Thursday, October 16, 2008

Ayat-ayat Cinta


Sebenarnya dah lama saya menyimpan hajat untuk bercerita tentang satu kisah. Kisah tentang cinta, kisah tentang ketabahan hati dalam meraih cinta, kisah dalam ayat-ayat cinta. Saya telah berjaya mendapatkan dan mengusaikan bacaan novel ayat-ayat cinta pada Julai 2007. Namun tak berkesempatan untuk mengulas sinopsis dan kelebihan serta kekuatan novel ini pada pandang sisi saya.

Setelah lama waktu berlalu, hasrat ni terkubur macam tu je. Namun dalam bulan Julai 2008 yang lalu, ada kawan bagi cd filem ayat-ayat cinta pula kat saya. Lepas jer nonton, terus rasa membuak-buak jiwa ni untuk menulis sesuatu tentang kisah ni yang majoritinya digila-gilakan oleh teman sekuliah waktu tu.

Dalam mencari-cari dan menggelintar enjin youtube, terjumpalah plak komen penulisnya tentang filem ni. Syok pula dengar kegigihan pak ustaz dalam memperjuangkan dakwah melalui mata pena ni. Nampak-nampak secara kasar dan luarannya tu dah berjaya dah dakwahnya. Nilai-nilai keislaman yang diketengahkan dalam ayat-ayat cinta dah dapat diterima dan meresap dalam qalbu peminatnya. Daripada pemerhatian saya, peminat cerita ni tergolong daripada pelbagai peringkat umur, kelas dan latar belakang sosial. Bermula daripada pelajar peringkat menengah dan universiti, orang dewasa, ahli akademik, profesional, sasterawan dan pelbagai lagi.

Namun sekali lagi dek terbeban dengan tugasan harian yang begitu mengejar dan mendesak, hasrat untuk mengomel tentang ayat-ayat cinta sekali lagi terkubur. Sampailah akhirnya filem ni ditayangkan kat tv sempena hari raya aidilfitri yang lalu. Saya ingat lagi tarikhnya, 10 Oktober. Macamana boleh tak ingat, tiap-tiap hari saya dan adik-adik dok menghitung hari untuk tonton citer ni. Masih tak puas walaupun dah tengok cd sebelum ni, dan dah save dah pun dalam 1 folder special kat komputer riba.

Bila balik kat ofis lepas raya, meluap-luap lagilah hasrat saya yang masih terbengkalai tu bila asyik dengar kawan-kawan dok bercerita pasal citer ni. Saya memasang telinga dari jauh je, tiap butir bicara yang keluar daripada mulut diorang saya iringi dengan senyuman penuh makna. Diorang takkan faham, hanya saya jer yang mengerti..hehehe.

Lebih daripada tu, apa yang saya tengok semua kawan-kawan yang terkena pukauan ayat-ayat cinta ni dok sibuk pakai ring tone ayat-ayat cinta untuk handset diorang, buat wallpaper untuk desktop diorang, jadikan lagu latar untuk blog, friendster, tagged dan banyak lagi lah. Kadang-kadang nak tergelak plak saya bila mengenangkannya balik. Saya yang dah rasa macam terkena gak pukauan ayat-ayat cinta ni pun tak adalah sampai macam tu sekali.

Apa-apa pun akhir sekali saya nak ucapkan tahniah lah banyak-banyak untuk Kang Abik dan pengarah filem ini yang berjaya menyentuh jiwa peminat semua baik di Indonesia, Malaysia atau mana-mana jugalah. Bagi semua pejuang-pejuang dakwah melalui mata pena, teruskan perjuang kalian, jangan sesekali meletakkan tanda noktah pada perjuangan ini.

Alhamdulillah juga, akhirnya saya dapat bercerita sedikit sebanyak tentang ayat-ayat cinta. Walaupun belum bercerita tentang ayat-ayat cinta sepenuhnya, tapi oklah juga dapat bercerita tentang kisah di sebalik ayat-ayat cinta.


AY : Kalaulah saya dapat ikut jejak Kang Abik, kan bagus…….

