Thursday, October 27, 2011

FARSHI AL-TURAB

Bismillahirrahmanirrahim...

Perkara biasa yang terbuku di hati, mahu menulis banyak perkara. Tapi semuanya terkepung dalam kepenatan yang teramat. Kepenatan yang menjalar ke seluruh urat darah. Musim akhir semester, beginilah selalunya. Alangkah bagusnya kalau boleh di-magik-kan saja rasa hati, bertukar menjadi simpulan kata yang tersusun indah. he3... Melalut panjang tidak ada guna, sementara saya mampu menulis semula, baik juga saya tinggalkan sahabat pembaca dengan bait-bait nasyid daripada Meshary al-Arada ~ ‘FARSHI AL-TURAB’. Mudah-mudahan kepenatan kita di dunia ini, menjadi mahar pada sebuah kerehatan yang kekal abadi di sana nanti.



فرشي التراب يضمني وهو غطائي
حولي الرمال تلفني بل من ورائي
واللحد يحكي ظلمة فيها ابتلائي
والنور خط كتابه أنسى لقائي
والأهل اين حنانهم باعوا وفائي
والصحب اين جموعهم تركوا اخائي
والمال اين هناءه صار ورائي
والاسم اين بريقه بين الثناءِ
هذي نهاية حالي فرشي الترابِ
والحب ودّع شوقه وبكى رثائي
والدمع جف مسيره بعد البكاء
والكون ضاق بوسعه ضاقت فضائي
فاللحد صار بجثتي أرضي سمائي
هذي نهاية حالي فرشي الترابِ
والخوف يملأ غربتي والحزن دائي
أرجو الثبات وإنه قسما دوائي
والرب أدعو مخلصا أنت رجائي
أبغي إلهي جنة فيها هنائي


Dust is my bed, embraces me and it’s my cover now
The sand surrounds me even behind my back
And the grave tells a dankness of my affliction
And the brightness draws a line……………
Where is my family’s love? They sold my loyalty!
And where is my group of friends? They left my brotherhood!
Where is the bliss of money? It’s behind my back now
And my name (reputation) where is it shine between praises
This is my end and this is my bed

And love farewells its longing and my elegizing cried
And the tears went dry after crying
And the universe became narrow and so is my space
And the grave became my ground and sky
This is my end and this is my bed

Fear fills my estrangement and sadness is my illness
I expect firmness and I swear it’s my cure
And for Allah i pray faithfully, you are my hope
Allah! I desire heaven, to find bliss in it

And for Allah i pray faithfully, you are my hope
Allah! I desire heaven, to find bliss in it.


Tuesday, October 18, 2011

ANDAI KEKASIH-MU BERSAMA KAMI



Bismillahirrahmanirrahim....

Masih belum selesai berbicara soal Majlis Haul yang diadakan di serata tempat. Majlis yang di dalamnya berkumpul para Habaib dari silsilah Nabi SAW. Majlis yang telah mengalir dan membasahkan relung jiwa dengan rasa kecintaan ke hadrat Penghulu seluruh manusia ini. Majlis yang dipenuhi dengan selawat kepada Baginda SAW. Majlis yang diikuti dengan puji-pujian kepada Allah SWT. Subhanallah! Majlis zikir dan majlis ilmu adalah taman-taman syurga. Berdamping dengan para ulama adalah merupakan satu nikmat dan anugerah.

Sememangnya bulan Zulkaedah ini merupakan bulan yang penuh dengan penghayatan serta bulan penyubur kasih sayang pada junjungan besar Habibuna Muhammad SAW. Alhamdulillah, program-program serta majlis-majlis sempena memperingati pulangnya Imam al-Hadad menemui Allah SWT telah menyampaikan kita pada sirah junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Masih belum puas melempiaskan kerinduan pada Habibuna lewat qasidah dan puji-pujian. Justeru, ayuh kita basahkan lagi jiwa dengan alunan bait-bait nasyid dendangan Abdulrahman Mohammed ~ Law Kaana Baynana. (^___^)



Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa. Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan Keampunan-Mu dan sifat Pemurah-Mu, dan kebebasan daripada neraka-Mu, dan juga syurga bersama-sama Penghulu seluruh manusia. Kami mohon pada-Mu. Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku, dari sudut hati kami yang paling dalam.

Kalaulah Kekasih-Mu masih berada bersama-sama kami, akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah dengan haruman baginda. Sebelum hilangnya rasa, rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasih-Mu. Berada berhampiran Baginda jiwa turut menjadi harum, dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah akan diperkenankan. Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna.

Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda, wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba. Hidayah-Mu kepada alam merata luas, tanda hampirnya kasih sayang Tuhan Pemberi hidayah. Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih. Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.

Ku tebus diriku dengan dirimu, wahai kekasihku Nabi Muhammad yang mulia, yang asing. Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum. Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam. Wahai kekasihku, wahai Muhammad, wahai pengubat hatiku, wahai yang dupuji dipuja. Dirimu memiliki kelebihan yang diakui oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.

Monday, October 17, 2011

IMAM AL-HABIB ABDULLAH AL-HADDAD



Assalamualaikum...

Alhamdulillah diberikan kesempatan lagi untuk terus melakar sesuatu di sini, setelah berjuang bersungguh-sungguh menguruskan masa dengan baik. Masih belum benar-benar mahir menguruskan masa, tapi alhamdulillah tidaklah terlalu teruk sangat. Pada entry yang sebelumnya kita telah bercakap tentang Program-program dan majlis-majlis Haul Imam al-Habib Abdullah al-Haddad. Menyebut saja, tetapi tidak kenal, tidak ada gunanya. Tidak kenal, maka tidak cinta bukan? Justeru kita semak secara menyeluruh, siapakah sebenarnya al-Imam al-Habib Abdullah al-Haddad ini.

Sebelum daripada itu, Majlis Haul Imam Abdullah al-Haddad telah dilangsungkan pertama kalinya secara umum pada 2001. Majlis Haul Imam Abdullah al-Haddad diadakan secara rasmi sebagai memperingati peninggalan beliau serta memperkenalkan taburan ilmu bermanfaat daripada tokoh ulama yang juga digelar Mujaddid Islam pada abad yang ke-12 ini. Majlis-Majlis Haul ini telah berkembang secara tetap di seluruh tanah air, yang mana ianya dilangsungkan pada bulan Zulkaedah setiap tahun. Sehingga sekarang majlis ini dikelolakan dihampir setiap negeri serata Malaysia. Setiap tahun, jumlah para hadirin semakin bertambah dan yang paling ketara ialah penambahan hadirin dari luar negara yang secara tidak langsung mendapat berita tentang majlis-majlis tahunan ini bermotivasikan pengenalan, kecintaan dan manfaat yang dialami daripada Imam al-Haddad sendiri.


SEKILAS TENTANG IMAM ABDULLAH AL-HADDAD.



Beliau bernama Abdullah bin Alawi bin Muhammad bin Ali Al-Tarimi Al-Haddad Al-Husaini Al-Yamani. Beliau (rahimahullah) dilahirkan di Subir sebuah perkampungan berhampiran Kota Tarim di Wadi Hadhramaut, selatan negeri Yaman pada hari Ahad 5 haribulan Safar tahun 1044 hijriah bersamaan 30 haribulan Julai tahun 1634 Masehi. Al-Habib telah diasuh dan ditarbiah di Kota Tarim. Ketika beliau meningkat umur empat tahun, AL-Habib dijangkiti penyakit cacar yang mengakibatkan kehilangan daya penglihatan. Walaupun demikian, Allah yang Maha Agong lagi Mulia telah menggantikan kepada All-Habib dengan mata hati (cahaya ilmu dan pengetahuan serta keyakinan dan wilayah). Berdasarkan kurniaan ini, Al-Habib telah berusaha dengan penuh dedikasi dan kegigihan menceduk ilmu daripada sejumlah besar para ulama di Yaman. Cinta beliau terhadap ilmu dan para ulama menghasilkan kebolehan menguasai ajaran para ahli tahkik (orang yang mengenali Allah dengan 'ainul-yakin serta hakkul-yakin). Semenjak kecil lagi beliau memaparkan kekuatan usaha ibadat dan kerajinan menuntut ilmu.

Al-Habib pernah berkata "Ketika aku masih kecil, aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beribadat dan melaksanakan pelbagai mujahadah yang lainnya, sehingga ditegur oleh nendaku yang solehah bernama Salma binti Said Al-Wali Omar Ba'Alawi supaya menjaga diriku. Dia sering berkata demikian jika dikira ibadat serta mujahadah yang aku usahakan dianggap terlalu kuat dan banyak. Sebaliknya aku telah banyak meninggalkan mujahadah semenjak permulaan perjalanan ini semata-mata memelihara hati kedua ibubapaku yang amat prihatin terhadap keadaanku".

