Bismillahirrahmanirrahim....
Masih belum selesai berbicara soal Majlis Haul yang diadakan di serata tempat. Majlis yang di dalamnya berkumpul para Habaib dari silsilah Nabi SAW. Majlis yang telah mengalir dan membasahkan relung jiwa dengan rasa kecintaan ke hadrat Penghulu seluruh manusia ini. Majlis yang dipenuhi dengan selawat kepada Baginda SAW. Majlis yang diikuti dengan puji-pujian kepada Allah SWT. Subhanallah! Majlis zikir dan majlis ilmu adalah taman-taman syurga. Berdamping dengan para ulama adalah merupakan satu nikmat dan anugerah.
Sememangnya bulan Zulkaedah ini merupakan bulan yang penuh dengan penghayatan serta bulan penyubur kasih sayang pada junjungan besar Habibuna Muhammad SAW. Alhamdulillah, program-program serta majlis-majlis sempena memperingati pulangnya Imam al-Hadad menemui Allah SWT telah menyampaikan kita pada sirah junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Masih belum puas melempiaskan kerinduan pada Habibuna lewat qasidah dan puji-pujian. Justeru, ayuh kita basahkan lagi jiwa dengan alunan bait-bait nasyid dendangan Abdulrahman Mohammed ~ Law Kaana Baynana. (^___^)
Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa. Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan Keampunan-Mu dan sifat Pemurah-Mu, dan kebebasan daripada neraka-Mu, dan juga syurga bersama-sama Penghulu seluruh manusia. Kami mohon pada-Mu. Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku, dari sudut hati kami yang paling dalam.
Kalaulah Kekasih-Mu masih berada bersama-sama kami, akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah dengan haruman baginda. Sebelum hilangnya rasa, rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasih-Mu. Berada berhampiran Baginda jiwa turut menjadi harum, dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah akan diperkenankan. Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna.
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda, wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba. Hidayah-Mu kepada alam merata luas, tanda hampirnya kasih sayang Tuhan Pemberi hidayah. Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih. Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.
Ku tebus diriku dengan dirimu, wahai kekasihku Nabi Muhammad yang mulia, yang asing. Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum. Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam. Wahai kekasihku, wahai Muhammad, wahai pengubat hatiku, wahai yang dupuji dipuja. Dirimu memiliki kelebihan yang diakui oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.
No comments:
Post a Comment