Sunday, January 15, 2012

DI BAWAH LINDUNGAN KA'BAH (FILEM)



Pada waktu industri perfileman tanah air dikritik hebat buat kesekian kalinya dengan kemunculan filem Ombak Rindu yang menjadikan agama sebagai modus operandi meraih keuntungan semata, maka di tanah seberang sana muncul pula filem Islami yang juga idea asalnya digarap daripada novel. Novel tua karya Buya Hamka Di bawah Lindungan Kaabah. Filem fenomena Islam yang entah ke berapa kalinya dihasilkan mereka. Walau serumpun, namun idea, semangat, kreativiti dan kefahaman tetap tidak sama. Kita masih jauh ketinggalan di belakang. Sisa-sisa penjajah masih utuh memasak pemikiran dan gaya hidup.



Sungguh menyedihkan, seakan fenomena baru dalam dunia perfileman apabila kebanyakan filem dan drama memasukkan elemen-elemen agama. Tidak salah, namun cara dan gayanya tidak kena. Secara kasarnya boleh dikatakan agama telah dipergunakan, agama menjadi tempelan dan penghias pada babak-babak yang jauh sekali daripada nilai-nilai kemanusiaan. Fatamorgana semuanya ini!



Namun hal ini dilihat jauh berbeza dengan latar cerita bagi filem Di bawah Lindungan Kaabah. Di bawah Lindungan Kaabah adalah cerita tentang ketabahan, tentang semangat, tentang kesungguhan, tentang kekuatan jiwa, tentang kekentalan jiwa, tentang kesetiaan, tentang cita-cita menuju Allah, tentang kisah cinta yang tidak kesampaian, tentang kisah rasa yang terpendam dengan air mata, tentang kisah kebergantungan yang tinggi dengan Allah SWT. Kisah yang penuh dengan air mata, kisah tentang cinta yang terkubur.





Pertama kali saya mengenal dan bertaarufan dengan Buya Hamka lewat karya-karya agamanya ketika dibangku kuliah. Saya terus menyusurinya lewat karya-karya beliau yang lain. Saya terus jadi terpikat dan jatuh hati melalui novel-novel tulisan beliau. Saya khatamkan novel Di bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Sementara novel yang belum saya dapatkan lagi antaranya Merantau ke Deli, Keadilan Ilahi, Ayahku dan mungkin banyak lagi yang di luar daripada pengetahuan saya, dan ianya perlu terus disingkap. Baiklah bagi menyorot kisah ini secara menyeluruh, mari lihat kata-kata indah yang terselit dalam filem ini.



Tentang kesungguhan dan ketidak putus asaan dalam hidup


“Masih banyak ilmu yang harus saya cari. Dan tu tidak bisa saya dapatkan dengan hanya berdiam diri.”



Tentang keyakinan ma’iyatullah (kebersamaan Allah)


"Apapun yang akan terjadi Hamid, ingatlah ketika engkau tak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup."


“Tak tegar aku meninggalkan mu sendirian mak.” “Bukankah kau juga pergi sendirian Hamid? Dan kita tahu sebenarnya kita tak pernah sendirian, kita punya Allah.”


“Kamu tidak pernah sendiri!”



Tentang cinta dan kasih sayang


“Untuk melewati badai, kita harus terus berjalan dan bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan hanya ada 2 hal yang harus kita bawa, keyakinan dan cinta.”


“Bahawa apa yang saya rasakan untuk Zainab terlalu besar berbanding kesedihan ketika saya difitnah dan diusirkan daripada kampung ini.”


“Lelaki yang mencintaiku dan aku cintai.”



Tentang Kebergantungan sepenuhnya terhadap Allah


“Allah yang akan menentukan hidup kita Mid, bukan manusia lain.”


“Ku titipkan surat ini untuk Hamid Leh.” “Aku harus temui Hamid di mana?” “Aku tak tahu. Siapa tau kau bertemu Hamid di pelabuhan ketika kapalmu singgah, atau di Mekah. Kau bawa sajalah surat itu. InsyaAllah, kalau Allah melindungi surat itu, pasti akan sampai di tangan Hamid. Biarlah surat itu menempuh takqirnya sendiri.”



Tentang segalanya yang melebihi kehendak diri


“Pendamkan saja rasa yang bersarang. Telan saja pahit yang mengelatkan hatimu.”


"Sampai kapanpun, emas takkan setara dengan loyang dan sutera tak sebangsa dengan benang."



