Monday, November 12, 2007

Ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di ECER


ECER Perintis Penyatuan

Ucapan Nik Aziz di ECER - Tazkirah Mursyidul Am PAS kepada Presiden Umno Harakahdaily Tue Oct 30, 07 11:05:53 am MYTBismillahir Rahmanir Rahim."Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran." (Maksud Surah An Nahl: Ayat 90).

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi Perdana Menteri Malaysia dan isteri; Yang Amat Berhormat Dato' Sri Adnan bin Haji Yaakob Menteri Besar Pahang; Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Idris bin Jusoh Menteri Besar Terengganu; Yang Amat Berhormat Dato' Haji Abdul Ghani Othman Menteri Besar Johor; YB Dato' Seri Mohd. Effendi Norwawi Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet; Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen Serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan-Kerajaan Negeri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Alhamdulillah.
Dengan seizin Allah S.W.T., sekali lagi kita dapat menghirup udara nyaman pada hari ini. Ini menandakan betapa kita masih terus dilimpahi nikmat dengan rahmat dan inayah dari-Nya untuk sama-sama menyaksikan pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur bagi Negeri Kelantan. Sesungguhnya pelancaran ini boleh dijadikan titik tolak ujian keikhlasan kedua-dua belah pihak dalam berkongsi anugerah Allah S.W.T. yang dilimpahi-Nya kepada kita semua baik di Kelantan atau negara Malaysia pada amnya yang sama-sama kita kasihi selama ini. Bahkan, ia adalah detik bersejarah yang mengesahkan lagi penerusan wujudnya jalinan kerjasama akrab sekian lama khususnya sejak 17 tahun negeri ini diperintah oleh Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini. Tanpa pertukaran apa-apa, pelan yang bakal dilancar dan dilaksanakan nanti tidak memerlukan apa-apa perubahan nakhoda. Kapal boleh berlayar dengan matlamat yang tidak berganjak yakni memakmurkan bumi Allah dengan segala ikhtiar yang tidak menyalahi syariat Ilahi. Dalam semangat ini, mewakili Kerajaan dan rakyat Negeri Kelantan, izinkan saya mengalu-alukan kedatangan YAB Dato' Seri Perdana Menteri. YAB DatoĆ¢€™ Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian, Tugas pemimpin laksana dasar Allah Ayat Al-Quran yang baru saya baca dalam muqadimmah tadi biasanya dibaca di atas mimbar Jumaat, saya membacanya pada hari ini di atas mimbar masyarakat. Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat. Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah.
Setelah 17 tahun saya diamanahkan untuk memimpin Kerajaan Kelantan dengan dasar Al-Quran Nul Karim sebagai Kalamullah, termasuk ayat yang saya baca sekejap tadi, petang ini saya dan Kerajaan saya seakan-akan terasa akan adanya perubahan baru. Saya sedang berada di sebuah pentas buat pertama kalinya dengan pemimpin negara. Alangkah manisnya hidup kiranya insan yang sengaja diciptakan Allah Azzawajalla dengan berlainan watak dan kerenah ini boleh patuh kepada ketetapan azali sejak Nabi Adam alaihissalam lagi. Firman Allah S.W.T. ada membawa maksud berbunyi
"Dan Kami berfirman: turunlah kamu! Sebahagian kamu menjadi musuh bagi yang lain, dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan. Kemudian (Adam dan Hawa) menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Kami berfirman: "turunlah kamu semua dari Syurga itu! Kemudian jika datang petunjukKu kepadamu, maka barang siapa yang mengikuti petunjukKu, nescaya tidak ada kekhuatiran atas mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (Surah Al-Baqarah: Ayat 36 - 38).

