Friday, March 04, 2011

MASJID KG HULU (Ceritera Kembara Masjid I)

Bila hidup mula diasak dengan pelbagai ujian dan cubaan, hati jadi lemah, semangat jadi hilang. Semua kerja yg dibuat tidak terfokus. Inilah yang sedang berlaku pada saya. Benar sekali, kalau kita mencari dunia, hidup kita akan sentiasa selamanya dalam kegelisahan, itulah bukti kefanaan dunia. Usai subuh pagi 19 Februari, roh kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW masih beraroma di setiap penjuru alam. Saya berkira2, mahu buat apa saya pagi ini? Mahu seperti biasa berperang dengan penyapu, periuk dan kain baju? Lagi2 urusan ini, saya mahu meninggalkannya seketika dalam diari hujung minggu ini. Mahu keluarkah saya? Keluar sendirian? Ah, satu perkara yg membosankan. Tapi tidaklah menjadi masalah yang besar, sudah sekian lama hidup ini saya rutinkan sendirian. Tapi kalau mahu keluar, mahu ke mana? Ya, mahu mencari aroma dakwah Rasulullah, mahu mewangikan jiwa yang sedang rawan. Mahu memulakan ekspidisi kembara masjid yang sudah lama direncanakan. Saya berkira2 mahu menjejaki 3 buah masjid pagi ini. Mahu ke masjid di hadapan Taman Rempah sekejap, kemudian berdhuha di Masjid Kampung Hulu, seterusnya menyinggah seketika di Masjid Tengkera.

Kereta yang dipandu mula membelah jalan, pedal minyak ditekan, alunan lagu Layar Keinsafan dendangan Mestika memenuhi ruang, tapi fikiran saya menerawang entah ke mana2, masih berlegar tentang urusan dunia lagi. Ya Allah, hamba mu ini tahu bahawa (Tidaklah kehidupan di dunia ini kecuali kesenangan yang menipu) tetapi iman yang dangkal membuatkan diri lalai dengan nikmat yangg sementara ini. Stereng membelok ke kanan, memasuki kawasan Bukit cina, sebelah kiri jalan penuh dengan kubur2 lama cina. Tiba2 saya tersedar, ah... ke mana arah saya ni? Saya dah tersalah masuk jalan. Kalau ke sini takkan saya temui masjid yang hendak dituju dan jalannya juga akan jadi susah, sebab tidak mengikut aliran yg sama, aliran perjalanannya telah tersasar. Melaka ni bukan boleh dibuat main2, nak ke tempat yg dekat saja, tapi silap lorong jauh jadinya perjalanan. Satu2 kawasan hanya dipisahkan oleh blok2 bangunan saja, tapi semua jalan sehala, kereta banyak dan jalan yg sempit dengan tempat parking yg tidak ada, menyebabkan kadang2 orang parking jer merata2 di bahu2 jalan. Hai, panjang lamunan, sampai boleh salah masuk jalan. Sekarang macamana ni? Akal mula memikir2 menukar strategi asal dan mengira2 jalan mana yg perlu diredah semula.


Saya berkira2 mahu ke Masjid Kampung Hulu saja. Mungkin tanah Melaka yang berdaulat ini tidak mengizinkan saya melangkau kembara masjid sebelum ke Masjid tertua Kampung Hulu terlebih dahulu. Jadi dari Jalan Munshi Abdullah saya terus ke depan, melintasi jambatan Cathay, masuk ke Jalan Hang Tuah, membelok ke kiri dan terus ke Kampung Hulu. Alhamdulillah, sampai. Jalan yg dekat dah jadi jauh, tapi masih dekat lagi, sebab Melaka memang tak besar pun. Melangkah saja keluar dari kereta, terasa aura luar biasa mula mengikat atma. Selayang pandang ke perkarangan masjid, nampak seperti ada majlis. Khabarnya masjid ni memang selalu berpengunjung, dari serata negeri. Kadang2 juga menerima tetamu dari luar Malaysia. Alhamdulillah, di sinilah letaknya kekeramatan ulama2 dahulu dalam memperjuangkan Islam di Tanah Melayu. Dalam era yg cukup payah dan susah, dalam zaman Islam diludah2 musuh Islam, mereka tetap berjuang menegakkan ketuanan Islam di bumi Melaka ini. Inilah masjid pertama yg terbina di sini dalam hiruk pikuk tentera2 penjajah membantai umat Islam dari luar dan dalam, secara halus dan kasar. Inilah bukti perjuangan mereka, sebuah masjid pertama yg dibina di Tanah Melayu pd 1728 Masehi.


