Tuesday, September 18, 2012

SONGKOK DAN KOPIAH

Posting ni suka-suka jer. Sambil belek-belek fail, sementara menunggu kelas kejap lagi jadi saya postlah kat sini. Dah lama saya dapat benda ni, dah lupa dari mana dapat sebab dah terlalu lama. Minta maafla kepada tuan asal, saya tak letak sumbernya. Betul-betul tak tau nih, tapi kalau kebetulan terjumpa kat teratak saya ni janganlah marah, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak ya! Jasamu dikenang... Bukan apa, saya suka sangat seloka ni, tambah-tambah kena dengan waktu nak PRU ni kan. Sekali sekala post benda macam ni ok jugalah, taklah nampak serius sangat.... OK, rilex-rilex jer!




Saya Songkok dan kopiah itu asalnya sekapal
darjat mereka tidak pernah berubah,
berdiri sama tinggi duduk sama rendah,
tetapi berbalah-cekah tak sudah-sudah.

Berungkap nasihat menyengat
songkok selalu mengingatkan.
“Jangan lembik seperti kopiah,
tapi keras macam songkok”

Penuh yakin kopiah menjawab,
“Biar lembik asalkan putih.
Jangan keras apalagi hitam.
Sudahlah hitam sucimu diragukan.
Biar tak cantik jangan tak bersih”

Sindir songkok lagi,
“Jangan hidup seperti kopiah,
sesuai untuk pelikat bersandal getah,
sudahlah selekeh nilai amat rendah.”

Kopiah merendah menjawab tajam,
“Sehina-hinaku pernah juga mandi
menjamin kekal bersih dan suci,
untuk dijunjung mukmin merata-riti.
Semulia-muliamu sepanjang hidup
pernah mandi walaupun sekali.
Kalau ada, itu gila punya kepala.”

Tambah kopiah lagi.
“Hitam songkok sehitam tahi cicak
hanya umpama sang gagak,
walaupun dimandi air emas sekalipun
mustahil hitammu bertukar putih.
Putihku jika disabun dibilas-bilas
bertambah lagi berseri putih berseri.”

Dengan lembut songkok mengakui,
“Walaupun tidak pernah mandi,
aku sering ditayammum si berus
supaya kelihatan kemas terurus.

Selainnya aku sentiasa dijaga
daripada ditempiasi sang hujan
menjamin selalu keras dan kering
walau terpaksa menyemak dinding.”

Kopiah senyum menelan alasan
kemudian meminta fatwa bagaimana
amalan tayammum ala songkok
ketika hujan mencurah-curah?






Kat atas ni saja jer tambah, video tentang Tutorial Songkok dan Kopiah terbitan terbaru Mat Lutfi. Kebetulan pula ada video terbaru daripada beliau. Seronoklah juga, dah penuh menyemak tutorial yang bagai tentang tudung dan seangkatan dengannya kan, jadi Mat lutfi pun ambillah konsep yang sama dalam memeriahkan dunia tutorial tanah air... What women can do, Man can do it also as well!... ^_^


Tuesday, September 11, 2012

NELANGSA HATI ZAHRANA


"Tidak ada wanita normal yang tidak punya rasa untuk berumah tangga dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang enggan mengandungkan janin daripada benih suami tercinta di dalam rahim yang dimilikinya dengan sengaja. Tidak ada wanita normal yang menolak untuk menjadi makmum saban solat jemaah berimamkan suami yang menikahinya atas dasar cinta dan amanah daripada Allah dengan sengaja."



Zahrana seorang wanita gigih, berusaha keras untuk mencapai puncak kejayaannya dalam pelajaran dan kerjayanya. Zahrana terlalu fokus pada matlamat dan impiannya. Namun demikian, Zahrana tidak pernah membenci cinta dan menguburkan impian untuk berumah tangga. Dia tetap punya keinginan dan kerisauan memandangkan diri yang belum berpunya. Zahrana berusaha untuk mencari jodohnya tetapi dengan cara yang begitu berhati-hati. Wanita kental ini tidak mahu perkahwinannya berantakan di kemudian hari, mendapat suami yang hanya menyakitkan hati atau menzalimi dirinya sendiri. Zahrana bertahan lama hidup dengan tohmahan 'perawan tua' kerana mengejar jodoh terbaik buatnya. Status, pelajaran dan kewangan tidak diutamakan Zahrana bagi calon suami, yang dipentingkan ialah ketakwaan dan keimanan bakal suami bagi mendidik diri dan anak-anaknya nanti.



Apa gunanya gelar sarjana dan karir setinggi langit, jika belum menikah. Untuk apa menikah, jika mendapat pasangan yang tidak seiman, yang tidak sayang pada keluarga, yang tidak bisa menjadi imam di dalam keluarga.



Menjadi seorang wanita berkerjaya, berprestasi, bereputasi tinggi, mempunyai pendidikan dan kecemerlangan yang bergemerlapan tetapi melewati usia tanpa teman yang halal dalam melayari bahtera perkahwinan bukanlah mudah.