Mudah-mudahan langkah penyatuan pentas ini akan memulakan jalur-jalur gemilang yang sungguh-sungguh sebagai ganti kepada jalur-jalur hitam selama 17 tahun sebelum ini. YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian, Saya sempat juga mengikuti senarai projek-projek raksasa yang ada terkandung di dalam pelan induk yang disebut-sebut akan menelan perbelanjaan berjumlah RM112 bilion ini. Antara lain ia akan memuatkan sebuah Universiti yang telah beberapa kali dilancarkan, Lebuh Raya Pantai Timur, Jeti di Tok Bali dan usaha untuk menaikkan taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra sebagai pusat penerbangan untuk rantau Asia Tenggara, termasuklah keinginan yang kuat untuk memunculkan satu kelas perdagangan dan perindustrian bumiputera. Alhamdulillah, semua cadangan ini telah lama dikenalpasti dan menjadi sebahagian dari Pelan Jangka Panjang Pembangunan Strategik Negeri Kelantan yang telah kami dokumenkan dan tandatangani sejak 2 Mei 2000; kira-kira 7 tahun yang lalu.

Bahkan memahami pembahagian dan pengkhususan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri melalui 2 rancangan lima tahun yang telah kita lalui. Projek-projek cadangan ini telah dikemukakan kepentingannya untuk diberikan perhatian Pusat dari masa ke semasa. Mungkin kerana kesuntukan kewangan, ia tidak diberikan perhatian. Kali ini Kerajaan Negeri wajar berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana telah sudi mengiktiraf apa yang kami kenalpasti sebagai projek-projek mustahak selama ini dan akhirnya telah diberikan perhatian. Pastikan pelan ECER realistik bukan hipokrasi Menyentuh tentang peruntukan yang mencecah RM112 bilion untuk ECER, RM177 bilion lagi untuk Koridor Utara dan RM47.6 bilion lagi di Wilayah Pembangunan Iskandar, rakyat menjadi sedikit kagum dengan jumlahnya.Semakin hairan mereka apabila duit yang diisytiharkan ini boleh menjangkau Rancangan Malaysia ke 9, 10 dan boleh pergi sejauh RMK sebelas. Apapun, jika duit ini memang ada dan tidak menjadi masalah, maka kita perlu mengucapkan sebesar-besar syukur. Alhamdulillah, syabas.

Dalam banyak buku ilmiah, saya ada juga terbaca bahawa sesuatu pelan yang berkesan ialah pelan yang dapat diterima tanpa curiga oleh kumpulan sasar. Ciri pelan yang berjaya juga ialah pelan yang dapat dilaksanakan. Biasanya pelan pembangunan yang baik harus bertolak dan bermula dari bacaan mengenai senario ekonomi dunia semasa yang teliti berasaskan unjuran yang tepat mengenai turun naik harga petrol, emas dan lain-lain komoditi yang utama. Realiti dan waqi' persekitaran yang berubah ini biasanya akan menentukan pula angkubah-angkubah yang memungkinkan sebuah pelan yang realistik itu dapat diisytiharkan. Saya berandaian, semua aspek ini telah diambil kira dalam segenap segi sehingga ia tidak menjadi sebuah impian dan bukan sekadar 'satu lagi pelan'. Sememangnya indah untuk berada sekadar di alam mimpi kerana ia mengasyikkan:
Anak Cina memetik selasih Anyam rotan dibuat timba Tiada yang indah dalam berkasih Mimpikan bulan jatuh ke riba

Dalam banyak hal, apa yang mustahak ialah pelan yang dapat menghasilkan kenyataan. Siapalah yang tidak bergembira untuk mendengar janji yang akan datang dalam ratusan bilion ringgit. Ini lebih-lebih lagilah apabila janji itu dipenuhi. Sudah banyak kita saksikan betapa janji yang indah kadang-kadang boleh menjadi musuh besar apabila ia gagal dipenuhi. Kebocoran, siling runtuh, rasuah dan pecah amanah, inflasi dan hipokrasi adalah antara musuh-musuh bersama yang boleh menghambat cita-cita murni. Emas hitam anugerah Allah yang dipinggirkan dalam ECER.

