Monday, November 14, 2011

WANITA KOTA TARIM


ASSALAMUALAIKUM.

Apa khabar sahabat pembaca sekalian? Apa khabar pula sahabat-sahabat muslimah saya? Sihat ker semuanya? Kalau fizikalnya sihat, Alhamdulillah. Saya teruskan bertanya, sihatkah juga hati kita? Sihatkah juga iman kita? Saya bertanyakan ini, lantaran melihat kepada peri pentingnya kesihatan hati dan iman dalam melahirkan ikon para muslimah yang solehah. Sifat muslimah khususnya di zaman ini yang tidak begitu terjaga daripada anasir-anasir yang boleh merosakkan jati diri seorang muslimah begitu menyesakkan jiwa. Justeru pada kesempatan ini, saya nukilkan buat sahabat pembaca sekalian berkenaan kisah para wanita yang terjaga, para wanita yang terpelihara, kisah wanita Kota Tarim. Andai adanya wanita ini dalam kalangan kita, alangkah bahagianya dunia. Indah berseri dengan pancaran kesolehannya. Tanpa berlengah, jom kita usaha jadi seperti mereka.



Wanita Terpelihara

Mengenai wanita di kota Tarim Hadramaut, mereka itu jauh berbeza dengan sebahagian besar wanita-wanita muslimah di dunia. Bahkan di wilayah-wilayah lain di kota Hadramaut juga pun sudah banyak yang pudar ketegasan syariahnya. Wanita Tarim sudah terbiasa sejak daripada kecil dibesarkan dalam lingkungan ulama, siang dan malam mereka adalah perbualan tentang majlis-majlis ilmu, al-Qur’an, adab, akhlak, tasawwuf dan seumpamanya. Begitulah keadaan mereka dibesarkan. Mereka dibesarkan tidak kenal muzik, tidak kenal kebiadapan, tidak kenal wajah orang fasiq, bahkan para wanitanya tidak pernah melihat lelaki asing selain daripada saudara-saudara lelaki dan bapa saudara mereka sahaja.

Apabila tiba saat mereka menikah, ditanya pada isteri; Bagaimanakah keadaannya saat awal berjumpa? Ia menjawab; Saya bingung, seumur hidup saya belum pernah melihat lelaki selain saudara kandung saya, dan sekarang ini ada lelaki asing duduk di kamar saya. Begitulah keadaan mereka, cukup terpelihara dan terjaga.

Keperluan Rumahtangga

Wanita Tarim juga tidak pernah menyusahkan suami mereka. Begitu juga dengan para suaminya, tidak menyusahkan isteri mereka. Bila susu habis misalnya, atau beras, atau apa saja barang dan keperluan seharian yang perlu dibeli, mereka tidak berani memberitahu suami kerana bimbang pada ketika itu si suami tidak mempunyai wang atau sedang sibuk, maka apa yang mereka lakukan adalah dengan meletakkan bungkusan-bungkusan kosong itu pada tempat yang dikira mudah dilihat oleh suaminya.

Begitu juga para suami, seluruh hajat dan keperluan dapur seperti sayur dan sebagainya suami yang belikan. Keadaan ini tidak pula menghalang para isteri untuk keluar membeli-belah ke pasar seperti membeli baju atau barang keperluan wanita, namun urusan dapur seperti membeli sayur, beras dan lain-lainnya itu merupakan tugas suami atau pembantu.

Kamar Tidur yang Wangi

Isteri selalu menghias dan menjadikan kamar tidur berbau wangi. Bila suaminya pulang, maka pastilah kamar sudah ditata rapi, indah dan sangat wangi. Pakaian suami sudah pasti wangi, bilik mandi juga wangi dan semuanya ditata serapi mungkin. Bukankah wangi-wangian itu mampu membangkitkan suasana yang tenang dan romantik?

Marah Wanita Tarim

Isteri juga tidak pernah mengangkat dan meninggikan suara pada suami. Mereka tidak pernah marah dan tidak pernah cemburu. Bila mereka merasa kesal, mereka akan menangis dan mengadu pada suaminya dengan nada yang lirih. Itulah marah mereka.

Keadaannya sama juga dengan para suami. Mereka tidak pernah marah pada isteri, apalagi mencaci dan menghina. Bila suami merasa sangat kesal atas sesuatu perkara, mereka akan menulis sepucuk surat kepada isteri dan kemudian mereka akan pergi atau tidur. Kemudian nanti isteri akan menjawab pula surat daripada suami tadi, seterusnya suami pula akan menjawab surat daripada isteri dan sehingga akhirnya mereka berdua akan tertawa bersama. Indahnya marah yang sebegini, marah yang mampu menjadi hiburan, marah yang diakhiri dengan gelak tawa tanpa seorang pun daripada mereka memendam rasa.

Rumahtangga Nabawi

Lebih daripada itu, kalau kita sorot secara mendalam tentang kehidupan ahli kota seribu ulama ini, kita akan dapati masih banyak lagi keunikan dan seni budi pekerti junjungan mulia Muhammad SAW dalam rumah tangga nabawi yang sulit kita temukan di masa kini, namun dipraktikkan dalam kehidupan mereka.


Subhanallah wabihamdihi, Subhanallahil ‘azim. Indah nian gambaran para wanita dan lelaki di Kota Tarim. Allah... Sungguh indah bersama mu wahai Kekasih Hati, wahai Penghulu seluruh manusia. Berbahagialah mereka yang berada di jalanmu, yang sentiasa menghidupkan sunnahmu. Sallu ‘alaih.... Semoga Allah SWT menjaga penduduk di kota seribu ulama ini dan kurniakan juga keindahan pekerti seperti itu kepada para wanita dan lelaki muslim di seluruh dunia ini.

Renungkan juga satu pesan saya pada semua;


Andai lahirnya seorang anak perempuan itu, biarlah dia menjadi seperti Saidatina Aisyah isteri Rasulullah SAW, kerana dunia masih lagi kekurangan solehah sepertinya.



Rujukan; pondokhabib





Thursday, October 27, 2011

FARSHI AL-TURAB

Bismillahirrahmanirrahim...

Perkara biasa yang terbuku di hati, mahu menulis banyak perkara. Tapi semuanya terkepung dalam kepenatan yang teramat. Kepenatan yang menjalar ke seluruh urat darah. Musim akhir semester, beginilah selalunya. Alangkah bagusnya kalau boleh di-magik-kan saja rasa hati, bertukar menjadi simpulan kata yang tersusun indah. he3... Melalut panjang tidak ada guna, sementara saya mampu menulis semula, baik juga saya tinggalkan sahabat pembaca dengan bait-bait nasyid daripada Meshary al-Arada ~ ‘FARSHI AL-TURAB’. Mudah-mudahan kepenatan kita di dunia ini, menjadi mahar pada sebuah kerehatan yang kekal abadi di sana nanti.