Seorang wanita tidak pernah merancang dengan sengaja untuk melewatkan hari bergelar isteri.




Zahrana lukisan cinta suci
Nelangsanya hatimu sepi, senyummu tetap dalam ikhlas
Biar lama menanti tetap hati berpegang, cintamu suci

Zahrana risalah cinta suci
Cintamu hanya karena Allah walau dingin hati membeku
Menggunungnya hinaan, sebutan perawan tua, cintamu tetap suci
Sebut nama-Nya, dekat dengan-Nya, pinta pada-Nya
Segala perkara hidup dan cintamu indah pada waktunya
Takdirkan cinta atas restu-Nya, atas pilihan-Nya
Serahkan seluruh urusan cinta dan hidup hanya pada Allah, Zahrana
  

Monday, September 10, 2012

CINTA SUCI ZAHRANA

Bismillahirrahmanirrahim...

Sudah lama benar saya tidak menulis di sini. Bukan tidak ada idea atau terlalu sibuk dengan kerja, tapi tidak tahulah apa yang sedang melanda hidup saya kebelakangan ini. Fokus pada urusan hidup sedikit berkurangan jadinya. Beku dan kosong! Sebulan Ramadhan langsung tidak saya endahkan blog ni. Bukan kata nak menulis, menjengahnya pun langsung tidak. Alhamdulillah puasa sudah, raya pun sudah, puasa balik pun sudah dan raya balik pun dah sudah. Makan angin pun dah sudah, jadi setelah kembali daripada outstation yang agak ringan dan dengan jadual ala-ala bercuti, otak saya sedikit mampu bekerja dengan lebih baik. Hari ini saya mampu melawat, menulis, berkongsi dan meninggalkan sesuatu di sini.

Permulaan kepada percutian yang agak lama haruslah diawali dengan artikel yang ringan-ringan saja. Seperti biasanya juga, saya masih suka sekali untuk berkongsi tentang karya penulisan dan tentang filem. Cakap saja suka-suka, saya tidak pernah memiliki apa-apa ilmu dalam kedua-dua bidang ini. Apa yang membuatkan saya lebih bersemangat adalah saat membicarakan berkenaan karya Kang Abik yang hebat semuanya.






Baiklah kali ini bercakap sedikit tentang novel CINTA SUCI ZAHRANA yang juga telah difilemkan dengan jayanya. Saya masih belum memiliki novel ini, namun seawal tahun 2008 saya telah memiliki 1 naskhah novel yang memuatkan 3 cerpen di dalamnya dan salah satu daripadanya adalah cerpen tentang CSZ ini. Novel ini asalnya telah dikembangkan daripada cerpen Kang Abik yang dimuatkan bersama dengan cerpen Dalam Mihrab Cinta serta Mahkota Cinta yang kemudian kedua-dua daripada CSZ dan DMC telah dipisahkan menjadi novel yang berasingan dengan jalan cerita yang lebih mantap. Judul asal daripada novel ini adalah Takbir Cinta Zahrana. Ok, review sedikit sinopsisnya.





“Apa gunanya gelar sarjana dan karir setinggi langit, jika belum menikah. Untuk apa menikah, jika mendapat pasangan yang tidak seiman, yang tidak sayang pada keluarga, yang tidak bisa menjadi imam di dalam keluarga.”


Begitulah antara pesanan yang terdapat dalam novel “Cinta Suci Zahrana” karya Habiburahman El-Shirazi yang telah difilemkan sekali lagi lewat layar perak. Satu lagi filem yang telah diadaptasi dari novel pembangun jiwa adikarya novelis nombor 1 Indonesia ini. Filem ini mengisahkan tentang seorang pensyarah wanita yang bernama Dewi Zahrana. Beliau seorang yang berprestasi, bercita-cita tinggi, mendapat penghargaan antarabangsa sebagai arkitek ulung dari universiti luar negara, tulisan-tulisannya termuat dalam jurnal-jurnal antarabangsa dunia reka bina serta bakal melanjutkan pengajian peringkat PHD. Zahrana berusia 34 tahun, pada usia sebegini wanita dari tanah Jawa itu diamuk tekanan masyarakat khususnya ibu bapa sendiri untuk melihat Zahrana mendirikan rumahtangga, mempunyai suami dan cahaya mata penyejuk hati. Semua jerih payah dan prestasi hebat Zahrana sedikitpun tidak membuatkan kedua orang tuanya merasa bangga. Mereka tidak mengimpikan untuk mendapat penghargaan sebegini melainkan melihat Zahrana bersanding di pelamin dan dapat segera menimang cucu.