Selamat Hari Raya Aidilfitri



Selamat Hari Raya Aidifitri 1429 Hijrah buat semua sahabat-sahabat yang mengenali diri saya tak kira di mana berada. Khusus juga buat sahabat-sahabat seperjuangan dalam Majlis Mantan Perdana (MMP) serta EXCO Pedana UKM 2008. Berbanyak-banyak kemaafan dipohon atas keuzuran menghadirkan diri pada Majlis Sambutan Hari Raya MMP pada hari raya yang lepas. Apa pun...tahniah diucapkan buat semua kerana masih setia bersama MMP dan sedaya upaya berusaha untuk terus mengekalkan ukhuwwah yang terbina ini. Pada kesempatan ni juga saya ucapkan tahniah pada Ustaz Azwar dan isteri beliau Kak Ani atas kelahiran baby baru....


AY : Kenangan semalam bersama kalian tetap segar di memori....

Tuesday, October 14, 2008

Selamat Pengantin Baru....


Tahniah buat sahabat seperjuangan Ustaz Muhammad Luqman bin Makhtar yang baru mendirikan istana bahagia bersama pilihan hatinya Saaidah binti Abdul Jamil, pada 3 Oktober 2008 yang lalu.......
AY : Kapanlah giliran daku akan menjelma.....

Takziah


Ucapan Takziah buat semua keluarga, saudara dan sahabat handai kepada Farah Izzati binti Abdul Rahman, pelajar part 4 Sijil Teknologi Maklumat Kolej Komuniti Hulu Langat atas pemergian Allahyarhamah menemui Rabbul Alamin pada hari Ahad, sekitar jam 4.30@5.00 petang. Semoga Rohnya di tempatkan bersama-sama para salihin dan siddiqin. Al-Fatihah...


AY : Benarlah....... DaripadaNya kita datang, kepadaNya kita kembali.....

Friday, August 29, 2008

Tahniah & Mabruk

Tahniah & Mabruk pada Wan Nordiyana yang sekarang ni berada kt Australia bersama suaminya atas kurniaan Ilahi dengan kelahiran PUTERA sulong pada 9hb Ogos yang lalu..Tahniah !!!

((Allahumma Faqqihhu fi al-Din wa `Allimhu al-Ta`wil...Amin))

AY : Bukan mudah bersalin kat negara orang, anak sulong pulak tu...hmm..

Tuesday, August 05, 2008

Tahniah buat NUrul Nadia

Tahniah buat :
Nurul Nadia Rashid atas kelahiran putera sulong
pada 1 Ogos 2008 yang lalu..

Friday, April 25, 2008

JUNDI KECIL...


TAHNIAH BUAT SITI NORAZILA & MOHD ROSDI
ATAS KEHADIRAN PUTERA SULONG, AHMAD HAFIZUDDIN....
MOGA DENGAN KEHADIRAN JUNDI KECIL INI, MENAMBAHKAN LAGI KECERIAAN KALIAN YANG BERADA JAUH DI PERANTAUAN SERTA MAMPU MENYAMBUNG PERJUANGAN KITA KELAK...
AY : Allahumma Faqqihhu fi al-din, wa `allimhu al-ta`wil...amin

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM

FORUM PERDANA EHWAL ISLAM
Ahad 27 April, Stadium Malawati Shah Alam
http://www.jais. gov.my/index. php?option= com_frontpage&Itemid=1

Berobjektifkan DAKWAH sebagai kunci penyebaran dan kefahaman Islam di dalam masyarakat majmuk, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil initiatif untuk mengembalikan semula era kegemilangan Forum Perdana Ehwal Islam yang berjaya dilaksanakan pada awal tahun 1990an. Forum terbuka yang pernah dilaksanakan bersama pelbagai media eletronik tersebut sebenarnya telah menjadi antara faktor pembuka minda dan pencambahan budaya ilmu di dalam masyarakat Malaysia.

Forum ini dirancang secara berperingkat di seluruh Selangor untuk memastikan penghayatannya mencakupi setiap kawasan di bawah pentadbiran JAIS. Ia dirancang secara berterusan, dan akan dimulakan di Bandaraya Shah Alam pada hujung minggu ini, Ahad 27 April 2008 di Stadium Malawati. Kehadiran seluruh masyarakat dari pelbagai latar belakang dan bangsa amat dialukan. Siaran langsung di internet juga akan dilakukan pada masa tersebut.
********************************
FORUM PERDANA EHWAL ISLAM

Anjuran Bersama;
KERAJAAN NEGERI SELANGOR & JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR

Tajuk;
MENJANA ISLAM SYUMUL DI DALANGAN UMMAH

Ahli Panel;
Y.BHG DATO' DR HARON DIN
Y.BHG DATUK ISMAIL KAMUS
Y.BHG USTAZ ROSLAN MOHAMAD

Moderator;
Y.B. DATO' DR HASAN ALI

Lokasi;
STADIUM MALAWATI, SHAH ALAM

Tarikh;
AHAD, 27 April 2008 / 20 Rabi'ulakhir 1429H

Masa;
8.00 MALAM (dimulakan dengan Solah Isyak berjamaah)

NOTA
- Hadirin diminta datang awal, dalam keadaan berwudhuk dan membawa tikar solah sendiri.
- Gerai jualan makanan & minuman akan disediakan. Pihak yang berminat untuk berniaga sila hubungi 013-3600080 / 0134039760 untuk tempahan.