فرشي التراب يضمني وهو غطائي
حولي الرمال تلفني بل من ورائي
واللحد يحكي ظلمة فيها ابتلائي
والنور خط كتابه أنسى لقائي
والأهل اين حنانهم باعوا وفائي
والصحب اين جموعهم تركوا اخائي
والمال اين هناءه صار ورائي
والاسم اين بريقه بين الثناءِ
هذي نهاية حالي فرشي الترابِ
والحب ودّع شوقه وبكى رثائي
والدمع جف مسيره بعد البكاء
والكون ضاق بوسعه ضاقت فضائي
فاللحد صار بجثتي أرضي سمائي
هذي نهاية حالي فرشي الترابِ
والخوف يملأ غربتي والحزن دائي
أرجو الثبات وإنه قسما دوائي
والرب أدعو مخلصا أنت رجائي
أبغي إلهي جنة فيها هنائي


Dust is my bed, embraces me and it’s my cover now
The sand surrounds me even behind my back
And the grave tells a dankness of my affliction
And the brightness draws a line……………
Where is my family’s love? They sold my loyalty!
And where is my group of friends? They left my brotherhood!
Where is the bliss of money? It’s behind my back now
And my name (reputation) where is it shine between praises
This is my end and this is my bed

And love farewells its longing and my elegizing cried
And the tears went dry after crying
And the universe became narrow and so is my space
And the grave became my ground and sky
This is my end and this is my bed

Fear fills my estrangement and sadness is my illness
I expect firmness and I swear it’s my cure
And for Allah i pray faithfully, you are my hope
Allah! I desire heaven, to find bliss in it

And for Allah i pray faithfully, you are my hope
Allah! I desire heaven, to find bliss in it.


Tuesday, October 18, 2011

ANDAI KEKASIH-MU BERSAMA KAMI



Bismillahirrahmanirrahim....

Masih belum selesai berbicara soal Majlis Haul yang diadakan di serata tempat. Majlis yang di dalamnya berkumpul para Habaib dari silsilah Nabi SAW. Majlis yang telah mengalir dan membasahkan relung jiwa dengan rasa kecintaan ke hadrat Penghulu seluruh manusia ini. Majlis yang dipenuhi dengan selawat kepada Baginda SAW. Majlis yang diikuti dengan puji-pujian kepada Allah SWT. Subhanallah! Majlis zikir dan majlis ilmu adalah taman-taman syurga. Berdamping dengan para ulama adalah merupakan satu nikmat dan anugerah.

Sememangnya bulan Zulkaedah ini merupakan bulan yang penuh dengan penghayatan serta bulan penyubur kasih sayang pada junjungan besar Habibuna Muhammad SAW. Alhamdulillah, program-program serta majlis-majlis sempena memperingati pulangnya Imam al-Hadad menemui Allah SWT telah menyampaikan kita pada sirah junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Masih belum puas melempiaskan kerinduan pada Habibuna lewat qasidah dan puji-pujian. Justeru, ayuh kita basahkan lagi jiwa dengan alunan bait-bait nasyid dendangan Abdulrahman Mohammed ~ Law Kaana Baynana. (^___^)



Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa. Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan Keampunan-Mu dan sifat Pemurah-Mu, dan kebebasan daripada neraka-Mu, dan juga syurga bersama-sama Penghulu seluruh manusia. Kami mohon pada-Mu. Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku, dari sudut hati kami yang paling dalam.

Kalaulah Kekasih-Mu masih berada bersama-sama kami, akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah dengan haruman baginda. Sebelum hilangnya rasa, rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan kekasih-Mu. Berada berhampiran Baginda jiwa turut menjadi harum, dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah akan diperkenankan. Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna.

Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda, wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba. Hidayah-Mu kepada alam merata luas, tanda hampirnya kasih sayang Tuhan Pemberi hidayah. Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih. Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.

Ku tebus diriku dengan dirimu, wahai kekasihku Nabi Muhammad yang mulia, yang asing. Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum. Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam. Wahai kekasihku, wahai Muhammad, wahai pengubat hatiku, wahai yang dupuji dipuja. Dirimu memiliki kelebihan yang diakui oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.

Monday, October 17, 2011

IMAM AL-HABIB ABDULLAH AL-HADDAD



Assalamualaikum...

Alhamdulillah diberikan kesempatan lagi untuk terus melakar sesuatu di sini, setelah berjuang bersungguh-sungguh menguruskan masa dengan baik. Masih belum benar-benar mahir menguruskan masa, tapi alhamdulillah tidaklah terlalu teruk sangat. Pada entry yang sebelumnya kita telah bercakap tentang Program-program dan majlis-majlis Haul Imam al-Habib Abdullah al-Haddad. Menyebut saja, tetapi tidak kenal, tidak ada gunanya. Tidak kenal, maka tidak cinta bukan? Justeru kita semak secara menyeluruh, siapakah sebenarnya al-Imam al-Habib Abdullah al-Haddad ini.

Sebelum daripada itu, Majlis Haul Imam Abdullah al-Haddad telah dilangsungkan pertama kalinya secara umum pada 2001. Majlis Haul Imam Abdullah al-Haddad diadakan secara rasmi sebagai memperingati peninggalan beliau serta memperkenalkan taburan ilmu bermanfaat daripada tokoh ulama yang juga digelar Mujaddid Islam pada abad yang ke-12 ini. Majlis-Majlis Haul ini telah berkembang secara tetap di seluruh tanah air, yang mana ianya dilangsungkan pada bulan Zulkaedah setiap tahun. Sehingga sekarang majlis ini dikelolakan dihampir setiap negeri serata Malaysia. Setiap tahun, jumlah para hadirin semakin bertambah dan yang paling ketara ialah penambahan hadirin dari luar negara yang secara tidak langsung mendapat berita tentang majlis-majlis tahunan ini bermotivasikan pengenalan, kecintaan dan manfaat yang dialami daripada Imam al-Haddad sendiri.


SEKILAS TENTANG IMAM ABDULLAH AL-HADDAD.



Beliau bernama Abdullah bin Alawi bin Muhammad bin Ali Al-Tarimi Al-Haddad Al-Husaini Al-Yamani. Beliau (rahimahullah) dilahirkan di Subir sebuah perkampungan berhampiran Kota Tarim di Wadi Hadhramaut, selatan negeri Yaman pada hari Ahad 5 haribulan Safar tahun 1044 hijriah bersamaan 30 haribulan Julai tahun 1634 Masehi. Al-Habib telah diasuh dan ditarbiah di Kota Tarim. Ketika beliau meningkat umur empat tahun, AL-Habib dijangkiti penyakit cacar yang mengakibatkan kehilangan daya penglihatan. Walaupun demikian, Allah yang Maha Agong lagi Mulia telah menggantikan kepada All-Habib dengan mata hati (cahaya ilmu dan pengetahuan serta keyakinan dan wilayah). Berdasarkan kurniaan ini, Al-Habib telah berusaha dengan penuh dedikasi dan kegigihan menceduk ilmu daripada sejumlah besar para ulama di Yaman. Cinta beliau terhadap ilmu dan para ulama menghasilkan kebolehan menguasai ajaran para ahli tahkik (orang yang mengenali Allah dengan 'ainul-yakin serta hakkul-yakin). Semenjak kecil lagi beliau memaparkan kekuatan usaha ibadat dan kerajinan menuntut ilmu.

Al-Habib pernah berkata "Ketika aku masih kecil, aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beribadat dan melaksanakan pelbagai mujahadah yang lainnya, sehingga ditegur oleh nendaku yang solehah bernama Salma binti Said Al-Wali Omar Ba'Alawi supaya menjaga diriku. Dia sering berkata demikian jika dikira ibadat serta mujahadah yang aku usahakan dianggap terlalu kuat dan banyak. Sebaliknya aku telah banyak meninggalkan mujahadah semenjak permulaan perjalanan ini semata-mata memelihara hati kedua ibubapaku yang amat prihatin terhadap keadaanku".

Walaupun Al-Habib (radiAllahu'anhu) sering keluar ke kawasan sekitarnya dan perkampungan di sekeliling Tarim, beliau berkata "Aku lebih seronok bersendirian demi kerana Allah, kerana alangkah nikmatnya kelazatan (al-uns) bersama dengan Allah".