YAB Dato' Seri dan sidang hadirin sekalian,Walaupun cadangan pendaratan gas dan minyak di pesisir pantai kita masih tidak diberi perhatian dalam ECER, saya masihlah memandang kepentingannya sebagai sesuatu yang bersifat mendesak. Pada kami, ia sepatutnya diletakkan sebagai paksi asas dalam menjana pertumbuhan ekonomi negeri. Seperti yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri sejak 10 tahun lalu, kami masih merayu agar gas dan minyak didaratkan di Pantai Senok. Bukan senang deposit emas hitam ini boleh terbentuk. Dengan penuh susah payah Allah S.W.T. telah ratusan jutaan tahun memeram, mengatur dan memprosesnya secara sebab musabab jauh di kerak bumi. Dengan segala percaturan kimia melalui mendapan humus, fosil dan tindak balas haba di perut bumi, Allah S.W.T. telah dengan segala ehsan menyimpan lalu menganugerahkan bumi Kelantan dan laut Kelantan dengan bahan semahal ini. Mensia-siakan nikmat namanya apabila ia seolah-olah dibuat-buat 'terlepas pandang' dan tidak ditimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pelan induk pembangunan Wilayah yang sebesar dan sepenting ini. Setakat ini, kami hanya berputih mata melihat khazanah bumi kami dipunggah dan dihirup sepuas-puas oleh golongan amir politik tanpa didaratkan di pantai Kelantan sendiri walaupun sesudu teh. Dalam feqah Islam, telah lama ditulis "hukmul fa il wal khu roji wa rriqaz".
Bahkan zakat yang dipungut daripada sesebuah perkampungan tidak boleh dipindah zakat itu ke tempat lain kecuali terlebih dahulu diagih-agihkan kepada al mustahiqiin tempatan. Ini adalah hukum Allah dan Rasul. Tak disempurna di dunia oleh pihak al-umara', ia akan disempurna juga oleh Allah S.W.T. di akhirat kelak. "Sesungguhnya hari keputusan (hari kiamat) itu adalah waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya." (Surah Ad-Dukhaan: Ayat 40).

Untuk menyatakan komitmen Kerajaan Negeri terkini, kita telah meluluskan penubuhan sebuah jeti penghantar (supply base) di Pengkalan Kubur, Tumpat, khusus untuk sokongan kerja penggerudian minyak dan gas di Joint Development Area (JDA) dengan Thailand dan Vietnam, di luar pesisir pantai Kelantan. Kerja pembinaan Jeti tersebut mulai Oktober ini dan ianya akan menjadi pemangkin kepada satu industri yang dapat mengembangkan ekonomi negeri dan membuka peluang pekerjaan. Dalam keadaan-keadaan yang seperti inilah, relevannya kita mengetepikan sentimen politik bersifat kepartian. Tidakkah boleh kita menjadikan maudhu' ini sebagai perkara bersama untuk dikongsikan secara pintar bagi tujuan yang sama. Saya masih ingat betapa murninya ketika KUB menandatangani persefahaman ini bagi pihak Pusat dizaman Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996 dahulu. Ini kekal terlipat dalam sejarah; kisah benar sebuah 'pelan indah' yang tidak menjadi hingga sampai ke hari ini.

Pembinaan modal insan tidak berjaya kecuali dengan tarbiyah Islam YAB Dato' Seri dan sidang hadirin yang dihormati sekalian. Dalam hubungan Kelantan yang telah dikenalpasti sebagai Pusat Pembangunan Modal Insan berteraskan ilmu pula, saya bermohonlah untuk memberikan sedikit peringatan. Mustahil insan itu boleh dibina tanpa agama. Ilmu Al-Quran mengajar kita tentang adanya dua perkara dalam setiap insan itu yakni jasad dan roh. Membina roh insan adalah memberi faham kepada mereka tentang dosa dan pahala, adanya taat dan maksiat, adanya malaikat dan adanya iblis, adanya hisab dan adanya hari pembalasan, adanya Syurga dan adanya Neraka. Ini soal asas yang tiada khilaf. Ini konsep tarbiyyah bawaan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul alaihissalam serta para tabi'in dan wali-wali zaman berzaman. Jika Kelantan mahu diiktiraf sebagai pangkalan terpenting modal insan, maka kita jangan abaikan aspek pembinaan roh. Elemen rasuah, dedah, dadah, belasah dan menolak hukum Allah adalah manifestasi kekacauan fikrah. Betapa kacau bilaunya acuan dan tertib tarbiyyah kita yang telah dirangka oleh negara selama ini. Ikut cara kami bangunkan negara bersama Islam Untuk itu, mari kita cuba menjadi lebih ikhlas dengan cuba sama-sama memperbetulkan keadaan, memikul amanah agama demi memulihkan manusia untuk kembali kepada nilai-nilai fitrah keinsanan sejati selaras dengan prinsip asal 'ubudiyyah' sejak asal kita semua dijadikan.

