis adalah dengan mengilmukan diri melalui pembacaan. Memenuhkan hari-hari dan waktu-waktu yang ada dengan aktiviti membaca. Hal ini sebagaimana untaian kata yang disimpulkan oleh Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said iaitu; Jika ingin menjadi seorang penulis, pertama sekali kena membaca, kedua kena membaca, ketiga membaca, keempat membaca dan kelima baru menulis. Benarkan, inilah kalam Allah yang mula-mula sekali diwahyukan pada junjungan kita Muhammad SAW. IQRA`.... Baiklah, azam baru. Ainulyaqin akan mempertingkatkan lagi speed bacaan yang lembab seperti kura-kura supaya lebih laju. Agar dengan kelajuan ini, lebih banyak lagi buku-buku dan kitab-kitab yang tersusun saja di atas rak boleh dibaca. (^^)

Monday, May 16, 2011

BAHAYA TIDUR PAGI

Assalamualaikum dan selamat pagi..........




Bahaya tidur pagi tau...!!! hihihi... Semua daripada kita tahu kan, waktu pagi adalah waktu yang penuh barakah dan di antara waktu yang kita diperintahkan untuk memanfaatkannya. Tapi, pada hakikatnya kita banyak melihat ramai di kalangan manusia melalaikan waktu pagi yang mulia ini. Waktu yang seharusnya dipergunakan untuk bekerja, melakukan ketaatan dan beribadah, ternyata dipergunakaan untuk tidur dan bermalas-malasan.


Sahabatku, ingatlah bahawa orang-orang soleh terdahulu sangat membenci tidur pagi. Kita dapat melihat ini dari penuturan Ibnul Qayyim ketika menjelaskan masalah banyak tidur bahawa banyak tidur dapat mematikan hati dan membuat badan merasa malas serta membuang waktu.


Ibnul Qayyim mengatakan;


Banyak tidur dapat mengakibatkan lalai dan malas-malasan. Banyak tidur ada yang termasuk dilarang dan ada pula yang dapat menimbulkan bahaya bagi badan”.



Waktu tidur yang paling bermanfaat ialah;


1. Tidur ketika perlu tidur.


2. Tidur di awal malam – ini lebih manfaat daripada tidur lewat malam.


3. Tidur di pertengahan siang – ini lebih bermanfaat daripada tidur di waktu pagi dan petang. Apatah lagi pada waktu pagi dan petang sangat kurang manfaatnya bahkan lebih banyak bahaya yang ditimbulkan, lebih-lebih lagi tidur di waktu Asar dan awal pagi.



Menurut para salaf, tidur yang terlarang adalah tidur ketika selesai solat subuh hingga matahari terbit. Kerana pada waktu tersebut adalah waktu untuk menuai ghonimah. Mengisi waktu tersebut adalah keutamaan yang sangat besar menurut orang-orang soleh. Sehingga walaupun mereka melakukan perjalanan semalam suntuk, mereka tidak mahu tidur di waktu tersebut hingga terbit matahari. Mereka melakukan demikian kerana waktu pagi adalah waktu terbukanya pintu rezeki dan datangnya barakah (kebaikan).” (Madarijus Salikin, 1/459, Maktabah Syamilah)




BAHAYA TIDUR PAGI


Pertama - Tidak sesuai dengan petunjuk Al Qur'an dan As Sunnah.



Kedua - Bukan termasuk akhlak dan kebiasaan para Salaf al-Soleh, bahkan merupakan perbuatan yang dibenci.



Ketiga - Tidak mendapatkan barakah di dalam waktu dan amalannya.



Keempat - Menyebabkan malas dan tidak bersemangat di sepanjang harinya.



Kelima - Menolak datangnya rezeki.


