Wednesday, May 30, 2012

AKU INGIN MENDOAKANMU IBU


Bismillahirrahmanirrahim...


Berada jauh daripada ibu membuatkan hati sentiasa diusik rindu. Saya merenung diri, menghitung setiap kebajikan yang telah saya lakukan. Melihat bakti apa yang telah saya curahkan pada ibunda. Kerdilnya diri, tidak banyak yang mampu saya lakukan. Hanya sekudus doa yang saya lantunkan usai solat menjadi hadiah setia menemani ibu walau di mana berada. Aku ingin mendoakanmu Ibu.... 



Ya Allah, rendahkanlah suaraku bagi mereka,
Perindahkanlah ucapanku di depan mereka,
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan lembutkanlah hatiku untuk mereka.

Ya Allah, berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya atas didikan mereka padaku dan pahala yang besar atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku,
Peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah, apa saja gangguan yang telah mereka rasakan, 
atau kesusahan yang mereka derita kerana aku, 
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,
Jadikanlah itu semua penyebab gugurnya dosa-dosa mereka,
Meningginya kedudukan mereka dan bertambahnya pahala kebaikan mereka dengan perkenan-Mu ya Allah,
Sebab hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah, bila maghfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku,
Tetapi jika maghfirah-Mu lebih dahulu mencapai diriku,
Maka izinkanlah aku memberi syafa'at untuk mereka,
Sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-Mu
Di tempat kediaman yang dinaungi kemuliaan-Mu 
Ampunan-Mu serta rahmat-Mu.

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki kurniaan Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir
dan Engkaulah yang Maha Pengasih di antara semua pengasih.

  


Ini hadiah buat Ibunda daripada saya. Ibunda yang telah melahir, menjaga dan mendidik diri sehingga mampu melangkah gagah dengan kudrat sendiri. Bukan buku kecil ini hadiahnya, tapi pengaplikasian saya daripada buku ini yang akan saya hadiahkan untuk Ibunda. Selagi ada hayat, akan anaknda persembahkan setulus doa dan akhlak buatmu wahai Ibundaku.



Tuesday, May 29, 2012

SEJUTA CINTA BUAT IBUNDA



Tanggal 13 Mei pada setiap tahun merupakan tarikh sambutan Hari Ibu yang digunapakai oleh rakyat Malaysia. Tika menulis entry ini, tarikh sambutan Hari Ibu telah berlalu hampir 3 minggu. Bagi seorang perantau yang jauh daripada tanah kelahiran, setiap hari merupakan hari ibu yang senantiasa menagihkan kehadiran ibu di sisi. Jauh di lubuk hati tertanam perasaan rindu yang amat mendalam pada bonda tercinta.

KECINTAAN SEORANG ANAK TERHADAP IBU

Kecintaan serang anak terhadap ibunya menjadi amal yang tidak boleh diremehkan begitu sahaja. Satu kisah tentang seorang sahabat yang bernama Jahimah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; 'Wahai Rasulullah, aku ingin ikut berperang dan minta pendapatmu.' Rasulullah bertanya kepadanya; "Adakah kamu masih mempunyai ibu?" Jawabnya; 'Ya, masih ada wahai Rasulullah.' Baginda berkata; "Uruslah ibumu, sesungguhnya syurga terletak di bawah telapak kakinya."

Begitu juga kisah tentang seorang sahabat yang datang menemui Rasululah SAW menanyakan sesuatu; 'Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak menerima baktiku?' Nabi menjawab; "Ibumu." 'Kemudian siapa lagi?' "Ibumu." 'Siapa lagi?' "Ibumu." 'Kemudian siapa lagi?' "Bapamu."

Seterusnya kisah yang berlaku ketika Rasulullah SAW sedang tawaf. Baginda bertemu seorang anak muda yang bahunya bengkak-bengkak. Selepas selesai tawaf Rasulullah SAW bertanya kepada anak muda itu; "Kenapa bahumu itu?" Jawab anak muda itu; 'Ya Rasulullah, saya dari Yaman, saya mempunyai seorang ibu yang sudah uzur. Saya sangat mencintai dia dan saya tidak pernah meninggalkannya. Saya hanya meletakkannya ketika buang hajat, ketika solat atau ketika istirehat. Selain itu, saya sentiasa mendukungnya." Lalu anak muda itu bertanya; 'Ya Rasulullah, apakah aku sudah termasuk ke dalam orang yang sudah berbakti kepada orang tua?' Rasulullah SAW memeluk anak muda itu sambil berkata; "Sungguh Allah reda kepadamu. Kamu anak yang soleh, anak yang berbakti. Tetapi anakku, ketahuilah cinta orang tuamu tidak akan terbalas olehmu."