Sunguh benar, setelah kejatuhan Empayar Islam Othmaniyyah di Istanbul, mereka lebih berjaga2, mereka mula belajar dari sejarah. Melaka yg diramal naik menjadi sebuah tamadun baru, menjadi mata rantai menggantikan tamadun Islam di Andalus telah dicantas kasar oleh mata2 pedang mereka. Dan sungguh pula kita tidak belajar daripada sejarah seperti mana mereka. Sy mengeluh berat, satu persatu sandiwara perjuangan mereka yg terdahulu bermain di layar mata. Sungguh payah mereka mendirikan masjid ini. Masjid yg didirikan dengan keringat pejuang sejati, dengan jiwa yg kental, dengan semangat yang luar biasa, dengan air mata perjuangan, dengan darah satria sebenar. Allahuakbar, hanya al-Fatihah dan serangkum doa yg mampu saya hadiahkan buat perwira2 agama ini. Mudah2an kedudukan kalian di sana melebihi pengorbanan yg telah kalian rasakan.


Saya mula menyoroti kawasan persekitaran dengan terperinci, supaya langkah tidak tersasar dan arah tidak tersalah lagi. Saya mencari tempat wudhu', mahu memperbaharui wudhu' saja. Wudhu' yg pagi tadi memang masih ada, saja mahu merasakan kedinginan air di sini, mahu berkongsi rasa yang sama dengan mereka2 yang terdahulu. Tiba2 seorang wanita menudingkan jari ke arah tempat wudhu', agaknya melihat kelakuan pelik saya tercari2 ke sana sini. Saya tersenyum tanda berterima kasih. Usai berwudu', saya menapak ke bahagian utama masjid. Rupa2nya kalau hari minggu begini, masjid dibuka kepada umum, siapa2 saja boleh beriktikaf terus dalam ruang utama masjid tidak kira lelaki atau wanita. Kawasan masjid juga bebas dilalui oleh sesiapa saja, tidak ada kawasan yang khusus untuk kaum lelaki atau wanita sahaja. Agak pelik dan jarang berlaku pada kebanyakan masjid, tapi mungkin inilah antara budaya yang memakmurkan masjid ini. Saya mengambil bahagian paling tepi, berada di penjuru jihat kanan. Saya perempuan, tak sesuai tiba2 nak solat di tengah2 ruang utama. Jihat kanan ni agak tersorok sikit, terlindung dengan mimbar dan tiang seri. Di situ juga saya lihat seorang wanita separuh umur sedang khusyuk bermunajat. Wanita tadi bisik hati saya. Hati jadi lega, ada lagi perempuan lain sebagai peneman. Kalau tidak, tentu saya takkan masuk ke ruangan ini. Bila melihat saja wanita ini, hati terasa pelik. Ketulan darah ini mula berbicara, adakah ini seorang wali wanita yang dikatakan ramai itu? Hati berdegup kencang, mulut terkunci rapat, tidak pula berani untuk saya menegurnya. Apa pun, wallahu'alam, mudah2an Allah mengizinkan saya untuk bertemu lagi dengannya.


Dua rakaat solat tahiyyatul masjid saya kerjakan. Sungguh luar biasa berada di sini. Allahuakbar, terasa begitu damai sekali, saya jadi terbayang, kalau di sini saja sudah saya rasakan betapa gembiranya saat beriktikaf di rumah Allah, bagaimana pula rasanya kalau benar2 berada di Baitullah? Subhanallah, semestinya perasaan luar biasa bercampur gembira, sedih, hiba, terharu bertamu di jiwa. Ya Allah, izinkan aku untuk menjadi tetamu di RumahMu Ya Allah, terimalah aku sebagai tetamuMu Ya Allah. Lama beriktikaf di sini, rasa tidak mahu meninggalkannya. Salam demi salam bergantian, masih belum puas saya rasakan. Doa2 dipanjatkan dalam alunan yang penuh dengan pengharapan, sekudus doa seakan bersatu dengan aroma masjid yang mewangi. Saya tenggelam dalam permohonan pada Rabb, saya dibelai asyik oleh atar yang semerbak. Air mata mula melimpahi kolam mata. Terasa betapa jauhnya diri dari Allah, terasa betapa diri telah dihanyutkan jauh oleh dunia. Benar kata pepatah, bila tersesat, pulanglah ke pangkal jalan dan mulakanlah mengatur langkah yang baru. Di sinilah pangkalnya. kewarasan akal, kekuatan jiwa dan iman menjadi ramuan utama yang membawa kita ke pangkal jalan. Alhamdulillah, semua masalah dunia mampu kita harungi dan hadapi dengan hati yang lapang.


