Tuesday, March 29, 2011

~PENGHUNI SYURGA~ TIDAK TUA DAN MUDA SELAMANYA




Assalamualaikum dan selamat pagi...

Melawan kebiasaan. Tidak pernah menulis waktu pagi2 begini, tapi hari ni rasa sedikit bersemangat dan bertenaga setelah berperang memberi vaksin pada jasad semalam. Cuaca yang tidak menentu serta gaya hidup yang tidak teratur membuatkan badan lebih terkesan untuk mendapat penyakit. Alhamdulillah, hari ni rasa kuat sikit, tapi badan masih 'pegal2'..heheh. Banyak amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, tidak ada istilah MC dalam kamus hidup. (^^) Entri kali nih saya mahu berkongsi tentang wanita dan kecantikan. Tittle yang membuatkan saya tersenyum menahan gelak. Lucu rasanya. Biasanya bercakap soal2 yang lebih berat menyentuh tentang motivasi diri mukmin, urusan kehidupan, jalan dakwah dan seumpamanya. Apa pun saya akan cuba untuk memberikan sesuatu pada jiwa pembaca semua.


Wanita dan kecantikan memang tidak dapat dipisahkan. mana ada wanita yang tidak suka dan tidak mengimpikan menjadi diri yang cantik dan mempesonakan? Bila usia menjangkau 30-an, ramai daripada kawan2 saya mula mengeluh, 'alamak, saya sudah tua la'. 'simtom2 tua sudah saya rasakan sekarang'. 'Badan dan anggota2 lain dah mula menunjukkan perubahan'. Jelas tampak kerisauan pada diri. Saya juga sebenarnya tidak terkecuali. Mungkin pernah kita dengar kuasa minda mampu merubah kehidupan kita. Apa saja yang kita fikir, apa saja yang kita set dan fokus dalam minda dapat kita singkap dan terjemahkan dalam situasi sebenar. Jadi petua yang paling berkesan adalah setkan dalam minda kita yang kita masih muda, masih kuat, masih bertenaga dan masih mampu memberikan sumbangan dalam perjuangan.


Tidak saya nafikan dalam dunia yang moden dan penuh dengan teknologi ini, pelbagai kaedah dan produk kecantikan diperkenal dan digunapakai secara meluas. kesemua ini juga merupakan inisiatif yang boleh dipraktikkan, tapi kesannya tidaklah begitu ketara dan tidak akan kekal selamanya begitu. Simtom2 tua masih akan bersisa. Justeru, mahukah pembaca sekalian saya kongsikan rahsia muda remaja sepanjang usia? Muda dan tidak akan tua selamanya. Jawapannya berusahalah untuk menjadi wanita penghuni syurga.

Daripada Abu Saad al-Khudri dan Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda; 'Penyeru menyeru para penghuni syurga, sesungguhnya kamu akan tetap sihat dan tidak akan sakit untuk selamanya. Kamu akan selalu hidup dan tidak akan mati. Kamu akan tetap muda dan tidak akan tua untuk selamanya. Kamu akan selalu mendapatkan kebahagiaan dan tidak akan susah untuk selamanya. Semua itu sesuai dengan firmanNya; "Dan diserukan kepada mereka, itulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang dahulu kamu kerjakan". -al-A'araf; 43. (HR Muslim)


Daripada Ummu Salamah isteri Nabi SAW katanya; Aku berkata, 'Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?' Baginda menjawab; 'Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin'. Aku berkata, 'Wahai Rasulullah, bagaimanakah itu?' Baginda menjawab; 'Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, pakaiannya berwarna hijau dan perhiasannya berwarna kekuning-kuningan, sanggulnya mutiara dan sikatnya diperbuat daripada emas. Mereka berkata, 'Kami hidup abadi dan tidak mati, kami lemah lembut dan tidak jahat sama sekali, kami selalu mendampingi dan tidak beranjak sama sekali, kami redha dan tidak pernah bersungut-sungut sama sekali, berbahagialah orang yang memiliki kami dan kami memilikinya.' (HR Al-Tabrani)



Subhanallah. Begitu indahnya kalam Rasulullah SAW. Kalam yang seharusnya membuatkan kita wanita di dunia menjadi lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk menjadi wanita solehah. Wanita solehah itu berhati lembut, menyenangkan dan menyejukkan bila dipandang mata, serta mententeramkan hati setiap pemiliknya. Wanita solehah menjaga kesucian dirinya, menjaga ibadah dan akhlaknya, menjaga keimanan dan ketakwaannya kepada Allah. Tatkala cubaan dan ujian menimpa, hanya kesabaran dan keikhlasan yang ditunjukkan. Di saat gemerlap dunia kian dahsyat menerpa, ia tetap teguh kukuh mempertahankan keimanannya.


Ibnul Qayyim RA berkata; 'Jika ia memasuki istananya - yakni wanita penghuni syurga dari penduduk dunia - segala sesuatu yang di syurga menjadi terang, dan jika ia berbicara dengan suaminya, suaminya akan terbuai hingga lupa pada syurga dan terpaut dengan isterinya. (Amru Khalid, Hati Sebening mata Air (2006), Aqwam - judul asal; Islah Qulub)


'Sungguh tutup kepala salah seorang wanita syurga itu lebih baik daripada dunia dan seisinya' (HR Bukhari dan Muslim)

Ah, sungguh bahagia dan berbunga sekali hati bila membacakan hadis ini. Mulianya seorang wanita dunia penghuni syurga sehingga melebihi bidadari yang kecantikannya tidak ada tara dan tandingannya. Subhanallah. Sesuatu yang indah, namun menuntut mujahadah yang luar biasa.