Surat daripada Zainab kepada Hamid


Aku beranikan menulis surat ini dengan keyakinan surat ini akan dibawa ke rumah-Nya, di mana ku tahu di sanalah engkau akan tiba. Setiap pagi aku terbangun dengan air di mata. Bukan kerana aku menderita oleh cinta, bukan juga kerana hidup yang tak berpihak kepada kita, tapi kerana syukur bahawa dia masih memberiku nafas untuk menunggumu. Dan di sinilah aku hamid, menunggumu satu-satunyanya lelaki yang aku bayangkan akan menjadi imamku kelak. Lelaki yang mencintaiku dan aku cintai. Hamid, jika dunia ini terlalu sempit untuk kita, biarlah Allah membukakan pintu lain untuk kita ke tempat di mana sejenis sesuatu menjadi abadi. Dan semoga ketika dunia tidak merestui cinta kita, kita punya Allah yang akan merestuinya.



Zainab



Surat daripada Hamid kepada Zainab


Zainab, maafkan aku pergi tanpa sempat pamit secara pantas kepadamu. Maafkan aku kerana baru berkirim khabar setelah melalui perjalanan yang panjang. Dan saat ini, akhirnya aku bisa berada di tanah suci Mekah. Selama perjalanan panjang kelmarin Zainab, kau memang tak hadir secara kasar mata di dekatku, tapi aku tak perlu mata untuk merasakan kehadiranmu ke dalam jiwaku. Tuhan memberiku kekuatan luar biasa untuk terus mencintai. Bahkan di saat-saat ku kalah, cinta ku tak dibiarkan lekang dan hilang. Maka di sinilah aku berada Zainab, di negeri di mana impian kita berpusat. Ku bawa jiwamu, cintamu dan cinta-Nya bersama ku. Teruslah memohon Zainab, agar cinta kita menuju jalan terindah milik Allah semata.



Hamid






Ya Rabbi Ya Tuhanku... Engkau Yang Maha Tahu Ya Allah. Engkau yang telah memilihkan jalan mana yang harus ku tempuh. Engkau tak pernah membiarkan diriku sendirian menempuh. Kau juga yang telah menanamkan cinta dalam jiwa ini. Kau selalu menjaga cinta ini sebagaimana kau menjaga jiwa ini. Tak ada seutaas talipun tempat aku bergantung selain tali-Mu ya Allah. Tak ada satu pun pintu akan ku ketuk selain pintu-Mu. Ya Rabbi ya Tuhanku yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Kaabah, aku serahkan cinta dan jiwa ini kembali kepada-Mu.



Allah... indah sungguh rangkaian kata-kata yang digubah Hamka. Dibaca pada zaman yang terkedepan, namun masih tidak dirasakan tua. Malah masih indah nian membelai jiwa. Teringat saya pada tulisan Syaikh Dr Aa’idh ibn Abdullah al-Qarni dalam kitab besar karangan beliau La Tahzan, 'sekiranya anda ingin ucapan dan syair anda menyentuh hati pembacanya, maka masuklah terlebih dahulu ke dalamnya, kemudian sentuhlah, rasakanlah dan resapilah, nescaya anda akan merasakan sendiri bahawa ucapan dan syair anda tadi mampu mempengaruhi orang lain.'



Kalau yang ditulis itu ikhlas datangnya dari hati, maka ianya akan terus sampai dan masuk menyentuh hati. Benar sekali, menulis dengan rasa akan memberi rasa. Buya Hamka telah menulis dengan rasa dan memberikan roh pada karya tulisannya sehingga saya mula berbisik, ini bukan kisah Romeo dan Juliet, ini bukan kisah Laila dan Majnun, ini bukan kisah Shah Jehan dan Mumtaz Mahal, bukan juga kisah Hayati dan Zainuddin, tapi ini adalah kisah tentang Hamid dan Zainab! Ini adalah kisah tentang dua jiwa dan dua harapan yang berbeza. Kedua-dua harapan yang berbeza itu sebenarnya berada dalam satu keinginan yang akhirnya bersatu Di bawah Lindungan Kaabah.



Mungkin saya terlalu berlebih-lebih dalam menukilkan tentang Di Bawah Lindungan Kaabah. Walau apa pun, paling tidak ada barisan pelangi yang muncul bersama mentari, mula menyinari dan mewarnai dunia Islam. Kala ini, saya juga sudah mula melirik, tersenyum melihat keindahannya. Subhanallah...


Monday, January 09, 2012

KOTA BHARU-TIDAK TUTUP AURAT KOMPAUN RM500

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my




KOTA BHARU - Seramai 15 peniaga dan pekerja wanita beragama Islam di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) pada operasi tutup aurat di sini malam kelmarin.


Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Islam MPKB-BRI, Wan Sharafi Wan Mustafa berkata, mereka dikenakan tindakan tersebut kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.