AY : Moga initiatif mulia mengimarahkan BUDAYA ILMU di hati sanubari rakyat Selangor ini berjaya mencapai keredhaanNya.


Monday, April 21, 2008

Kepentingan Ilmu Pengetahuan dan Sumbernya Menurut Islam



KEPENTINGAN ILMU PENGETAHUAN DAN SUMBERNYA MENURUT ISLAM

1. Definisi Ilmu Pengetahuan

Perkataan ilmu dari sudut bahasanya adalah berasal daripada perkataan arab iaitu calima, yang bererti mengetahui atau perbuatan yang bertujuan untuk mengetahui tentang sesuatu dengan sebenarnya. Sementara ilmu dari segi istilah memberi erti tentang segala pengetahuan atau kebenaran tentang sesuatu yang datang dari Allah s.w.t yang diturunkan kepada rasul-rasulnya dan alam ciptaannya termasuk manusia yang memiliki aspek lahiriah dan batiniah.

Secara umumnya, ilmu didefinisikan sebagai pengetahuan dan kepandaian tentang sesuatu bidang yang disusun secara bersistem menurut kaedah dan metod tertentu yang dapat digunakan untuk menerangkan sesuatu yang berkait dengan bidang ilmu tersebut. Ilmu pengetahuan pada lazimnya terdapat dalam dua bentuk iaitu ilmu pengetahuan nyata (explicit
knowledge) dan ilmu pengetahuan tidak nyata (tacit knowledge). Ilmu pengetahuan nyata boleh didapati kebanyakannya dalam bentuk dokumen bercetak manakala ilmu pengetahuan tidak nyata pula terdapat dalam idea, minda, amalan harian, pengalaman, memori dan seumpamanya yang kebiasaannya sukar dilihat dengan mata kasar. (Noraziah Sharuddi, 2002)

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris. Kewujudan perkara lain di luar keupayaan pancaindera tersebut dianggap bukan fakta dan tidak termasuk dalam bidang ilmu. Mengikut pandangan mereka secara automatik ajaran agama terkeluar daripada takrif dan ruang lingkup ilmu dan dianggap sebagai kepercayaan semata-mata.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

2. Kepentingan Ilmu Pengetahuan

Ilmu merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia. Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa itu sendiri. Justeru, Islam mengingatkan tentang hakikat ini menerusi pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. Penekanan terhadap kepentingan dan keperluan menuntut ilmu membuktikan bahawa Islam adalah satu agama yang memartabatkan ilmu pengetahuan dan orang yang berilmu. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; “Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas tiap-tiap orang Islam lelaki dan perempuan.” Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa menuntut ilmu itu adalah suatu perkara yang penting dan menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam. Antara kepentingan ilmu pengetahuan ialah;

2.1 Kedudukan serta martabat orang yang berilmu diangkat dan diletakkan ditempat yang lebih tinggi. Dengan erti kata lain, ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Mujadalah, ayat 11 ;
يرفع الله الذين ءامنوا منكم والذين أوتوا العلم درجت. والله بما تعملون خبير
Maksudnya; "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan"

2.2 Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf di kalangan manusia. Firman Allah dalam surah al-Zumar, ayat 9 ;
قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون. انما يتذكر أولولوا الألبب
Maksudnya; “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana"

2.3 Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya. Firman Allah dalam surah al-Fathir, ayat 28 ;
انما يخشى الله من عباده العلمؤا
Maksudnya ; “Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu”

2.4 Ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagian hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh.

2.5 Dengan ilmu manusia dapat menjalankan ibadah dengan sempurna, samada ibadah umum atau ibadah khusus dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan sebaiknya.

2.6 Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi.

2.7 Pelbagai jenis ilmu keduniaan seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

2.8 Ilmu adalah salah satu langkah bagi menjana pembangunan negara kerana melalui ilmu sahajalah yang dapat membezakan antara yang hak dan yang batil.

