Assalamualaikum, Salam Kerinduan buat semua pembaca.
Tika ini jiwa benar-benar menjerit……….. Saya mahu menulis, saya mahu terus menulis, Menulis, menulis dan menulis. tapi tika ini juga saya tidak berdaya. Allah... sungguh saya hamba yang lemah. Soal menguruskan masa saja pun tidak pandai-pandai. Macamana mahu jadi khalifah yang hebat? Banyak sekali yang mahu ditulis. Sy mahu sekali berkongsi banyak benda dengan pembaca, berkongsi kisah hidup, berkongsi idea pemikiran juga berkongsi pengalaman. Tapi apakan daya, tuntutan lain lebih perlu diutamakan. Di sinilah kita mula diuji dengan nikmat waktu senang. Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara kan? Ingat, tapi sekadar ingat sahaja dan tidak mahu beringat. Bayangkan hampir 2 bulan saya diberikan waktu luang, tidak pula ligat mahu menulis. Sekarang bila keadaan makin mengasak hidup, baru terasa akan nikmatnya waktu senang. Dalam masa sebulan ini 3 kali perlu keluar station. Allah... ini juga gerakan dariMu, moga yang namanya pengalaman ini akan mematangkan diri.
Ok, tak mahu cakap banyak dan mengarut yang bukan-bukan lagi...he3. Saya mahu berkongsi tentang arah tuju seorang penulis. Tidak kiralah penulis kecil atau besar, kita bercakap secara umum, asal saja menulis, itu adalah penulis. Jika ditanya Secara peribadinya apa sebenarnya yang kita mahu daripada menulis? Sudah tentulah masing-masing ada jawapan tersendiri. Ya, masing-masing punya niat dan alasan tersendiri. Saya mengandaikan mungkin antara jawapannnya; mahu menyampaikan aliran dakwah, sekadar berkongsi moment dalam hidup, berkongsi rasa selama hayat masih ada, mahu mengasah bakat menulis, suka-suka sebagai hobi dan mengisi masa lapang, mencari pendapatan, mencari nama, kedudukan dan populariti serta mungkin ada lagi yang tidak tersenarai.
Apa saja alasan kita, yakinlah setiap apa yang dilakukan akan ada catatan dan bahagiannya masing-masing. Allah... Mudah-mudahan catatannya baik-baik saja. Bidang penulisan terlalu luas. Ok, saya fokuskan pada penulisan blog. Sebab di sinilah segalanya bermula pada saya dan sememangnya di sinilah dunia kecil saya dalam bidang penulisan. Pengalaman saya mula menulis pada era kegilaan blog sekitar 2006. Bermula dengan semangat mahu berkongsi artikel ilmiah yang menjadi tugasan wajib sebagai seorang pelajar pada waktu itu. Dari situ saya mula berkongsi artikel-artikel ilmiah yang ditulis atas stand seorang pelajar untuk manfaat bersama. Senang kata mahu berdakwah, sebab semangat kemahasiswaan dalam berjemaah masih utuh lagi waktu itu (malu sebenarnya nak sebut sebab macam tak berapa layak). Kemudian diselang-selikan juga dengan catatan kisah-kisah perjalan hidup saya pada waktu itu sebagai seorang pelajar yang banyak menghabiskan masa dengan diri sendiri. Dari situlah saya mula mengasah bakat penulisan sikit-sikit sampai sekarang.
Hampir 6 tahun, saya menulis tanpa satu disiplin ilmu yang jelas tentang dunia penulisan blog ini. Tulis ikut rasa nak saja. Ditambah saya juga seorang yang bukanlah terlalu celik It. Lihat saja blog saya yang simple, bukan seperti orang lain yang padat dan penuh dengan pelbagi widget-widget yang menarik. Kalau melihat pada tempoh yang agak lama itu, saya sudah bleh pergi lebih jauh dari sekarang. Bila saya melihat blog teman-teman, mereka benar-benar hebat, dalam masa setahun saja sudah bertukar kepada domain, ada follower yang ramai, boleh buat duit dari blog. Tapi saya masih ditakuk yang lama. Ya, namanya juga sambil mengisi masa lapang, begitulah......