Menurutnya, tindakan tersebut diambil mengikut Undang-undang Kecil Trade Perniagaan MPKB-BRI 1986 (pindaan 2002).


Jelas beliau, penguatkuasaan larangan mendedah aurat itu dikenakan kepada golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perniagaan mereka di bandar ini tanpa mengira waktu.


"Operasi itu diadakan selepas mendapati ramai peniaga dan pekerja wanita beragama Islam tidak menutup aurat walaupun pekeliling bertajuk Arahan Mematuhi Etika Berpakaian telah dikeluarkan sebelum ini," katanya.


Mereka yang dikenakan tindakan itu didapati tidak memakai tudung kepala, memakai kemeja-T berlengan pendek dan ketat serta berseluar panjang ketat.


ANGGOTA penguat kuasa MPKB-BRI memeriksa peniaga dan pembantu kedai yang tidak menutup aurat di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, Kota Bharu malam kelmarin.





Namanya pun SERAMBI MEKAH, memang patut sangatlah kan? Aceh dan Kelantan banyak berkongsi persamaan. Ya Allah, kekalkanlah jajahan ini sebagai sebuah daerah yang patuh melaksanakan syariat-Mu, tetap kekal istiqamah di atas jalan-Mu. Limpahkan kesihatan kepada pemerintahnya serta kebahagian dan ketenangan hati pada setiap pemilik jiwa di daerah ini....






Sumber - kosmo

Thursday, January 05, 2012

PEMUDA PUNK BANDA ACEH KENA RENDAM DALAM SUNGAI



Dengan mengenakan pakaian seragam polis, 65 pemuda punk itu berjalan dalam tiga barisan lurus. Mereka bergerak menuju ke dataran Kompleks Sekolah Polis Negara (SPN) Seulawah di Aceh Besar, Sumatera, Indonesia. Melangkah penuh disiplin, mereka kemudian duduk bagi mengikuti sesi kaunseling membina jati diri yang dikelolakan oleh Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU). Di situ, mereka tidak dilayan sebagai pesalah sebaliknya digelar pelatih memandangkan mereka dikehendaki mengikuti sebuah modul pemulihan akhlak dan jati diri dalam tempoh tertentu.


Pada sesi itu, beberapa remaja kelihatan menundukkkan kepala sambil mengesat air mata. Selam 10 hari mengikuti kem motivasi diri itu, mereka diajar menguruskan kehidupan dengan lebih baik yang semestinya berteraskan agama Islam. Samada terpaksa atau atasa kerelaan sendiri, rata-rata komuniti punk Acheh itu mengaku menyesal atas kealpaan mereka selama ini.


Pada 10 Disember lalu, 65 remaja dan belia punk itu ditahan ketika mereka menghadiri konsert punk di Banda Acheh. Golongan punk umumnya tidak diterima oleh masyarakat Acheh. Malah, lelaki tidak dibenarkan menyimpan rambut panjang di wilayah yang melaksanakan undang-undang syariah itu apatah lagi membuat rambut tercacak.


RANTAI ANJING


Semasa ditahan kesemua mereka didapati memiliki elemen budaya liar punk. Kebanyakan mereka mempunyai tatu di badan, bertindik, memakai gelang anjing, berbaju compang-camping, berseluar ketat dan berambut trojan. Budaya sebegitu sememangnya tiada toleransi di Banda Acheh. Sejurus ditahan, mereka dikurung di dalam sebuah lokap. Pakaian, subang tindik dan rantai anjing mereka dibuang. Selepas itu, kepala mereka dicukur sehingga botak, manakala rambut perempuan dipotong pendek seperti polis wanita.


Pelatih lelaki juga diarahkan mandi beramai-ramai di dalam sungai



Daripada 65 orang yang ditahan, 30 daripadanya berasal dari Acheh manakala selebihnya datang dari wilayah lain di Indonesia seperti Lampung, Palembang, Jambi, Batam, Riau, Sumatera Barat, Jakarta, Bali dan Jawa Barat. Seorang remaja punk yang dikenali sebagai Riyan berkata, latihan membina jiwa yang dijalaninya di SPN sangat berguna. "Banyak perkara yang diajar kepada kami terutamanya mengenai disiplin dan peranan kami sebagai anggota masyarakat".


Pemuda punk yang telah dibotakkan kepala direndam di sebatang sungai di Banda Aceh bagi membersihkan diri mereka. "Secara peribadi, kini saya merasakan saya mampu untuk mengatur hidup dengan lebih baik. Lebih penting lagi, kami dididik untuk mendirikan solat lima waktu," katanya kepada portal berita tempatan. Pendapat Riyan itu disokong rakannya M. Fauzi. "Selain disiplin, kami didedahkan dengan latihan fizikal untuk menjaga kecergasan tubuh. Saya juga menghargai usaha kumpulan ulama yang datang ke sini untuk memberi kefahaman akidah kepada kami," katanya.