Ibnul Qayyim berkata, "Empat perkara yang menolak rezeki adalah tidur di waktu pagi, sedikit solat, pemalas dan khianat." (Zaadul Ma’ad, 4/378)



Keenam - Menyebabkan berbagai penyakit badan, di antaranya adalah melemahkan syahwat. (Zaadul Ma’ad, 4/222)


Kesemua hal ini dapat dilihat daripada kata-kata Ibnul Qayyim; "Pagi hari bagi seseorang itu seperti waktu muda dan akhir harinya seperti waktu tuanya." (Miftah Daris Sa'adah, 2/216).


Amalan seseorang di waktu muda berpengaruh terhadap amalannya di waktu tua. Jadi jika seseorang di awal pagi sudah bermalas-malasan dengan sering tidur, maka di petang harinya juga dia akan bermalas-malasan. Justeru, jangan diamalkan tidur pada waktu pagi. Buatlah apa yang patut, banyak pekerjaaan seharian yang boleh dilakukan pada waktu ini. Apa yang paling penting lagi adalah bila sudah dapat ilmu, jangan lupa untuk beramal.... (^__^)










Tuesday, May 10, 2011

ISTIQAMAH DI JALAN DAKWAH




Bismillah walhamdulillah....



Hari yang ceria, mentari masih muncul menjengahkan wajah memberi sinar pada hamba Allah. Tunduk patuh pada tadbiranNya tanpa ralat sedikit. Semenjak dua menjak ini ramai yang mengeluh dengan bahang panas yang luar biasa di serata tempat. siang panas, malam pun panas. Seakan sudah hilang nikmat rasa dingin dan nyaman. Sana-sini orang bercakap tentang pemanasan global. Kata kawan saya, syukurlah ini panas di dunia, belum lagi panas di akhirat. Kita di Malaysia panas-panas pun tak cecah 30'c, klu di Mesir katanya dah hampir 40'c panasnya. Saya hanya mengangguk mengiyakan saja bicaranya. Benarlah tu... Baiklah, kita tinggalkan dulu bicara soal panas ni. Mari kita renungkan pulak bahang dari panasnya sebuah gerakan dakwah. Apakah itu dakwah, bagaimanakah jalan dakwah itu? Kita semak sikit-sikit yer, insyaAllah... (^__^)



~ Jalan dakwah adalah jalan yang satu. Di atas jalan inilah Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda berjalan. Demikian juga kita dan para pendukung dakwah berjalan dengan taufik dari Allah SWT. Kita dan mereka berjalan berbekalkan iman, amal, mahabbah (kasih sayang) dan ukhuwwah (persaudaraan). Rasulullah SAW menyeru mereka kepada iman dan amal, kemudian menyatupadukan hati-hati mereka di atas dasar cinta dan ukhuwwah. Berpadulah kekuatan aqidah dengan kekuatan harakah. Jadilah jemaah mereka jemaah contoh tauladan. Kalimahnya mesti lahir dan dakwahnya mesti menang walaupun ditentang oleh semua penghuni muka bumi ini.~


(( Syeikh Mustafa Masyhur - Tariquddakwah))




Dakwah bukanlah satu kerja yang senang. Dakwah menuntut para aktivis dan amilinnya untuk mengerahkan seluruh potensi yang dimiliki berupa pemikiran, harta, waktu, tenaga, jiwa dan raga. Sehingga tidak ada potensi yang dimilikinya kecuali telah diberikan untuk kepentingan dakwah. Cuba lihat sumbangan yang telah kita berikan pada kerja dakwah ini. Kita baru memberikan sisa potensi untuk dakwah, sisa waktu, sisa pemikiran, sisa tenaga, sisa usia, sisa tenaga dan sisa dana. Sehingga hasilnya pun belum terlihat nyata.