Walaupun Al-Habib (radiAllahu'anhu) sering keluar ke kawasan sekitarnya dan perkampungan di sekeliling Tarim, beliau berkata "Aku lebih seronok bersendirian demi kerana Allah, kerana alangkah nikmatnya kelazatan (al-uns) bersama dengan Allah".

Pada permulaan perjalanan hidup Al-Habib, beliau sentiasa menyusuri negerinya untuk bertemu para solihin, menziarahi puasara para ulama dan auliya'. Pada masa beliau berada di perkampungannya, beliau sering duduk di sudut 'Masjid Al-Hijriah' dan pada waktu malamnya sering bersolat bergiliran di setiap masjid dalam Kota Tarim. Sesungguhnya inilah yang membuka hati beliau semenjak kecil lagi. Al-Habib sering membaca surah Yaasin yang mempengaruhi jiwanya dan menyebabkan beliau menitiskan air mata yang begitu banyak. Keadaan demikian sering mengakibatkan ketidakmampuannya membaca surah yang mulia ini. Inilah yang mendorong Sayyed Abdullah Bilfagih menjelaskan tentang Al-Habib dengan katanya "Di sinilah futuh (pembukaan) bagi Al-Habib"

AKHLAK DAN BUDI PEKERTI

Al-Imam Al-Haddad (rahimahullah) memiliki perwatakan badan yang tinggi, berdada bidang, tidak terlalu gempal, berkulit putih, sangat berhaibah dan tidak pula di wajahnya kesan mahupun parut cacar.

Wajahnya sentiasa manis dan menggembirakan orang lain di dalam majlisnya. Ketawanya sekadar senyuman manis; apabila beliau gembira dan girang, wajahnya bercahaya bagaikan bulan. Majlis kendalian beliau sentiasa tenang dan penuh kehormatan sehinggakan tidak terdapat hadhirin berbicara mahupun bergerak keterlaluan bagaikan terletak seekor burung di atas kepala mereka.

Mereka yang menghadhiri ke majlis Al-Habib bagaikan terlupa kehidupan dunia bahkan terkadang Si-lapar lupa hal kelaparannya; Si-sakit hilang sakitnya; Si-demam sembuh dari demamnya. Ini dibuktikan apabila tiada seorang pun yang yang sanggup meninggalkan majlisnya.

Al-Imam sentiasa berbicara dengan orang lain menurut kadar akal mereka dan sentiasa memberi hak yang sesuai dengan taraf kedudukan masing-masing. Sehinggakan apabila dikunjungi pembesar, beliau memberi haknya sebagai pembesar; kiranya didatangi orang lemah, dilayani dengan penuh mulia dan dijaga hatinya. Apatah lagi kepada Si-miskin.

Beliau amat mencintai para penuntut ilmu dan mereka yang gemar kepada alam akhirat. Al-Habib tidak pernah jemu terhadap ahli-ahli majlisnya bahkan sentiasa diutamakan mereka dengan kasih sayang serta penuh rahmah; tanpa melalaikan beliau daripada mengingati Allah walau sedetik. Beliau pernah menegaskan “Tiada seorang pun yang berada di majlisku menggangguku dari mengingati Allah”.

Majlis Al-Imam sentiasa dipenuhi dengan pembacaan kitab-kitab yang bermanfaat, perbincangan dalam soal keagamaan sehingga para hadhirin sama ada yang alim ataupun jahil tidak akan berbicara perkara yang mengakibatkan dosa seperti mengumpat ataupun mencaci. Bahkan tidak terdapat juga perbicaraan kosong yang tidak menghasilkan faedah. Apa yang ditutur hanyalah zikir, diskusi keagamaan, nasihat untuk muslimin, serta rayuan kepada mereka dan selainnya supaya beramal soleh. Inilah yang ditegaskan oleh beliau “Tiada seorang pun yang patut menyoal hal keduniaan atau menyebut tentangnya kerana yang demikian adalah tidak wajar; sewajibnya masa diperuntuk sepenuhnya untuk akhirat sahaja. Silalah bincang perihal keduniaan dengan selain dariku.”