Allah telah menetapkan beberapa wanita mulia sebagai penghuni syurga dan penghulu para bidadari. Dialah bidadari bumi, dialah wanita solehah yang keberadaan dirinya lebih baik dan bererti daripada seluruh isi alam ini. Wahai saudari muslimahku, mahukah kita menjadi wanita yang lebih utama dibanding bidadari-bidadari syurga? Allah meletakkan cahaya di atas wajah kita dan memuliakan kita di syurga menjadi penghulu kepada bidadari di syurga. Maka ramuannya, belajarlah dan tingkatkanlah kualiti diri agar Allah senantiasa redha kepada kita. Berusahalah untuk menjadi sebaik-baik perhiasan. Berusahalah dengan lebih kuat untuk menjadi wanita penghuni syurga. Ya Allah jadikanlah kami, ibu kami, saudara-saudara kami serta wanita-wanita di sekeliling kami menjadi bidadari di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabbal 'Alamin...


Bidadari Syurga Dunia... Ada senyum yang terukir indah di muka. Ada bias rona merah di wajah. Memantulkan warna hati si jiwa syurga...

Bidadari Syurga Dunia... Wajah yang senantiasa putih dan menawan. Berhiaskan air wudhu yang terpancar. Menambah pesona hiasan mata...


Bidadari Syurga Dunia... Yang senyumnya selalu merekah. Yang parasnya mempesona. Yang hatinya selembut sutera...


Bidadari Syurga Dunia... Jadi dambaan setiap wanita. Impian diri wanita solehah. Qanitat dan berhati bunga...


Bidadari Syurga di hati luka... Yang pucatkan hati si durjana. Yang tepiskan angan dunia. Yang hatinya bagaikan kaca...



Sunday, March 27, 2011

TERIMALAH TAKDIRNYA DENGAN IKHLAS




Wahai diriku,tidak ada jalan lain dan ikhtiar kecuali kepada Allah. Perkukuhkan solat 5 waktu dengan segala rawatibnya. Luangkan dan lapangkan masa untuk membaca Al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan kurangkan perkataan. Bercakap hanya yang baik atau diam. Uzlahkan diri jika terasa mata telinga terlalu liar untuk dikawal. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian.

Ya Allah...

Uzlah aku daripada kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberikan kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadikan bahan ujimu untuk mendidikku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai 'karma' kejahatan ku pada mereka.


Ya Allah...

Aku belum sampai, tetapi sungguh aku telah memulakan perjalanan walau susah sungguh untuk pasrah padaMu penuh seluruh! Lihatlah aku, kasihanilah aku, kutiplah aku Wahai Allah. Ku pohon padamu,tetapkanlah hatiku.


Kembaraku baru bermula. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan aku dididik untuk terus kuat dengan semangat dan azam untuk sentiasa mengingatiMu...



Hidup adalah satu perjuangan, mana ada orang yang tidak berjuang dalam hidup. Kadang kita menang dan kadang kita tewas. Bila menang kita bersyukur dengan kurniaan dan kenikmatan hidup yang dianugerahkan Allah pada kita. Tika tewas dengan kehidupan kita perlu muhasabah diri, kembali semula kepada Allah, mohon keampunan dan petunjuk. Mungkin kita telah jauh daripadaNya. Jauhnya kita daripada Allah yang membuatkan perjalanan hidup kita suram dan gelap. Mungkin juga Allah sengaja mahu menguji iman kita. Mahu melihat sejauh mana kita pasrah dan redha dengan ketentuanNya. Mungkin Allah mahu memberi ilmu dan mendidik kita. Mungkin juga Allah mahu mengangkat darjat dan martabat kita pada satu tahap yang lebih tingi dengan ujian yang diberikan. Walau apa pun kemungkinannya, kita sebagai hamba tidak selayaknya mempertikaikan sama sekali apa saja keputusan daripada Allah. Mukmin yang baik akan akur dan redha dengan semua suratan yang Allah zahirkan dalam kehidupannya.


Bila mula mencoret sebegini, saya sebenarnya telah memberikan terapi pada diri sendiri. Walau tidak mudah menerima sesuatu takdir daripadaNya yang bertentangan dengan kehendak kita, hati perlu cuba untuk mujahadah menerima seikhlas mungkin takdir yang telah tersurat buat kita. Hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti, justeru jangan sesekali cuba untuk mengawalnya.


Kita tidak akan tahu qada' dan qadar Allah SWT, itu rahsia dalam rahsiaNya. Yakinlah sesuatu yang ditakdirkan berlaku, pasti akan berlaku. Belajarlah untuk melepaskan, usah dicalarkan iman dengan istilah 'jika' dan 'kalau'. Innalillah, redha dan pasrahlah dengan ketentuan Allah. Ketahuilah walau di tangan, di bawah mata sendiri atau di mulut sendiri, andai ditakdirkan hancur, musnah dan terlepas, pasti punah juga. Paling penting bersangka baiklah. Allah akan menyelamatkan kita. Allah akan memberi ketenangan dan keamanan. Pahit jadi ubat, manis jadi madu. Renungilah setiap kejadian itu, tentu ada hikmahnya.


