Sunday, April 29, 2012

KELEBIHAN MENJADI UMAT NABI MUHAMMAD SAW


Petang tiba-tiba berubah wajah. Redup, setelah galak matahari memancarkan terik di siangnya tadi.  Cuti hujung minggu ini terasa hambar sekali, walau telah saya cuba muatkan dan padatkannya dengan pelbagai aktiviti. Semalam telah berlalu, hari ini tingal beberapa jam lagi untuk menginjak malam, seterusnya akan bertemu dengan esok jika Allah masih berkehandakkan nyawa  kekal dalam jasa yang sebatang ini. Ke hulu ke hilir saya bersa'ie dalam keluasan kediaman yang tidak seberapa. Semuanya tidak menceriakan. Hobi-hobi yang biasanya mampu menghiburkan hati dan mengalih laju gerakkan masa juga tidak berselera untuk saya tekuni. Masih ada 7-8 buah buku yang belum saya sentuh, dan cadangnya mahu dikhatamkan sebelum ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 dalam masa 2-3 hari lagi, tapi dipandang sepi saja. Bila menapak ke bilik belakang, mata terpacak pada  beberapa pasang kain yang telah digunting 2 hari lepas, masih belum berjahit lagi. Biarkan dulu, tak mahu saya fikirkan lagi pasal kain-kain tu. 

Berkalih ke bahagian dapur, buka pintu peti ais, haaiih... ada sebakul telur itik dalam bilangan 20 biji bekalan ibu dari kampung yang perlu ditelur masinkan, hihi... kalau tidak, nanti rosak. Biarkan juga dulu. Saya cuba yang lain, menekan-nekan laman sosial berkaler biru putih. Sama! Bosan dan muak, tak semesra dulu. Pendek cerita, saya hilang mood! Resah rasanya, bila tidak mampu berbuat apa-apa. Alihnya, saya cuba gagahkan juga. Saya mahu menulis sesuatu hari ni sebelum siang melabuhkan tirainya. Jariah saya di sini hari ini. Saya mahu berkongsi apa yang saya dapat sewaktu kuliah dhuha pagi tadi. Kuliah dhuha di Pondok Baitul Qurra' biasanya disampaikan sendiri oleh mudirnya Tuan Guru Ustaz Zulkifli bin Hj Ismail, namun disebabkan Ustaz Zul ada majlis bersama ulama maka kuliahnya diganti dengan adik beliau yang juga tidak kurang hebatnya. Kuliah diganti oleh Ustaz Syauqi Hj. Ismail yang masih muda belia, namun ilmunya cukup ampuh. Subhanallah... 'Alim.

Bicara ustaz bermula dengan kata ulama' : 'Jika seseorang manusia itu tidak diberikannya selain daripada 3 nikmat ini, maka itu sudah mencukupi untuk dia mengecap kebahagian hidup di dunia dan untuk dia mengecap kebahagian yang kekal di akhirat. Tiga nikmat yang dimaksudkan itu adalah nikmat Iman, Islam dan juga nikmat menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Nikmat menjadi seorang Mukmin, Muslim dan umat Nabi Muhammad merupakan sebesar-besar nikmat yang wajib disyukuri oleh setiap mereka yang dianugerahkannya. Kita tidak merancang semua ini, tetapi dengan kasih sayang Allah kita telah ditakdirkan untuk mejadi dan memiliki ketiga-tiga nikmat ini. Subhanallah... Kebahagiaan di dunia dan akhirat pasti menjadi milik kita andai kita benar-benar menghayatinya dengan hati yang celik.

Nikmat Iman dan Islam telah sekian banyak dibahaskan oleh para ulama, begitu juga dengan nikmat menjadi umat Nabi Muhammad SAW. Bila menjadi umat Nabi Muhammad SAW, setiap yang kurang itu menjadi lebih. Bergembiralah wahai hati dengan kelebihan yang telah diberikan oleh Sang Pencipta ini.... :). Sungguh Allah telah mencukupkan nikmatnya atas kita. Kata Nabi Allah Adam AS; 'Beberapa kemulian umat Muhammad yang tidak diberikan kepada umat aku antaranya;

1) Aku diberikan taubat di Makkah, sedangkan umat Muhammad tidak kira di mana-mana saja tempat yang  mereka rasakan mereka mahu bertaubat.

2) Ketika aku melakukan maksiat maka Allah menelanjangkan aku, sedang aku dalam keadaan berpakaian. Namun umat Muhammad melakukan maksiat dalam keadaan bertelanjang sekalipun, Allah masih memberikan pakaian kepada mereka.

3) Nabi Muhammad telah meminta doa mustajabnya ke atas umat disimpan untuk akhirat sebagai syafaat. Sedang nabi-nabi terdahulu telah menggunakannya, dan sebahagiannya dipohon untuk membinasakan umat mereka yang terdahulu.