Bagi kami di Kelantan, kita telah lama mengisytiharkan konsep 'Membangun Bersama Islam', berasaskan dakwah bil hikmah wal mauizotul hasanah. Dalam rangka konsep ini, kami memuatkan prinsip ubudiyyah yakni semua orang wajib kembali kepada pengabdian yang tidak berbelah bahagi kepada Allah S.W.T. Bagi mereka yang belum Islam, mereka diajak untuk hidup dalam kesedaran ketuhanan. Kami juga memuatkan prinsip mas'uliyyah yakni bekerja dengan penuh sedar bahawa setiap manusia tanpa mengira pangkat, bangsa dan budaya akan disoal jawab oleh Allah Taala sendiri tanpa sebarang jurubahasa. Manakala Itqan yakni bekerja dengan penuh berkualiti untuk menghasilkan apa sahaja nilai amalan dan aktiviti dari jenis yang terbaik. Seluruh sekolah milik Kerajaan Negeri Kelantan telah dan sedang merangka dan melaksanakan kurikulum dan kokurikulum untuk menggunakan ruang lingkup kesedaran yang keseluruhannya berteraskan ketaqwaan kepada Allah Robbuljalil. Dalam semangat pesan memesan (Watawa soubilhaq watawa soubissobr), alangkah tepatnya jika pelan pembinaan insan yang termuat dalam ECER ini mampu dengan jujur membuat pengisian-pengisian yang semurni ini. Jika tidak, percayalah walau secemerlang manapun pelan pembinaan insan kita, tanpa agama, rakyat akan hidup sebagai insan yang bermentalitikan haiwan kerana dia cuma takutkan polis dan BPR, undang-undang, tali gantung dan peraturan dan dia akan hidup dan mati dalam kekeliruan. Di sana nanti dia akan terpinga-pinga dalam suasana yang salah menyalah "maka, berkatalah pengikut kepada pemimpin dan pemimpin kepada pengikutnya" sebagaimana yang telah dirakamkan di dalam Al-Quran Nul Karim. (Sila semak dan tadarrus sendiri maksud Surah Al-Baqarah dari Ayat 166 hingga 167).

Menyentuh tentang tumpuan pertanian yang khabarnya hanya akan diberikan tumpuan yang sangat minimum oleh Pelan Wilayah Timur ini, saya kira sekali lagi kami perlu membuat teguran. Sejak dari dahulu, Kelantan dikenali sebagai negeri pertanian. Apa erti mengisytiharkan istilah-istilah seperti "halal hub" atau Jelapang Makanan Negara jika perhatian ke atas sektor ini sekadar bersifat batuk di tangga? Sekali lagi saya mengharapkan sesuatu yang lebih singnifikan dapat dilakukan ke arah pembetulan ini.

Mari bermuafakat elak ganggu Kelantan YAB Dato' Seri, tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Sudah lebih 17 tahun kita menjalin hubungan kesetiakawanan dalam ikatan konsep persekutuan. Setakat yang saya ingat, tidak pernah satu kalipun lagi terganggu sebarang projek yang diluluskan oleh Pusat di Kelantan baik kecil mahupun besar mengalami gangguan atau dihalang oleh Kerajaan Negeri. Melalui permuafakatan dan rundingan, ia sentiasa disambut oleh kami dengan penuh keterbukaan. Bagaimanapun beradablah ketika melangkah. Bukankah ini Wilayah Timur. Setiap rumah ada tuannya. Masuk berpintu. Keluar bertangga. Kadang-kadang, ya. Terasa juga.