Kata pujangga 'Kita akan temui semula sesuatu yang kita hilang di tempat yang kita kehilangannya, dan sesuatu pengakhiran kadang-kadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik'. Mudah-mudahan ini adalah permulaan yang baik. Amin Ya Rabbal 'Alamin...



Taman Mutiara,

Malim, Melaka

Thursday, March 24, 2011

SENTUHLAH HATI MEREKA


Minggu ni minggu yang agak sibuk sikit dalam diari hidup. Kelam kabut dengan urusan peperiksaan akhir pelajar. Sudah tidak sempat mencoret rasa lagi. Cuma entri kali ini saya mahu berkongsi sedikit cerita yang menjadi bahagian dari hidup saya. Dua, tiga hari lepas kelam kabut saya bila diminta 'on the spot' menguruskan pelajar-pelajar bukan Islam untuk satu program 'game show' dengan RTM. Tugas saya menguruskan pengangkutan pelajar selama 2 hari serta memastikan mereka dapat menyertai program tersebut sedang waktu itu saya turut berjuang dengan kertas-kertas soalan final, urusan pengawasan dan hal-hal berkaitan peperiksaan. Alhamdulillah dengan izinNya, semuanya dapat saya lunaskan dengan lancar.

Petang tadi saya dapat call daripada seorang student lelaki berbangsa India, dengan nada yang ceria dia mula berbicara 'Cik, kitorang menang program ni cik. Saya dapat first place'. Nadanya cukup ceria. 'Oh ya ka? Tahniah, tahniah... sorang lagi kawan awak dapat tempat ke berapa plak?' Saya bertanya. 'Entahlah, tapi masih dalam top rank lah'. 'Oh, bagusnya kamu'. Saya menyuntik semangat. 'Apa yang awak dapat?' Perbualan diteruskan. 'Saya dapat hamper dan wang tunai RM700'. 'Wah, besar tuh' kata saya. 'Sekali dapat RM700, macam-macam awak boleh buat'. Saya tersenyum sendirian, dalam hati berkata-kata, saya bonus setahun pun tak sampai jumlah tu tau!! hehe.. 'Ok lah cik, dapat bayar duit kamsis'. Alahai, tersentuh lah plak jiwa raga saya. =(

Mungkin mereka daripada keluarga yang tak berada, jadinya nilai tu memang satu anugerah yang tak ternilai. 'Itulah saya nak ucap terima kasih pada cik ni, sebab pilih kitorang untuk program ni kan'. 'Oh tak per, kebetulan jer, saya hanya bagi nama jer, memang awak yang usahakan untuk kejayaan ni'. Saya menahan sebak. 'Ya, apa pun, terima kasih sekali lagi yer cik'. Saya jadi terharu bila ada orang menghargai dan ingat pada jasa kita yang tak seberapa rasanya pada kita. Jasa kita yang pada awalnya tidaklah memberikan apa-apa nilai yang besar mana pun, tapi cukup memberi erti kepada mereka.

Moralnya, selagi kita boleh berbuat baik, buatlah... Walaupun pekerjaan itu adalah sekecil-kecil pekerjaan yang kita sendiri pun tidak menyangkakan apakah ada impak positif atau tidak pada natijahnya. Paling tidak saya telah berjaya menjentik hati mereka. Saya telah berjaya menambat hati mereka dengan ketulusan akhlak yang dipamerkan. Dakwah secara tanpa sedar melalui tindak tanduk dan akhlak telah terlaksana. Justeru mengambil ikhtibar ini, saya mengingatkan lagi diri sendiri untuk sentiasa melakukan kebaikan pada semua makhluk Allah, Tuhan sekalian alam tanpa mengira apa agama sekalipun. Bukankah ini juga yang telah diajarkan oleh Baginda Nabi SAW? Mereka tertarik dengan Islam kerana akhlak yang ada pada Nabi. Subhanallah...

"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." [Al-Baqarah, 2:195]




Oleh itu, sentuhlah hati mereka dengan kelembutan ahklakmu, kerana mereka juga punya hati. Sentuhlah hati mereka dengan seutuh keikhlasan kerana Allah, itulah kunci seorang da'i kerana kita tidak akan pernah tahu bila saatnya Sang Pencinta itu mencampakkan hidayah ke dalam hati-hati mereka. Hal yang selebihnya serahkan saja kepada Pemilik hati. Moga ketemu hidayah dariNYa. Amin ya Rabb...




Wednesday, March 16, 2011

ALLAH SWT MAHA MENGETAHUI SEGALA-GALANYA

Ketahuilah olehmu...
Jika kau merasa lelah dan tak berdaya dari uasaha yang sepertinya sia-sia...
Allah SWT tahu betapa keras engkau sudah berusaha.

Ketika kau sudah menangis sekian lama dan hatimu masih terasa pedih...
Allah SWT sudah menghitung air matamu.

Jika kau fikir bahawa hidupmu sedang menunggu sesuatu dan waktu terasa berlalu begitu sahaja...
Allah SWT sedang menunggu bersamamu.