Firman Allah SWT dalam surah al-Taubah, ayat 111 yang bermaksud;



"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar." (Al-Taubah: 111)



Saya bertutur buat diri sendiri, berbisik pada jiwa yang kecil supaya bisa menjadi besar. Saya coretkan di sini sebagai taujihat pembakar hamasah sahabat-sahabat yang sejalan dengan saya. Sebagai anak muda di jalan dakwah, bertatihlah dengan istiqamah dan optimis dengan janji Allah. Setiap ujian Allah ke atas kita adalah untuk melayakkan kita menerima darjat yang lebih mulia di sisiNya. Apakah ada kemuliaan yg lebih baik selain dari menjadi penolong-penolong agama Allah SWT? Mujahid setia yang sabar, redha dan berserah diri, tidak termakan dengan bisikan-bisikan syaitan dan juga hawa nafsu. Ayuh! Bebaskan diri kita dari graviti bumi yang mengajak kita mencintai dunia sehingga melupakan akhirat.





Patut kita sedar bahawa amanah dakwah hanya dapat dipikul oleh orang-orang yang memiliki azimah atau idealisme yang tinggi. Bukan orang yang memilih tujuan yang rendah, senang dengan hidup santai, bertangguh dan rileks, memilih istirehat dan tidak mahu susah. Dakwah hanya dapat dikerjakan oleh orang yang dapat mengalahkan uzur bukan pandai mencipta uzur, berupaya semaksima mungkin untuk terus aktif di medan jihad dan memberikan sumbangan yang terbaik buat dakwah. Hidup seorang da'ie adalah untuk memberi dan hanya akan bahagia apabila dapat memberi di jalan dakwah.



Wahai diri... walau ku tahu kemampuanku tidak setanding para da'ie yang agung, tapi selalu ku pasakkan dalam jiwa, jangan sesekali berdalih untuk terus istiqamah pada jalan ini. Jalan mulia tinggalan para Nabi. Berusahalah menyumbang apa saja dari harta, keringat, idea dan sebagainya pada jalan dakwah supaya Islam itu terzahir dengan gemilang dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan muka bumi ini keseluruhannya. Ayuh sahabat-sahabat, kita dakwahkan daripada apa saja yang ada pada kita.....




Monday, May 09, 2011

KISAH CINTA AGUNG




KISAH CINTA AGUNG ~ Saidina Ali & Saidatina Fatimah ~

Dipendamkan di dalam hatinya, yang tidak diceritakan kepada sesiapa tentang perasaan hatinya. Tertarik dirinya seorang gadis, yang punya peribadi tinggi, paras yang cantik, kecekalan yang kuat, apatah lagi ibadahnya, hasil didikan ayahnya yang dicintai oleh umat manusia, yakni Rasulullah SAW. Itulah Fatimah Az-Zahrah, puteri kesayangan Nabi Muhammad, serikandi berperibadi mulia.

Dia sedar, dirinya tidak punya apa-apa, untuk meminang puteri Rasulullah. Hanya usaha dengan bekerja supaya dapat merealisasikan cintanya. Itulah Ali, sepupu baginda sendiri. Sehingga beliau tersentap, mendengar perkhabaran bahawa sahabat mulia baginda Nabi SAW, Abu Bakar As-Siddiq, melamar Fatimah.

”Allah mengujiku rupanya”, begitu bisik batin Saidina Ali. Ia merasa diuji kerana merasa apalah dia dibanding Abu Bakar. Kedudukan di sisi Nabi? Abu Bakar lebih utama, mungkin dia bukan kerabat dekat Nabi seperti saidina Ali, namun keimanan dan pembelaannya pada Allah dan RasulNya tak tertandingi. Lihatlah bagaimana Abu Bakar menjadi kawan perjalanan Nabi dalam hijrah sementara Ali bertugas menggantikan Baginda untuk menanti maut di ranjangnya.Lihatlah juga bagaimana Abu Bakar berda’wah. Lihatlah berapa banyak tokoh bangsawan dan saudagar Makkah yang masuk Islam karena sentuhan Abu Bakar; ’Utsman, ’Abdurrahman ibn ’Auf, Thalhah, Zubair, Sa’d ibn Abi Waqqash, Mush’ab. Ini yang tak mungkin dilakukan kanak-kanak kurang pergaulan seperti Ali. Lihatlah berapa ramai hamba muslim yang dibebaskan dan para faqir yang dibela Abu Bakar; Bilal, Khabbab, keluarga Yassir, ’Abdullah ibn Mas’ud. Dan siapa hamba yang dibebaskan Ali? Dari segi kewangan, Abu Bakar sang saudagar, insyaallah lebih mampu membahagiakan Fatimah. Ali hanya pemuda miskin daripada keluarga miskin.