Makan sirih berpinang tidak Buah keranji atas perahu Singgah tidak kenang pun tidak Sampai hati buat tak tahu

Hanya inilah kali pertama saya diberi kesempatan untuk berucap di majlis yang dihadiri oleh YAB Dato' Seri Perdana Menteri. Apapun jua, syukurlah. Saya mengucapkan Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Sekali lagi saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus menjayakan majlis pelancaran ini. Dengan nama Allah, saya sudahi dengan Wabillahi taufiq Wal hidayah. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


(TEKS UCAPAN YAB TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, MENTERI BESAR KELANTAN DI MAJLIS PELANCARAN PEMBANGUNAN WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR (ECER) PADA 17 SYAWAL 1428/29 OKTOBER 2007, JAM 2.30 PETANG DI KOMPLEKS SEKOLAH-SEKOLAH WAKAF MEK ZAINAB, KOTA BHARU, KELANTAN)
AY: Semangat betul my mother and gangnya di ECER...(",)

Sunday, November 04, 2007

Di Bawah Lindungan Ka`abah




Di Bawah Lindungan Ka`abah





Alhamdulillah setelah sekian lama menyimpan hajat untuk menyelami novel tua karangan Pak Hamka ‘Di Bawah Lindungan Ka`abah’, akhirnya saya diberi juga kelapangan waktu dan sempat merasai serta menjiwai suasana yang digambarkan dan disampaikan melalui genre penulisan. Gaya penulisan seorang ulama dan pembimbing masyarakat ternyata jauh berbeza dengan karya-karya seni biasa, di situ tampak satu kelainan serta memiliki ciri-cirinya yang tersendiri. Oleh sebab itu, tidak hairanlah bahawa novel ini mampu menjangkau usia 71 tahun setelah diterbitkan pada tahun 1936 Masihi. Satu usia yang cukup panjang, namun ianya masih boleh diterima oleh masyarakat, dan masih kuat untuk berjalan seiring dengan novel-novel baru yang lain. Begitu juga halnya dengan karya beliau ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ yang telah saya usaikan penghayatannya lewat tahun 2003, 66 tahun selepas penerbitannya. Jika diberikan kesempatan, InsyaAllah akan saya cuba sinopsiskan isu yang dimuatkan oleh beliau dalam novel berkenaan.

Novel ‘Di Bawah Lindungan Ka`abah’ ini memulakan pengembaraannya dengan memaparkan warkah yang diutuskan dari Mesir.

Sahabat!
Sudah saya terima surat sahabat yang terkirim dalam bulan yang lalu. Mula-mula saya sangat bersedih hati sebab semenjak kita bercerai di Jeddah, tak pernah saya menerima surat lagi daripada engkau. Tetapi setelah surat itu saya terima saya baca, hilanglah sedih dan duka saya, nyata bahawa engkau tidak melupakan saya.



Maksudnya engkau terangkan itu, sangat saya setujui, itulah suatu maksud yang baik, sebab itu adalah suatu hikayat dan kejadian yang mendukakan hati dan merawankan fikiran, yang kerapkali benar terjadi di dalam lingkungan belia-belia kita.



Saya setuju maksud sahabat itu, pertama adalah karangan yang engkau maksudkan itu, akan ganti bingkisan (persembahan) kita kepada orang-orang yang menjadi korban itu, hantaran kepada arwah mereka yang suci; kedua ialah untuk menjadi cermin perbandingan orang-orang yang hidup kemudian daripada mereka.



Bukan sedikit belia-belia yang telah menanggung sebagai orang yang telah ditanggung oleh kedua orang itu, tetapi sukar orang yang selamat sampai ke akhirnya. Padahal "rindu dendam" atau "cinta berahi" itu laksana Lautan Jawa, orang yang tidak berhati-hati mengayuh perahu memegang kemudi dan menjaga layar, karamlah ia diguling oleh ombak dan gelombang, hilang ditengah samudera yang luas itu, tidak akan tercapai selama-lamanya tanah tepi.



Tidak ada bantuan yang dapat saya berikan kepada engkau di dalam pekerjaan itu, hanya bersama ini saya kirimkan surat-surat yang semasa kita masih di Makkah tak sempat saya berikannya kepada engkau.



Demi apabila buku ini telah selesai, kirimkanlah kiranya kepadaku barang senaskah, guna menghidupkan kenang-kenanganku pada masa yang telah lampau, semasa itu kita masih dibawah Lindungan Kaabah.