Kedua orang tua Zahrana menjadi bimbang apabila anak mereka dilabel sebagai 'anak perawan tua'. Jiran-jiran juga mula berkata tentang Zahrana yang sukar menemui jodoh pada usia sebegitu dan ditambah dengan pendapat pakar perubatan tentang kesukaran mendapatkan zuriat pada usia wanita lewat 30-an. Mereka khuatir andai keturunan mereka tidak bersambung ekoran kesukaran Zahrana bertemu jodohnya. Namun demikian, Zahrana tidak pernah membenci cinta dan menguburkan impian untuk berumah tangga. Zahrana berusaha keras untuk mencapai puncak kejayaannya dalam pelajaran dan kerjayanya. Zahrana terlalu fokus pada matlamat dan impiannya. Walau bagaimanapun, Zahrana tetap punya keinginan dan kerisauan memandangkan diri yang belum berpunya. Dia berusaha untuk mencari jodohnya tetapi dengan cara yang begitu berhati-hati. Wanita kental ini tidak mahu perkahwinannya berantakan di kemudian hari, mendapat suami yang hanya menyakitkan hati atau menzalimi dirinya sendiri. Zahrana bertahan lama hidup dengan tohmahan 'anak perawan tua' kerana mengejar jodoh terbaik buatnya.

Sudah banyak laki-laki yang meminangnya, namun Zahrana menolaknya dengan halus. Prinsip Zahrana dalam memilih pasangan, bukan diukur dari kedudukan, harta dan jabatannya, tapi karena akidah yang sama, karena kesolehannya, dan mampu menjadi imam bagi dirinya. Zahrana pernah dipinang oleh Dekan Fakultas Teknik di Universiti Mangunkarsa berusia lewat 50-an. Kejelitaan, kebijaksanaan dan penghargaan yang diperoleh Zahrana menjadikan dia begitu tergila-gilakan pensyarah muda berkenaan. Zahrana yang mengetahui sikap mata keranjang dan kebejatan moral Dekan fakultinya itu telah menolak lamarannya. Penolakan lamaran itu membuatkan Zahrana diancam sehingga menarik diri dari kerjayanya di universiti berkenaan. Dendam ketuanya yang menganggap dirinya besar, terhormat dan tidak wajar ditolak lamarannya oleh Zahrana telah mengatur strategi agar Zahrana kekal sebagai perawan tua.

Setelah menarik diri dari Universitas Mangunkarsa, Zahrana berkhidmat sebagai pensyarah di sebuah pesantren. Di pesantren, Zahrana tekad memenuhi impian kedua orang tuanya dengan memohon bantuan kiyai melalui sahabatnya agar mencarikan calon suami yang soleh dan bertakwa untuk dirinya. Status, pelajaran dan kewangan tidak diutamakan Zahrana bagi calon suami, yang dipentingkan ialah ketakwaan dan keimanan bakal suami bagi mendidik diri dan anak-anaknya nanti. Dekan fakulti yang ditolak lamarannya sebelum ini mendapat tahu Zahrana bakal menikahi Rahmad yang merupakan seorang penjual keropok yang soleh telah mengatur strategi membunuh Rahmad pada hari pernikahannya dengan Zahrana. Selain kematian Rahmad, Zahrana juga diterjah duka lantaran kematian ayahnya yang diserang sakit jantung pada hari yang sama.

Zahrana semakin buntu sehingga akhirnya bertemu dengan Hassan yang pernah menjadi anak didiknya di universiti dahulu telah memberikan laluan yang baru. Hassan yang menyambung pelajaran peringkat sarjana di Universiti Sains Malaysia memohon agar ibu angkatnya yang mengenali Zahrana untuk meminang Zahrana bagi dirinya. Jarak usia empat tahun dan kedudukan Hassan sebagai mantan muridnya membuatkan Zahrana terpinga-pinga dalam membuat keputusan. Namun pada akhirnya, Zahrana menerima lamaran dan pada hari yang sama meminta agar dia dan Hassan dinikahkan pada malam kedua Ramadhan di masjid berdekatan rumah Zahrana.

Karya ini berdiri teguh atas konflik emosi Zahrana yang menjadi fokus pengarang. Kejayaan dan kecemerlangan akademik namun kekurangan nilai tambah sebagai seorang wanita ditelusuri dengan penuh berhati-hati. Seorang wanita yang tegas, mahukan kejayaan namun cukup prihatin dalam mencari calon suami yang penuh keimanan untuk jaminan masa depan. Cinta Suci Zahrana membawa khalayak menelusuri liku jiwa pengembaraan seorang wanita 'perawan tua' mendepani kehidupannya yang sering dipandang negatif oleh kebanyakan masyarakat.

Ini antara sinopsi tentang CSZ. Trailernya saya letak di bawah sebagai bayangan kepada jalan ceritanya. Setelah fenomena KCB, hati mula berbisik lagi, ‘Masih banyak betul persamaan yang dibawa oleh Kang Abik kali ini. Saya dan Zahrana mula bersatu atas jalan yang sama.’ Ketahuilah, seorang wanita tidak pernah merancang dengan sengaja untuk melewatkan hari bergelar isteri. Hasbunallah wani’mal wakil, ni’mal mawla wa ni’mal nasir.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...