Pada permulaan perjalanan hidup Al-Habib, beliau sentiasa menyusuri negerinya untuk bertemu para solihin, menziarahi puasara para ulama dan auliya'. Pada masa beliau berada di perkampungannya, beliau sering duduk di sudut 'Masjid Al-Hijriah' dan pada waktu malamnya sering bersolat bergiliran di setiap masjid dalam Kota Tarim. Sesungguhnya inilah yang membuka hati beliau semenjak kecil lagi. Al-Habib sering membaca surah Yaasin yang mempengaruhi jiwanya dan menyebabkan beliau menitiskan air mata yang begitu banyak. Keadaan demikian sering mengakibatkan ketidakmampuannya membaca surah yang mulia ini. Inilah yang mendorong Sayyed Abdullah Bilfagih menjelaskan tentang Al-Habib dengan katanya "Di sinilah futuh (pembukaan) bagi Al-Habib"

AKHLAK DAN BUDI PEKERTI

Al-Imam Al-Haddad (rahimahullah) memiliki perwatakan badan yang tinggi, berdada bidang, tidak terlalu gempal, berkulit putih, sangat berhaibah dan tidak pula di wajahnya kesan mahupun parut cacar.

Wajahnya sentiasa manis dan menggembirakan orang lain di dalam majlisnya. Ketawanya sekadar senyuman manis; apabila beliau gembira dan girang, wajahnya bercahaya bagaikan bulan. Majlis kendalian beliau sentiasa tenang dan penuh kehormatan sehinggakan tidak terdapat hadhirin berbicara mahupun bergerak keterlaluan bagaikan terletak seekor burung di atas kepala mereka.

Mereka yang menghadhiri ke majlis Al-Habib bagaikan terlupa kehidupan dunia bahkan terkadang Si-lapar lupa hal kelaparannya; Si-sakit hilang sakitnya; Si-demam sembuh dari demamnya. Ini dibuktikan apabila tiada seorang pun yang yang sanggup meninggalkan majlisnya.

Al-Imam sentiasa berbicara dengan orang lain menurut kadar akal mereka dan sentiasa memberi hak yang sesuai dengan taraf kedudukan masing-masing. Sehinggakan apabila dikunjungi pembesar, beliau memberi haknya sebagai pembesar; kiranya didatangi orang lemah, dilayani dengan penuh mulia dan dijaga hatinya. Apatah lagi kepada Si-miskin.

Beliau amat mencintai para penuntut ilmu dan mereka yang gemar kepada alam akhirat. Al-Habib tidak pernah jemu terhadap ahli-ahli majlisnya bahkan sentiasa diutamakan mereka dengan kasih sayang serta penuh rahmah; tanpa melalaikan beliau daripada mengingati Allah walau sedetik. Beliau pernah menegaskan “Tiada seorang pun yang berada di majlisku menggangguku dari mengingati Allah”.

Majlis Al-Imam sentiasa dipenuhi dengan pembacaan kitab-kitab yang bermanfaat, perbincangan dalam soal keagamaan sehingga para hadhirin sama ada yang alim ataupun jahil tidak akan berbicara perkara yang mengakibatkan dosa seperti mengumpat ataupun mencaci. Bahkan tidak terdapat juga perbicaraan kosong yang tidak menghasilkan faedah. Apa yang ditutur hanyalah zikir, diskusi keagamaan, nasihat untuk muslimin, serta rayuan kepada mereka dan selainnya supaya beramal soleh. Inilah yang ditegaskan oleh beliau “Tiada seorang pun yang patut menyoal hal keduniaan atau menyebut tentangnya kerana yang demikian adalah tidak wajar; sewajibnya masa diperuntuk sepenuhnya untuk akhirat sahaja. Silalah bincang perihal keduniaan dengan selain dariku.”

Al-Habib (rahimahullah) adalah contoh bagi insan dalam soal perbicaraan mahupun amalan; mencerminkan akhlak junjungan mulia dan tabiat Al-Muhammadiah yang mengalir dalam hidup beliau. Beliau memiliki semangat yang tinggi dan azam yang kuat dalam hal keagamaan. Al-Imam juga sentiasa menangani sebarang urusan dengan penuh keadilan dengan menghindari pujian atau keutamaan dari oramg lain; bahkan beliau sentiasa mempercepatkan segala tugasnya tanpa membuang masa. Beliau bersifat mulia dan pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ciri inilah menyebabkan ramai orang dari pelusuk kampung sering berbuka puasa bersama beliau di rumahnya dengan hidangan yang tidak pernah putus semata mata mencari barakah Al-Imam. Tidak terputus pengunjung bertamu dengan beliau pada bulan mulia ini di rumah perkampungan beliau di Al-Hawi.

Al-Imam menyatakan “Sesuap makanan yang dihadiahkan atau disedekahkan mampu menolak kesengsaraan”. Katanya lagi “Kiranya ditangan kita ada kemampuan, nescaya segala keperluan fakir miskin dipenuhi, sesungguhnya permulaan agama ini tidak akan terdiri melainkan dengan kelemahan Muslimin”.

Beliau adalah seorang yang memiliki hati yang amat suci, sentiasa sabar terhadap sikap buruk daripada yang selainnya serta tidak pernah merasa marah. Kalaupun ia memarahi, bukan kerana peribadi seseorang tetapi sebab amalan mungkarnya yang telah membuat Al-Imam benar-benar marah. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Habib “Adapun segala kesalahan berkait dengan hak aku, aku telah maafkan; tetapi hak Allah sesungguhnya tidak akan dimaafkan”.

Al-Imam amatlah menegah dari mendoa agar keburukan dilanda orang yang menzalimi mereka. Sehingga bersama beliau terdapat seorang pembantu yang terkadangkala melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemarahan Al-Imam. Namun beliau menahan marahnya; bahkan kepada pembantu itu diberi hadiah oleh Al-Habib untuk meredakan rasa marah beliau sehinggakan pembantunya berkata: “Alangkah baiknya jika Al-Imam sentiasa memarahiku”.

Segala pengurusan hidupnya berlandaskan sunnah; kehidupannya penuh dengan keilmuan ditambah pula dengan sifat wara’. Apabila beliau memberi upah dan sewa sentiasa dengan jumlah yang lebih dari asal tanpa diminta. Kesenangannya adalah membina dan mengimarahkan masjid. Di Nuwaidarah dibinanya masjid bernama Al-Awwabin begitu juga, Masjid Ba-Alawi di Seiyoun, Masjid Al-Abrar di As-Sabir, Masjid Al-Fatah di Al-Hawi, Masjid Al-Abdal di Shibam, Masjid Al-Asrar di Madudah dan banyak lagi.

Diantara sifat Al-Imam termasuk tawaadu’ (merendah diri). Ini terserlah pada kata-katanya, syair-syairnya dan tulisannya. Al-Imam pernah mengutusi Al-Habib Ali bin Abdullah Al-Aidarus. “Doakanlah untuk saudaramu ini yang lemah semoga diampun Allah.”

IBADAH DAN MUJAHADAH

Tiada siapa yang pernah menyatakan Al-Imam bersolat walau satu waktu bersendirian, atau tidak solat di awal waktu, sembahyang dalam situasi yang tergopah-gapah, atau meninggalkan qiamullail. Di antara sifat mulianya Al-Imam ialah tidak berbicara ketika menunggu waktu solat dan amat marah jika ada yang cuba berkata-kata di waktu itu. Bahkan beliau menegahnya serta memberi amaran kepada sahabatnya dari menegurnya ketika waktu tersebut. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Imam dengan katanya: “Kami keluar dengan penuh menghadirkan diri dan meninggalkan segala kerunsingan”.

