Assalamualaikum dan selamat pagi...
Melawan kebiasaan. Tidak pernah menulis waktu pagi2 begini, tapi hari ni rasa sedikit bersemangat dan bertenaga setelah berperang memberi vaksin pada jasad semalam. Cuaca yang tidak menentu serta gaya hidup yang tidak teratur membuatkan badan lebih terkesan untuk mendapat penyakit. Alhamdulillah, hari ni rasa kuat sikit, tapi badan masih 'pegal2'..heheh. Banyak amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, tidak ada istilah MC dalam kamus hidup. (^^) Entri kali nih saya mahu berkongsi tentang wanita dan kecantikan. Tittle yang membuatkan saya tersenyum menahan gelak. Lucu rasanya. Biasanya bercakap soal2 yang lebih berat menyentuh tentang motivasi diri mukmin, urusan kehidupan, jalan dakwah dan seumpamanya. Apa pun saya akan cuba untuk memberikan sesuatu pada jiwa pembaca semua. Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. mana ada wanita yang tidak suka dan tidak mengimpikan menjadi diri yang cantik dan mempesonakan? Bila usia menjangkau 30-an, ramai daripada kawan2 saya mula mengeluh, 'alamak, saya sudah tua la'. 'simtom2 tua sudah saya rasakan sekarang'. 'Badan dan anggota2 lain dah mula menunjukkan perubahan'. Jelas tampak kerisauan pada diri. Saya juga sebenarnya tidak terkecuali. Mungkin pernah kita dengar kuasa minda mampu merubah kehidupan kita. Apa saja yang kita fikir, apa saja yang kita set dan fokus dalam minda dapat kita singkap dan terjemahkan dalam situasi sebenar. Jadi petua yang paling berkesan adalah setkan dalam minda kita yang kita masih muda, masih kuat, masih bertenaga dan masih mampu memberikan sumbangan dalam perjuangan.
Tidak saya nafikan dalam dunia yang moden dan penuh dengan teknologi ini, pelbagai kaedah dan produk kecantikan diperkenal dan digunapakai secara meluas. kesemua ini juga merupakan inisiatif yang boleh dipraktikkan, tapi kesannya tidaklah begitu ketara dan tidak akan kekal selamanya begitu. Simtom2 tua masih akan bersisa. Justeru, mahukah pembaca sekalian saya kongsikan rahsia muda remaja sepanjang usia? Muda dan tidak akan tua selamanya. Jawapannya berusahalah untuk menjadi wanita penghuni syurga. Daripada Abu Saad al-Khudri dan Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; 'Penyeru menyeru para penghuni syurga, sesungguhnya kamu akan tetap sihat dan tidak akan sakit untuk selamanya. Kamu akan selalu hidup dan tidak akan mati. Kamu akan tetap muda dan tidak akan tua untuk selamanya. Kamu akan selalu mendapatkan kebahagiaan dan tidak akan susah untuk selamanya. Semua itu sesuai dengan firmanNya; "Dan diserukan kepada mereka, itulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan". -al-A'araf; 43. (HR Muslim)
Daripada Ummu Salamah isteri Nabi SAW katanya; Aku berkata, 'Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?' Baginda menjawab; 'Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin'. Aku berkata, 'Wahai Rasulullah, bagaimanakah itu?' Baginda menjawab; 'Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, pakaiannya berwarna hijau dan perhiasannya berwarna kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sikatnya diperbuat daripada emas. Mereka berkata, 'Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali, berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.' (HR Al-Tabrani)
Subhanallah. Begitu indahnya kalam Rasulullah SAW. Kalam yang seharusnya membuatkan kita wanita di dunia menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk menjadi wanita solehah. Wanita solehah itu berhati lembut, menyenangkan dan menyejukkan bila dipandang mata, serta mententeramkan hati setiap pemiliknya. Wanita solehah menjaga kesucian dirinya, menjaga ibadah dan akhlaknya, menjaga keimanan dan ketakwaannya kepada Allah. Tatkala cubaan dan ujian menimpa, hanya kesabaran dan keikhlasan yang ditunjukkan. Di saat gemerlap dunia kian dahsyat menerpa, ia tetap teguh kukuh mempertahankan keimanannya.
Ibnul Qayyim RA berkata; 'Jika ia memasuki istananya - yakni wanita penghuni syurga dari penduduk dunia - segala sesuatu yang di syurga menjadi terang, dan jika ia berbicara dengan suaminya, suaminya akan terbuai hingga lupa pada syurga dan terpaut dengan isterinya. (Amru Khalid, Hati Sebening mata Air (2006), Aqwam - judul asal; Islah Qulub)
'Sungguh tutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya' (HR Bukhari dan Muslim)
Ah, sungguh bahagia dan berbunga sekali hati bila membacakan hadis ini. Mulianya seorang wanita dunia penghuni syurga sehingga melebihi bidadari yang kecantikannya tidak ada tara dan tandingannya. Subhanallah. Sesuatu yang indah, namun menuntut mujahadah yang luar biasa.
Allah telah menetapkan beberapa wanita mulia sebagai penghuni syurga dan penghulu para bidadari. Dialah bidadari bumi, dialah wanita solehah yang keberadaan dirinya lebih baik dan bererti daripada seluruh isi alam ini. Wahai saudari muslimahku, mahukah kita menjadi wanita yang lebih utama dibanding bidadari-bidadari syurga? Allah meletakkan cahaya di atas wajah kita dan memuliakan kita di syurga menjadi penghulu kepada bidadari di syurga. Maka ramuannya, belajarlah dan tingkatkanlah kualiti diri agar Allah senantiasa redha kepada kita. Berusahalah untuk menjadi sebaik-baik perhiasan. Berusahalah dengan lebih kuat untuk menjadi wanita penghuni syurga. Ya Allah jadikanlah kami, ibu kami, saudara-saudara kami serta wanita-wanita di sekeliling kami menjadi bidadari di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal 'Alamin...
Bidadari Syurga Dunia... Ada senyum yang terukir indah di muka. Ada bias rona merah di wajah. Memantulkan warna hati si jiwa syurga...
Bidadari Syurga Dunia... Wajah yang senantiasa putih dan menawan. Berhiaskan air wudhu yang terpancar. Menambah pesona hiasan mata...
Bidadari Syurga Dunia... Yang senyumnya selalu merekah. Yang parasnya mempesona. Yang hatinya selembut sutera...
Bidadari Syurga Dunia... Jadi dambaan setiap wanita. Impian diri wanita solehah. Qanitat dan berhati bunga...
Bidadari Syurga di hati luka... Yang pucatkan hati si durjana. Yang tepiskan angan dunia. Yang hatinya bagaikan kaca...
No comments:
Post a Comment