Terkuburnya Kelantan Delights di Suria KLCC
Oleh Datuk Rejal Arbee
Malam tadi adalah malam terakhir restoran Kelantan Delights – satu-satunya sahaja restoran masakan Melayu yang beroperasi di Suria KLCC – menghidang makanan di situ. Mulai esok (23hb Ogos) berakhirlah riwayatnya setelah beroperasi selama 10 tahun memperkenalkan masakan Melayu, khususnya makanan Kelantan seperti nasi kerabu dan nasi dagang kepada pelancung dalam dan luar negeri di situ. Penutupannya juga menandakan sudah tidak ada lagi restoran yang menyajikan masakan Melayu di situ. Apakah salah kalau disimpulkan bahawa pengurusan Suria KLCC tidak mahu ujud kedai yang menyediakan masakan Melayu kepada orang ramai yang berkunjung ke Menara berkembar Petronas? Ini hanya Pengurusi Eksekutif Suria KLCC dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, seorang warga Australia bernama Brian Andrew yang boleh memberi jawapan.
Kalau ditanya tentulah mereka mengatakan bahawa tuan punyai Kelantan Delights, Sdr Juhaidi Yean Abdullah dan isteri tidak mahu membayar sewa yang dikenakan, ia itu RM44,000 sebulan, naik dari RM30,000 sebelum ini. Juhaidi berkata masalahnya bukanlah kadar sewa yang dikenakan, tetapi sikap pengurusan yang agak bongkak seolah-olah memberikan kata dua kepadanya tanpa mahu berunding. Apakah kenaikan kadar sewa yang begitu melonjak berpatutan – naik hampir 50 peratus dalam tempoh setahun? Pengurusan Suria KLCC juga tidak telus kerana merahsiakan kadar sewa yang dikenakan kepada premis lain yang bersebelahan. Misalnya Chakri Palace (masakan Thai), Spice of India atau Madame Kwan dan Shan Village (masakan Cina). Apakah kadar sewa yang dikenakan kepada mereka itu sama dengan yang dikenakan kepada Kelantan Delights? Mereka menjadikan kadar sewa yang dikenakan seperti satu rahsia negara yang amat besar sekali.
Kini premis itu yang telah dipopularkan juga oleh Kelantan Delights akan diberikan kepada suatu restaurant Korea. Dengan ini berbagai masakan negeri asing boleh dinikmati di Suria KLCC tetapi jangan harapkan mendapat masakan Melayu di situ. Apakah gambaran yang hendak diberikan pengurusan Suria KLCC? Salahkah kalau disimpulkan bahawa mereka berpandangan bahawa masakan Melayu tidak layak disajikan kepada pengunjung Menara Kembar Petronas? Apakah salah kalau diandaikan pengurusan Suria KLCC tidak langsung prihatin dengan keadaan tempatan? Dengan tamatnya riwayat Kelantan Delights di situ, makanan Melayu sudah tidak terdapat lagi diMenara Kembar Petronas. Apakah tidak aneh masakan bangsa-bangsa lain boleh dinikmati di situ tetapi masakan tempatan tidak ada? Apakah makanan Melayu tidak setaraf makanan bangsa-bangsa lain hingga tidak lagi diberi tempat di situ?
Salahkah kalau disimpulkan bahawa pengurusan Suria KLCC tidak mahu orang yang mengunjundi Menara Kembar Petronas menikmati masakan Melayu? Maka tidak menghairankan pengacara TV Aziz Desa yang turut hadir dalam jamuan terakhir di situ malam tadi antara lain memberi rangkap pantun ini: Buai laju-laju Sampai KLCC Apa nasib Melayu Merempat di negeri sendiri. Antara mereka yang hadir adalah beberapa orang rakan wartawan dan personality TV seperti Ras Adiba. Kelantan Delights juga meraikan seramai 40 orang warga tua dari Rumah Seri Kenangan Ceras. Apakah yang boleh disimpulkan dari perkembangan terakhir ini yang dihadapi pekedai-pekedai Melayu di situ? Nampaknya satu demi satu kedai Melayu terpaksa ditutup. Maka dengan itu kini tiggal hanya 10 buah kedai yang diusahakan Melayu daripada 325 buah kedai. Apakah ini tidak menimbulkan keresahan dikalangan orang Melayu? Apakah pihak berkuasa tidak langsung prihatin dengan perkembangan ini dan sikap pengurusan Suria KLCC? Kabarnya keadaan di Alamanda Putrajaya yang juga diuruskan Suria KLCC tidak banyak berbeza dengan apa yang sedang berlaku di Menara Kembar Petronas. Tidak menghairankan kerana Ketua Pegawai Eksekutif Alamanda adalah isteri kepada Brian Andrew iaitu Lisa Words. Apakah tidak aneh isteri boleh dilantik sebagai boss anak syarikat di mana suaminya menjadi ketua?
