Tuesday, June 14, 2011

ADAB DENGAN ORANG MISKIN



Pada suatu petang, Rasulullah SAW menyertai beberapa orang penduduk bandar Makkah duduk berbincang. Tiba-tiba datang seorang yang tidak dikenali melintas di hadapan Baginda SAW. Baginda bertanya kepada salah seorang yang berada di sebelahnya.


‘Demi Allah, lelaki itu adalah seorang yang berada dan disegani,” jawab sahabat. “Sekiranya beliau ingin mencari jodoh, maka semua orang akan berusaha hendak memenuhi hatinya.”


Tambah sahabat itu lagi, “Dan jika beliau meminta sesuatu daripada seseorang, pasti permintaannya akan ditunaikan,” terang sahabat kepada Rasulullah SAW menceritakan perilaku orang yang melintas itu.


Rasulullah SAW mendengar cerita sahabat dengan penuh teliti. Selepas itu, Baginda hanya mendiamkan diri tanpa memberikan sebarang ulasan.


Tiba-tiba datang pula seorang lelaki lain yang tidak dikenali melintas di hadapan Baginda SAW. Baginda sekali lagi bertanya kepada sahabat berkenaan perilaku orang yang melintas itu.


“Wahai Kekasih Allah, orang itu adalah seorang Muslim yang miskin,” terang sahabat sambil menyambung, “sekiranya beliau ingin mencari jodoh, maka tiada seorang pun yang sudi, dan jika beliau ingin memiliki sesuatu, permintaanya tidak akan ditunaikan,” cerita sahabat dengan penuh rasa hiba.


“Apabila dia mula berbicara, maka tiada siapa yang ingin mendengar tutur katanya,” sambung sahabat lagi.


Rasulullah SAW kaya dengan sifat budi bahasa dan sopan santun. Baginda mendengar penerangan sahabat dengan penuh teliti dan sabar, kemudian Baginda berkata, “Sekiranya di sekeliling dunia ini adalah orang kaya dan berada, maka orang miskin yang melintas tadi adalah orang yang lebih baik dan bagus sifatnya.”


Rasulullah SAW juga pernah berpesan pada isteri Banginda, Aisyah ra. Kata Baginda, “Wahai isteriku Aisyah, sekiranya ada orang miskin datang ke rumah ini, janganlah membiarkan mereka meninggalkan rumah ini tanpa membawa apa-apa. Ambillah apa sahaja yang ada di rumah ini bagi diberikan kepada mereka walaupun terpaksa memberi separuh daripada kurma.”


Rasulullah SAW menambah nasihatnya dengan berkata, “Semua orang perlu mencintai dan mendekatkan diri dengan setiap orang miskin kerana mereka akan dipanggil supaya duduk di sebelah Allah pada hari Kiamat.”


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...