Kita juga selalu terfikir tentang ketidaksamaan umat Muhammad SAW dari pelbagai sudut. Kita bertanya-tanya kenapa dan mengapa untuk mendapatkan kepastian. Bukankah kita sering bertanya;


1) Kenapa umat Muhammad dijadikan dengan berbadan kecil?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan kecilnya saiz ini akan menjimatkan mereka daripada perbelanjaan makan dan minum yang banyak.

2) Kenapa umat Muhammad pendek umurnya?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan pendeknya umur mereka supaya mereka tidak banyak melakukan maksiat.

3) Kenapa umat Muhammad dijadikan faqir dan miskin?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan faqir dan miskinnya mereka itu adalah supaya Allah tidak menghitung mereka dalam waktu yang lama untuk masuk ke syurga.

4) Kenapa umat Muhammad dijadikan sebagai umat terakhir?
Jawapannya - Ini adalah kerana Allah SWT memuliakan mereka, dengan menjadikan mereka umat terakhir supaya mereka tidak berada lama dalam kubur.




Ketahuilah semua yang termaktub itu ada bersamanya hikmah buat kita. Bukankah kelainan itu satu daripada bentuk keistimewaan...? Perbanyakkan selawat ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW sebagai tanda syukur dan bukti kecintaan kita. Wahai Allah... Alhamdulillah atas segala nikmat yang dikurniakan.  



Wednesday, April 25, 2012

ANTARA CORETAN & TULISAN



Salam alaik! awak seorang penulis? saya suke bace blog awak. Alhamdulillah. Semoga membawa manfaaat kepada semua... :)


Sekilas membaca, saya tersenyum.... 'Bukan awak... Saya bukanlah seorang penulis, hanya pencoret sahaja. Saya sekadar berkongsi apa yang dirasa. Menzahirkan apa yang terbuku. Saya tidak bertauliah awak... Saya tidak bersijil atau mungkin lebih dahsyat kalau saya katakan, saya tidak mempunyai apa-apa buku pun hasil tulisan saya.' :) 

'Tapi kan awak, saya memang bercita-cita besar untuk jadi seorang penulis, dikenali sebagai seorang yang mampu menyusun huruf menjadi kalimah dan membentuk ayat-ayat indah untuk tatapan pembaca. Jadinya dengan sebab itulah, saya berjinak-jinak terlebih dahulu di sini. Mudah-mudahan Allah memakbulkan salah satu daripada sekian banyak impian saya. Segala yang berawal dengan hobi yang sekadar mengisi masa lapang, akan bergerak menjadi impian.' Saya meletakkan noktah dengan bibir yang masih menguntum senyum. :)

Saat menulis ini, tanpa meminta apa-apa santapan, telinga saya dihidangkan dengan sayup-sayup alunan indah lagu BIDADARI dendangan Hijjaz. Latar blog seorang muslimah yang tercapai waktu blogwalking. Bibir cuba digerakkan untuk mengikut alunan melodi, namun sumbang sekali tingkahnya. Saya kembali tersenyum. Ternyata, saya bukan lagi muda untuk menjiwai perkara-perkara yang sebegini lagi. Bahkan tanpa paksa, jiwa lebih senang membiarkan telinga menangkap satu-persatu bait-bait indah dari alunan melodi ini, kemudiannya diserahkan kepada otak untuk dinilai dan akhirnya berkongsi rasa pada jiwa. Terbukti, penjiwaannya lebih berakar daripada sekadar mengalun-alunkannya di bibir. Sekali lagi hati berbisik lembut... Menulis ini memang luas kan?  

Baiklah... Tanpa kita alunkan lirik mengikut melodi, kita biarkan saja mata meminjamkan penglihatan kepada akal, lidah meminjamkan lafaz kepada jiwa. Kita biarkan hati merasai sepenuhnya. 




Bidadari, Temanilah resahku... Bidadari, Tenangkanlah jiwaku... Sumpah setia, hidup mati selamanya... Kerana kau isteriku, isteriku tercinta... Pelengkap rusuk kiriku... 

Bidadari, jadilah pendampingku... Bidadari, jadilah Sang Setia... Kerna cinta, cinta suci... Ertinya tidak pernah sepi, sepi daripada cubaan yang tak terduga... 

Kau umpama bintang utara, penujuk jalan yang terang... Kau beri harapan, saat ku jatuh bangun semula... Kau berikan sakti cintamu, penawar racun berbisa... Dan ikatan kita, cinta abadi hanya di Syurga.



Beruntung sekali pada mereka yang telah dikirimkan Allah Bidadari Dunia sebagai peneman di permusafiran hidup... Syukuri dan hargai apa yang telah dianugerahkan ini. Akhir entry kali ini, sambutlah salam kasih sayang daripada saya yang juga mengimpikan untuk menjadi Bidadari Dunia, peneman pada dia yang telah dipilih oleh Allah. Moga juga, saya bisa menjadi Bidadari terpilih. Sungguh, mujahadah itu pahit kan? 


~ OK, sahabat semua... Saya coret, bukan tulis... :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...