Minggu ni minggu yang agak sibuk sikit dalam diari hidup. Kelam kabut dengan urusan peperiksaan akhir pelajar. Sudah tidak sempat mencoret rasa lagi. Cuma entri kali ini saya mahu berkongsi sedikit cerita yang menjadi bahagian dari hidup saya. Dua, tiga hari lepas kelam kabut saya bila diminta 'on the spot' menguruskan pelajar-pelajar bukan Islam untuk satu program 'game show' dengan RTM. Tugas saya menguruskan pengangkutan pelajar selama 2 hari serta memastikan mereka dapat menyertai program tersebut sedang waktu itu saya turut berjuang dengan kertas-kertas soalan final, urusan pengawasan dan hal-hal berkaitan peperiksaan. Alhamdulillah dengan izinNya, semuanya dapat saya lunaskan dengan lancar.
Petang tadi saya dapat call daripada seorang student lelaki berbangsa India, dengan nada yang ceria dia mula berbicara 'Cik, kitorang menang program ni cik. Saya dapat first place'. Nadanya cukup ceria. 'Oh ya ka? Tahniah, tahniah... sorang lagi kawan awak dapat tempat ke berapa plak?' Saya bertanya. 'Entahlah, tapi masih dalam top rank lah'. 'Oh, bagusnya kamu'. Saya menyuntik semangat. 'Apa yang awak dapat?' Perbualan diteruskan. 'Saya dapat hamper dan wang tunai RM700'. 'Wah, besar tuh' kata saya. 'Sekali dapat RM700, macam-macam awak boleh buat'. Saya tersenyum sendirian, dalam hati berkata-kata, saya bonus setahun pun tak sampai jumlah tu tau!! hehe.. 'Ok lah cik, dapat bayar duit kamsis'. Alahai, tersentuh lah plak jiwa raga saya. =(
Mungkin mereka daripada keluarga yang tak berada, jadinya nilai tu memang satu anugerah yang tak ternilai. 'Itulah saya nak ucap terima kasih pada cik ni, sebab pilih kitorang untuk program ni kan'. 'Oh tak per, kebetulan jer, saya hanya bagi nama jer, memang awak yang usahakan untuk kejayaan ni'. Saya menahan sebak. 'Ya, apa pun, terima kasih sekali lagi yer cik'. Saya jadi terharu bila ada orang menghargai dan ingat pada jasa kita yang tak seberapa rasanya pada kita. Jasa kita yang pada awalnya tidaklah memberikan apa-apa nilai yang besar mana pun, tapi cukup memberi erti kepada mereka.
Moralnya, selagi kita boleh berbuat baik, buatlah... Walaupun pekerjaan itu adalah sekecil-kecil pekerjaan yang kita sendiri pun tidak menyangkakan apakah ada impak positif atau tidak pada natijahnya. Paling tidak saya telah berjaya menjentik hati mereka. Saya telah berjaya menambat hati mereka dengan ketulusan akhlak yang dipamerkan. Dakwah secara tanpa sedar melalui tindak tanduk dan akhlak telah terlaksana. Justeru mengambil ikhtibar ini, saya mengingatkan lagi diri sendiri untuk sentiasa melakukan kebaikan pada semua makhluk Allah, Tuhan sekalian alam tanpa mengira apa agama sekalipun. Bukankah ini juga yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi SAW? Mereka tertarik dengan Islam kerana akhlak yang ada pada Nabi. Subhanallah...
"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." [Al-Baqarah, 2:195]
Oleh itu, sentuhlah hati mereka dengan kelembutan ahklakmu, kerana mereka juga punya hati. Sentuhlah hati mereka dengan seutuh keikhlasan kerana Allah, itulah kunci seorang da'i kerana kita tidak akan pernah tahu bila saatnya Sang Pencinta itu mencampakkan hidayah ke dalam hati-hati mereka. Hal yang selebihnya serahkan saja kepada Pemilik hati. Moga ketemu hidayah dariNYa. Amin ya Rabb...
No comments:
Post a Comment