Saya mahu menyentuh satu perkara yang perlu diberikan perhatian dalam disiplin penulisan di blog iaitu berkenaan dengan sumber gambar yang diletakkan sebagai penghias pada tulisan di blog. Atau lebih jelas kalau kita sebut soal meletakkan watermark pada gambar yang dimuatkan pada blog kita. Kalau gambar itu memang daripada kita, tidak kisahlah ditandakan dengan watermark atau tidak, ianya tidak menimbulkan masalah. Apa yang menjadi persoalan, sekiranya gambar itu bukan daripada kita namun diberikan tanda watermark atas blog kita. Saya tidak pandai untuk meghuraikannya, jadi sila baca selanjutnya pada link di bawah. Mudah-mudahan bermanfaat buat kita bersama.
Ada satu lagi perkara yang lebih penting daripada isu watermark pada gambar. Tahukah kita disiplin utama dalam dunia penulisan? Setiap apa yang ditulis hendaklah hasil karya asli daripada kita. Kalau tidak, ianya perlu diberikan kredit sebagai penghargaan. Saya percaya, semua tahu tentang perkara ini. Tahu tak, tanpa sedar dan dalam asyik memuatkan artikel atas dasar dakwah, saya telah memuatkan hasil artikel orang lain tanpa diberikan kredit. Nak dijadikan cerita ya (nak dapat ilmu sebenarnya.. he3), biasanya saya akan meletakkan dari mana sumbernya. Bila terlalu banyak mengumpul bahan dan berblogwalking, saya terlepas pandang dan tidak tahu lagi dari mana sumber artikel yang diambil. Tahu apa yang terjadi? Saya diserang, lewat blog dan facebook... hu3. Ini pengajaran dan pengalaman yang cukup berguna pada saya. Nasib baiklah bukan artikel dan kajian ilmiah yang bersifat akademik. Saya tahu etika ini, saya tidaklah terlalu jahil. Saya tidak copy+paste 100% artikel tulisan orang, telah saya ubah, buang dan ganti tatabahasa yang salah, ejaan dan kesesuaian ayat. Mungkin saja tajuknya tidak saya ubah, jadi yang lain-lain tidak dilihat dan dipandang sepi saja. Hampir 11 tahun saya terlibat dalam dunia akademik ini. sudah ada disertasi dan latihan ilmiah sendiri, tapi itulah manusia, penuh dengan kekurangan. Bila dijentik, baru kita terjaga semula daripada lena yang panjang, kembali ke alam realiti.
Saya egosentrik! Bila saya tidak kisah artikel saya dibawa ke mana-mana walau tanpa kredit, atas alasan dakwah, saya jadi lupa pada hak orang lain sekali. Astaghfirullah... Saat ini hati mula berbisik, inilah dakwah, dan sungguh jalan dakwah itu tidak mudah. Pasti ada ranjau dan durinya. Sunnah orang berjuang, beginilah. Jadi teringat saya pada firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut, ayat 2; (( Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka belum diuji?)). Tidak saya nafikan, ada dari sesetengah orang punya misi yang tersendiri dengan tulisan milik masing-masing. Mungkin juga untuk tujuan komersil dan sebagainya. Justeru saya perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran ini, untuk mengedit balik apa yang telah saya ubah itu kepada bentuk asalnya adalah tidak mungkin, jalan yang terbaik adalah remove dari post list. Sungguh saya sedih untuk melakukan yang demikian ini. Saham saya dan sahamnya telah terjejas, telah sedikit susut nilai. Semoga digantikan oleh Allah dengan suatu yang lebih bermanfaat lagi.
Sungguh, saya menulis bukan kerana nama, bukan kerana mencari keuntungan dunia, tidak juga untuk meraih populariti dan jauh sekali untuk memburuk-burukkan orang lain. Saya berlindung daripada semua itu, saya mohon perlindungan Allah daripada Sifat-sifat hati yang sebegitu. Walau apa yang mendatang, usaha dakwah perlu diteruskan. Mudah-mudahan kita ikhlas dan thabat dalam perjuangan. Ikhlas hanya kerana Allah serta menunaikan amanah sebagai khalifah di alam jagat ini. Mudah-mudahan juga ganjarannya setimpal dengan apa yang telah kita wakafkan. Teruskan menulis, mudah-mudahan menjadi dalil atas usaha dakwah kita di sana nanti. Wallahu'alam.
Menulis bukan untuk memberi TAHU, tetapi berusaha mencetus MAHU, agar bergerak menuju MAMPU – Hasrizal Abdul Jamil-