Ketika kau merasa sendirian dan sahabat-sahabatmu terlalu sibuk untuk bertanya khabar...
Allah SWT sentiasa berada di sampingmu.

Ketika kau fikir kau sudah mencuba segalanya dan tidak tahu hendak berbuat apa lagi...
Allah SWT ada jawapanNya.

Ketika segala sesuatu menjadi tidak masuk akal dan kau merasa tertekan...
Allah SWT dapat menenangkanmu.

Jika tiba-tiba kau dapat melihat jejak-jejak harapan...
Allah SWT sedang berbisik kepadamu.

Ketika segala sesuatu berjalan lancar dan kau ingin mengucap syukur...
Allah SWT telah memberkatimu.

Ketika sesuatu yang indah terjadi dan kau dipenuhi ketakjuban...
Allah SWT telah tersenyum padamu.

Ketika kau memiliki tujuan untuk dipenuhi dan mimpi untuk digenapi...
Allah SWT sudah membuka matamu dan memanggilmu dengan namamu.

Ingat, bahawa di mana pun kau atau ke manapun kau menghadap...
Allah SWT maha mengetahui segala-galanya.

Tuesday, March 15, 2011

ADAB MEMBACA DAN MENGHAFAL AL-QURAN


ADAB MEMBACA DAN MENGHAFAL AL-QURAN

* lkhlaskan niat.
* Bersabar.
* Mulakan bacaan dengan Bismillah.
* Banyak berdoa kepada Allah swt.
* Bersih dari hadas kecil dan besar.
* Sebaiknya menghadap kiblat.
* Memakai pakaian putih yang bersih dan menutup aurat.
* Jangan banyak berkata dan ketawa ketika membaca dan menghafal.
* Memberikan tumpuan sepenuhnya.
* Jangan membaca ketika mengantuk atau menguap.
* Berhenti membaca ketika ingin membuang angin.
* Solat dua rakaat sebelum memulakan kelas.

SEBELUM MENGHAFAL

1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal.
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebefum mula menghafal.
8. Membaca ayat 164 surah Al-Baqarah sebelum mula menghafal.

TEKNIK-TEKNIK MENGHAFAL

A. Teknik "Chunking" (potongan2)

* Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian
yang sesuai mengikut arahan guru.
* Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau
3 bahagian) yang sesuai.
* Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut
pertukaran cerita.
* Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib,
rubu', cerita dan sebagainya.
* Memisah-misahkan Al-Qur'an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan
sebagainya.

B. Teknik Mengulang

* Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali
sebelum mula menghafalnya.
* Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih)
sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
* Selepas menghafal setiap setengah muka surat, harus diulang beberapa
kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
* Selepas menghafal satu muka surat diulang beberapa kali sebelum
diteruskan ke muka surat seterusnya.
* Sebelum menghafal bahagian Al-Qur'an seterusnya, harus diulang
bahagian yang sebelumnya.

C. Teknik Tumpu dan Ingat

* Menumpukan penglihatan kepada ayat, muka surat dan lebaran.
* Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
* Sekiranya masih lagi kabur, buka mati dan tumpukan kembali kepada
mashaf.
* Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan
mata tertutup.

D. Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman

* Pilih seorang teman yang sama minat.
* Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
* Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
* Saling menyebut ayat antara satu sama lain.

E. Teknik Mendengar Kaset/CD

* Pilih seorang qari yang baik bagi seluruh Al-Qur'an atau beberapa
qari bagi surah-surah tertentu.
* Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal
beberapa kali.
* Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari tersebut sehingga
terpahat di fikiran.
* Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari tersebut.
* Sentiasa mendengar kaset/CD bacaan Al-Qur'an dan kurangkan atau
tinggalkan pendengaran lagu-lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.

F. Teknik Merakamkan Suara

* Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk
memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
* Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian
diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut.
* Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut
beberapa kali hingga menghafalnya.

G. Teknik Menulis

* Tulis kembali muka surat yang telah dihafal. Kemudian semak semula
dengan mashaf.
* Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu', atau
setiap juz, atau setiap surah dalam sehelai kertas.

H. Teknik "Pointers" dan "Keyword`

* Buat beberapa kotak.
* Setiap kotak merupakan satu mukasurat.
* Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword
atau kunci bagi mukasurat tersebut.
* Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.

I. Teknik Menghafal Sebelum Tidur

* Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
* Semasa melelapkan mata, dengar kaset/CD bacaan ayat-ayat tersebut
dan bayangkan posisinya di minda kita.
* Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang
sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang
didengar dari kaset/CD di minda kita.

J. Teknik "Mind-mapping"

* Sagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu'. Tulis ayat
pertama rubu' tersebut dicabangnya.
* Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu'.
* Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang
lebih kecil bagi rubu'.



MENGEKALKAN HAFALAN

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka
puasa, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah swt.
4. Kerjakan solat sunat Taqwiyatul hifzi.
5. Menetapikan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah
juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau mengantuk.
8. Menulis setiap ayat yang mutasyabih.