Al-Habib (rahimahullah) adalah contoh bagi insan dalam soal perbicaraan mahupun amalan; mencerminkan akhlak junjungan mulia dan tabiat Al-Muhammadiah yang mengalir dalam hidup beliau. Beliau memiliki semangat yang tinggi dan azam yang kuat dalam hal keagamaan. Al-Imam juga sentiasa menangani sebarang urusan dengan penuh keadilan dengan menghindari pujian atau keutamaan dari oramg lain; bahkan beliau sentiasa mempercepatkan segala tugasnya tanpa membuang masa. Beliau bersifat mulia dan pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ciri inilah menyebabkan ramai orang dari pelusuk kampung sering berbuka puasa bersama beliau di rumahnya dengan hidangan yang tidak pernah putus semata mata mencari barakah Al-Imam. Tidak terputus pengunjung bertamu dengan beliau pada bulan mulia ini di rumah perkampungan beliau di Al-Hawi.

Al-Imam menyatakan “Sesuap makanan yang dihadiahkan atau disedekahkan mampu menolak kesengsaraan”. Katanya lagi “Kiranya ditangan kita ada kemampuan, nescaya segala keperluan fakir miskin dipenuhi, sesungguhnya permulaan agama ini tidak akan terdiri melainkan dengan kelemahan Muslimin”.

Beliau adalah seorang yang memiliki hati yang amat suci, sentiasa sabar terhadap sikap buruk daripada yang selainnya serta tidak pernah merasa marah. Kalaupun ia memarahi, bukan kerana peribadi seseorang tetapi sebab amalan mungkarnya yang telah membuat Al-Imam benar-benar marah. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Habib “Adapun segala kesalahan berkait dengan hak aku, aku telah maafkan; tetapi hak Allah sesungguhnya tidak akan dimaafkan”.

Al-Imam amatlah menegah dari mendoa agar keburukan dilanda orang yang menzalimi mereka. Sehingga bersama beliau terdapat seorang pembantu yang terkadangkala melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemarahan Al-Imam. Namun beliau menahan marahnya; bahkan kepada pembantu itu diberi hadiah oleh Al-Habib untuk meredakan rasa marah beliau sehinggakan pembantunya berkata: “Alangkah baiknya jika Al-Imam sentiasa memarahiku”.

Segala pengurusan hidupnya berlandaskan sunnah; kehidupannya penuh dengan keilmuan ditambah pula dengan sifat wara’. Apabila beliau memberi upah dan sewa sentiasa dengan jumlah yang lebih dari asal tanpa diminta. Kesenangannya adalah membina dan mengimarahkan masjid. Di Nuwaidarah dibinanya masjid bernama Al-Awwabin begitu juga, Masjid Ba-Alawi di Seiyoun, Masjid Al-Abrar di As-Sabir, Masjid Al-Fatah di Al-Hawi, Masjid Al-Abdal di Shibam, Masjid Al-Asrar di Madudah dan banyak lagi.

Diantara sifat Al-Imam termasuk tawaadu’ (merendah diri). Ini terserlah pada kata-katanya, syair-syairnya dan tulisannya. Al-Imam pernah mengutusi Al-Habib Ali bin Abdullah Al-Aidarus. “Doakanlah untuk saudaramu ini yang lemah semoga diampun Allah.”

IBADAH DAN MUJAHADAH

Tiada siapa yang pernah menyatakan Al-Imam bersolat walau satu waktu bersendirian, atau tidak solat di awal waktu, sembahyang dalam situasi yang tergopah-gapah, atau meninggalkan qiamullail. Di antara sifat mulianya Al-Imam ialah tidak berbicara ketika menunggu waktu solat dan amat marah jika ada yang cuba berkata-kata di waktu itu. Bahkan beliau menegahnya serta memberi amaran kepada sahabatnya dari menegurnya ketika waktu tersebut. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Imam dengan katanya: “Kami keluar dengan penuh menghadirkan diri dan meninggalkan segala kerunsingan”.

Dan tegasnya lagi: “Kami tidak bercadang untuk melaksanakan sebarang solat sunat An-Nawaafil (solat sebelum dan selepas sembahyang fardhu) kecuali setelah hati kami benar-benar hadhir dan iqbal (menuju) kepada Allah”.

Al-Imam amat memeliharai amalan solat Rawaatib. Doa-doa serta wirid-wiridnya yang ma’thur dari amalan Rasul SAW, termasuk mendirikan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat dan solat Isyraq sebanyak empat rakaat sebelumnya, solat Awwaabin sebanyak dua puluh rakaat selepas sunat maghrib; di mana Al-Imam menyempurnakan empat rakaat sebelum setiap salam. Di waktu subuh pada hari Jumaat, Al-Imam berjemaah solat Fajar di masjid Al-Jame’ seterusnya beri’tiqaf sehingga solat Jumaat demi mendapat keutamaan berawal-awalan untuk solat tersebut.