Perkembangan ini sebenarnya memberi implikasi besar terhadap kedudukan perniagaan Melayu di kompleks beli belah yang bertaraf antarabangsa. Orang Melayu sendiri tidak mengharapkan pembelaan dari komplek yang dikuasai bukan Melayu seperti Mega Mall atau One Utama. Tetapi kompleks membeli belah yang dikuasai sebuah Syarikat Kaitan Kerajaan (GLC) tentunya perlu ada sedikit pertimbangan untuk menggalakan peniaga Melayu. Apa yang berlaku kepada Kelantan Delights juga menunjukan sikap kurang prihatin oleh kerajaan dan institusi yang kononnya diujudkan untuk memelihara dan membantu peniaga Melayu. Jadi dimanakah usaha mahu menggalak orang Melayu berniaga? Melayu yang benar-benar berkebolehan bukannya yang Ali Baba dimana rakan kongsi Melayu hanyalah sebagai 'sleeping partner' saja. Apa khabar Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi? Apa khabar MARA? Tidak adakah satu pun Jabatan atau Ajensi Kerajaan prihatin terhadap apa yang sedang melanda peniaga Melayu di Suria KLCC? Khabarnya Ketua Setiausaha Kementeri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ada menemui Pengurusan Suria KLCC. Tetapi tidak pula diketahui apa hasilnya. Yang diketahui Kelantan Delights sudah tutup kedai di sana. Nampaknya tidak ada kesudahan. Malah perjumpaan antara Ketua Setiausaha Kementerian dengan pengurusan Suria KLCC yang tidak membawa kepada pembelaan peniaga Melayu akan memberikan hasil yang lebih buruk kerana tidak apa pun yang berlaku. Pengurusan Suria KLCC tentunya akan bersikap lebih bongkak dan sombong seolah-olah mereka kebal dan boleh melakukan apa saja tanpa siapa pun boleh menegur.
Malam tadi saya juga terpegum melihat empat pasagan orang putih yang hendak memasuki restoran. Salah seorang pekerja Kelantan Delights yang berada dipintu memberitahu bahawa restoran tidak dibuka untuk pelanggan malam itu. Tetapi Sdr Juhaidi yang kebetulan berada berhampiran sedarkan apa yang berlaku dan terus mencelah dan memperlawa mereka masuk menikmati hidangan secara gratis. Salah seorang daripada mereka memberi tahu bahawa mereka datang dari Rusia dan mahu menikmati Nasi Kerabu sambil menunjukkan buku pelancungan dalam bahasa Rusia dengan nama Kelantan Delights di tandakan. Juhaidi terus gugup bahawa restorannya dimasukkan dalam buku pelancungan Rusia. Beliau memberitahu mereka bahawa Nasi Kerabu tidak disajikan malam itu tetapi telah memberikan mereka hidangan nasi dagang serta hidangan lain. Seorang daripada pelancung Rusia itu yang perkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai Kerajaan Tempatan Moscow telah memperlawa Juhaidi membuka Kelantan Delights di ibu negara Rusia itu. Nampaknya orang asing lebih menyokong Kelantan Delights daripada Suria KLCC.
Juhaidi memberitahu saya bahawa restorannya itu sememangnya mendapat tempat dalam beberapa buku pelancungan asing selain dari dalam bahasa Inggeris juga buku pelancungan dalam bahasa Jepun dan Arab. Untuk mengakhirkan cerita malam tadi bukanlah bermakna Kelantan Delights akan terus terkubur; hanya di Menara Kembar Petronas. Dua bulan lagi ia akan muncul semula kali ini di Sentral, tepatnya di Sooka Sentral bersebelahan pusat pengangkutan Sentral dan Hilton Kuala Lumpur. Juhaidi memberitahu bahawa Pengurusan MRCB yang lebih prihatin kepada peniaga Melayu telah mempelawanya membuka kedainya di bangunan yang baru selesai di bina itu. Nampaknya 'Suria KLCC's loss is a gain for MRCB's Sooka Sentral'. Kita berhadap Kelantan Delights akan lebih maju dan berjaya di Sooka Sentral.
.
Sesungguhnya pertolongan akan datang setelah kesabaran, kelapangan akan datang setelah kesusahan dan kemudahan akan datang setelah kesulitan
Wednesday, September 05, 2007
Alhamdulillah...
Alhamdulillah... sekarang ni dah mula boleh berjinak-jinak balik ngan email, blog, novel dsbg... Correction untuk thesis dah siap, tunggu lagi semak format ngan Pusat Pengajian Siswazah jer...tak tau bila lagi, biasalah kita "orang biasa" kena ikut prosedurlah.
Jutaan terima kasih saya kirimkan buat sahabat-sahabat seperjuangan, pensyarah-pensyarah dan juga kakitangan Fakulti Pengajian Islam UKM kerana sokongan dan kerjasama yang diberikan. Alhamdulillah, selepas pembentangan disertasi saya sempena Kolokium Siswazah yang diadakan pada tanggal 30 Ogos 2007, bertempat di bilik senat UKM hari tu, banyak feed back positif yang saya dapat daripada semua...
InsyaAllah, buat semua yang berminat dengan disertasi saya, akan saya usahakan sebaik mungkin untuk menyampaikan ilmu ini kepada semua... Teruskan menyokong perjuangan Islam.. ALLAHUAKBAR !!!
Subscribe to:
Posts (Atom)