Thursday, March 10, 2011

BUMI CINTA


Kuatkan ikatan tekad
angkat tinggi2 bendera harapan
berjalanlah menuju Allah
dengan sungguh2, tanpa lelah
jika rasa lemah menyerangmu
isi jiwamu dengan kekuatan al-Quran
libas nafsumu, jangan kasi ampun
nafsu selalu mengajakmu menuju kebinasaan.


Sudah lama mendapatkan Bumi Cinta. Sudah lama juga berusaha mengusaikannya dan begitu lama juga mengambil masa untuk mencoret setitip rasa tentangnya. Akhirnya jemari ini mula mendapat tingkah, menari2 kembali pada keyboard yang telah usang ini... heee..


Membaca Bumi Cinta karya kang Abik seolah2 tidak berada di bumi sendiri kerana latar ceritanya memang bukan di bumi sendiri..(^^). Bumi Cinta membawa pembaca terbang jauh ke Moscow. Bumi yang tidak basah dengan iman dan tauhid padaNya. Bumi yang kering dengan ghairah duniawi. Dapat saja karya ini, saya terus membayangkan watak yang macamana pula yang dibawa oleh Kang Abik lewat novelnya kali ini. Ternyata Kang Abik memang seorang yang berbakat luar biasa. Watak2 yang dibawa di dalam novelnya ternyata tidak pernah sama, berbeza semuanya antara satu sama lain.


Muhammad Ayyas telah diperkenalkan sebagai seorang graduan lulusan agama yang hidup di negara yang amat menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi iaitu Rusia. Babak2 di dalamnya menceritakan tentang apa yang berlaku pada Ayyas yang mempertaruhkan iman dan kehormatannya demi memenuhi hasrat duniawi gadis2 muda Moscow yang kecantikan mereka tiada taranya.


Pada mulanya saya merasa kekok membaca kisah Ayyas. Saya berkira2, seharusnyalah saya merasa kekok kerana saya bukan dari kaum sejenis Ayyas, saya dari kaum lawannya. Kadang sesetengah perkara menjadi isu biasa pada saya, tetapi dibincangkan dengan serius dari kaca mata seorang lelaki yang bernama Ayyas. Dari itu saya terpaksa akur dengan jalan penceritaannya kerana saya yakin sememangnya itu merupakan sorotan dari pengalaman penulis sendiri sebagai seorang lelaki. Dan baru saya tahu, banyak sekali perbezaannya... (^^)


Sungguh Kang Abik tidak menulis dengan jiwa semata, tapi juga menulis dengan ilmu, dengan tadabbur, dengan pengalaman dan dengan pengkajian yang cukup mendalam. Punya nilai ilmiah yang tinggi walau melalui bacaan yang disebut sebagai novel, yang seringkali dianggap sebagai bacaan ringan sahaja. Bila membacanya saya seakan dapat merasakan sendiri secara terus bagaimana bentuk muka bumi kota Moscow, bagaimana budaya masyarakatnya, bagaimana rupa bentuk bangunan2nya dan hampir kesemuanya tentang Moscow bermain di layar mata saya. Dalam dimensi saya sendiri, sehingga hampir2 saya merasakan saya memang berada di bumi Moscow sendiri... (^^)


Namun bila berada pada bab terakhir novel ini, kita sudah dapat menjangkakan bahawa Kang Abik sengaja meninggalkan noktah yang tidak sempurna pada akhir kalimahnya. Mungkin mahu memberi ruang yang lebih luas pada idea2nya yang segar suatu masa nanti. Klimaksnya terlalu drastik dan tidak mendamaikan jiwa kita... Apa pun, karya ini adalah antara karya yang terbaik yang pernah saya miliki. Syabas dari saya buat Kang Abik, teruskan perjuangan... (^_^)



Sunday, March 06, 2011

MASJID KG HULU


Hasil kembara kali ini, dikongsikan bersama gambar2 kenangan dan sejarah Masjid Kampung Hulu buat tatapan sahabat2 pembaca sekalian.

LOKASI

Masjid Kampung Hulu, KM 1 Kampung Hulu, 75200 Melaka.

Masjid Kg Hulu pada zaman awal pembinaannya
LATARBELAKANG

Masjid Kampung Hulu merupakan sebuah masjid yang terletak di tengah-tengah Bandar Melaka dalam daerah Melaka Tengah, Melaka.

Dibina dalam tahun 1728, Masjid Kampung Hulu di Melaka adalah masjid paling tua di Malaysia yang masih digunakan dan berada di tapaknya yang asal. Masjid ini terletak di persimpangan Jalan Masjid Kampung Hulu dan Jalan Masjid di Melaka, dalam kawasan yang kini dipenuhi kedai-kedai yang diusahakan oleh peniaga kaum Cina.

Masjid ini dibina oleh oleh penduduk-penduduk tempatan dengan pembiayaan Belanda semasa penjajahan Melaka oleh Syarikat Hindia Timur Belanda (singkatannya V.O.C.). Masjid ini dibina adalah kesan daripada perubahan dasar oleh pemerintah Belanda, yang mengutarakan dasar kepelbagaian pegangan agama. Sebelum kedatangan kaum Belanda pada tahun 1624, penjajah Portugis telah, sejak tahun 1511, memusnahkan peninggalan rumah-rumah ibadat bukan Kristian di Melaka. Antara yang dimusnahkan oleh Portugis adalah masjid yang pertama dibina di Melaka, yang kononnya terletak bertentangan dengan tapak Stadhuys sekarang.