Dan tegasnya lagi: “Kami tidak bercadang untuk melaksanakan sebarang solat sunat An-Nawaafil (solat sebelum dan selepas sembahyang fardhu) kecuali setelah hati kami benar-benar hadhir dan iqbal (menuju) kepada Allah”.

Al-Imam amat memeliharai amalan solat Rawaatib. Doa-doa serta wirid-wiridnya yang ma’thur dari amalan Rasul SAW, termasuk mendirikan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat dan solat Isyraq sebanyak empat rakaat sebelumnya, solat Awwaabin sebanyak dua puluh rakaat selepas sunat maghrib; di mana Al-Imam menyempurnakan empat rakaat sebelum setiap salam. Di waktu subuh pada hari Jumaat, Al-Imam berjemaah solat Fajar di masjid Al-Jame’ seterusnya beri’tiqaf sehingga solat Jumaat demi mendapat keutamaan berawal-awalan untuk solat tersebut.

Al-Imam juga amat sedikit tidur, sekadar merehatkan diri sahaja. Kebiasaan Al-Imam melambatkan solat witir sehingga hampir fajar; ini disebabkan Al-Imam tidur sedikit (qailulah) selepas solat-solat qiamullail. Kemudian barulah berwudu’ untuk solat witir sebelum subuh. Beliau sentiasa berzikir seumpama ‘La ila ha illallah’ yang terlalu banyak jumlahnya sehinggalah tidak pernah berhenti; Al-Imam membiasakan dirinya dengan ini walaupun diundang perbualan dengan sesiapa.

Al-Imam juga memperbanyakkan puasa, terutamanya pada hari yang diutamakan iaitu Isnin dan Khamis, Ayyaamul Baidh (hari ke 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan), hari ‘Asyura; hari ‘Arafah, enam hari dalam bulan Syawwal; sehinggalah terhentinya amalan ini apabila Al-Imam sudah berumur dan lemah.

Adapun pada bulan Ramadhan, Al-Imam telah menjelaskan kepada para sahabatnya “Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan amal, perkurangkanlah/tinggalkan sementara ilmu semata-mata untuk beribadah dalam bulan ini”. Seterusnya dapat dilihat orang-orang yang ramai mengurangan kelas-kelas ilmu kecuali selepas Asar, sebagai peringatan beliau kepada sahabat-sahabat yang utamakan amal bersungguh-sungguh dan membersihkan dalaman (batin).

Walaubagaimanapun Al-Imam tidak pernah menunjuk-nunjukkan amalnya kecuali keadaan memaksakan seperti supaya ianya dijadikan tauladan kepada yang lain. Kata Al-Imam: “tidak aku tonjolkan amalan ini dengan sengaja, walaupun itu Alhamdulillah aku tidak bimbang dari sifat riya’ (disebabkan orang mengetahui amalan aku). Ingatlah sebagaimana Sayyidina Abu Bakar Al-Siddiq menyatakan tentang perkara ini berlandaskan firman Allah (yang bermaksud) “Sama sekali aku tidak memuji diri ini dengan kebaikan, maka ketahuilah sesungguhnya inilah yang mendorongkannya kepada perbuatan buruk”.

Al-Imam juga telah menegaskan: “Sesungguhnya aku telah melaksanakan kesemua sunnah Nabi dan tidak ada sunnah yang ditinggalkan, kecuali rambut”. Akhirnya Al-Imam mengekalkan rambut hingga ke telinganya sebagai yang dilaksanakan oleh Rasul SAW.

Al-Imam juga sering menziarahi Nabi Allah Hud (selawat dan salam ke atasnya dan Nabi kita) di mana makam Nabi Hud terletak di Wadi Hadramaut. Sebanyak tiga puluh kali Al-Imam telah menziarahinya, kesemuanya pada bulan Sya’ban. Al-Imam telah pergi berjalan kaki bersama-sama sanak saudaranya, kaya dan miskin. Kebiasaannya Al-Imam berada di maqam itu selalunya di waktu maghrib dari 12 haribulan hingga 15 haribulan Sya’ban. Dalam perjalanan ke sana, Al-Imam sering singgah di Ainat untuk menziarah Al-Syeikh Al-Kabir Abu Bakar bin Salim dan Al-Syeikh Ahmad bin Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Imam juga menziarah maqam Basyar selepas solat Asar setiap hari Jumaat dan hari Selasa. Al-Imam menjelaskan: “Pada mulanya, kebiasaan kami menziarahi Basyar ialah pada setiap hari Jumaat, tetapi setelah di antara sahabat kami bertemu Al-Faqih Al-Muqaddam dalam mimpinya di mana dia berkata: katakan kepada Al-Sayyed Abdullah Al-Haddad: “Ziarah Basyar pada hari Jumaat sahaja tidak memadai”; maka berdasarkan itu kami menziarahi juga Basyar pada hari Selasa juga”. Sebenarnya sebelum Allah menzahirkan kemuliaannya dan orang ramai berpusu-pusu kepadanya, memanglah Al-Habib menziarahi Basyar setiap hari Selasa.

Semoga Allah merahmati Al-Imam dan menempatkan beliau di Syurga, dan dihimpunkan kita bersamanya dengan berkat Saiyidina Muhammad SAW, keluarganya dan sahabatnya serta selawat ke atas Nabi Muhammad yang mulia serta keluarga dan sahabat Baginda.


(Kata-kata diatas ini merupakan sedikit petikan yang diterjemahkan dari bahasa Arab dari kajian dan tulisan Ustaz Haji Muhammad Nooruddin Merbau Al-Banjari dari Kedah. Semoga Allah berkati beliau. InsyaAllah sambungan riwayat Al-Imam dapat dimuatkan dalam ruangan ini.

Terjemahan ini adalah sebahagian dari juz kedua kitab “Hadiah Dari Imam Al-Haddad

Sumber: alhawi



Sunday, October 16, 2011

QASIDAH NABAWIYYAH - RATIB AL-HADDAD



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, selesai sudah Majlis sempena memperingati kewafatan al-Habib Abdullah al-Haddad yang ke 300 tahun di Malaysia. Syukur pada Allah SWT yang telah menemukan saya dengan insan-insan yang terpilih atas landasan agama-Nya, sehingga melorongkan saya untuk bersama-sama dengan mereka mengutip permata berharga tinggalan Rasulullah SAW. Sungguh saya merasa cukup bertuah dipilih oleh Allah SWT untuk duduk bersama-sama dengan keluarga Nabi SAW. Hilang segala sedih yang mengepung jiwa, diganti dengan damai yang mula menyerap masuk mendinginkan hati.

Duduk bersama dengan sosok silsilah keturunan Baginda SAW sudah cukup membuatkan kita tersenyum bahagia mengharapkan pertemuan dengan Baginda SAW nanti. Apatah lagi jika dapat bersama dengan Rasulullah SAW. Bayangkan, sekiranya kita dipilih untuk duduk dalam majlis bersama dengan Rasulullah SAW. Mendengar kalam indah yang keluar dari bibir Baginda, mengutip permata hikmah yang tidak ternilai untuk dijadikan bekal sepanjang perjalanan. Allah... Sungguh indah bukan?

Terlalu banyak perasaan yang mahu digambarkan, terlalu banyak pengalaman yang mahu dikongsikan. Namun daripada sekian banyak perkara yang mahu dikongsikan ini, saya lebih tertarik untuk tinggalkan sahabat pembaca sekalian dengan Qasidah Nabawiyyah yang disusun di dalam ratib al-Haddad.



Cukup bagiku pengetahuan Tuhanku – Daripada permintaan dan usahaku.

Doa serta permohonanku – Sebagai bukti pada kefakiranku.