Sahabatmu.



Di sini juga saya titipkan sedikit info berkenaan novel ini.

Terbitan di Indonesia
Judul : Di Bawah Lindungan Ka’abah


Pengarang : Prof Dr. Hamka


Penerbit : Penerbitan Bulan Bintang
Genre : Novel


Mukasurat :66 halaman


Cetakan Ke-30 : 2005



Terbitan di Malaysia
Judul : Di Bawah Lindungan Ka’abah


Pengarang : Prof Dr. Hamka


Penerbit : Pustaka Dini Sdn Bhd


Genre : Novel


Mukasurat :84 halaman


Cetakan Ketiga : 2006



*Boleh didapati di toko-toko buku seluruh Malaysia atau sila layari laman web; http://www.ujanailmu.com.my/

"Ya Rabbi, ya Tuhanku, Yang Maha Pengasih dan Penyayang, di bawah lindungan Ka`bah, rumah Engkau yang suci dan terpilih ini, saya menadahkan tangan memohon kurnia. Kepada siapa lagi yang saya akan pergi memohon ampun, kalau bukan Engkau ya Tuhanku!



Tidak ada suatu tali pun tempat saya bergantung, lain daripada tali Engkau, tidak ada pintu yang akan saya tutup, lain daripada pintu Engkau.



Berilah kelapangan jalan buat saya, saya hendak pulang ke hasrat Engkau; saya menuruti orang-orang yang dahulu daripada saya, orang-orang yang bertali hidupnya dengan hidup saya.



Ya Rabbi, Engkaulah Yang Maha Kuasa, kepada Engkaulah kami sekalian akan kembali….."
AY:Ingin merasai nikmat "Di bawah Lindungan Ka'abah"

Friday, November 02, 2007

HAMKA

Dah hampir dua bulan tak melakar di sini.. Pun begitu bila rindu bertandang, saya sempatkan diri mengintai dan menjeguh sepintas lalu, sekadar melunaskan rindu yang terbuku… Apa nak buat banyak tuntan lain yang perlu diselesaikan mengikut awlawiyyatnya…Alhamdulillah dengan izin daripadaNya, kali ni saya masih sempat menitipkan sesuatu buat semua.. Di sini saya lampirkan biografi Hamka yang merupakan ulama besar alam nusantara sebagai kenang-kenangan dan juga sebagai pencetus hamasah yang baru buat kita semua yang masih meneruskan lagi lakonan di pentas dunia ini..




Biografi Hamka
HAMKA (1908-1981), adalah akronim kepada nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik dan penulis Indonesia yang amat terkenal di alam Nusantara. Beliau lahir pada
17 Februari 1908 di kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Ayahnya ialah Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, sekembalinya dari Makkah pada tahun 1906.


Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Ketika usia HAMKA mencapai 10 tahun, ayahnya telah mendirikan Sumatera Thawalib di Padang Panjang. Di situ Hamka mempelajari agama dan mendalami bahasa Arab. Hamka juga pernah mengikuti pengajaran agama di surau dan masjid yang diberikan ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo.
Hamka mula-mula bekerja sebagai guru agama pada tahun 1927 di Perkebunan
Tebing Tinggi, Medan dan guru agama di Padang Panjang pada tahun 1929. Hamka kemudian dilantik sebagai dosen di Universitas Islam, Jakarta dan Universitas Muhammadiyah, Padang Panjang dari tahun 1957 hingga tahun 1958. Setelah itu, beliau diangkat menjadi rektor Perguruan Tinggi Islam, Jakarta dan Profesor Universitas Mustopo, Jakarta. Dari tahun 1951 hingga tahun 1960, beliau menjabat sebagai Pegawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jabatan itu ketika Sukarno menyuruhnya memilih antara menjadi pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).


Hamka adalah seorang otodidiak dalam berbagai bidang ilmu pengetahuan seperti filsafat, sastra, sejarah, sosiologi dan politik, baik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Hamka juga rajin membaca dan bertukar-tukar pikiran dengan tokoh-tokoh terkenal Jakarta seperti HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fachrudin, Ar Sutan Mansur dan Ki Bagus Hadikusumo sambil mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang ahli pidato yang handal.


