Sunday, March 27, 2011

TERIMALAH TAKDIRNYA DENGAN IKHLAS




Wahai diriku,tidak ada jalan lain dan ikhtiar kecuali kepada Allah. Perkukuhkan solat 5 waktu dengan segala rawatibnya. Luangkan dan lapangkan masa untuk membaca Al-Quran dan berselawat. Kurangkan makan dan kurangkan perkataan. Bercakap hanya yang baik atau diam. Uzlahkan diri jika terasa mata telinga terlalu liar untuk dikawal. Tersenyumlah dengan penghinaan. Redhalah dengan kesepian.

Ya Allah...

Uzlah aku daripada kejahatan diri agar tidak menjangkiti orang lain. Qanaah aku agar tidak hasad pada nikmat yang diberikan kepada yang lain. Sabar aku dengan karenah insan yang menjadikan bahan ujimu untuk mendidikku. Syukur aku pada nikmat yang ada tanpa mengenang apa yang tiada. Pemaaf aku pada kejahatan insan sebagai 'karma' kejahatan ku pada mereka.


Ya Allah...

Aku belum sampai, tetapi sungguh aku telah memulakan perjalanan walau susah sungguh untuk pasrah padaMu penuh seluruh! Lihatlah aku, kasihanilah aku, kutiplah aku Wahai Allah. Ku pohon padamu,tetapkanlah hatiku.


Kembaraku baru bermula. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan aku dididik untuk terus kuat dengan semangat dan azam untuk sentiasa mengingatiMu...



Hidup adalah satu perjuangan, mana ada orang yang tidak berjuang dalam hidup. Kadang kita menang dan kadang kita tewas. Bila menang kita bersyukur dengan kurniaan dan kenikmatan hidup yang dianugerahkan Allah pada kita. Tika tewas dengan kehidupan kita perlu muhasabah diri, kembali semula kepada Allah, mohon keampunan dan petunjuk. Mungkin kita telah jauh daripadaNya. Jauhnya kita daripada Allah yang membuatkan perjalanan hidup kita suram dan gelap. Mungkin juga Allah sengaja mahu menguji iman kita. Mahu melihat sejauh mana kita pasrah dan redha dengan ketentuanNya. Mungkin Allah mahu memberi ilmu dan mendidik kita. Mungkin juga Allah mahu mengangkat darjat dan martabat kita pada satu tahap yang lebih tingi dengan ujian yang diberikan. Walau apa pun kemungkinannya, kita sebagai hamba tidak selayaknya mempertikaikan sama sekali apa saja keputusan daripada Allah. Mukmin yang baik akan akur dan redha dengan semua suratan yang Allah zahirkan dalam kehidupannya.


Bila mula mencoret sebegini, saya sebenarnya telah memberikan terapi pada diri sendiri. Walau tidak mudah menerima sesuatu takdir daripadaNya yang bertentangan dengan kehendak kita, hati perlu cuba untuk mujahadah menerima seikhlas mungkin takdir yang telah tersurat buat kita. Hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti, justeru jangan sesekali cuba untuk mengawalnya.


Kita tidak akan tahu qada' dan qadar Allah SWT, itu rahsia dalam rahsiaNya. Yakinlah sesuatu yang ditakdirkan berlaku, pasti akan berlaku. Belajarlah untuk melepaskan, usah dicalarkan iman dengan istilah 'jika' dan 'kalau'. Innalillah, redha dan pasrahlah dengan ketentuan Allah. Ketahuilah walau di tangan, di bawah mata sendiri atau di mulut sendiri, andai ditakdirkan hancur, musnah dan terlepas, pasti punah juga. Paling penting bersangka baiklah. Allah akan menyelamatkan kita. Allah akan memberi ketenangan dan keamanan. Pahit jadi ubat, manis jadi madu. Renungilah setiap kejadian itu, tentu ada hikmahnya.


Kata pujangga 'Kita akan temui semula sesuatu yang kita hilang di tempat yang kita kehilangannya, dan sesuatu pengakhiran kadang-kadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik'. Mudah-mudahan ini adalah permulaan yang baik. Amin Ya Rabbal 'Alamin...



Taman Mutiara,

Malim, Melaka

No comments:

Post a Comment