Sunday, October 16, 2011

QASIDAH NABAWIYYAH - RATIB AL-HADDAD



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai sudah Majlis sempena memperingati kewafatan al-Habib Abdullah al-Haddad yang ke 300 tahun di Malaysia. Syukur pada Allah SWT yang telah menemukan saya dengan insan-insan yang terpilih atas landasan agama-Nya, sehingga melorongkan saya untuk bersama-sama dengan mereka mengutip permata berharga tinggalan Rasulullah SAW. Sungguh saya merasa cukup bertuah dipilih oleh Allah SWT untuk duduk bersama-sama dengan keluarga Nabi SAW. Hilang segala sedih yang mengepung jiwa, diganti dengan damai yang mula menyerap masuk mendinginkan hati.

Duduk bersama dengan sosok silsilah keturunan Baginda SAW sudah cukup membuatkan kita tersenyum bahagia mengharapkan pertemuan dengan Baginda SAW nanti. Apatah lagi jika dapat bersama dengan Rasulullah SAW. Bayangkan, sekiranya kita dipilih untuk duduk dalam majlis bersama dengan Rasulullah SAW. Mendengar kalam indah yang keluar dari bibir Baginda, mengutip permata hikmah yang tidak ternilai untuk dijadikan bekal sepanjang perjalanan. Allah... Sungguh indah bukan?

Terlalu banyak perasaan yang mahu digambarkan, terlalu banyak pengalaman yang mahu dikongsikan. Namun daripada sekian banyak perkara yang mahu dikongsikan ini, saya lebih tertarik untuk tinggalkan sahabat pembaca sekalian dengan Qasidah Nabawiyyah yang disusun di dalam ratib al-Haddad.



Cukup bagiku pengetahuan Tuhanku – Daripada permintaan dan usahaku.

Doa serta permohonanku – Sebagai bukti pada kefakiranku.

Oleh kerana rahsia itu aku berdoa – Pada saat aku senang atau susah.

Aku adalah hamba menjadi kebanggaanku – Dalam kefakiran dan keperluanku.

Wahai Tuhanku yang memilikiku! – Engkau Maha Mengetahui akan keadaanku.

Dan apa yang berada dalam hatiku – Dari kesedihan dan kesibukanku.

Maka tolonglah aku dengan kelembutan – Dari-Mu wahai Tuhan seluruh hamba.

Wahai Yang Maha Pemurah tolonglah hamba – Sebelum lenyap kesabaran hamba.

Wahai Pemberi Pertolongan dengan segera – Berikanlah kami dengan segera pertolongan-Mu.

Yang dapat menghilangkan kesulitan dan dapat mendatangkan - Dengan apa-apa yang kami harapkan semua.

Wahai Yang Maha Dekat dan Jawab – Wahai Yang Maha Mengetahui dan Mendengar.

Aku mengaku akan kelemahanku – Dan ketaatan serta kesedihanku.

Aku sentiasa menungu di hadapan pintu rahmat-Mu – Wahai Tuhanku berikalah rahmat padaku.

Pada lembah kurnia-Mu aku berada – Wahai Tuhanku tetapkanlah keberadaanku di sana.

Aku sentiasa mempunyai prasangka baik – Ia (prasangka baik) adalah teman dan kawanku.

Juga penyenang bagiku dan setia bersamaku – Sepanjang malam dan siangku.

Wahai Tuhanku, dalam jiwa ini terdapat hajat – Tunaikanlah wahai Yang Maha Menunaikan.

Tenteramkanlah rahsia dan hatiku – Dari kebimbangan dan pergolakannya.

Dalam kegembiraan dan kebahagiaan – Apabila aku telah redha dan puas hati.

Maka ketenangan dan kegembiraan adalah keadaanku – Serta ia menjadi ‘pakaian’ dan ‘selimut’ yang menyelubungiku.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...