Petang tiba-tiba berubah wajah. Redup, setelah galak matahari memancarkan terik di siangnya tadi. Cuti hujung minggu ini terasa hambar sekali, walau telah saya cuba muatkan dan padatkannya dengan pelbagai aktiviti. Semalam telah berlalu, hari ini tingal beberapa jam lagi untuk menginjak malam, seterusnya akan bertemu dengan esok jika Allah masih berkehandakkan nyawa kekal dalam jasa yang sebatang ini. Ke hulu ke hilir saya bersa'ie dalam keluasan kediaman yang tidak seberapa. Semuanya tidak menceriakan. Hobi-hobi yang biasanya mampu menghiburkan hati dan mengalih laju gerakkan masa juga tidak berselera untuk saya tekuni. Masih ada 7-8 buah buku yang belum saya sentuh, dan cadangnya mahu dikhatamkan sebelum ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 dalam masa 2-3 hari lagi, tapi dipandang sepi saja. Bila menapak ke bilik belakang, mata terpacak pada beberapa pasang kain yang telah digunting 2 hari lepas, masih belum berjahit lagi. Biarkan dulu, tak mahu saya fikirkan lagi pasal kain-kain tu.
Berkalih ke bahagian dapur, buka pintu peti ais, haaiih... ada sebakul telur itik dalam bilangan 20 biji bekalan ibu dari kampung yang perlu ditelur masinkan, hihi... kalau tidak, nanti rosak. Biarkan juga dulu. Saya cuba yang lain, menekan-nekan laman sosial berkaler biru putih. Sama! Bosan dan muak, tak semesra dulu. Pendek cerita, saya hilang mood! Resah rasanya, bila tidak mampu berbuat apa-apa. Alihnya, saya cuba gagahkan juga. Saya mahu menulis sesuatu hari ni sebelum siang melabuhkan tirainya. Jariah saya di sini hari ini. Saya mahu berkongsi apa yang saya dapat sewaktu kuliah dhuha pagi tadi. Kuliah dhuha di Pondok Baitul Qurra' biasanya disampaikan sendiri oleh mudirnya Tuan Guru Ustaz Zulkifli bin Hj Ismail, namun disebabkan Ustaz Zul ada majlis bersama ulama maka kuliahnya diganti dengan adik beliau yang juga tidak kurang hebatnya. Kuliah diganti oleh Ustaz Syauqi Hj. Ismail yang masih muda belia, namun ilmunya cukup ampuh. Subhanallah... 'Alim.
Bicara ustaz bermula dengan kata ulama' : 'Jika seseorang manusia itu tidak diberikannya selain daripada 3 nikmat ini, maka itu sudah mencukupi untuk dia mengecap kebahagian hidup di dunia dan untuk dia mengecap kebahagian yang kekal di akhirat. Tiga nikmat yang dimaksudkan itu adalah nikmat Iman, Islam dan juga nikmat menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Nikmat menjadi seorang Mukmin, Muslim dan umat Nabi Muhammad merupakan sebesar-besar nikmat yang wajib disyukuri oleh setiap mereka yang dianugerahkannya. Kita tidak merancang semua ini, tetapi dengan kasih sayang Allah kita telah ditakdirkan untuk mejadi dan memiliki ketiga-tiga nikmat ini. Subhanallah... Kebahagiaan di dunia dan akhirat pasti menjadi milik kita andai kita benar-benar menghayatinya dengan hati yang celik.
Nikmat Iman dan Islam telah sekian banyak dibahaskan oleh para ulama, begitu juga dengan nikmat menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Bila menjadi umat Nabi Muhammad SAW, setiap yang kurang itu menjadi lebih. Bergembiralah wahai hati dengan kelebihan yang telah diberikan oleh Sang Pencipta ini.... :). Sungguh Allah telah mencukupkan nikmatnya atas kita. Kata Nabi Allah Adam AS; 'Beberapa kemulian umat Muhammad yang tidak diberikan kepada umat aku antaranya;
1) Aku diberikan taubat di Makkah, sedangkan umat Muhammad tidak kira di mana-mana saja tempat yang mereka rasakan mereka mahu bertaubat.
2) Ketika aku melakukan maksiat maka Allah menelanjangkan aku, sedang aku dalam keadaan berpakaian. Namun umat Muhammad melakukan maksiat dalam keadaan bertelanjang sekalipun, Allah masih memberikan pakaian kepada mereka.
3) Nabi Muhammad telah meminta doa mustajabnya ke atas umat disimpan untuk akhirat sebagai syafaat. Sedang nabi-nabi terdahulu telah menggunakannya, dan sebahagiannya dipohon untuk membinasakan umat mereka yang terdahulu.
Kita juga selalu terfikir tentang ketidaksamaan umat Muhammad SAW dari pelbagai sudut. Kita bertanya-tanya kenapa dan mengapa untuk mendapatkan kepastian. Bukankah kita sering bertanya;
1) Kenapa umat Muhammad dijadikan dengan berbadan kecil?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan kecilnya saiz ini akan menjimatkan mereka daripada perbelanjaan makan dan minum yang banyak.
2) Kenapa umat Muhammad pendek umurnya?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan pendeknya umur mereka supaya mereka tidak banyak melakukan maksiat.
3) Kenapa umat Muhammad dijadikan faqir dan miskin?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan faqir dan miskinnya mereka itu adalah supaya Allah tidak menghitung mereka dalam waktu yang lama untuk masuk ke syurga.
4) Kenapa umat Muhammad dijadikan sebagai umat terakhir?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan menjadikan mereka umat terakhir supaya mereka tidak berada lama dalam kubur.
Ketahuilah semua yang termaktub itu ada bersamanya hikmah buat kita. Bukankah kelainan itu satu daripada bentuk keistimewaan...? Perbanyakkan selawat ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW sebagai tanda syukur dan bukti kecintaan kita. Wahai Allah... Alhamdulillah atas segala nikmat yang dikurniakan.
2 comments:
salam.adapun ALLAH SWT memulikan umat nabi SAW bukan krn apa... tetapi krn umat ini diberi tugas dakwah - mengajak kpd kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kpd Allah SWT. berbeza umat2 terdahulu tugas dakwah hanya diberi kpd Nabi2 shj. Apabila nabi SAW wafat, maka kerja nabi diteruskan pula oleh umatnya. tiada nabi baru akan turun. walaupun org buat maksiat dlm masjid, tiada nabi baru akan diturunkan . Nabi ISA A.S pula akan trn pn sbg umat nabi SAW.
nak banding dgn umat dahulu, kita kalah dg sg ibadah, saiz dan umur. kita hanya dilebihkan krn ada tugas Allah SWT berikan -mengajak manusia kpd ALLAH SWT, mengajak manusia membesarkan ALLAH SWT, mendidik manusia mengeluarkan kebesaran makluk dlm diri di sampaing itu itu taat setiap perintah Allah SWT dgn ikuti cara yg telah ditunjukan oelh Nabi SAW cth nya solah fardu secara berjemaah, sebaik msk waktu dan di rmh Allah SWT. inilah yg telah dilakukan oleh para sahabat R.Ahum. krn itu mrk berjaya dunia dan akhir dan Allah SWT reda akan dan mrk . Umar R.A bg tau kalo mau jadi umat mulia dan terbaik sptmana yg ALLAH SWT jelaskan dlm AlQuran, maka krna ikut dan buat apa yg sahabat telah buat. sahabat keluar bg masa utk mengajak manusia kpd Allah SWT dan amlkan sunnah dlm kehidupan. sekian. salam
IPB 4 bulan
Post a Comment