”Inilah persaudaraan dan cinta”, gumam Ali. ”Aku mengutamakan Abu Bakar atas diriku, aku mengutamakan kebahagiaan Fatimah atas cintaku.”Namun, sinar masih ada buatnya. Perkhabaran diterima bahawa pinangan Abu Bakar ditolak baik oleh Nabi. Ini menaikkan semangat beliau untuk berusaha mempersiapkan diri. Tapi, ujian itu bukan setakat di situ, kali ini perkhabaran lain diterima olehnya. Umar Al-Khatab, seorang sahabat gagah perkasa, menggerunkan musuh Islam, dan dia pula cuba meminang Fatimah. Seorang lelaki yang terang-terangan mengisytiharkan keislamannya, yang nyata membuatkan muslimin dan muslimat ketika itu yang dilanda ketakutan oleh tentangan kafir quraisy mula berani mendongak muka, seorang lelaki yang membuatkan syaitan berlari ketakutan.

Ya, Al Faruq, pemilik pemisah kebenaran dan kebathilan itu juga datang melamar Fatimah. Ali mendengar sendiri betapa seringnya Nabi berkata, ”Aku datang bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku keluar bersama Abu Bakar dan ’Umar, aku masuk bersama Abu Bakar dan ’Umar”. Betapa tinggi kedudukannya di sisi Rasul, di sisi ayah Fatimah. Ali redha kerana dia tahu Umar lagi layak darinya. Tetapi, sekali lagi peluang terbuka, tatkala perkhabaran diterimanya, bahawa pinangan Umar juga ditolak. Bagaimanakah sebenarnya menantu pilihan Nabi, sedangkan dua sahabat baginda turut ditolak peminangannya?

Pada suatu hari Abu Bakar As-Shiddiq r.a. Umar Ibnul Khatab r.a. dan Sa’ad bin Mu’adz bersama-sama Rasulullah SAW duduk dalam masjid. Pada kesempatan itu diperbincangkan antara lain persoalan puteri Rasulullah SAW. Saat itu baginda bertanya kepada Abu Bakar As-Shiddiq r.a “Apakah engkau bersedia menyampaikan persoalan Fatimah itu kepada Ali bin Abi Thalib?”

Abu Bakar As-Shiddiq menyatakan kesediaanya. Ia beranjak untuk menghubungi Ali r.a. Sewaktu Ali r.a. melihat datangnya Abu Bakar As-Shiddiq r.a. dgn tergopoh-gopoh dan terperanjat ia menyambutnya kemudian bertanya: “Engkau datang membawa berita apa?”

Setelah duduk beristirahat sejenak Abu Bakar As-Shiddiq r.a. segera menjelaskan persoalannya: “Wahai Ali engkau adalah orang pertama yg beriman kepada Allah dan RasulNya serta mempunyai keutamaan lebih dibanding dengan orang lain. Semua sifat utama ada pada dirimu. Demikian pula engkau adalah kerabat Rasulullah SAW. Beberapa orang sahabat terkemuka telah menyampaikan lamaran kepada Baginda untuk mempersunting puteri Baginda SAW. Lamaran itu telah Baginda tolak semua. Baginda Rasul mengatakan bahawa persoalan puterinya diserahkan kepada Allah SWT. Akan tetapi wahai Ali apakah sebab hingga sekarang engkau belum pernah menyebut-nyebut puteri beliau itu dan mengapa engkau tidak melamar untuk dirimu sendiri? Kuharap semoga Allah dan RasulNya akan menahan puteri itu untukmu.”