Oleh kerana rahsia itu aku berdoa – Pada saat aku senang atau susah.

Aku adalah hamba menjadi kebanggaanku – Dalam kefakiran dan keperluanku.

Wahai Tuhanku yang memilikiku! – Engkau Maha Mengetahui akan keadaanku.

Dan apa yang berada dalam hatiku – Dari kesedihan dan kesibukanku.

Maka tolonglah aku dengan kelembutan – Dari-Mu wahai Tuhan seluruh hamba.

Wahai Yang Maha Pemurah tolonglah hamba – Sebelum lenyap kesabaran hamba.

Wahai Pemberi Pertolongan dengan segera – Berikanlah kami dengan segera pertolongan-Mu.

Yang dapat menghilangkan kesulitan dan dapat mendatangkan - Dengan apa-apa yang kami harapkan semua.

Wahai Yang Maha Dekat dan Jawab – Wahai Yang Maha Mengetahui dan Mendengar.

Aku mengaku akan kelemahanku – Dan ketaatan serta kesedihanku.

Aku sentiasa menungu di hadapan pintu rahmat-Mu – Wahai Tuhanku berikalah rahmat padaku.

Pada lembah kurnia-Mu aku berada – Wahai Tuhanku tetapkanlah keberadaanku di sana.

Aku sentiasa mempunyai prasangka baik – Ia (prasangka baik) adalah teman dan kawanku.

Juga penyenang bagiku dan setia bersamaku – Sepanjang malam dan siangku.

Wahai Tuhanku, dalam jiwa ini terdapat hajat – Tunaikanlah wahai Yang Maha Menunaikan.

Tenteramkanlah rahsia dan hatiku – Dari kebimbangan dan pergolakannya.

Dalam kegembiraan dan kebahagiaan – Apabila aku telah redha dan puas hati.

Maka ketenangan dan kegembiraan adalah keadaanku – Serta ia menjadi ‘pakaian’ dan ‘selimut’ yang menyelubungiku.



Wednesday, September 21, 2011

MUNAJAT HAMBA


Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang. Wahai pencipta Yang maha Pemurah. Akibat pilihanku yang keliru, usia dan masa mudaku telah pergi begitu saja. Buah yang tersisa darinya adalah dosa yang membuat pedih. Sejumlah penderitaan yang memberikan kehinaan dan bisikan yang menyesatkan. Dengan beban yang berat, kalbu yang sakit dan wajah yang malu, aku mendekati kubur. Secara sangat cepat tanpa pernah menyimpang dan tanpa disengajakan, aku telah bertambah dekat kepada pintu kubur sama seperti yang dialami oleh orang tua, kekasih, kerabat dan sahabat-sahabatku.

Kubur itu merupakan tempat dan pintu pertama yang dibangun dan dibuka di jalan menuju keabadian sebagai bentuk perpisahan abadi dari negeri yang fana ini. Aku memahami dengan pasti bahawa dunia yang aku terikat dan terpesona dengannya akan sirna, lenyap dan bersifat fana serta akan mati.

Dunia juga sangat zalim dan pengkhianat bagi orang seperti ku yang memiliki nafsu ammarah. Jika ia memberiku seribu kenikmatan, ia juga mendatangkan seribu kepedihan. Wahai Tuhan Yang Maha Penyayang. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah. Dengan rahsia “segala sesuatu yang akan datang dekat”, aku melihat diriku tidak lama lagi akan memakai kafan, akan menaiki keranda jenazah dan terpisah dengan orang-orang yang kucintai. Ketika aku pergi menuju kubur, di pintu RahmatMu aku menyeru, dengan baik lisanul hal jenazahku mahupun lisan ucapan rohku, “Aku memohon keselamatan! Aku memohon keselamatan! Aku meminta keselamatanMu, aku meminta keselamatanMu wahai Yang Maha Mengasihi (al-Hannan), wahai Yang Maha Pemberi (al-Mannan). Selamatkanlah aku daripada malu akibat dosa.”

Oh, kafanku telah berada di atas leher, dan aku sudah berdiri di tepi kubur. Ku angkat kepalaku menuju pintu rahmatMu seraya berdoa, “Aku memohon keselamatan! Aku memohon keselamatan! Wahai Yang Maha Penyayang dan Maha Pemurah, lepaskan aku daripada beban dosa.”

Oh, aku telah dibungkus dengan kain kafan dan masuk di kubur seraya ditinggal oleh mereka yang telah mengiringiku. Aku menyaksikan bahawa tidak ada tempat perlindungan dan keselamatan selainMu. Kerana sempitnya tempat ini, aku berdoa, “Aku memohon keselamatan! Aku memohon keselamatan! wahai Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih, wahai Yang Maha Memberi, wahai Yang Maha Memberikan balasan, selamatkan diriku daripada sangkutan dosa dan maksiat! Wahau Tuhan, hanya rahmatMu yang menjadi tempat perlindunganku. KekasihMu Sallallahu ‘alaihi wasallam yang merupakan rahmatan lil ‘alamin adalah saranaku untuk mencapai rahmatMu. Aku tidak mengeluhkanMu, melainkan mengadukan nafsu dan keadaanku kepadaMu.”

“Wahai Pencipta Yang Maha Pemurah, wahai Tuhan yang Maha Pengasih! MakhlukMu, ciptaanMu, hambaMu yang memberontak, tidak berdaya, lalai, bodoh, cacat, hina dan celaka serta tua ini ingin kembali menuju pintuMu setelah puluhan tahun berlalu. Ia berlindung kepada rahmatMu,mengakui dosa dan kesalahannya. Ia menghadapi sejumlah bayangan dan penderitaan dengan berdoa dan bersimpuh kepadaMu. Jika Engkau menerima dengan kesempurnaan rahmatMu, mengampuni dan mengasihi, tentu hal itu bahagian daripada kemuliaanMu. Kerana Engkau adalah Zat Yang maha Pengasih di antara semua yang pengasih. Jika tidak, pintu mana lagi yang akan dituju selain pintuMu. Tidak ada Tuhan selainMu yang dapat dituju pintunya. Tidak ada sembahan selainMu yang dapat tempat perlindungan.”

Ucapan terakhir di dunia serta ucapan pertama di akhirat dan di kubur adalah “Aku bersaksi tiada Tuhan selain Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.”


