Wednesday, October 28, 2009

AYAT-AYAT CINTA vs KETIKA CINTA BERTASBIH


Selepas terpukau dengan bait-bait indah dalam Ayat-ayat Cinta, kini saya merasakan pula dipukul hebat dek badai Ketika Cinta Bertasbih. Badai yang mula menghempas dada hidup. Setiap hari saya diuliti dengan alunan merdunya puisi-puisi cinta yang asyik mengalunkan tasbih, dibayangi indah perjalanan cinta Anna dan Azzam dalam KCB. Mahu saja saya segera terbang ke Ardhul Kinanah sana, agar bisa berkongsi dan merasa terus keberkahan bumi Anbiya` ini...


Pinjaman sifat tabah dan cekal penulis pada watak-watak ciptaannya tidak sedikit pun mengurangkan rasa kagum saya pada ketabahan serta kecekalan penulisnya sendiri, yang tidak lain adalah Kang Abik. Bahkan ianya membuatkan saya lebih-lebih lagi merasa kagum dan hormat pada penulisnya. Sentuhan Habiburrahman El-Syirazi benar-benar luar biasa dan mampu menjentik mana-mana juga jiwa yang menghayatinya lewat novel atau filem.


Garapan mantap sutradara bapa Chaerul Umam juga mampu membuatkan filem ini hidup dengan nafasnya yang tersendiri. Bernafas lembut dengan iringan tasbih cinta padaNya. Hati tidak lalai walau intinya banyak berkisar tentang cinta. Saya jadi mula insaf dengan takdir yang memang telah ditentukan oleh Allah s.w.t atas setiap hambanya. Saya jadi malu sendiri bila cuba membandingkan diri saya dengan nama-nama seperti Anna Althafunnisa`, Cut Mala, Tiara, Masyitah, Husna dan banyak lagi nama lain. Memang saya akui itu adalah hanya watak rekaan semata-mata untuk menghidupkan cerita, tapi apa salahnya kalau kita memandangnya pada sudut yang positif dan menilainya dengan diri kita buat ingatan dan muhasabah untuk hari ke depan.


Saya tidak sesekali menafikan bahawa memang ada orang yang takdirnya sebegitu, seperti yang terkarang oleh Kang Abik. Saya juga terkadang merasakan imbasan diri saya seakan ada dalam watak-watak cerita ini. Kekadang saya merasakan saya seperti Azzam, bila mana terpaksa berjuang sendirian meneruskan pengajian, ketika semua sahabat-sahabat yang seangkatan dengan saya telah lama melangkah ke alam pekerjaan. Saya terpaksa bekerja seadanya yang memang tidak selayaknya pun dengan ijazah yang saya ada, semata-mata untuk menampung dan meneruskan kehidupan saya sewaktu belajar, biarpun kehidupan saya tidaklah sesusah kehidupan Azzam. Saya juga memekakkan telinga sewaktu semua orang memarahi saya kerana masih mahu meneruskan pengajian sedang umur sudah meningkat. Perihalnya sama seperti Azzam yang memekakkan telinganya saat semua orang memarahinya kerana kuliah terlalu lama.


Kadang saya juga merasakan diri sama seperti Anna yang terpaksa bertungkus lumus, bekerja keras untuk menamatkan pengajian MA saya. Ke hulu ke hilir sendirian mencari bahan-bahan dan berjuang menyiapkan tesis. Alhamdulillah dengan berkat kesungguhan, saya dapat menamatkan kuliah seawal yang mungkin tanpa banyak gangguan-gangguan yang berat yang tak mampu saya tangani.


Pada keadaan yang lain, saya merasakan betul-betul berada pada posisi Fadhil dan Fadhil juga berada pada posisi saya. Menyatu dalam beberapa perkara yang melibatkan cinta dan perasaan. Lebih daripada itu, kisah Tiara juga berpusing di sekeliling saya sewaktu berperang membuat keputusan terbaik untuk diri saat ditaqdim dalam tempoh yang singkat oleh seseorang yang tidak dikenali sama sekali.


Menilai semua ini, maka jelas bagaimana mampu saya menolak segala badai ini, jika semuanya banyak menyentuh diari kehidupan saya. Saya juga cukup tersentuh dengan lagu-lagu yang dicipta khusus untuk memenuhi jalan-jalan cerita dalam filem KCB ini. Tuhan berikan Aku cinta, Menanti cinta dan Ketika Cinta Bertasbih sendiri mengungkap seribu rasa yang terpendam selama ini. Olahannya biasa, namun karib dengan kehidupan kebanyakan orang. Sekalung tahniah buat Kang Abik, bapa Chaerul Umam dan semua yang terlibat dalam memartabatkan perjuangan dakwah melalui mata pena dan juga saluran media.


AY: Moga saya juga dianugerahkan Allah bakat, masa, ruang dan peluang yang sama seperti Kang Abik...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...