3. Sumber-sumber Ilmu Pengetahuan

Secara umumnya, sumber ilmu pengetahuan adalah diperolehi melalui wahyu, pancaindera, akal dan intuisi atau ilham.

1. Wahyu

Wahyu adalah pemberitahuan daripada Allah s.w.t kepada seorang hambanya yang dipilih di kalangan hambanya dengan secara sulit dan rahsia berlainan dari apa yang dialami oleh manusia biasa. Tidak dapat dinafikan lagi wahyu adalah merupakan sumber pengetahuan yang terpenting yang telah disampaikan oleh Allah s.w.t kepada manusia sama ada ianya disampaikan melalui Nabi Muhammad s.a.w atau melalui nabi-nabi yang terdahulu. Wahyu merupakan teras kepada segala ilmu kerana di dalam al-Quran terkandung pelbagai jenis ilmu pengetahuan yang amat diperlukan oleh manusia untuk kemasalahatan hidup juga perkara-perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal pemikiran manusia.

2. Pancaindera

Semua pancaindera seperti sentuhan, ciuman, penglihatan, pendengaran dan deria rasa merupakan seumber pengetahuan yang utama dan amat berguna bagi manusia untuk berinteraksi dengan alam sekelilingnya dengan mudah dan betul. Kelima-lima pancaindera ini merupakan satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan melalui beberapa percubaan dan pengalaman yang berulang-ulang. Bagaimanapun kebenaran yang diperolehi tidak semestinya selalu betul dan tepat. Pancaindera kadangkala di dalam keadaan tertentu gagal memberikan gambaran atau penglihatan umpamanya matahari kelihatan kecil oleh mata sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.

3. Akal

Akal adalah merupakan sumber utama pengetahuan manusia, malah perbezaan antara manusia dan haiwan adalah melalui hasil tamadun yang diusahakan oleh manusia berpunca dari pemikiran akal manusia yang kreatif. Dengan akal manusia dapat menimbang dan membezakan antara yang baik dan buruk, walaupun mungkin ianya tidak bersifat kebenaran secara mutlak namun ianya memadai untuk mengatasi masalah kehidupan seharian. Bagaimanapun Allah s.w.t menyuruh manusia menggunakan semaksima mungkin kedua-dua daya akal dan pancaindera yang dianugerahkan kepadanya agar dapat sampai kepada pengetahuan sahih dan kebenaran yang tidak menyesatkan. Al-Quran banyak menyebut seruan serta galakan daripada Allah s.w.t agar manusia dapat memerhatikan alam sekeliling mereka dengan akal dan pancaindera bagi mencari kebenaran yang hakiki.

4. Intuisi atau Ilham

Intuisi atau ilham juga boleh menjadi sumber pengetahuan manusia yang amat berguna. Ianya merupakan pengetahuan yang diperolehi tanpa melalui proses pemikiran yang tertentu. Contohnya seseorang yang mempunyai masalah yang sedang menumpukan pemikiran nya terhadap penyelesaian masalah tersebut, tiba-tiba menjadi jalan penyelesaian tanpa perlu berfikir panjang seolah-olah kebenaran yang dicari datang sendiri. Dalam Islam ilham ini boleh dikenali dengan istilah "firasat" atau pun pandangan bashirah (tembus) yang dikurniakan oleh Allah kepada para Ulama.

Walaupun begitu, ada juga di kalangan sarjana yang berpendapat bahawa sumber ilmu itu datangnya juga daripada sumber lisan dan tulisan serta kajian sejarah. Ilmu yang diperolehi melalui sumber lisan wujud dalam sistem pendidikan secara tidak formal seperti ilmu pertukangan dan sebagainya yang diperolehi melalui warisan secara tidak langsung daripada keluarga atau masyarakat. Pengajaran-pengajaran secara lisan daripada tokoh-tokoh ilmu juga dianggap sebagai sumber lisan. Ilmu yang sumbernya dari tulisan dapat dilihat melalui ilmu perubatan, matematik, dan undang-undang. Sementara ilmu yang diperolehi daripada kajian sejarah pula dapat dilihat melalui kajian-kajian dan penulisan-penulisan yang khusus tentang peristiwa sejarah yang telah berlaku.

RUJUKAN

Al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. t.th. Maucizah al-mu`minin min ihya` ulum al-din. t.tp : Maktabah Misr.