~ Badi’uzzaman, Said Nursi ~

Tuesday, September 20, 2011

RINDU ARDUL KINANAH



Meski kita tidak pernah bersua

Meski kita tidak pernah ta'arufan

Meski aku tidak pernah tahu bagaimana rupamu

Meski aku tidak pernah tahu seperti apa dan bagaimana keadaanmu

Meski aku tidak pernah merasai panasnya nafasmu

Meski aku tidak pernah merasai segarnya angin yang kau bisikkan


Namun cinta itu ku rasakan makin membugar

Cintaku pada mu yang telah lama ku bajai kian memekar

Semakin hari semakin menguntum segar

Rindu yang sering bertandang membarakan cinta

Membuatkan jiwa benar-benar gelisah

Tak tertahan rasanya menanggung kerinduan yang mengepung jiwa

Kerinduan yang sekian lama ku pendam kejap di lubuk atma

Rasa mahu saja terus ke jantungmu

Mahu segera ketemu denganmu


Ikhlas, cinta itu memang pelik

Walau ku tahu dikau bukanlah yang terbaik antara yang lain layak kupuja

Engkau bukan apa-apa kalau dibanding dengan yang lainnya

Tapi engkaulah yang ku dambakan sedari usia remajaku

Dendam rindu yang tersimpan lama tidak dapat ku sembunyikan lagi

Semakin lama, semakin menyesakkan jiwa

Belum masanya lagi Allah mengizinkan aku bersatu dalam udaramu


Ku pujuk hati dengan sabar dan doa

Ku mohon dipercepatkan pertemuan kita

Ku tunggu saat bersua denganmu

Ku harap agar diizinkanNya

Melihat dan merasai hidup bersamamu

Walau seketika cuma


Wahai Kota Seribu Menara

Wahai Bumi Cinta Asyik Maksyuk

Wahai Bumi Para Anbiya`

Wahai Bumi Air Mata Musa dan Fir’aun

Wahai Bumi Barakah

Wahai ARDHUL KINANAH!

~~~~~ ** ~~~~~


~ Ainulyaqin ~

Jumaat, 15.04.2011

Taman Mutiara, Melaka

Saturday, September 10, 2011

SAYANGI MAKHLUK DI BUMI

Assalamualaikum,

Salam Syawal buat semua pembaca. Kali ini tidak ada entry yang berat, seringan-ringan, sesantai-santai dan serilek-rilek post (^ _ ^). Maklumlah, dah hampir 2 minggu cuti raya, lepas tuh sambung pula terus dengan kursus, menjadikan hampir 3 minggu waktu istirehat daripada beban tugasan harian. Jadi kita sembang-sembanglah dulu, sebelum buka topik yang lebih berat. Cuba tengok gambar kat bawah, lepas tu senyum. (^ _ ^)


Alhamdulillah, senyum lagi. (^ _ ^). Hihihi. Ok, mari saya nak kenalkan. Ini adalah Abyadh, yang baru di adopt beberapa hari yang lepas. Lebih spesifiknya di adopt pada tarikh 1 Syawal 1432H. Dapat waktu berziarah ke rumah saudara.

Mula-mula bawa balik, Abyadh ni seekor kucing yang pasif, penakut dan pendiam. Selalu mengelak daripada orang ramai. Sungguh membosankanlah! Tidak ada respon langsung!





Cuba lihat mata Abyadh, macam ni lah setiap hari daripada mula-mula di adopt. Sentiasa bertahi mata. Sapu-sapu ada balik, jadi saya mula melakukan diagnosis. Saya fikir Abyadh sedang mangalami sakit mata. Saya semburkan toner ~Permata Hijrah~ kat mata Abyadh. Heee... tak menahan sungguh! Abyadh dapat first class punya layanan. Kasi sembur sikit-sikit jer, mahal tuh. Nanti abis, kering poket kakak kena beli baru. (^ _ ^)


Waktu semua orang pergi sekolah, Abyadh tingal dengan kakak. Kakak bagi Abyadh training makan setempat. Abyadh cepat belajar. Bila lapar balik, Abyadh bising-bising tawaf kat tempat makan tadi. (^ _ ^) Sapa kata bela haiwan ni susah? Tak susah pun, diorang mudah faham dan tak melawan. Bela manusia lagi susah kan?(^ _ ^)

Abyadh yang kekenyangan. Dah selesai makan, ini lah kerja Abyadh. Buat larian pecut keliling rumah. Pastu tak sampai 2 jam mengiau-ngiau mintak makan lagi. Em, macam rasa rindu dekat Abyadh, sekarang dah tak ada Abyadh lagi. Nanti 2 bulan lagi baru jumpa semula. Raya Haji nanti kakak balik, kita jumpa ya. Mesti Abyadh lagi montel, tembam dan debab! Ok, sebelum habis renung-renungkan sejenak. Sedikit tazkirah ringkas.

Sabda Rasulullah SAW;



اَلرَّاحِمُوْنَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمنُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى اِرْحَمُوْا مَنْ فِي الاَرْضِ يَرْحَمْكُمْ مَنْ فِي السَّمَآءِ



Para penyayang itu akan disayangi oleh Yang Maha Penyayang Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi. Sayangilah olehmu sekalian makhluk yang ada di bumi, nescaya akan menyayangi kamu sekalian makhluk yang ada di langit. [HR. Abu Daud dan Tarmidzi]




الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ الرَّحْمَنُ ارْحَمُوا أهل الأَرْضِ يَرْحَمْكُمْ أهل السَّمَاء





Orang-orang yang penyayang nescaya akan disayangi pula oleh al-Rahman (allah). Maka sayangilah penduduk bumi nescaya penduduk langit pun akan menyayangi kalian. [HR. Ahmad]






Hadis ini menerangkan bahawa orang-orang yang sayang kepada makhluk yang ada di bumi yang terdiri daripada manusia dan binatang, yang dilarang kita untuk membunuhnya bahkan diperintah untuk berbuat baik kepadanya, maka Zat Yang Maha Penyayang akan berbuat baik kepada kita. Sayangilah siapa saja yang kita mampu sayangi daripada jenis-jenis makhluk Allah SWT, walaupun daripada makhluk yang tidak berakal kerana dengan mengasihi mereka dan berdoa bagi mereka dengan rahmat dan keampunan, nescaya para malaikat akan memohonkan keampunan bagi kita semua.



Termasuk juga dalam hal ini segala tanaman dan makhluk-makhluk lain yang tidak bernyawa seperti tanah, batu, air dan udara. Jika kita menyayangi semua ini, maka Allah juga akan menyayangi kita. Jika Allah menyayangi kita, maka seluruh malaikat pun akan menyayangi kita dan kemudian diilhamkan kepada makhluk-makhluk yangada di bumi agar menerima kita.




Sabda Rasulullah SAW lagi;



إِذَا أَحَبَّ اللَّهُ الْعَبْدَ نَادَى جِبْرِيلَ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحْبِبْهُ فَيُحِبُّهُ جِبْرِيلُ فَيُنَادِي جِبْرِيلُ فِي أَهْلِ السَّمَاءِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ فُلَانًا فَأَحِبُّوهُ فَيُحِبُّهُ أَهْلُ السَّمَاءِ ثُمَّ يُوضَعُ لَهُ الْقَبُولُ فِي الْأَرْضِ



Apabila Allah mencintai seorang hamba-Nya, Dia menyeru Jibril: “Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah dia.” Maka jibril mencintai hamba itu lalu Jibril berseru kepada penduduk langit: “Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah dia.” Maka seluruh penduduk langit mencintai hamba itu, kemudian orang itu pun dijadikan diterima oleh penduduk bumi. [HR. Bukhari dari Abu Hurairah]




Antara hadis yang lain lagi adalah sebagaimana sabda Rasulullah SAW;


Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda; "Suatu ketika, seorang lelaki yang dalam keadaan yang sangat haus, bertemu dengan sebuah telaga lalu turun ke dalamnya dan meminum airnya. Apabila lelaki itu keluar daripada telaga, dilihatnya seekor anjing sedang menjilat-jilat tanah di sekeliling telaga kerana terlalu dahaga. Berkata lelaki itu; 'Anjing ini sedang kehausan sama seperti aku tadi'. Lelaki itu pun kembali turun ke dalam telaga, memasukkan air ke dalam kasutnya, menggigitnya dengan giginya lalu dibawa air itu naik dan diberikan kepada anjing tadi. Allah SWT memuji kebaikan lelaki tersebut lalu mengampunkan dosa-dosanya". Sahabat bertanya; 'Wahai Rasulullah, apakah berbuat baik pada binatang pun ada ganjarannya?' Jawab Nabi SAW; "Setiap kebaikan yang kamu lakukan kepada makhluk Allah yang bernyawa ada ganjarannya".