Banyak lagi kisah-kisah lain yang boleh dijadikan ikhtibar seperti kisah daripada Zainal Abidin yang terkenal dengan ketaatan kepada ibunya sehingga ada yang bertanya kepadanya; 'Engkau adalah orang yang paling berbakti kepada ibu. Mengapa kami tidak pernah melihat kamu makan berdua dengannya dalam satu talam?' Apa jawapan beliau? 'Aku khuatir tanganku mengambil sesuatu yang mata ibuku lirik sehingga aku derhaka kepadanya.' Kita juga sering kali disuntik dengan kisah tentang Uwais al-Qarni yang sedia menggalas ibunya sejauh perjalanan daripada Yaman menuju Makkah untuk menunaikan ibadah haji. Tidak tergambar dalam fikiran kita, bagaimana begitu tingginya bakti yang telah diberikan kepada seorang ibu. Allah... demikianlah mereka dalam berbakti kepada insan yang telah melahir, menjaga dan mendidik mereka sehingga mampu melangkah gagah dengan kudrat sendiri.



KELEBIHAN BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Tugas seorang anak adalah berbakti kepada orang tuanya. Berbakti kepada ibu bapa adalah merupakan amal utama. Sabda Rasulullah SAW; 'Daripada Abdullah bin Mas'ud, aku bertanya kepada Nabi SAW tentang amal-amal yang utama dan dicintai Allah? Nabi SAW menjawab, "Pertama solat pada waktunya (solat pada awal waktunya), kedua berbakti kepada kedua-dua ibu bapa, ketiga jihad di jalan Allah." (HR Bukhari dan Muslim).

Kelebihan berbakti kepada ibu bapa akan mengundang reda mereka. Sabda Baginda SAW lagi; "Reda Allah bergantung pada keredaan ibu bapa dan murka Allah bergantung pada kemurkaan ibu bapa." (HR al-Bukhari). Berbakti kepada mereka juga dapat menghilangkan kesusahan yang sedang dialami iaitu dengan cara bertawasul dengan amal soleh sebagaimana kisah yang disampaikan oleh Rasululaah SAW dalam hadis yang panjang berkenaan dengan 3 orang lelaki yang terkurung dalam gua. Mereka bertawasul melalui amal terbaik yang pernah dilakukan dengan harapan agar Allah menghilangkan kesukaran yang dihadapi. Salah seorang daripada mereka telah bertawasul dengan amal bakti yang dilakukan terhadap ibu bapa yang sudah tua melebihi diri sendiri dan keluarganya. Dengan izin Allah, kesukaran mereka telah dihilangkan dan diangkat oleh Allah SWT. 

Dalam riwayat yang lain disebutkan, berbakti kepada ibu bapa mesti didahulukan daripada berbuat baik kepada isteri, sebagaimana yang berlaku kepada Abdullah bin Umar ketika diperintahkan oleh bapanya Saidina Umar al-Khattab supaya menceraikan isterinya. Dia bertanya kepada Rasulullah SAW dan Baginda menjawab; "Ceraikan isterimu." (HR Abu Daud dan Tirmidzi). Berbakti kepada ibu bapa juga akan diluaskan rezeki dan dipanjangkan umur serta akan dimasukkan ke syurga oleh Allah SWT serta merupakan sifat para nabi, sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT berkenaan Nabi Yahya dalam surah Maryam ayat 14, Nabi Isa dalam surah Maryam ayat 32 dan Nabi Ismail dalam surah al-Saffat ayat 102. Lebih daripada itu, janji yang paling menggembirakan hati ialah apabila semua amal soleh diterima dan kesalahan-kesalahan diampunkan. Siapa yang tidak gembira apabila amal solehnya diterima dan kesalahannya diampunkan? 