Khazali. (tanpa tarikh). Konsep Ilmu. http://khazalii.googlepages.com/udi30521konsepilmu [13 April 2008]

Noraziah Sharuddin. 2002. Forum memori korporat UTM. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia










Sunday, April 13, 2008

Tahniah


SELAMAT PENGANTIN BARU

Kesempatan ini saya gunakan seluasnya untuk mengucapkan TAHNIAH dan SELAMAT PENGANTIN BARU kepada teman-teman yang telah melangsungkan perkahwinan mereka baru-baru ni.

1) Nor Azimah Mahmood

2) Sabariah Abdul Ghani

3) Asmat Nain

Barakallahu Ta`ala fikum wa baninikum...

AY : Doakan agar saya bisa menyusul selepas kalian....=)

Wednesday, March 19, 2008

Tok Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah meninggal dunia

Wartawan Kita Wed Mar 19, 08 11:04:04 am MYT
PASIR MAS, 19 Mac (Hrkh)


Ulama tersohor di Kelantan dan nusantara, Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Pondok Lubuk Tapah, kira-kira jam 7.20 pagi tadi. Beliau merupakan antara dua ulama terkenal di negara ini yang mempertahankan institusi pondok tradisional. Seorang lagi Tuan Guru Hashim Abu Bakar, 88 mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Beliau juga kini sedang keuzuran.

Tuan Guru Abdullah terkenal dengan panggilan Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah berusia awal 80-an mewarisi Pondok Lubuk Tapah daripada ayahnya Tuan Guru Abdul Rahman.
Pondok tersebut merupakan yang ketiga terbesar di Kelantan selepas Pondok Sungai Durian dan Pondok Pasir Tumbuh. Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran pondok tersebut di tepi pusara ayahnya selepas solat Asar petang ini.


Allahyarham sebelum ini dirawat di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu kerana menghidapi mini strok, jantung dan konflikasi buah pinggang. Tok Guru dirawat selama sebulan di hospital tersebut, kata Adun Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad ketika ditemui di sini.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat juga sempat menziarahinya ketika sakit tenat malam tadi. Bacaan Yassin juga diadakan malam tadi.


Sementara itu orang ramai berduyung-duyung menziarahi jenazahnya pagi ini. Turut kelihatan Timbalan Menteri Besar, Dato Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat. Anggota Exco kerajaan negeri, Haji Abdul Fattah Mahmoood menyifatkan kematian Tuan Guru Abdullah merupakan satu kehilangan besar bagi umat Islam di Kelantan.

Katanya, ketokohan beliau dalam bidang agama sukar dicari ganti. Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah pula berkata, pemergian buat selama-lamanya Tuan Guru Abdullah seumpama kehilangan obor Islam di negara ini. - mj

dipetik dari www.harakahdaily. net

AY : Al-Fatihah......

Monday, March 17, 2008

Solat Hajat Beramai-ramai

Solat Hajat Beramai-ramai


Pilihan Raya Umum baru-baru ini memperlihatkan kepada kita tentang pelbagai senario yang berlaku dalam negara. Parti politik dan calon-calon yang bertanding berusaha bersungguh-sungguh dalam memastikan kemenangan masing-masing. Tak kurang juga keadaannya di negeri Kelantan, pelbagai usaha dilakukan bersama, bermula dari peringkat atasan yang terdiri daripada pemimpin dan calon-calon hinggalah kepada rakyat bawahan..Sedikit gambaran yang berlaku di Kelantan pada 7 Mac 2008 yang lalu, sehari sebelum PRU....Solat hajat beramai-ramai jam 3 pagi dengan diketuai oleh Menteri Besar Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Doa daripada pelajar-pelajar tahfiz untuk Kelantan


Lautan Manusia menunaikan solat hajat

Muslimat tetap bersama

Tok Guru, dalam munajatnya.........


AY : Rasa nak nangis sama tengok Tok Guru bermunajat.....

Thursday, March 13, 2008

Kelantan, Inilah Kebenarannya..

100 Fakta Kelantan...
Oleh : Dinsman


17 tahun bukan waktu yang pendek

17 tahun juga bukan waktu yang panjang

Tetapi 17 tahun cukup untuk mencipta 100 fakta

Bukti kewibawaan Islam agama memerintah

Mentadbir dan membangun negara..