Sahabat sekalian, bukankah salah satu daripada nama Allah yang mulia ialah RAHIM. Rahim bererti 'Allah Yang Maha Penyayang'. Orang yang mengamalkan sifat penyayang dan pengasih terhadap sesama makhluk Allah pasti akan disayangi oleh Allah yang bersifat al-Rahim. Wallahu`alam dan Selamat Beramal!

Monday, August 08, 2011

" JANJI " ALLAH SEBAGAI SAKSI

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM…

Saya menulis atas nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Alhamdulillah, masih dikurniakan kesihatan serta peluang oleh Allah SWT bertemu lagi dengan Ramadhan kali ini. Sedar tidak sedar, sudah masuk hari kelapan berpuasa. Alhamdulillah juga, masih diberikan oleh Allah SWT kesempatan masa untuk terus menulis di kanvas maya ini. Mudah-mudahan terus diizinkan Allah dalam ruang yang terhad ini untuk saya menulis dan berkongsi sedikit tentang persoalan yang sering dipandang ringan oleh masyarakat, sedang tuntutannya begitu berat iaitu JANJI. Kata Pak Hamka, “Kehidupan ini seluruhnya diikat dengan janji. Mengakui sebagai hamba Allah, ertinya akan menepati janji dengan Allah. Mungkir janji dengan manusia pun bererti memungkiri janji dengan Allah.”

Dinul Islam sejak kedatangannya mempunyai tujuan yang indah iaitu membangun masyarakat yang ideal, masyarakat yang penuh dengan keutamaan dan jauh daripada kehinaan. Saling tolong-menolong atas dasar taqwa dan kebaikan serta saling berwasiat dengan kesabaran dan kebenaran. Dinul Islam juga mengajarkan agar setiap muslim menghiasi diri dengan akhlak yang mulia. Antara akhlak mulia itu adalah menepati janji.

Bagi mendapatkan maksud perkataan janji dengan tepat, Kamus Dewan yang dirujuk mencatatkan maksud janji dengan - pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu.

DALIL-DALIL YANG BERKAITAN DENGAN JANJI

1. Firman Allah SWT “Hai Bani Israil, ingatlah akan nikmat-Ku yang Telah Aku anugerahkan kepadamu, dan penuhilah janjimu kepada-Ku, niscaya Aku penuhi janji-Ku kepadamu; dan Hanya kepada-Ku-lah kamu harus takut (tunduk).” (al-Baqarah: 40)

2. Firman Allah SWT “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi Sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari Kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. mereka Itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah: 177)

3. Firman Allah SWT “Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu. Dihalalkan bagimu binatang ternak, kecuali yang akan dibacakan kepadamu. (yang demikian itu) dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang mengerjakan haji. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum-hukum menurut yang dikehendaki-Nya.” (al-Maidah: 1)

Aqad (perjanjian) mencakup janji prasetia hamba kepada Allah dan perjanjian yang dibuat oleh manusia dalam pergaulan sesamanya.

4. Firman Allah SWT “Dan janganlah kamu mendekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih baik (bermanfaat) sampai ia dewasa dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya.” (al-Isra’: 34)

5. Firman Allah SWT “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (al-Shaf: 2-3)

6. Firman Allah SWT “Sesungguhnya Allah tidak akan menyalahi janji.” (Ali Imran: 9)

7. Sabda Rasulullah SAW “Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, bila berkata ia dusta, bila berjanji mengingkari, dan bila dipercaya ia khianat”. (Muttafaq Alaihi).

8. Sabda Rasulullah SAW “Empat (sifat) yang siapa ada padanya sifat tersebut, maka ia adalah munafik sempurna. Dan siapa yang ada padanya salah satu dari pada itu, maka padanya salah satu daripada sifat nifaq, hingga ia meninggalkannya. Iaitu apabila diamanatkan ia khianat, dan bila berbicara ia dusta, bila berjanji menyalahi janji, bila bermusuhan dia curang”. (HR Bukhari Muslim)

9. Sabda Rasulullah SAW daripada Jabir RA, “Nabi berkata kepadaku, ‘Kalau harta Bahrain datang aku akan memberimu segini, segini, dan segini.” Ternyata harta Bahrain tidak pernah datang hingga beliau meninggal. Lalu ketika harta Bahrain itu datang Abu Bakar menyuruh orang untuk memanggil, ‘Barangsiapa yang mempunyai piutang kepada Rasulullah hendaknya datang kepada kami niscaya aku akan membayarnya. Aku berkata, ‘Sesungguhnya Rasulullah berkata kepadaku begini dan begitu. Kemudian ia mengambil satu genggam untukku dan aku menghitungnya. Ternyata ia berjumlah lima ratus. Abu Bakar berkata lagi, “Ambillah dua gini lagi.” (Muttafaq Alaihi).

ADAB-ADAB DALAM BERJANJI

Janji adalah hutang, begitulah bidalan bijak pandai. Memenuhi janji dalam Islam adalah sebuah kewajiban, sehinggakan Rasulullah SAW menerangkan tentang salah satu sifat orang munafik adalah ingkar bila berjanji. Janji di kalangan pemuda-pemudi khususnya para aktivis Islam kadang sering dianggap remeh. Sebagai agama yang syumul, Islam telah mengaturkan adab-adab dalam berjanji. Antara adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mngucapkan lafaz “Insya Allah” apabila berjanji. Suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya;

“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu ‘Sesungguhnya aku akanmengerjakan itu esok pagi’, kecuali (dengan menyebut) Insya Allah”. (al-Kahfi: 23-24)

Kebiasaannya, sebahagian daripada kita apabila membuat janji akan mengatakan “insya Allah” dengan tujuan tidak memberati apa yang dijanjikan itu atau dengan kata lain lafaz “insya Allah” itu diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji tersebut. Sifat sedemikian adalah bertentangan dengan kehendak sebenar hukum syara‘.

Perlu difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, manakala ucapan “insya Allah” itu adalah suruhan Allah dan RasulNya ketika berjanji, sebagaimana yang disebutkan dalam al-Qur‘an dan hadith Rasulullah SAW. Maka di sini ada dua perkara yang berasingan dan saling berhubung kait di antara satu sama lain iaitu, kewajipan menunaikan janji dan suruhan ucapan dengan lafaz “insya Allah” ketika melakukan janji. Ini bererti ucapan “insya Allah” itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang dibuat dengan berserah kepada kuasa Allah semata-mata. Bahkan perkataan “insya Allah” itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang munafiq.

Walau bagaimanapun menyebut perkataan “insya Allah” dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah jua. Islam mengajarkan kepada kita apabila terlupa menyebut lafaz “insya Allah” ketika itu, hendaklah kita menyebutnya sebaik-baik sahaja teringat. Hal ini diperintahkan oleh Allah SWT dalam surah al-Kahfi, ayat 24 iaitu “Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah ‘Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini”.

BENTUK PENUNAIAN JANJI.

Sebarang janji yang dibuat akan diminta pertanggungjawabannya. Allah SWT berfirman “Dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungan jawabnya.” (al-Isra`: 34)

Menepati janji adalah merupakan kewajiban syar’i, baik sesama Muslim mahupun tidak. Termasuk di dalam masalah ini adalah menepati waktu perjanjian, sebagaimana dalam surah al-Taubah ayat 4 dan hadits Rasulullah SAW:

“Ketahuilah barangsiapa yang menzalimi orang yang mendapat perlindungan atau menghinanya atau memberi beban di atas kemampuannya atau mengambil sesuatu darinya tanpa kerelaannya, maka aku adalah penuntutnya di hari kiamat” (HR Abu Dawud)

Menepati janji juga mengambarkan akhlak yang utama, ciri tingginya peradaban, sifat-sifat Mu’min dan Ulul Albab, merupakan jenis kebajikan, seruan agama yang Robbani, merupakan akhlak imaniyah serta akhlak para Nabi dan Rasul sebagaimana firman Allah SWT tentang Nabi Ismail AS “Dan Ceritakanlah (hai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) di dalam Al Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang Rasul dan Nabi.” (Maryam: 54)

Janji-janji itu mesti ditepati dalam kadar ikhtiar manusia secara maksima. Maka fahamlah kita bahwa kepada seorang Muslim, janji adalah suatu pertaruhan diri. Kesetiaan pada janji adalah kehidupan kerana dengan itu interaksi kita dengan sesama manusia boleh berjalan.

Begitulah para Salaf al-Soleh dahulu mengajarkan kepada kita. Bagi mereka, janji telah meningkat kadarnya dari hanya soal kepercayaan menjadi kesetiaan. Pada saat kepercayaan telah berubah menjadi kesetiaan, maka persiapan jiwa menanggung beban janji akan menjadi lebih kuat. Seperti seorang Muslim yang mengucapkan dua kalimah syahadah, itu adalah janji keislamannya. Menunaikan rukun Islam adalah pembuktian kepercayaannya. Namun kesetiaanlah yang akan memberinya umur bagi pembuktian janji itu. Maka pada saat itulah janji-janji menjadi segunung sampah serta tidak ada lagi kepercayaan, apalagi kesetiaan.

Di dalam lubuk keimanan, janji-janji bagi seorang Mukmin adalah kontrak-kontrak kerohanian dengan Tuhannya walaupun format aplikasinya dalam berbagai bentuk. Janji itu adalah ketakwaan yang menjadi penghantar bagi petunjuk jalan dan ampunan. Maka sebentuk janji adalah harga yang mahal untuk sebuah kepercayaan kerana janji yang tidak boleh dipercayai atau janji yang tidak ada kepercayaan di dalamnya ibarat buah yang ranum kulitnya, tapi lopong di dalamnya. Tidak ada buahnya yang boleh dimakan dan tidak akan memberi manfaat.

GAYA JANJI MELEPASKAN BATUK DI TANGGA

Melunaskan janji bukanlah dengan semacam melepaskan batuk di tangga. Allah menyukai bila melakukan sesuatu dilakukan dengan bersungguh. Jangan ambik mudah dan jangan main-main. Ingatlah, Allah itu tidak buta, tidak tuli dan tidak pernah tidur. Setiap apa yang dilafazkan dan diucapkan, Allah adalah saksinya. Dalam banyak peristiwa, janji menjadi semacam `wang muka' atau `deposit' bagi segala bentuk hubungan sosial di antara kita. Urusan selebihnya baru boleh di katakan lunas, jika memang janji-janji itu telah dipenuhi. Pada zaman ini, janji dijadikan sebagai barang dagangan, pertaruhan kepada keuntungan yang bersifat peribadi. Sekaligus menafikan hak pihak yang terikat dengan janji. Janji yang menguntungkan akan segera ditunaikan, sebaliknya jika janji itu telah menampakkan lorong-lorong kesuraman maka janji itu pantas dipotong dengan mengembalikan pertimbangan pada takdir Allah.

Masih saya ingat kata-kata seorang sahabat dari tanah Acheh satu waktu dahulu. Katanya, “Orang kebanyakan seperti kita ini berjanjinya seada sahaja. Orang baik-baik berjanji dengan nama Allah, InsyaAllah dengan izin Allah. Allah saksinya pada janji yang dibuat. Tapi Insya Allah umat hari ini tidak sama dengan Insya Allah umat zaman Nabi SAW. Insya Allahnya pada bibir sahaja, sedang hati masih belum nekad bulat pada apa yang dilafazkan bibir. Insya Allah jadi penambah rasa, penyedap hati orang yang mendengar.” Benar! benar sekali apa yang disampaikan itu. Kita umat di akhir zaman ini sedang merasai perkara ini. Allah... jauh sungguh kita daripada menjiwai kalimah yang penuh rahsia ini.

Ini lah juga bukti lemahnya manusia. Janji-janji yang dibuat antara manusia sesama manusia itu amat rapuh dan belum boleh dikategorikan dalam zon selamat atau selesa, sebelum ia benar-benar ditunaikan. Sungguh Maha Kaya Allah dan Maha Adil Allah pada hambaNya dengan tidak sesekali mengingkari janji yang dibuat. Firman Allah SWT "Dan (ingatlah) ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman ‘Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia’. Ibrahim berkata ‘ Dan aku mohon juga dari keturunanku’. Allah berfirman ‘Janji-Ku (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim.”: (al-Baqarah:124)

Allahuakbar. Sungguh janji itu merupakan perkara yang besar. Janji yang dibuat walau tidak dicatat atau direkod, barang pasti lagi jelas, Allah menjadi saksi padanya. Jangan sesekali memandang remeh pada setiap janji yang dibuat. Adab berjanji itu bila berjanji wajib tepati. Berjanji hendaklah lambat, memenuhi janji hendaklah cepat. Hablumminannas perlu dijaga. Jangan kerana memegang janji kita, tergendala urusan orang lain. Lantaran kerana kekuatan sebuah janji adalah pada saat janji itu ditunaikan bukan pada saat diucapkan.

Persoalan yang timbul, kenapa kita perlu menyegerakan janji? Antara lain kita telah merampas hak hidup orang lain dalam keterikatan janji yang telah kita buat. Banyak daripada urusan-urusan hidup orang lain akan tertunggak, terbatal atau langsung tidak dapat dilaksanakan ekoran daripada berpegang dengan janji yang dibuat. Berapa ramai kita lihat orang yang membuang masa hanya menunggu sebuah janji ditunaikan, sedang banyak lagi benda lain yang boleh diusahakan. Berapa ramai juga kita lihat orang yang kecewa bila terlalu lama menunggu janji berharap sesuai dengan kehendak diri, namun akhirnya berlaku apa yang disebaliknya. Berapa ramai juga yang terpaksa menanggung masalah dan beban yang lain semata-mata tidak lain kerana janji yang dibuat tidak dipatuhi.

Walau apa pun, perkara yang lepas biarkan saja ia berlalu. Sama-sama kita pastikan agar pada masa hadapan kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menunaikan setiap janji yang telah dipateri. Akhir kalam saya memetik kata-kata Imam Hassan al-Basri, “Wahai manusia, sesungguhnya aku tengah menasihati kalian, dan bukan bererti aku orang yang terbaik di antara kalian, bukan pula orang yang paling soleh di antara kalian. Sungguh, akupun telah banyak melampaui batas terhadap diriku. Aku tidak sanggup mengekangnya dengan sempurna, tidak pula membawanya sesuai dengan kewajiban dalam mentaati Rabb. Andai kata seorang Muslim tidak memberi nasihat kepada saudaranya kecuali setelah dirinya menjadi orang yang sempurna, nescaya tidak akan ada para pemberi nasihat.”

Kerana itu marilah kita takut kepada Allah dan marilah kita penuhi janji-janji dan usah mudah melafazkannya. Marilah kita mulai berjanji dengan benar, iaitu janji yang mempunyai ruh kepercayaan lalu ianya akan hidup panjang dengan kesetiaan. Ya Allah, jadilah kami orang-orang yang memenuhi janji apabila kami berjanji kerana sesungguhnya segala janji-janji itu akan dipersoalkan dan dipertanggungjawabkan di hadapanMu di akhirat nanti. Jauhkanlah kami dari sikap mengkhianati janji kerana ia adalah salah satu sifat munafik yang sangat buruk.


(Artikel oleh- Nurhidayu Salleh)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...