Pemerintah Belanda telah menugaskan Kapitan untuk mengetuai penduduk tempatan dalam pembinaan tempat ibadat mereka, Dato' Samsuddin Bin Arom, seorang pendatang dari China yang telah memeluk Islam, [1] ditugaskan pemerintah Belanda untuk membina Masjid Kampung Hulu. Binaan asal kemudiannya diperbaiki oleh Sheikh Al Omar bin Hussain Al-Attas.

Penjajah Belanda juga menggalakkan kepelbagaian budaya di kalangan penduduk, dan ciri-ciri senireka masjid dari tanah Jawa telah dimasukkan di dalam senireka Masjid Kampung Hulu. Masjid ini mempunyai bumbung berlapis 3, dengan bentuk seakan-akan piramid. Ruang di antara lapisan-lapisan bumbung ini membolehkan kemasukan udara dan cahaya ke dalam masjid. Mereka percaya bahawa lapisan paling atas bumbung masjid bererti `iman manusia kepada tuhan’, lapisan kedua, `hubungan manusia dengan manusia’ dan ketiga membawa maksud `alam semula jadi yang menghubungkan manusia dengan Pencipta’.

Struktur bumbung disokong oleh 4 tiang seri di tengah-tengah masjid, yang kemudiannya membawa kepada tiang-tiang penyokong yang lain. Walaupun senireka masjid ini dipengaruhi oleh senireka Jawa, Masjid Kampung Hulu tidak dibuat daripada kayu seperti masjid-masjid di Jawa, sebaliknya dibuat menggunakan bata dan batu. Masjid ini juga mempunyai tembok rendah yang memagarkan kawasan masjid.

Seperti banyak masjid yang dibina di Melaka pada zaman itu, hiasan dengan pengaruh Cina digunakan untuk menghiasi masjid ini. Bahan-bahan seperti jubin seramik dan jubin lantai daripada kerajaan China Dinasti Ching juga digunakan. Motif-motif menghiasi tepian kubah masjid. Menara batu menunjukkan ciri senireka Melaka pada masa itu, dan dipengaruhi oleh rekabentuk pagoda orang Cina. Ukiran dan seni bina masjid menggunakan faktor alam semulajadi. Pengaruh tumbuh-tumbuhan menjadi kriteria utama seni bina dan ukiran pada bahagian dinding dan bumbung masjid-masjid berkenaan. Pada hujung bumbung terdapat ukiran berkonsepkan sulur bayur, mahkota dan awan larat.

Masjid ini adalah antara 777 bangunan bersejarah disenaraikan oleh Archnet.



Papan Tanda masjid

Pintu Utama Masjid Kampung Hulu

Pintu masuk utama

Pintu masuk ke ruang utama masjid
Tangga menuju tempat beduk di kawasan hadapan masjid
Pintu masuk ke menara yang seumpama rumah api
Tanah perkuburan pejuang2 terdahulu, di dalam kawasan tertutup adalah makam Habib Abdullah al-Hadad (ini gambar ori dari h.set saya..hehe)
Tanah perkuburan yang terletak di kawasan belakang masjid
Ruang solat utama masjid (gambar ori dari kamera saya.. (^^)...)
Pandangan sisi ruang solat utama. Gah sekali berdiri mimbar dengan ukiran berkonsep senibina China ( ori dari kamera saya juga...)
Lantera2 unik yang bergantungan memenuhi ruang ( juga ori dari kamera sy..)

Lantera lama yang unik
(ambik dr kamera sy, lupa plak nk kira ada berapa biji semuanya, nnt pergi lg kira balik)

Kawasan kolah di hadapan masjid (sumbangan kamera sy lagi..hihihi)

Kolah yang masih digunapakai samapai sekarang. Ramai yang datang ambil air kolah ni untuk pebagai tujuan. Walau apa pun tujuannya, perlu diingat bahawa semua yang terjadi adalah dengan izin ALLAH semata2.
Ha, yang ni jubah istimewa bagi mereka2 yang masuk ke sini dengan kain yang x berapa nk cukup !!!

Orang kampung saya panggil ini telaga, tapi orang Melaka xsebut telaga, mereka panggil perigi..Telaga ni kat kawasan depan masjid, sebelah kolah (^^)

Perigi yang masih digunakan juga, tidak ditimbus.
SUMBER

http://ms.wikipedia.org/wiki/Masjid_Kampung_Hulu



Friday, March 04, 2011

MASJID KG HULU (Ceritera Kembara Masjid I)

Bila hidup mula diasak dengan pelbagai ujian dan cubaan, hati jadi lemah, semangat jadi hilang. Semua kerja yg dibuat tidak terfokus. Inilah yang sedang berlaku pada saya. Benar sekali, kalau kita mencari dunia, hidup kita akan sentiasa selamanya dalam kegelisahan, itulah bukti kefanaan dunia. Usai subuh pagi 19 Februari, roh kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW masih beraroma di setiap penjuru alam. Saya berkira2, mahu buat apa saya pagi ini? Mahu seperti biasa berperang dengan penyapu, periuk dan kain baju? Lagi2 urusan ini, saya mahu meninggalkannya seketika dalam diari hujung minggu ini. Mahu keluarkah saya? Keluar sendirian? Ah, satu perkara yg membosankan. Tapi tidaklah menjadi masalah yang besar, sudah sekian lama hidup ini saya rutinkan sendirian. Tapi kalau mahu keluar, mahu ke mana? Ya, mahu mencari aroma dakwah Rasulullah, mahu mewangikan jiwa yang sedang rawan. Mahu memulakan ekspidisi kembara masjid yang sudah lama direncanakan. Saya berkira2 mahu menjejaki 3 buah masjid pagi ini. Mahu ke masjid di hadapan Taman Rempah sekejap, kemudian berdhuha di Masjid Kampung Hulu, seterusnya menyinggah seketika di Masjid Tengkera.