Al-Imam juga amat sedikit tidur, sekadar merehatkan diri sahaja. Kebiasaan Al-Imam melambatkan solat witir sehingga hampir fajar; ini disebabkan Al-Imam tidur sedikit (qailulah) selepas solat-solat qiamullail. Kemudian barulah berwudu’ untuk solat witir sebelum subuh. Beliau sentiasa berzikir seumpama ‘La ila ha illallah’ yang terlalu banyak jumlahnya sehinggalah tidak pernah berhenti; Al-Imam membiasakan dirinya dengan ini walaupun diundang perbualan dengan sesiapa.

Al-Imam juga memperbanyakkan puasa, terutamanya pada hari yang diutamakan iaitu Isnin dan Khamis, Ayyaamul Baidh (hari ke 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan), hari ‘Asyura; hari ‘Arafah, enam hari dalam bulan Syawwal; sehinggalah terhentinya amalan ini apabila Al-Imam sudah berumur dan lemah.

Adapun pada bulan Ramadhan, Al-Imam telah menjelaskan kepada para sahabatnya “Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan amal, perkurangkanlah/tinggalkan sementara ilmu semata-mata untuk beribadah dalam bulan ini”. Seterusnya dapat dilihat orang-orang yang ramai mengurangan kelas-kelas ilmu kecuali selepas Asar, sebagai peringatan beliau kepada sahabat-sahabat yang utamakan amal bersungguh-sungguh dan membersihkan dalaman (batin).

Walaubagaimanapun Al-Imam tidak pernah menunjuk-nunjukkan amalnya kecuali keadaan memaksakan seperti supaya ianya dijadikan tauladan kepada yang lain. Kata Al-Imam: “tidak aku tonjolkan amalan ini dengan sengaja, walaupun itu Alhamdulillah aku tidak bimbang dari sifat riya’ (disebabkan orang mengetahui amalan aku). Ingatlah sebagaimana Sayyidina Abu Bakar Al-Siddiq menyatakan tentang perkara ini berlandaskan firman Allah (yang bermaksud) “Sama sekali aku tidak memuji diri ini dengan kebaikan, maka ketahuilah sesungguhnya inilah yang mendorongkannya kepada perbuatan buruk”.

Al-Imam juga telah menegaskan: “Sesungguhnya aku telah melaksanakan kesemua sunnah Nabi dan tidak ada sunnah yang ditinggalkan, kecuali rambut”. Akhirnya Al-Imam mengekalkan rambut hingga ke telinganya sebagai yang dilaksanakan oleh Rasul SAW.

Al-Imam juga sering menziarahi Nabi Allah Hud (selawat dan salam ke atasnya dan Nabi kita) di mana makam Nabi Hud terletak di Wadi Hadramaut. Sebanyak tiga puluh kali Al-Imam telah menziarahinya, kesemuanya pada bulan Sya’ban. Al-Imam telah pergi berjalan kaki bersama-sama sanak saudaranya, kaya dan miskin. Kebiasaannya Al-Imam berada di maqam itu selalunya di waktu maghrib dari 12 haribulan hingga 15 haribulan Sya’ban. Dalam perjalanan ke sana, Al-Imam sering singgah di Ainat untuk menziarah Al-Syeikh Al-Kabir Abu Bakar bin Salim dan Al-Syeikh Ahmad bin Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Imam juga menziarah maqam Basyar selepas solat Asar setiap hari Jumaat dan hari Selasa. Al-Imam menjelaskan: “Pada mulanya, kebiasaan kami menziarahi Basyar ialah pada setiap hari Jumaat, tetapi setelah di antara sahabat kami bertemu Al-Faqih Al-Muqaddam dalam mimpinya di mana dia berkata: katakan kepada Al-Sayyed Abdullah Al-Haddad: “Ziarah Basyar pada hari Jumaat sahaja tidak memadai”; maka berdasarkan itu kami menziarahi juga Basyar pada hari Selasa juga”. Sebenarnya sebelum Allah menzahirkan kemuliaannya dan orang ramai berpusu-pusu kepadanya, memanglah Al-Habib menziarahi Basyar setiap hari Selasa.

Semoga Allah merahmati Al-Imam dan menempatkan beliau di Syurga, dan dihimpunkan kita bersamanya dengan berkat Saiyidina Muhammad SAW, keluarganya dan sahabatnya serta selawat ke atas Nabi Muhammad yang mulia serta keluarga dan sahabat Baginda.