Waktu mula menginjak tengahari. Jam sudah menunjuk ke pukul 11.30 pagi, saya perlu bersiap2. Cadangnya mahu ke Masjid Tengkera pula. Masjid kedua dibina selepas Masjid Kampung Hulu. Sebelum meninggalkan ruang ini, saya melangkah ke bahagian hadapan masjid. Di antara dinding yang memisahkan ini terletak makam Habib Abdullah al-Hadad di luar sana. Saya berdiri lama, khali seketika, serangkai al-Fatihah saya sedekahkan buat ulama agung ini. Saat kaki mahu melangkah keluar, jiwa bagai ditahan2, kaki bagai dirantai2. Tidak mahu meninggalkan ruang ini rasanya. Bekali2 saya melangkah masuk dan keluar melalui pintu jihat kanan. Tidak tahu mengapa, seakan ada satu kuasa yg menarik2 supaya terus kekal beriktikaf di sini. Lagak saya sudah jadi seperti orang yg sudah hilang kawalan akalnya. Saya melangkah masuk lagi, lama saya merenung ke ruang utama, sekilas berkalih ke kawasan depan masjid. Air2 kolah yg memutih saya tenung dengan mata yg redup.


Anak, kenapa? Ada apa2 ke? Astaghfirullahaladzim, saya tersedar dari lamunan. Perasaan malu mula menjalar melalui urat darah dan terus singgah ke muka. Tanpa sedar, rupa2nya ada yg memerhatikan kelakuan saya. Sungguh malu, mahu mencari helah, mahu menutup aib sendiri, Eh, tak der apa2 pakcik, saja jer saya tengok kolah tu, nak ambik airnya, tapi segan, ramai pulak muslimin kat depan tu. Belum habis bicara, pantas pakcik tadi menyambung, oh, boleh, mana botol? Biar pakcik ambilkan, pakcik dah lama kat sini, dah hampir 15 tahun. Ramah sekali. Oh, ya ker, terima kasih pakcik, kejap saya ambil botol dalam kereta yer. Saya berlalu dengan senyuman menguntum di bibir. Ada2 saja.


5 comments:

Anonymous said...

Hati tersentuh betul baca catatan perjalanan awak di pagi hari ni..nak menitis air mata rasanya...sebak je dalam dada...sayapun rasa begitu sibuk dengan dunia hingga rasa jauh dari Rabb...Y Allah ampunkan lah aku...keras rasanya hati ni...mati rasanya jiwa ni....x tau arah tuju hidup...

@deq He said...

Hati tersentuh betul baca catatan perjalanan awak di pagi hari ni..nak menitis air mata rasanya...sebak je dalam dada...sayapun rasa begitu sibuk dengan dunia hingga rasa jauh dari Rabb...Y Allah ampunkan lah aku...keras rasanya hati ni...mati rasanya jiwa ni....x tau arah tuju hidup...

Ainulyaqin said...

Em, gitulah Hey... Bila serabut2 baru cari Allah..berat sungguhlah iman kito nih, sakit dan parah sebenarnya. Perlu para rawatan khusus dariNya.

Dr. AA said...
This comment has been removed by the author.
Dr. AA said...

Ya masjid ini sungguh unik. Tempat aku menumpang tidur bila terlepas bas untuk pulang ke kampung. Ketika itu, aku anak remaja yang tidak tahu maksud iktikaf, namun dapat juga sembahyang subuh berjamaah... kini sekali sekala aku berhenti di situ.. Bila sampai di sana hati terasa rindu, lalu aku bersolat dan duduk sebentar dengan penuh ketenangan...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...