Mendengar perkataan Abu Bakar r.a. mata Saidina Ali r.a. berlinang air mata. Menanggapi kata-kata itu, Ali r.a. berkata: “Wahai Abu Bakar, engkau telah membuatkan hatiku bergoncang yang mulanya tenang. Engkau telah mengingatkan sesuatu yang sudah kulupakan. Demi Allah aku memang menghendaki Fatimah tetapi yang menjadi penghalang satu-satunya bagiku ialah kerana aku tidak mempunyai apa-apa.”

Abu Bakar r.a. terharu mendengar jawapan Ali itu. Untuk membesarkan dan menguatkan hati Saidina Ali r.a, Abu Bakar r.a. berkata: “Wahai Ali, janganlah engkau berkata seperti itu. Bagi Allah dan RasulNya dunia dan seisinya ini hanyalah ibarat debu bertaburan belaka!”

Setelah berlangsung dialog seperlunya Abu Bakar r.a. berhasil mendorong keberanian Imam Ali r.a. untuk melamar puteri Rasulullah SAW.

Beberapa waktu kemudian Saidina Ali r.a. datang menghadap Rasulullah SAW yang ketika itu sedang berada di tempat kediaman Ummu Salmah. Mendengar pintu diketuk orang, Ummu Salmah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Siapakah yg mengetuk pintu?” Rasulullah SAW menjawab: “Bangunlah dan bukakan pintu baginya. Dia orang yang dicintai Allah dan RasulNya dan ia pun mencintai Allah dan RasulNya!”

Jawapan Nabi Muhammad SAW itu belum memuaskan Ummu Salmah. Ia bertanya lagi: “Ya tetapi siapakah dia itu?”

“Dia saudaraku orang kesayanganku!” jawab Nabi Muhammad SAW.

Tercantum dalam banyak riwayat bahawa Ummu Salmah di kemudian hari mengisahkan pengalamannya sendiri mengenai kunjungan Saidina Ali r.a. kepada Nabi Muhammad SAW itu: “Aku berdiri cepat-cepat menuju ke pintu sampai kakiku terantuk-antuk. Setelah pintu kubuka ternyata orang yang datang itu ialah Ali bin Abi Thalib. Aku lalu kembali ke tempat semula. Ia masuk kemudian mengucapkan salam dan dijawab oleh Rasulullah SAW. Ia dipersilakan duduk di depan Baginda. Ali bin Abi Thalib menundukkan kepala seolah-olah mempunyai maksud tetapi malu hendak mengutarakannya.

Rasulullah mendahuluinya dan berkata: “Wahai Ali, nampaknya engkau mempunyai suatu keperluan. Katakanlah apa yang ada dalam fikiranmu. Apa saja yang engkau perlukan akan kau peroleh dariku!” Mendengar kata-kata Rasulullah SAW yang demikian itu lahirlah keberanian Ali bin Abi Thalib untuk bersuara: “Maafkanlah ya Rasulullah. Engkau tentu ingat bahawa engkau telah mengambil aku dari pakcikmu Abu Thalib dan makcikmu Fatimah binti Asad dikala aku masih kanak-kanak dan belum mengerti apa-apa.

Sesungguhnya Allah telah memberi hidayat kepadaku melalui kamu juga. Dan engkau ya Rasulullah adlah tempat aku bernaung dan engkau jugalah yang menjadi wasilahku di dunia dan akhirat. Setelah Allah membesarkan diriku dan sekarang menjadi dewasa aku ingin berumah tangga, hidup bersama seorang isteri. Sekarang aku datang menghadap untuk melamar puteri engkau Fatimah. Ya Rasulullah apakah engkau berkenan menyetujui dan menikahkan diriku dengan Fatimah?”

Ummu Salmah melanjutkan kisahnya: “Saat itu kulihat wajah Rasulullah nampak berseri-seri. Sambil tersenyum baginda berkata kepada Ali bin Abi Thalib: “Wahai Ali, apakah engkau mempunyai suatu bekal mas kahwin?”