17 tahun rekod mentadbir negeri tanpa rasuah, tuan-tuan

Di zaman manusia sanggup apa saja untuk hidup senang

Menipu mencuri merasuah membunuh memurtad sekalipun

Zaman materialisme hiburan gila-gila di kemuncak ini

Di Kelantan kerajaannya bersih rasuah dan kroni

Di Kelantan tiada judi untuk mempersia-sia ikhtiar manusia

Di Kelantan tiada nite-club untuk menghina wanita

Di Kelantan kadar jenayah paling rendah

Di Kelantan aktiviti ekonominya di tangan Islam.


100 fakta Kelantan100 bakal mengubah Malaysia

Kerja lima hari seminggu di Kelantanlah bermula

Cuti bersalin 60 hari di Kelantanlah bermula

Insurans kematian untuk seluruh rakyat warga emas juga

Di Kelantan bermulanya -Takaful Kifalah


100 fakta Kelantan100 bakal mengubah Malaysia

Di Kota Bharu pasar basah paling besar dan cantik

3000 wanita berniaga semuanya santun menutup aurat

Dinamakan nama isteri Rasulullah, Siti Khadijah



Di Kelantan ekonomi riba tidak diiktiraf

Biar kita rugi, kata Tok Guru, asalkan tidak dimarah Tuhan

Tetapi mereka tak rugi, kerana mengumpul wang dan harta

Nak senang sementara di dunia bukan tujuan

Tujuan ialah mengumpul pahala untuk bahagia abadi di syurga

Bagi mereka akhirat adalah nyata


100 fakta Kelantan100 bakal mengubah Malaysia

Di Kelantan tuan-tuan, menteri besarnya seorang Tok Guru

Tiap-tiap pagi menjadi imam subuh dan memberi tazkirah

Tiap-tiap pagi sebelum ke pejabat




18 tahun masih tinggal di rumah kampung berkembar masjid

Tak ada pagar tak ada pengawal tak ada orang gaji pun

Siapa-siapa boleh masuk dan berjumpa

Dia seorang yang warak dan zuhud

Gaji tiap bulan dipotong 45 peratus untuk parti dan kerajaan

Sejak dulu, elaun rumah tak pernah ambil, elaun keraian tak pernah ambil
Elaun buka puasa tak pernah ambil, elaun hari raya pun tak pernah ambil
Dan tangannya sentiasa ringan memberi sedekah
Itulah Menteri Besar Kelantan


Baru-baru ini BPR datang ke pejabatnya

Bukan kerana dia rasuah, tetapi kerana dia
Tak buat report ada orang cuba beri dia rasuah
100 fakta Kelantan100 bakal mengubah Malaysia

Waktu mula-mula dulu mereka kata tiga bulan saja

Kerajaan PAS akan bangkrap tak ada duit nak perintah negeri

Kemudian tambah sedikit 6 bulan, kemudian jadi setahun

Sekarang 18 tahun dan ekonomi Kelantan semakin segar


Walau diskriminasi kerajaan pusat bermacam helah

Ditakut-takutkan dan dihalang pelaburan

Namun 17 tahun tanpa riba tanpa rasuah tanpa maksiat

Ekonomi Kelantan meningkat mengatasi lima negeri lain

Dulu nombor dua termiskin sekarang nombor enam di Malaysia

Dan di Kelantan tuan-tuan, tak ada tol,

nampak maupun tidak harga barangan dan makanan pun kekal murah

dan harga nikah pun masih murah



100 fakta Kelantan100 bakal mengubah Malaysia

Belajarlah daripada Kelantan tuan-tuan

Belajarlah daripada Tok Guru

Belajarlah berfikir sebagai insan merdeka

Bebaskan minda, bebaskan minda!



AY : Semua ni, berkat doa daripada ulama2 sejak zaman dahulu lagi...

Wednesday, February 20, 2008

Talk Show Islam, Wang & Anda


TALK SHOW
ISLAM, WANG & ANDA
OLEH:
UST. HJ ZAHARUDDIN HJ ABD RAHMAN
Pensyarah, Fakulti Ekonomi & Sains Pengurusan, UIAM

23 FEBRUARI 2008 (SABTU)

8.30 PAGI - 1.00 TENGAH HARI

SURAU SAIDINA ALI,
PRESINT 9, FASA 11, JALAN P9F, PUTRAJAYA
(Belakang Klinik Kesihatan Putrajaya)

Anjuran:
NISA’ WILAYAH PERSEKUTUAN

Dengan kerjasama:
PERSATUAN PENDUDUK APARTMENT FASA 11, PRESINT 9

Turut diserikan dengan bacaan al-Quran oleh:
ANUAR HASIN, Juara Akademi al-Quran Musim Ke-2

Persembahan nasyid oleh:
KANAK-KANAK TADIKA AL-HADHARI

Masuk adalah percuma, makanan disediakan.
Orang ramai dijemput hadir.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Ana (0176804386) , Aina (0126564264) , Nurul (0176851853)
AY : Pakat gi ramai2...Imarahkan majlis ilmu..

