Saturday, June 25, 2011

JANGAN BERSEDIH


~:: ~ WAHAI ORANG YANG SEDANG BERSEDIH ~::~

Ketahuilah,

Kita merancang, Allah adalah yang menentukan. Setiap perjalanan hidup manusia, yang selalu bertaut pada Azza Wajalla, pasti tidak akan kecewa sekiranya ditakdirkan berlainan apa yang dirancang. Setiap yang berlaku adalah kehendak Allah, setiap kehendak Allah itu pasti akan berlaku, dan kehendak Allah berkait dengan hikmah yang mutlak. Hikmah yang mutlak itu pula behubung rapat dengan kebaikan yang mutlak. Hanya mereka yang sempurna akal dan penelitiannya sahaja yang dapat menjangkau hikmah yang tersirat disebalik ujian dan bala yang menimpa.

Apa jua takdir Allah pasti bermaksud baik walaupun kelihatan pahit. Jika manusia mencewakanmu, jangan berduka kerana Allah selalu menunaikan harapanmu. Jika manusia menzalimimu, jangan berduka kerana Allah selalu berlaku adil terhadapmu. Jika manusia melukaimu, jangan berduka kerana Allah selalu menitipkan penyembuh buatmu.

Jangan kau merungut, takut-takut kau tidak redha pada ketentuan Allah. Jangan kau berkeluh kesah, kerana ujian itu tapisan Allah untuk menentukan martabat dan darjat insan. Jangan kau kecewa, putus harapan, takut-takut kau putus asa pada rahmat Allah, sedangkan Dia memerhati dan menyayangimu sebagai insan pejuang.

"Tidak ada iman tanpa ujian". Kalimat itulah yang mesti dipegang seorang mu'min dalam mengharungi kehidupan. Susah dan senang adalah sesuatu yang berada di antara ruang-ruang kehidupan di mana seseorang mu'min diuji keimanannya. Ada yang lulus. Ada juga yang mesti mengulang.

Sabarlah! kemampuan bersabar itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada' dan qadar' serta janji Allah SWT. Segalanya akan menjadi suatu yang menakjubkan, ketika kita mampu bersabar dan bersyukur. Apapun dan bagaimanapun tidak akan menjadi persoalan yang rumit. Kita akan berfikir positif dalam menghadapi segala sesuatu. Ada banyak berjuta hikmah daripada setiap kejadian yang dialami.

Istighfarlah! Sesiapa yg membanyakkan istighfar, maka Allah akan membebaskannya daripada kesedihan, dan memberi jalan keluar bagi kesempitannya, dan akan memberi rezeki dari arah yang tak disangka-sangka.

Bila kita terlalu berharap pada makhlukNya, kita akan menemukan kekecewaan yang teramat mendalam. MakhukNya penuh dengan pelbagai kekurangan yang belum tentu mampu membantu memecahkan persoalan kita. Maka sudah selayaknya segala sesuatu itu, kita mohonkan bantuan dan pengharapan hanya kepada Allah. Takdir itu milikNya, usaha dan doa itu milik kita. Teruskan berdoa memohon hanya kepadaNya.

Atas kesedaran bahawa kita adalah milik Allah, kita harus mengembalikan segala urusan kepada Allah. Lepaskan segala-galanya, hanya percayakan Dia.



~HASBUNALLAH WANI'MAL WAKIL, NI'MAL MAWLA WA NI'MAN NASIR~


(Kompilasi idea- Nurhidayu Salleh)

2 comments:

Syazwan said...

mohon share :)
nanti sy kreditkan ke blog ni

Anonymous said...

Indah sekali nasihat yg diberi.@

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...