“Demi Allah” jawab Ali bin Abi Thalib dengan terus terang “Engkau sendiri mengetahui bagaimana keadaanku tak ada sesuatu tentang diriku yang tidak engkau ketahui. Aku tidak mempunyai apa-apa selain sebuah baju besi sebilah pedang dan seekor unta.”“Tentang pedangmu itu” kata Rasulullah SAW menanggapi jawapan Ali bin Abi Thalib “engkau tetap memerlukannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan untamu itu engkau juga perlu buat keperluan mengambil air bagi keluargamu dan juga engkau memerlukannya dalam perjalanan jauh. Oleh kerana itu aku hendak menikahkan engkau hanya atas dasar mas kahwin sebuah baju besi saja.

Aku puas menerima barang itu dari tanganmu. Wahai Ali engkau wajib bergembira sebab Allah ‘Azza wa¬jalla sebenarnya sudah lebih dahulu menikahkan engkau di langit sebelum aku menikahkan engkau di bumi!” Demikian riwayat yang diceritakan Ummu Salmah r.a. Setelah segala-galanya siap dengan perasaan puas dan hati gembira dgn disaksikan oleh para sahabat Rasulullah SAW mengucapkan kata-kata ijab kabul pernikahan puterinya: “Bahwasanya Allah SWT memerintahkan aku supaya menikahkan engkau Fatimah atas dasar mas kahwin 400 dirham. Mudah-mudahan engkau dapat menerima hal itu.”

“Ya Rasulullah, itu kuterima dgn baik” jawab Ali bin Abi Thalib r.a. dalam pernikahan itu. Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab. Cinta tak pernah meminta untuk menanti. Seperti Ali. Ia mempersilakan.

Atau mengambil kesempatan. Yang pertama adalah pengorbanan. Yang kedua adalah keberanian. Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Puteri Nabi SAW, dalam suatu riwayat dikisahkan, bahwa suatu hari, Fatimah berkata kepada Ali: “Maafkan aku, karena sebelum menikah denganmu. Aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda” Ali terkejut dan berkata, “Jikalau begitu, mengapakah engkau mahu menikah denganku? Dan Siapakah pemuda itu” Sambil tersenyum Fatimah berkata, “Ya, kerana pemuda itu adalah Dirimu”




~~**~~




Begitulah antara kisah cinta teragung yang perlu kita jadikan pengajaran. Cinta yang bersulamkan syariat Islam. Dipendamkan rasa cinta demi Islam supaya cintanya tidak melebihi cintaNYA. Memang sukar menjadi mereka, tetapi untuk meneladani mereka tidaklah sukar. Wahai lelaki, jadilah seperti Ali, melamar gadis pilihanmu dengan jalan yang diredhaiNya, yakni pernikahan, bukannya berpasangan yang dimurkai Allah. Para wanita, teladanilah Fatimah, menjaga peribadinya biarpun hatinya meruntun cintakan pemuda sehebat Ali r.a.

Titipkan cintamu kepada jodoh yang belum diketahui siapa, dan untuk mendapat yang terbaik, jadilah yang terbaik. Jika dirinya bukan untukmu, redhailah, kerana Tuhan ada perancangan yang lebih baik lagi buat kamu. Tidak semestinya memberitahu cintamu pada si dia, perbanyakkan doamu pada DIA yang lebih utama. Kerana DIA pasti mendengar rintihan rindu cintamu keranaNya. Moga
lahirlah generasi yang mewarisi Islam yang faham agama dan taat pada PenciptaNya.



Subhanallah, elok sungguh ketetepan dan ketentuan Allah. Indahnya luar biasa bila Allah mendatangkan pertolonganNya saat jiwa diuji sendat. Saya sedang berkira-kira, kalau ada masa dan ruang nanti, saya akan kongsikan ibrah dari kisah ujian orang yang baik-baik dalam mendapatkan jodoh yang baik-baik... (^_^)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...