Walau bagaimanapun, perlu kita fahami secara benar bahawa kewajipan birrul walidain bukan kerana politik balas budi anak kepada ibu bapanya, tetapi kerana Allah SWT memang memerintahkan demikian. Sebagai manusia, kadang kita tersalah melakukan sesuatu yang tidak disenangi oleh orang tua atau juga telah membuatkan mereka bersedih hati dengan perbuatan dan perkataan kita. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merekodkan, Abu Bakr berkata dalam kitab Zaadul Mafasir, "Barangsiapa yang menyebabkan kedua-dua ibu bapanya marah dan menangis, maka dia harus mengembalikan kedua-duanya agar mereka boleh ketawa kembali."

Saya merenung diri, menghitung setiap kebajikan yang telah saya lakukan. Melihat bakti apa yang telah saya curahkan pada ibunda. Kerdilnya diri, tidak banyak yang mampu saya lakukan. Hanya sekudus doa yang saya lantunkan usai solat menjadi hadiah setia menemani ibu walau di mana berada. Aku ingin mendoakanmu Ibu....



Sunday, May 06, 2012

DIRIMU YANG TERTULIS UNTUKKU


Bismillahirrahmanirrahim, saya menulis dengan nama Allah. Entry kali ini membuatkan sudut pandang saya berubah 360 darjah. Temukan setiap masalah dan kekurangan dalam hidup pada titik positif. InsyaAllah semuanya akan menjadi indah dan manis. Kali ini saya muatkan satu edisi siasat, bedah hati seorang isteri dalam merungkai persoalan hati seorang suami. 


Kenapa awak menerima saya?

Kenapa awak menerima saya sedang awak tahu yang saya cuma orang biasa, tidak sepadan bergandingan dengan awak yang memiliki semua kelebihan berbanding saya. Ceritalah dengan jujur, saya ingin mengetahuinya. Siapa saya pada pandangan awak. 



SUAMI : Saya seorang yang tidak berharta. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI  : Saya bermodalkan Firman Allah SWT; "Dan nikahkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu, dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui." (Al-Nur: 32)

Saya bersangka baik dengan Allah, janji-Nya pasti dipenuhi. Saya melihat harta dalam konteks yang lebih luas. Mudah-mudahan Allah akan menganugerahkan anak-anak yang soleh sebagai harta buat kita. Jariahnya tidak habis-habis walau sampai kita ke alam sana.


SUAMI  : Saya seorang yang tidak berjawatan tinggi. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI  :  Saya bertawakkal kepada Allah. Firman Allah SWT; "Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." (Al-Talaq: 2-3)  "

Saya menganggap ini ujian yang sedang Allah berikan pada saya. Mudah-mudahan suatu hari nanti akan ada jalan keluarnya. Sementara kita temui jalan keluarnya, akan saya jadikan ini sebagai ladang amal buat saya untuk bercucuk tanam benih-benih pahala di dalamnya.


SUAMI  :  Saya seorang yang tidak kacak dan tampan. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI :  Saya memahami bilamana Allah tidak memandang rupa manusia, kenapa perlu saya melampaui tentang hal itu? Sabda Rasulullah SAW; "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, juga tidak memandang kepada harta kamu, akan tetapi Allah melihat kepada hati dan amalan kamu." (HR Muslim)

Saya menerima bahawa saya juga tidaklah secantik bidadari-bidadari yang diciptakan Allah itu. Kecantikan dan ketampanan itu anugerah Allah. Orang yang memiliki fizikal yang menawan lebih cenderung untuk merasa takjub pada kelebihan yang ada padanya. Pintu-pintu fitnah lebih dekat pada mereka. Begitu juga pada pasangan mereka. Sedang orang yang sederhana itu, hatinya sentiasa tunduk dengan menerima kekurangan yang ada. Mudah-mudahan tidak ada fitnah ke atas awak yang akan memberatkan jiwa saya suatu hari nanti.