Selain suapan rohani dan jasmani, mereka perlu menjalani pemeriksaan kesihatans setiap hari. Hasil pemeriksaan mendapati tiga pelatih mempunyai gejala hepatitis dan seorang disahkan positif penyakit itu. "Jika ad pelatih yang tidak sihat, dia akan dikecualikan daripada mengikuti aktiviti fizikal," kata Fauzi lagi.


SYARIAH


Seorang pelatih perempuan, dikenali sebagai Sarah, 18, memberitahu, sepanjang berada di kem tersebut, dia menjadi lebih berdisiplin dan mendapat banyak pengetahuan agama. Dia yang dibesarkan dalam keluarga yang berpecah berkata, pengaruh kawan telah mengheretnya kepada budaya punk. "Saya sedar silap. Selepas keluar dari sini, saya mahu ke sekolah dan berazam menjadi anak yang baik," ujarnya.


Walaupun SPN bertujuan mendidik kumpulan yang telah rosak akhlak, masih ada pihak di Indonesia yang menganggap penahan itu sebagai satu pencabulan hak asasi manusia. Bagaimanapun, Gabenor Aceh, Irwandi Yusuf memprtahankan tindakan tersebut. "Mereka terbabait dalam gaya hidup yang bertentangan dengan undang-undang syariah yang dilaksanakan di Aceh. Didikan disiplin, akidah dan moral ini merupakan keprihatinan kerajaan tempatan dan bukannya pencabulan hak asasi," jelas Irwandi.


Menurut beliau, lebih 700 pengikut punk tinggal di Aceh. Mereka biasanya makan dan tidur di tepi jalan atau di tempat letak kenderaan.


Riak sedih remaja punk apabila rambutnya dipotong pendek oleh pihak berkuasa



Mereka tidak mempunyai pekerjaan bahkan tidak mendapat pendidikan di sekolah agama mahupun sekolah biasa. "Walaupun itu hak mereka, kerajaan perlu memikirkan masa depan mereka. Bolehkah mereka sekadar menjadi punk ketika muda? Bagaimana jika mereka gagal mendapat pekerjaan? Apa akan jadi pada mereka pada masa akan datang?" tanya Irwandi. Selepas tempoh latihan di SPN tamat, pihak berkuasa akan membantu pelatih terbabit mencari pekerjaan yang sesuai. Mereka juga diberi biasiswa bagi meneruskan persekolahan.


WAJAR


"Kami menahan mereka bukan disebabkan cara mereka berpakaian. Islam tidak melarang umatnya berpakaian seperti kumpulan punk. Ramai juga yang mengaitkan penahan ini dengan undang-undang syariah di Aceh tetapi ia sebenarnya tiada kaitan langsung," kata Irwandi. "Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah. Malah, mahkamah syariah Aceh mempunyai bidang kuasa yang berbeza berbanding mahkamah syariah yang terdapat di wilayah lain. Perundangan syariah memang wajar dilaksanakan bukan sahaja di Aceh tetapi di seluruh Indonesia kerana 95 peratus penduduknya beragama Islam. Bahkan, Indonesia adalah negara yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia," kata Ketua Komuniti Masyarakat Aceh Malaysia, Mansur Usman.


Mansur yang sudah 28 tahun berhijrah ke Malaysia menyifatkan penahan komuniti punk baru-baru ini sebagai wajar. "Punk adalah budaya liar yang mengancam sosiobudaya masyarakat Aceh. Sebelum pengaruhnya terus menular, ia perlu disekat. Sekurang-kurangnya kehidupan mereka masih boleh dibetulkan dan menjadi pengajaran kepada orang lain," ujarnya ketika ditemui di Kampung Baru, Kuala lumpur baru-baru ini.



Pemuda bertatu dididik supaya mendirikan solat secara teratur



Bukan untuk menzalimi, katanya lagi, undang-undang syariah dianggap pelengkap ke arah kesempurnaan Islam. Menurut peniaga makanan, Fida, 38, masyarakat Aceh menerima baik pelaksanaan undang-undang tersebut. "Sebelum ini, gadis bebas memakai pakain ketat dan tidak bertudung, begitu juga pergaulan lelaki dan perempuan. Namun, sekarang keadaan berubah. Mereka patuh kepada undang-undang kerana enggan dimalukan di khalayak umum," katanya yang pulang ke Aceh setahun sekali.



Sumber: kosmo

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...