Tuesday, February 05, 2008

Perlukah KPLI diteruskan


Perlukah KPLI diteruskan
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)


PEPATAH guru ibarat sebatang lilin yang sanggup membakar diri bagi menerangi orang lain nampaknya semakin menjadi tidak relevan lagi hari ini. Kebelakangan ini, pelbagai isu yang berkisar dalam dunia perguruan semakin menghakis tanggapan mulia terhadap kerjaya yang satu ketika dulu terlalu tinggi darjatnya.


Guru dalam nilai kerjayanya hari ini tidak banyak bezanya seperti kerjaya-kerjaya komersial lain yang di penghujung usahanya adalah ganjaran dalam bentuk gaji bulanan. Bayangan seperti ini semakin ketara rentetan daripada keluhan demi keluhan guru mengenai tanggungjawab mereka yang dikatakan semakin membebankan.


Antara puncanya, seperti yang dijelaskan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein baru-baru ini, kerana sebahagian besar peranan ibu bapa telah diserahkan kepada guru. Banyak lagi perkara-perkara remeh lain yang dikaitkan dalam kerjaya perguruan sehingga menyumbang kepada beban tugasan yang tidak lagi boleh ditanggung oleh seorang guru.
Sukar untuk menelah bagaimana peranan sebenar yang dimainkan oleh guru ketika ini.


Adakah hayunan langkah guru ke sekolah setiap pagi atau tengah hari hanya dengan perasaan untuk menunaikan tuntutan kerjaya semata-mata, sama seperti seorang buruh binaan yang perlu menyudahkan sebuah bangunan di tapak projek pembinaan? Atau terdetikkah di hati seorang guru bahawa rutin harian mereka sepanjang waktu persekolahan adalah satu misi kemanusiaan yang sangat besar amanahnya dalam melahirkan seorang insan yang tidak hanya tinggi pemikiran tetapi juga mulia akhlak dan keperibadian?


Tidak dinafikan, tumpuan yang terlalu tinggi sesetengah sekolah dalam mencapai peratusan kecemerlangan dalam peperiksaan utama sedikit sebanyak menyebabkan peranan sebenar guru tersasar daripada landasannya. Dalam mengejar peratusan itu, guru pastinya dikerah untuk lebih memberikan perhatian terhadap aspek kecemerlangan akademik dengan harapan pelajar mereka mampu mengutip sebanyak mungkin gred A dalam peperiksaan tersebut.


Tanpa disedari, situasi ini menyebabkan aspek lain dalam pembentukan seorang pelajar yang cemerlang seperti akhlak dan peribadi yang mulia sedikit terabai. Memang ada aktiviti sekolah yang menjurus ke arah pembentukan akhlak dan rohani seorang pelajar yang syumul, tetapi keberkesanannya boleh saja dipersoal melihat kebejatan sosial pelajar-pelajar yang sangat membimbangkan.


Pastinya tidak adil jika keruntuhan moral di kalangan generasi muda ini diletakkan di bahu guru semata-mata. Namun, sebagai individu yang paling dekat dengan pelajar-pelajar selepas ahli keluarga, peranan guru dalam mencorak akhlak dan keperibadian generasi muda adalah sesuatu yang tidak boleh disangkalkan.


Andai kata pelajar-pelajar ini menghadapi masalah dalam hubungan kekeluargaan mereka di rumah, siapakah lagi yang paling layak untuk mereka mengharapkan pertolongan dan perhatian? Tanggungjawab seperti ini tidak begitu ketara dalam perhubungan guru dan pelajar dalam persekitaran sekolah hari ini.


Pendekatan guru dalam menangani perkara sebegini kebiasaannya lebih kepada hukuman fizikal seperti rotan atau gantung sekolah yang secara psikologinya mewujudkan sikap penentangan yang semakin dahsyat. Lalu, pengajaran yang diharapkan diterima oleh pelajar-pelajar bermasalah daripada hukuman fizikal sebegini bertukar menjadi satu titik yang semakin melonjakkan sikap negatif pelajar berkenaan.