Hamka juga aktif dalam gerakan Islam melalui organisasi Muhammadiyah. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tarekat dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Mulai tahun 1928, beliau mengetuai cabang Muhammadiyah di Padang Panjang. Pada tahun 1929, Hamka mendirikan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau menjadi konsul Muhammadiyah di Makassar. Kemudian beliau terpilih menjadi ketua Majlis Pimpinan Muhammadiyah di Sumatera Barat oleh Konferensi Muhammadiyah, menggantikan S.Y. Sutan Mangkuto pada tahun 1946. Beliau menyusun kembali pembangunan dalam Kongres Muhammadiyah ke-31 di Yogyakarta pada tahun 1950.


Pada tahun 1953, Hamka dipilih sebagai penasihat pimpinan Pusat Muhammadiah. Pada 26 Juli 1977, Menteri Agama Indonesia, Prof. Dr. Mukti Ali melantik Hamka sebagai ketua umum Majlis Ulama Indonesia tetapi beliau kemudiannya meletak jawatan pada tahun 1981 karena nasihatnya tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia.
Kegiatan politik Hamka bermula pada tahun 1925 ketika beliau menjadi anggota partai politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, beliau membantu menentang usaha kembalinya penjajah Belanda ke Indonesia melalui pidato dan menyertai kegiatan gerilya di dalam hutan di Medan. Pada tahun 1947, Hamka diangkat menjadi ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau menjadi anggota Konstituante Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihan Raya Umum 1955. Masyumi kemudiannya diharamkan oleh pemerintah Indonesia pada tahun 1960. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, Hamka dipenjarakan oleh Presiden Sukarno karena dituduh pro-Malaysia. Semasa dipenjarakanlah maka beliau mulai menulis Tafsir al-Azhar yang merupakan karya ilmiah terbesarnya. Setelah keluar dari penjara, Hamka diangkat sebagai anggota Badan Musyawarah Kebajikan Nasional, Indonesia, anggota Majelis Perjalanan Haji Indonesia dan anggota Lembaga Kebudayaan Nasional, Indonesia.


Selain aktif dalam soal keagamaan dan politik, Hamka merupakan seorang wartawan, penulis, editor dan penerbit. Sejak tahun 1920-an, Hamka menjadi wartawan beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah. Pada tahun 1928, beliau menjadi editor majalah Kemajuan Masyarakat. Pada tahun 1932, beliau menjadi editor dan menerbitkan majalah al-Mahdi di Makasar. Hamka juga pernah menjadi editor majalah Pedoman Masyarakat, Panji Masyarakat dan Gema Islam.


Hamka juga menghasilkan karya ilmiah Islam dan karya kreatif seperti novel dan cerpen. Karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan antara novel-novelnya yang mendapat perhatian umum dan menjadi buku teks sastera di Malaysia dan Singapura termasuklah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau ke Deli.
Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan
Doctor Honoris Causa, Universitas al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universitas Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelar Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia.


Hamka telah pulang ke rahmatullah pada 24 Juli 1981, namun jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura, turut dihargai.