Kereta yang dipandu mula membelah jalan, pedal minyak ditekan, alunan lagu Layar Keinsafan dendangan Mestika memenuhi ruang, tapi fikiran saya menerawang entah ke mana2, masih berlegar tentang urusan dunia lagi. Ya Allah, hamba mu ini tahu bahawa (Tidaklah kehidupan di dunia ini kecuali kesenangan yang menipu) tetapi iman yang dangkal membuatkan diri lalai dengan nikmat yangg sementara ini. Stereng membelok ke kanan, memasuki kawasan Bukit cina, sebelah kiri jalan penuh dengan kubur2 lama cina. Tiba2 saya tersedar, ah... ke mana arah saya ni? Saya dah tersalah masuk jalan. Kalau ke sini takkan saya temui masjid yang hendak dituju dan jalannya juga akan jadi susah, sebab tidak mengikut aliran yg sama, aliran perjalanannya telah tersasar. Melaka ni bukan boleh dibuat main2, nak ke tempat yg dekat saja, tapi silap lorong jauh jadinya perjalanan. Satu2 kawasan hanya dipisahkan oleh blok2 bangunan saja, tapi semua jalan sehala, kereta banyak dan jalan yg sempit dengan tempat parking yg tidak ada, menyebabkan kadang2 orang parking jer merata2 di bahu2 jalan. Hai, panjang lamunan, sampai boleh salah masuk jalan. Sekarang macamana ni? Akal mula memikir2 menukar strategi asal dan mengira2 jalan mana yg perlu diredah semula.


Saya berkira2 mahu ke Masjid Kampung Hulu saja. Mungkin tanah Melaka yang berdaulat ini tidak mengizinkan saya melangkau kembara masjid sebelum ke Masjid tertua Kampung Hulu terlebih dahulu. Jadi dari Jalan Munshi Abdullah saya terus ke depan, melintasi jambatan Cathay, masuk ke Jalan Hang Tuah, membelok ke kiri dan terus ke Kampung Hulu. Alhamdulillah, sampai. Jalan yg dekat dah jadi jauh, tapi masih dekat lagi, sebab Melaka memang tak besar pun. Melangkah saja keluar dari kereta, terasa aura luar biasa mula mengikat atma. Selayang pandang ke perkarangan masjid, nampak seperti ada majlis. Khabarnya masjid ni memang selalu berpengunjung, dari serata negeri. Kadang2 juga menerima tetamu dari luar Malaysia. Alhamdulillah, di sinilah letaknya kekeramatan ulama2 dahulu dalam memperjuangkan Islam di Tanah Melayu. Dalam era yg cukup payah dan susah, dalam zaman Islam diludah2 musuh Islam, mereka tetap berjuang menegakkan ketuanan Islam di bumi Melaka ini. Inilah masjid pertama yg terbina di sini dalam hiruk pikuk tentera2 penjajah membantai umat Islam dari luar dan dalam, secara halus dan kasar. Inilah bukti perjuangan mereka, sebuah masjid pertama yg dibina di Tanah Melayu pd 1728 Masehi.


Sunguh benar, setelah kejatuhan Empayar Islam Othmaniyyah di Istanbul, mereka lebih berjaga2, mereka mula belajar dari sejarah. Melaka yg diramal naik menjadi sebuah tamadun baru, menjadi mata rantai menggantikan tamadun Islam di Andalus telah dicantas kasar oleh mata2 pedang mereka. Dan sungguh pula kita tidak belajar daripada sejarah seperti mana mereka. Sy mengeluh berat, satu persatu sandiwara perjuangan mereka yg terdahulu bermain di layar mata. Sungguh payah mereka mendirikan masjid ini. Masjid yg didirikan dengan keringat pejuang sejati, dengan jiwa yg kental, dengan semangat yang luar biasa, dengan air mata perjuangan, dengan darah satria sebenar. Allahuakbar, hanya al-Fatihah dan serangkum doa yg mampu saya hadiahkan buat perwira2 agama ini. Mudah2an kedudukan kalian di sana melebihi pengorbanan yg telah kalian rasakan.


