Tuesday, June 14, 2011

UMAR DAN SAUDARA PEREMPUAN RASULULLAH SAW



Pada suatu hari, rumah Rasulullah SAW dikunjungi oleh saudara mara perempuan Baginda. Disebabkan Baginda sibuk mengajar dan berdakwah, mereka jarang dapat duduk bersama-sama. Mereka mengambil kesempatan ini dengan duduk mengelilingi Baginda SAW sambil berbual-bual.


Hubungan mereka dengan Rasulullah SAW sangat akrab. Baginda melayan mereka seumpama saudara kandung. Perbualanmereka disertai dengan gelak ketawa dan suara yang nyaring.


Tiba-tiba seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Umar datang menziarahi baginda.


“Assalamualaikum!” Umar memberi salam sebelum meminta izin untuk masuk ke dalam. Tatkala kakinya melangkah memasuki rumah, semua saudara perempuan baginda yang berada di situ lari dan menyembunyikan diri. Rasulullah SAW ketawa dan merasa geli hati melihat gelagat saudara perempuannya itu.


“wahai Rasululllah, kenapa Tuan ketawa?” soal Umar pelik selepas melihat Rasulullah SAW ketawa.


“Selalunya Tuan hanya tersenyum tetapi apakah yang membuatkan Tuan ketawa?”


Rasulullah menerangkan yang Baginda berasa geli hati melihat gelagat saudara perempuannya melarikan diri selepas mendengar sapaan Umar. Barulah Umar faham punca sebenar Rasulullah SAW ketawa.


Lalu Umar bertanya kepada kumpulan wanita itu, “Kenapa kalian melarikan diri daripada aku?”


Wanita-wanita itu hanya tersenyum.


Tambah Umar lagi “Saudari semua berbicara dan gelak ketawa dengan nada yang tinggi. Kemudian saudari semua lari selepas mendengar suara aku. Adakah kalian takut kepada aku bernbanding Rasulullah SAW?”


“Wahai Umar,” jawab wanita itu dengan penuh kesopanan, “saudara sebenarnya panas baran. Rasulullah SAW pula amat penyabar. Saudara akan cepat berasa marah berbanding Rasulullah. Rasulullah akan menegur kami dengan cara yang paling lembut.”


“Jadi?” Tanya Umar.


Tambah wanita itu lagi “Jadi kami melarikan diri daripada saudara kerana kami pasti saudara akan memarahi kami.”




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...