(Kata-kata diatas ini merupakan sedikit petikan yang diterjemahkan dari bahasa Arab dari kajian dan tulisan Ustaz Haji Muhammad Nooruddin Merbau Al-Banjari dari Kedah. Semoga Allah berkati beliau. InsyaAllah sambungan riwayat Al-Imam dapat dimuatkan dalam ruangan ini.

Terjemahan ini adalah sebahagian dari juz kedua kitab “Hadiah Dari Imam Al-Haddad

Sumber: alhawi



Sunday, October 16, 2011

QASIDAH NABAWIYYAH - RATIB AL-HADDAD



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai sudah Majlis sempena memperingati kewafatan al-Habib Abdullah al-Haddad yang ke 300 tahun di Malaysia. Syukur pada Allah SWT yang telah menemukan saya dengan insan-insan yang terpilih atas landasan agama-Nya, sehingga melorongkan saya untuk bersama-sama dengan mereka mengutip permata berharga tinggalan Rasulullah SAW. Sungguh saya merasa cukup bertuah dipilih oleh Allah SWT untuk duduk bersama-sama dengan keluarga Nabi SAW. Hilang segala sedih yang mengepung jiwa, diganti dengan damai yang mula menyerap masuk mendinginkan hati.

Duduk bersama dengan sosok silsilah keturunan Baginda SAW sudah cukup membuatkan kita tersenyum bahagia mengharapkan pertemuan dengan Baginda SAW nanti. Apatah lagi jika dapat bersama dengan Rasulullah SAW. Bayangkan, sekiranya kita dipilih untuk duduk dalam majlis bersama dengan Rasulullah SAW. Mendengar kalam indah yang keluar dari bibir Baginda, mengutip permata hikmah yang tidak ternilai untuk dijadikan bekal sepanjang perjalanan. Allah... Sungguh indah bukan?

Terlalu banyak perasaan yang mahu digambarkan, terlalu banyak pengalaman yang mahu dikongsikan. Namun daripada sekian banyak perkara yang mahu dikongsikan ini, saya lebih tertarik untuk tinggalkan sahabat pembaca sekalian dengan Qasidah Nabawiyyah yang disusun di dalam ratib al-Haddad.



Cukup bagiku pengetahuan Tuhanku – Daripada permintaan dan usahaku.

Doa serta permohonanku – Sebagai bukti pada kefakiranku.

Oleh kerana rahsia itu aku berdoa – Pada saat aku senang atau susah.

Aku adalah hamba menjadi kebanggaanku – Dalam kefakiran dan keperluanku.

Wahai Tuhanku yang memilikiku! – Engkau Maha Mengetahui akan keadaanku.

Dan apa yang berada dalam hatiku – Dari kesedihan dan kesibukanku.

Maka tolonglah aku dengan kelembutan – Dari-Mu wahai Tuhan seluruh hamba.

Wahai Yang Maha Pemurah tolonglah hamba – Sebelum lenyap kesabaran hamba.

Wahai Pemberi Pertolongan dengan segera – Berikanlah kami dengan segera pertolongan-Mu.

Yang dapat menghilangkan kesulitan dan dapat mendatangkan - Dengan apa-apa yang kami harapkan semua.

Wahai Yang Maha Dekat dan Jawab – Wahai Yang Maha Mengetahui dan Mendengar.

Aku mengaku akan kelemahanku – Dan ketaatan serta kesedihanku.

Aku sentiasa menungu di hadapan pintu rahmat-Mu – Wahai Tuhanku berikalah rahmat padaku.

Pada lembah kurnia-Mu aku berada – Wahai Tuhanku tetapkanlah keberadaanku di sana.

Aku sentiasa mempunyai prasangka baik – Ia (prasangka baik) adalah teman dan kawanku.

Juga penyenang bagiku dan setia bersamaku – Sepanjang malam dan siangku.

Wahai Tuhanku, dalam jiwa ini terdapat hajat – Tunaikanlah wahai Yang Maha Menunaikan.

Tenteramkanlah rahsia dan hatiku – Dari kebimbangan dan pergolakannya.

Dalam kegembiraan dan kebahagiaan – Apabila aku telah redha dan puas hati.

Maka ketenangan dan kegembiraan adalah keadaanku – Serta ia menjadi ‘pakaian’ dan ‘selimut’ yang menyelubungiku.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...