Saya mula menyoroti kawasan persekitaran dengan terperinci, supaya langkah tidak tersasar dan arah tidak tersalah lagi. Saya mencari tempat wudhu', mahu memperbaharui wudhu' saja. Wudhu' yg pagi tadi memang masih ada, saja mahu merasakan kedinginan air di sini, mahu berkongsi rasa yang sama dengan mereka2 yang terdahulu. Tiba2 seorang wanita menudingkan jari ke arah tempat wudhu', agaknya melihat kelakuan pelik saya tercari2 ke sana sini. Saya tersenyum tanda berterima kasih. Usai berwudu', saya menapak ke bahagian utama masjid. Rupa2nya kalau hari minggu begini, masjid dibuka kepada umum, siapa2 saja boleh beriktikaf terus dalam ruang utama masjid tidak kira lelaki atau wanita. Kawasan masjid juga bebas dilalui oleh sesiapa saja, tidak ada kawasan yang khusus untuk kaum lelaki atau wanita sahaja. Agak pelik dan jarang berlaku pada kebanyakan masjid, tapi mungkin inilah antara budaya yang memakmurkan masjid ini. Saya mengambil bahagian paling tepi, berada di penjuru jihat kanan. Saya perempuan, tak sesuai tiba2 nak solat di tengah2 ruang utama. Jihat kanan ni agak tersorok sikit, terlindung dengan mimbar dan tiang seri. Di situ juga saya lihat seorang wanita separuh umur sedang khusyuk bermunajat. Wanita tadi bisik hati saya. Hati jadi lega, ada lagi perempuan lain sebagai peneman. Kalau tidak, tentu saya takkan masuk ke ruangan ini. Bila melihat saja wanita ini, hati terasa pelik. Ketulan darah ini mula berbicara, adakah ini seorang wali wanita yang dikatakan ramai itu? Hati berdegup kencang, mulut terkunci rapat, tidak pula berani untuk saya menegurnya. Apa pun, wallahu'alam, mudah2an Allah mengizinkan saya untuk bertemu lagi dengannya.


Dua rakaat solat tahiyyatul masjid saya kerjakan. Sungguh luar biasa berada di sini. Allahuakbar, terasa begitu damai sekali, saya jadi terbayang, kalau di sini saja sudah saya rasakan betapa gembiranya saat beriktikaf di rumah Allah, bagaimana pula rasanya kalau benar2 berada di Baitullah? Subhanallah, semestinya perasaan luar biasa bercampur gembira, sedih, hiba, terharu bertamu di jiwa. Ya Allah, izinkan aku untuk menjadi tetamu di RumahMu Ya Allah, terimalah aku sebagai tetamuMu Ya Allah. Lama beriktikaf di sini, rasa tidak mahu meninggalkannya. Salam demi salam bergantian, masih belum puas saya rasakan. Doa2 dipanjatkan dalam alunan yang penuh dengan pengharapan, sekudus doa seakan bersatu dengan aroma masjid yang mewangi. Saya tenggelam dalam permohonan pada Rabb, saya dibelai asyik oleh atar yang semerbak. Air mata mula melimpahi kolam mata. Terasa betapa jauhnya diri dari Allah, terasa betapa diri telah dihanyutkan jauh oleh dunia. Benar kata pepatah, bila tersesat, pulanglah ke pangkal jalan dan mulakanlah mengatur langkah yang baru. Di sinilah pangkalnya. kewarasan akal, kekuatan jiwa dan iman menjadi ramuan utama yang membawa kita ke pangkal jalan. Alhamdulillah, semua masalah dunia mampu kita harungi dan hadapi dengan hati yang lapang.


Waktu mula menginjak tengahari. Jam sudah menunjuk ke pukul 11.30 pagi, saya perlu bersiap2. Cadangnya mahu ke Masjid Tengkera pula. Masjid kedua dibina selepas Masjid Kampung Hulu. Sebelum meninggalkan ruang ini, saya melangkah ke bahagian hadapan masjid. Di antara dinding yang memisahkan ini terletak makam Habib Abdullah al-Hadad di luar sana. Saya berdiri lama, khali seketika, serangkai al-Fatihah saya sedekahkan buat ulama agung ini. Saat kaki mahu melangkah keluar, jiwa bagai ditahan2, kaki bagai dirantai2. Tidak mahu meninggalkan ruang ini rasanya. Bekali2 saya melangkah masuk dan keluar melalui pintu jihat kanan. Tidak tahu mengapa, seakan ada satu kuasa yg menarik2 supaya terus kekal beriktikaf di sini. Lagak saya sudah jadi seperti orang yg sudah hilang kawalan akalnya. Saya melangkah masuk lagi, lama saya merenung ke ruang utama, sekilas berkalih ke kawasan depan masjid. Air2 kolah yg memutih saya tenung dengan mata yg redup.


Anak, kenapa? Ada apa2 ke? Astaghfirullahaladzim, saya tersedar dari lamunan. Perasaan malu mula menjalar melalui urat darah dan terus singgah ke muka. Tanpa sedar, rupa2nya ada yg memerhatikan kelakuan saya. Sungguh malu, mahu mencari helah, mahu menutup aib sendiri, Eh, tak der apa2 pakcik, saja jer saya tengok kolah tu, nak ambik airnya, tapi segan, ramai pulak muslimin kat depan tu. Belum habis bicara, pantas pakcik tadi menyambung, oh, boleh, mana botol? Biar pakcik ambilkan, pakcik dah lama kat sini, dah hampir 15 tahun. Ramah sekali. Oh, ya ker, terima kasih pakcik, kejap saya ambil botol dalam kereta yer. Saya berlalu dengan senyuman menguntum di bibir. Ada2 saja.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...