Wednesday, March 19, 2008

Tok Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah meninggal dunia

Wartawan Kita Wed Mar 19, 08 11:04:04 am MYT
PASIR MAS, 19 Mac (Hrkh)


Ulama tersohor di Kelantan dan nusantara, Tuan Guru Abdullah Abdul Rahman meninggal dunia di rumahnya di Pondok Lubuk Tapah, kira-kira jam 7.20 pagi tadi. Beliau merupakan antara dua ulama terkenal di negara ini yang mempertahankan institusi pondok tradisional. Seorang lagi Tuan Guru Hashim Abu Bakar, 88 mudir Pondok Pasir Tumbuh, Kota Bharu. Beliau juga kini sedang keuzuran.

Tuan Guru Abdullah terkenal dengan panggilan Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah berusia awal 80-an mewarisi Pondok Lubuk Tapah daripada ayahnya Tuan Guru Abdul Rahman.
Pondok tersebut merupakan yang ketiga terbesar di Kelantan selepas Pondok Sungai Durian dan Pondok Pasir Tumbuh. Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran pondok tersebut di tepi pusara ayahnya selepas solat Asar petang ini.


Allahyarham sebelum ini dirawat di Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu kerana menghidapi mini strok, jantung dan konflikasi buah pinggang. Tok Guru dirawat selama sebulan di hospital tersebut, kata Adun Pengkalan Pasir, Haji Hanifa Ahmad ketika ditemui di sini.
Menteri Besar, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat juga sempat menziarahinya ketika sakit tenat malam tadi. Bacaan Yassin juga diadakan malam tadi.


Sementara itu orang ramai berduyung-duyung menziarahi jenazahnya pagi ini. Turut kelihatan Timbalan Menteri Besar, Dato Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat, pegawai kerajaan dan pemimpin masyarakat. Anggota Exco kerajaan negeri, Haji Abdul Fattah Mahmoood menyifatkan kematian Tuan Guru Abdullah merupakan satu kehilangan besar bagi umat Islam di Kelantan.

Katanya, ketokohan beliau dalam bidang agama sukar dicari ganti. Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah pula berkata, pemergian buat selama-lamanya Tuan Guru Abdullah seumpama kehilangan obor Islam di negara ini. - mj

dipetik dari www.harakahdaily. net

AY : Al-Fatihah......

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...