Wednesday, January 09, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429H

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429H

Semoga tahun ini memberi lebih kebaikan kepada kita semua berbanding tahun lepas. Amin Ya Rabbal Alamin. Di sini disertakan terjemahan doa akhir & awal tahun buat semua. DOA akhir tahun dibaca tiga kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Berikut ialah terjemahan doa akhir tahun;

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Segala puji bagi Allah, Tuhan pentadbir sekelian alam. Semoga Allah cucurkan rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Ya Allah, wahai Tuhanku, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak reda dan tidak melupakannya dan Engkau berlembut tidak mengazabkan aku malah memberi peluang supaya aku bertaubat selepas menceburkan diri melakukan maksiat itu. Sesungguhnya aku memohon keampunan-Mu, maka ampunilah aku dan mana-mana perbuatan yang telah aku lakukan sepanjang tahun ini yang Engkau redhainya dan Engkau janjikan ganjaran pahalanya. Maka aku memohon diperkenankan akan perbuatan (amal bakti) yang telah aku lakukan itu dan Engkau tidak menghampakan harapan kami. Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.

Sementara doa awal tahun pula dibaca tiga kali selepas maghrib pada malam satu Muharam. Berikut adalah terjemahan doa awal tahun ;

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Segala pujian itu bagi Allah Tuhan sekelian alam. Rahmat dan sejahtera ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad dan atas keluarga dan sahabat-sahabatnya sekelian. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim, sedia ada, tiada permulaan. Kelebihan-Mu Maha Besar dan kemurahan-Mu sangat-sangat diharapkan. Tibalah sudah tahun baru, aku mohon kepada-Mu agar terpelihara di dalam tahun baru ini daripada tipu daya syaitan-syaitan yang terlaknat juga daripada konco-konco syaitan dan bala tenteranya. Aku juga bermohon kepada-Mu akan pertolongan mengalahkan runtunan nafsu amarah (nafsu yang mendorong kepada kejahatan). Aku mohon juga kepada-Mu akan rasa sedia ingin membuat kerja-kerja kebajikan yang boleh mendampingkan diriku kepada Mu.
Ya Allah Tuhan Yang Maha Agung lagi Mulia, Ya Allah Tuhan yang sebaik-baik mengurniakan rahmat.


Bercakap tentang Muharram, tak boleh lari daripada mengenang balik peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada bulan ini, antaranya ;

1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.


10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilan dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:
1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama

enam bulan.
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari

40 malam.
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera

Firaun.
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
16. Allah menjadikan 'Arasy.
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
18. Allah menjadikan alam.
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
20. Nabi Isa diangkat ke langit.

AY : Begitu sibuk dengan alam baru, masih belajar menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...