Apa yang diperlukan oleh pelajar bermasalah adalah pengajaran dalam bentuk teladan yang secara terus menyerap ke dalam jiwa dan fikiran mereka. Teladan seperti inilah yang perlu ada dan dicontohi daripada seorang guru dan tuntutan itu tidak hanya ketika mereka bergelar seorang ‘guru’ sebaliknya dalam keseluruhan hidup mereka.


Sukar untuk tidak mengaitkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang semakin popular hari ini dalam permasalahan nilai-nilai seorang guru seperti yang berlaku memandangkan kebanyakan guru yang dilahirkan daripada kursus ini rata-ratanya siswazah muda. Lebih parah apabila KPLI dijadikan jalan keluar oleh siswazah dalam desakan mencari pekerjaan sekali gus tidak membayangkan keinginan dan hasrat sebenar mereka sebagai seorang pendidik.


Uniknya mengenai KPLI ini, seorang guru boleh dilahirkan dalam tempoh pengajian kira-kira setahun dengan bidang serta pengkhususan mengenai pendidikan yang semestinya dipendekkan. Justeru terlalu mudah untuk melihat kelemahan pelaksanaan KPLI dalam melahirkan seorang guru yang sebenar jika dibandingkan dengan guru yang dilahirkan daripada maktab perguruan sedikit masa dahulu.


Benar siswazah ini sudah mempunyai latar belakang akademik yang cemerlang, tapi kriteria itu sahaja tidak memadai untuk melayakkan mereka bergelar seorang guru yang baik. Mungkin sudah tiba masanya pelaksanaan KPLI ini dikaji semula apatah lagi ketika beberapa laporan bahawa terdapat pelajar pengajian pendidikan tidak mendapat tempat mengajar kerana perlu bersaing dengan guru lepasan KPLI ini.


Sedangkan tujuan utama pelaksanaan KPLI sebelum ini adalah untuk menampung kekurangan guru lepasan pengajian pendidikan namun situasi yang berlaku kini menjadi sebaliknya. Pengkhususan pengajian KPLI juga barangkali perlu disemak semula dengan memberi lebih penekanan kepada usaha dan pendekatan seorang guru dalam membina jati diri dan membentuk rohani pelajar yang syumul dan bukannya bijak dalam peperiksaan semata-mata.


Sejak sekian lama, guru sangat berbangga apabila jasa dan pengorbanan mereka diagungkan kerana melahirkan seorang Perdana Menteri, doktor, peguam, jurutera dan banyak lagi.
Pastinya kita tidak mahu satu hari nanti kebanggaan ini dicemari apabila jasa seorang guru dikaitkan dengan gejala mat rempit, bohsia, penagih dadah dan sampah masyarakat lainnya.



AY : Benarlah, setiap perbuatan itu ditentukan dgn niat...

Wednesday, January 09, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429H

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429H

Semoga tahun ini memberi lebih kebaikan kepada kita semua berbanding tahun lepas. Amin Ya Rabbal Alamin. Di sini disertakan terjemahan doa akhir & awal tahun buat semua. DOA akhir tahun dibaca tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Berikut ialah terjemahan doa akhir tahun;

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Ya Allah, wahai Tuhanku, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak reda dan tidak melupakannya dan Engkau berlembut tidak mengazabkan aku malah memberi peluang supaya aku bertaubat selepas menceburkan diri melakukan maksiat itu. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku dan mana-mana perbuatan yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhainya dan Engkau janjikan ganjaran pahalanya. Maka aku memohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah aku lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.

Sementara doa awal tahun pula dibaca tiga kali selepas maghrib pada malam satu Muharam. Berikut adalah terjemahan doa awal tahun ;

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan sekelian alam. Rahmat dan sejahtera ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad dan atas keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, sedia ada, tiada permulaan. Kelebihan-Mu Maha Besar dan kemurahan-Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, aku mohon kepada-Mu agar terpelihara di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada konco-konco syaitan dan bala tenteranya. Aku juga bermohon kepada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Aku mohon juga kepada-Mu akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diriku kepada Mu.
Ya Allah Tuhan Yang Maha Agung lagi Mulia, Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat.


Bercakap tentang Muharram, tak boleh lari daripada mengenang balik peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini, antaranya ;

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.


10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama

enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari

40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera

Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan 'Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

AY : Begitu sibuk dengan alam baru, masih belajar menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...