BISMILLAH WALHAMDULILLAH...
Setelah hampir dua minggu, akhirnya dapat juga saya melabuhkan kalam di sini lagi. Benar sekali kata-kata yang selalu didengari 'Orang yang tidak pernah merasai kesusahan dalam hidupnya, tidak akan tahu menilai erti hidup serta hakikat sebenar sebuah kebahagiaan dalam hidup'. Bila kita berada dalam keadaan tertekan, tertindas atau tersepit dengan kehidupan, kita akan sedaya mencuba dan berusaha untuk melawan semuanya yang menjengah hidup, dan akhirnya kita dapat keluar daripada tekanan-tekanan yang membelit hidup dengan langkah yang lebih mantap dan utuh. Sebaliknya bila kita sudah terasa senang atau tenang berada dalam dalam zon selesa, kita akan jadi hanyut, ralit dan lupa pada hakikat perjalanan kepada sebuah kehidupan. Hampir sebulan ini sebenarnya waktu tenang bagi saya, sebab bebanan kerja sedikit berkurang. Tugas harian dah release sedikit. Sebelum daripada ini saya terkejar-kejar dengan pelbagai urusan, namun saya masih sempat mencoret sesuatu di sini, dan sekarang dengan waktu yang agak lapang, sepatutnya saya boleh menulis dengan lebih aktif lagi. Allahu Rabbi, sungguh benar sekali firman Allah SWT;
"Demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta nasihat menasihati di atas kebenaran dan kesabaran" - Al-'Asr: 1-2
Bercakap tentang zon selesa. Ini sebenarnya satu situasi yang cukup berbahaya dalam kehidupan kita. Masih saya ingat lagi, pesan seorang tokoh akademik pada saya suatu waktu dulu, jangan sekali-kali meletakkan diri kita dalam zon selesa. Kita tidak akan ke mana-mana, hanya akan merugikan diri kita. Sentiasalah memberi cabaran pada diri, kerana dengan adanya setiap dari cabaran yang datang itu kita akan berusaha untuk mendaki lebih tinggi lagi anak-anak tangga kehidupan. Sebaliknya, kalau kita sudah berada dalam zon yang kita cipta sendiri sebagai zon selesa, kita akan selama-lamanya di situ. Jangan biarkan hidup kita 'Hidup ikut jadi'. Itu antara istilah daripada salah seorang pensyarah saya sewaktu di universiti yang tertacap kuat dalam diri. Bila falsafah dan prinsip ini yang kita pegang dalam hidup, seringkali minda berlegar dalam kotak yang sama. tidak mahu ke mana-mana, terkepung dalam vacum yang asal. Percayalah, inilah bahayanya bila kita meletakkan diri dalam zon selesa.
Untuk keluar daripada zon selesa, kadang hati ini perlu dijentik dengan ujian kehidupan. Ujian itulah sebagai magnet yang mampu menarik kembali kita pada alam hidup yang sebenar. Memutuskan kita daripada keselesaan yang sedia kita rasakan. Inilah antara hikmat yang jelas daripada sebuah ujian yang didatangkan oleh Allah SWT. Astaghfirullah... Sungguh Ya Allah, hamba ini seorang yang benar-benar memiliki kesemua sifat seorang hamba, lemah dan kekurangan daripada semua aspek. Berterima kasihlah pada Allah atas setiap ujian yang diberikan, kerana ujian-ujian ini telah menyedarkan kita daripada tidur yang panjang dan mimpi yang indah semata-mata.
Akhir-akhir ini saya mula terfikir, merenung kembali perjalan hidup saya. Saya seakan sudah bosan dengan rutin seharian. Sudah tidak termotivasi dengan persekitaran. Saya mula merangka-rangka sesuatu yang baru. Sudah sampai masanya untuk saya keluar dari zon selesa ini. Sudah sampai masanya untuk kembali kepada alam realiti bukan lagi berada dalam fatrah bulan madu selamanya. Dulu kawan-kawan saya yang sudah melangkah terlebih dahulu ke alam pekerjaan dan berumahtangga selalu mengeluh menceritakan kegalauan jiwa. Bila kita dah ada semua yang kita nak, dah ada keluarga, dah ada kerja, dah ada aset sedikit sebanyak kita akan rasa masih ada lagi yang kurang. Makin kita kejar urusaan dunia, makin kita akan rasa tekanan hidup mula memasak jiwa. Kita akan terfikir, sampai bila harus begini? Mengulang-ulang benda yang sama setiap hari sehingga nanti sampai waktu mata terpejam rapat.
Ya, benar sekali keluhan mereka. Sekarang saya sudah merasakannya. Sehingga kadang kala kita terduduk lemah merenung masa depan yang masih kelam walau segalanya sudah kita raih. Apa harus beginikah aku selamanya? Bergelumang dalam sibuknya urusan dunia? Persoalan-persoalan ini seringkali menjadi bayangan yang menakutkan dalam hidup. Allahuakbar... Maha Suci Allah, tiada Tuhan yang layak disembah selain dariNya. Carilah sesuatu yang lebih memberi makna kepada sebuah kehidupan. Reservelah masa yang berbaki daripada kewajipan yang sedia tergalas di bahu untuk melaksanakan juga kewajipan hakiki yang tertanggung sejak dari mula dihembuskan nafas dalam seketul daging dan darah.
Yakinlah, tidak ada terapi hidup yang paling mujarab melainkan dengan kembali kepadaNya. Susunlah dan aturlah hidup kita melalui jalan-jalan yang diredhainya. Jalan-jalan yang telah dikhabarkan melalui lidah-lidah RasulNya, jalan-jalan para kekasihNya, jalan-jalan para Solehin dan Muqarrabin. Penuhkanlah taman-taman hati kita dengan bunga-bunga kecintaan padaNya. Suburkan ladang-ladang dakwah ini dengan siraman jernih dari keringat kita. Jangan sesekali memandang dunia dengan penuh kerakusan, belumba-lumba dan berkejar-kejaran antara kita meraih sebanyak-banyaknya kenikmatan yang ada di sini, ingatlah;
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Dunia ini adalah penjara bagi orang Mukmin dan syurga bagi orang kafir. -HR Muslim
Ambillah sekadarnya sahaja, supaya kita tidak terus mengkufurkan nikmat yang telah Allah sediakan khusus untuk hambaNya. Juga mudah-mudahan daripada rasa ini, kita akan lebih berusaha untuk mengejar nikmat yg tidak ada hitungannya di syurga nanti. Nikmat yang khusus Allah SWT sediakan untuk hamba-hambaNya yang beriman. Mudah-mudahan tiket kita sebagai seorang Muslim yang telah dibekalkan sedari awal menjengah alam tidak tercicir di perjalanan hidup lantaran sesaknya kehidupan ini dengan pelbagai ragam mehnah dan onak-duri. Mudah-mudahan kita dapat berehat dengan aman dalam kenderaan mewah selama kita menunggu masa untuk tiba ke kampung halaman, tempat asalnya kita. Ya, mudah-mudahan syurga itu adalah milik kita. Berdoalah sentiasa. Allahurabbi... tuntunlah kami Ya Allah.....
-Malim, Melaka-