SUAMI : Saya seorang yang sudah tidak beribu dan berbapa. Kenapa awak menerima saya?
ISTERI  : Ibu ayah awak adalah ibu ayah saya juga. Firman Allah SWT; "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." (Al-Isra': 23)

Saya bersyukur pada Allah atas taqdir ini. Allah telah menyelamatkan saya daripada tersalah melakukan sesuatu yang mungkin menyakitkan hati orang tua suatu ketika nanti. Allah telah meringankan sebahagian daripada sebab-sebab yang memungkinkan saya melakukan dosa secara sedar atau tidak. 



SUAMI  : Itu saja? Ada lagi tak?
ISTERI  : Ya, yang paling penting saya menerima awak adalah kerana agama yang ada pada awak. Sabda Rasulullah SAW; "Apabila datang (meminang) kepadamu orang yang kamu redha agamanya dan akhlaknya, maka kahwinkanlah. Jika tidak kamu laksanakan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan kerosakan yang luas." (HR Tirmidzi) 

Saya takut andai saya menolak, sesuatu yang buruk akan berlaku. Dan ketahuilah wahai suamiku, sesungguhnya nama kita telah disandingkan di langit Allah. Awaklah yang telah tercatat kemas untuk saya di Luh Mahfuz. Awaklah imam, nakhoda dan ayah kepada anak-anak kita nanti. Mudah-mudahan saya sudah dikira lulus dalam ujian ini.




Syukur, segala puji bagi Allah. Memiliki ISTERI SOLEHAH merupakan satu keberuntungan buat seorang suami. Sabda Rasulullah SAW; "Barangsiapa diberikan isteri yang solehah, maka sesungguhnya ia telah diberikan pertolongan untuk meraih separuh daripada agamanya. Kemudian hendaklah ia bertakwa kepada Allah dalam memelihara separuh yang lain." (HR Thabrani dan Hakim)


Alhamdulillah juga. Kesemua yang terlakar diambil sebagai turning point kepada matlamat sebenar sebuah perkahwinan. Ayuh wanita! Berkongsilah apa yang ada pada kalian, jadilah sesuatu yang menguntungkan orang lain yang dengannya tidak sedikitpun merugikan dirimu. Win-win situasion diredhai Allah. 




Thursday, May 03, 2012

PBAKL '12



Segala puji bagi Allah, Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Kekasih kita Ibnu Abdullah, Muhammad SAW. Selesai sudah satu agenda daripada sekian banyak acara tahunan yang ditunggu-tunggu. Menjadi salah seorang daripada pengunjung PBAKL merupakan acara yang tidak boleh dilepaskan. Melihat dalam konteks yang lebih jauh, saya memahami erti pencarian ilmu sebagai sebarang usaha yang dilakukan dalam memastikan kita mendapat serta memperolehi ilmu. Bagaimana cara dan kaedah mendapatkannya, itu terpulang kepada individu.

Sabda Baginda Rasul SAW; "Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan menuju ke syurga." (HR Muslim). Bertitik-tolak daripada sinilah, maka telah saya gagahkan diri sejauh bumi Melaka menempuh pelbagai perkara yang tidak menyenangkan dan memenatkan diri untuk bersama-sama dengan para pencinta ilmu dalam merasai hangatnya keinginan mendapatkan salah satu daripada perantara kepada satu-satu disiplin ilmu, iaitu ~BUKU~.

PBAKL kali ini memang cukup luar biasa dan meriah sekali. Selama 3-4 tahun berkunjung kes ini, tidak pernah saya dilemaskan dengan lautan manusia yang sebegini. Begitu juga, tidak pernah purse saya dinipiskan seperti kali ini. Alhamdulillah, ini menunjukkan mentaliti dan gaya hidup masyarakat Malaysia sudah banyak berubah. Baiklah... saya mahu kongsikan hasil selaman saya dalam lautan manusia tempohari.


 


Inilah hasil permusafiran seharian ke PBAKL '12. Saya seorang pembaca yang berspeed perlahan. Mengurut dada juga bila melihat susunan ini. Kata mereka yang bijak pandai; "Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca, kerana membaca itu sumber hikmah." Teraburnya susunan buku-buku ni... :)




Susun elok-elok sikit, baru nampak judul buku. Kata mereka yang bijak pandai lagi; "Orang yang tidak membaca sama buruknya dengan orang yang tidak boleh membaca." Kuatkan semangat, jom baca! :)





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...