Wednesday, June 15, 2011

Gerhana Bulan Penuh Paling Gelap Dalam 11 Tahun


KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku Khamis ini iaitu gerhana paling gelap dalam tempoh 11 tahun apabila bulan melintasi umbra.


Ini akan berlaku bermula jam 1.24 pagi untuk selama 100 minit dan menjadi gelap sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.


Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata apa yang lebih menarik ialah fenomena itu berlaku sebanyak dua kali tahun ini, sekali lagi pada Disember nanti selepas kali terakhir berlaku pada 16 Julai 2000.


Katanya, gerhana penuh bulan yang cuma berlaku ketika fasa purnama ini juga boleh dilihat di benua Afrika, Eropah, sebahagian besar Asia dan Australia.


“Gerhana ini dikatakan paling gelap pernah berlaku kerana biasanya walaupun gerhana penuh, kita masih boleh melihat sedikit cahaya pada permukaan bulan. Keadaan ini disebabkan ketika fasa gerhana penuh itu, bulan melintasi bayang paling gelap bumi iaitu umbra. Permulaan gerhana penuh kali ini boleh dilihat penduduk di selatan Chile, timur Argentina dan timur Brazil.


“Di Malaysia, gerhana dapat dilihat ketika bulan terbit di langit timur pada awal pagi. Penghujung gerhana penuh dapat dilihat penduduk Thailand, Kemboja, Vietnam dan barat Australia. Bahagian barat Eropah pula akan melihat bulan terbit yang mengalami gerhana penuh. Mereka melihat bulan gelap terbit di timur yang kebiasaannya terang ketika fasa purnama. Kali ini bulan kelihatan seolah-olah hilang,” katanya.


Kejadian gerhana bulan hanya berlaku ketika fasa purnama dan apabila seluruh atau sebahagian bulan memasuki bayang bumi. Cahaya matahari yang jatuh ke atas bumi menyebabkan sebahagian bumi terang (siang) dan sebahagian lagi gelap (malam) serta menyebabkan bayang bumi mengunjur ke angkasa.


Beliau berkata, ada dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra, yang lebih gelap daripada bahagian luar, penumbra.


“Sekiranya bulan purnama, ia memasuki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh bulan memasuki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Jika hanya sebahagian bulan memasuki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika bulan hanya memasuki penumbra, gerhana penumbra yang akan terjadi.


“Bagaimanapun gerhana bulan tidak berlaku setiap bulan. Ini disebabkan satah orbit bulan condong sebesar lima darjah berbanding dengan satah orbit bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya bulan melalui satah orbit bumi,” katanya.


Pada 15 Jun ini, gerhana penuh terjadi disebabkan seluruh bulan memasuki umbra. Magnitud gerhana kali ini ialah 1.71, yang menunjukkan darjah kegelapan permukaan bulan. Nilai ini menunjukkan gerhana bulan kali ini adalah gelap.


Di Malaysia, fasa gerhana kali ini bermula apabila bulan menyentuh penumbra pada jam 1.24 pagi waktu tempatan, 16 Jun 2011. Ketika fasa gerhana ini bermula, bulan berada di langit barat. Ketika berada dalam bayang penumbra, cahaya bulan mula berkurangan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.


“Fasa penuh bermula apabila bulan mula menyentuh umbra pada jam 3.22 pagi. Bulan mula kelihatan gelap secara perlahan-lahan sehingga ia menjadi gelap sepenuhnya jam 03.22 pagi dan di tengah-tengah fasa penuh pada jam 04.13. Tempoh bulan mengalami fasa gelap sepenuhnya selama 100 minit.


“Bulan mula meninggalkan bayang umbra dan memasuki penumbra secara perlahan-lahan pada jam 5.02 pagi. Ia mula kelihatan bercahaya sedikit demi sedikit sehingga penuh sejam kemudian dan kembali normal pada 07:02 pagi. Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis,” katanya.


Sabda Rasulullah SAW; “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu”. (HR Muslim)

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

Dari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu Baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan Baginda berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian Baginda sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian Baginda bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya Baginda mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana” (HR al-Bukhari)

Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW, maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’. Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud yang lebih lama daripada itu” (HR Muslim)

Secara ringkasnya seperti berikut:

Rakaat Pertama
1. Membaca surah al-Fatihah
2. Membaca mana-mana surah,yang terlebih afdhal surah ABaqarah
3. Ruku’
4. Iktidal
5. Ruku’
6. Iktidal
7.Sujud
8.Duduk antara 2 sujud
9.Sujud kembali
10.Berdiri ke rakaat kedua


Rakaat Kedua
1. Membaca surah al-Fatihah
2. Membaca surah
3. Ruku’
4. Iktidal




5. Ruku’
6. Iktidal
7. Sujud
8. Duduk antara 2 sujud
9. Sujud kembali
10.Membaca tasyahud akhir
11.Memberi salam



-Tiada iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
-Mana-mana surah hendaklan mengikut susunan surah dari Al-Quran
-Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.
-Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.


Dari Aisyah r.a. berkata: Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana." (HR al-Bukhari)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...