Karya Penulisan
Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab.
Si Sabariah. (1928)
Pembela Islam (Tarikh Saidina Abu Bakar Shiddiq),1929.
Adat Minangkabau dan agama Islam (1929).
Ringkasan tarikh Ummat Islam (1929).
Kepentingan melakukan tabligh (1929).
Hikmat Isra' dan Mikraj.
Arkanul Islam (1932) di Makassar.
Laila Majnun (1932) Balai Pustaka.
Majallah 'Tentera' (4 nomor) 1932, di Makassar.
Majallah Al-Mahdi (9 nomor) 1932 di Makassar.
Mati mengandung malu (Salinan Al-Manfaluthi) 1934.
Di Bawah Lindungan Ka'bah (1936) Pedoman Masyarakat,Balai Pustaka.
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
Di Dalam Lembah Kehidupan 1939, Pedoman Masyarakat, Balai Pustaka.
Merantau ke Deli (1940), Pedoman Masyarakat, Toko Buku Syarkawi.
Margaretta Gauthier (terjemahan) 1940.
Tuan Direktur 1939.
Dijemput mamaknya,1939.
Keadilan Ilahy 1939.
Tashawwuf Modern 1939.
Falsafah Hidup 1939.
Lembaga Hidup 1940.
Lembaga Budi 1940.
Majallah 'SEMANGAT ISLAM' (Zaman Jepun 1943).
Majallah 'MENARA' (Terbit di Padang Panjang), sesudah revolusi 1946.
Negara Islam (1946).
Islam dan Demokrasi,1946.
Revolusi Pikiran,1946.
Revolusi Agama,1946.
Adat Minangkabau menghadapi Revolusi,1946.
Dibantingkan ombak masyarakat,1946.
Didalam Lembah cita-cita,1946.
Sesudah naskah Renville,1947.
Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret,1947.
Menunggu Beduk berbunyi,1949 di Bukittinggi,Sedang Konperansi Meja Bundar.
Ayahku,1950 di Jakarta.
Mandi Cahaya di Tanah Suci. 1950.
Mengembara Dilembah Nyl. 1950.
Ditepi Sungai Dajlah. 1950.
Kenangan-kenangan hidup 1,autobiografi sejak lahir 1908 sampai pd tahun 1950.
Kenangan-kenangan hidup 2.
Kenangan-kenangan hidup 3.
Kenangan-kenangan hidup 4.
Sejarah Ummat Islam Jilid 1,ditulis tahun 1938 diangsur sampai 1950.
Sejarah Ummat Islam Jilid 2.
Sejarah Ummat Islam Jilid 3.
Sejarah Ummat Islam Jilid 4.
Pedoman Mubaligh Islam,Cetakan 1 1937 ; Cetakan ke 2 tahun 1950.
Pribadi,1950.
Agama dan perempuan,1939.
Muhammadiyah melalui 3 zaman,1946,di Padang Panjang.
1001 Soal Hidup (Kumpulan karangan dr Pedoman Masyarakat, dibukukan 1950).
Pelajaran Agama Islam,1956.
Perkembangan Tashawwuf dr abad ke abad,1952.
Empat bulan di Amerika,1953 Jilid 1.
Empat bulan di Amerika Jilid 2.
Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (Pidato di Kairo 1958), utk Doktor Honoris Causa.
Soal jawab 1960, disalin dari karangan-karangan Majalah GEMA ISLAM.
Dari Perbendaharaan Lama, 1963 dicetak oleh M. Arbie, Medan; dan 1982 oleh Pustaka Panjimas, Jakarta.
Lembaga Hikmat,1953 oleh Bulan Bintang, Jakarta.
Islam dan Kebatinan,1972; Bulan Bintang.
Fakta dan Khayal Tuanku Rao, 1970.
Sayid Jamaluddin Al-Afhany 1965, Bulan Bintang.
Ekspansi Ideologi (Alghazwul Fikri), 1963, Bulan Bintang.
Hak Asasi Manusia dipandang dari segi Islam 1968.
Falsafah Ideologi Islam 1950(sekembali dr Mekkah).
Keadilan Sosial dalam Islam 1950 (sekembali dr Mekkah).
Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (Kuliah umum) di Universiti Keristan 1970.
Studi Islam 1973, diterbitkan oleh Panji Masyarakat.
Himpunan Khutbah-khutbah.
Urat Tunggang Pancasila.
Doa-doa Rasulullah S.A.W,1974.
Sejarah Islam di Sumatera.
Bohong di Dunia.
Muhammadiyah di Minangkabau 1975,(Menyambut Kongres Muhammadiyah di Padang).
Pandangan Hidup Muslim,1960.
Kedudukan perempuan dalam Islam,1973.
[Tafsir Al-Azhar]
[1] Juzu' 1-30, ditulis pada masa beliau dipenjara oleh Sukarno.


Penglibatan
Memimpin Majalah
Pedoman Masyarakat, 1936-1942
Memimpin Majalah
Panji Masyarakat dari tahun 1956
Memimpin Majalah Mimbar Agama (Departemen Agama), 1950-1953
Tafsir Al-Azhar Online

AY:Apa pikiran anda?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...