Wednesday, June 20, 2007

Talk Show Nisa`


Nasi lemak buah bidara, Sayang selasih hamba lurutkan, Buang emak buang AGAMA, Kerana kasih hamba turutkan...


Pantun ini berkait-rapat dengan isu hangat yg melanda Malaysia masa kini iaitu tak lain dan tak bukan...ISU MURTAD... Apakah yg dimaksudkan dgn murtad? Apakah yg menyebabkan seseorang itu murtad? Apakah ianya sekadar isu terpencil? Apakah peranan anda jika berhadapan dgn situasi murtad? Dapatkan jawapan kepada persoalan ini dalam...


TALK SHOW NISA' dengan tajuk ANTARA CINTA & IMAN

Disampaikan oleh...Ust Ridhuan Md Noor (Pengerusi FRONT BERTINDAK ANTI MURTAD - FORKAD)

pada 24 Jun 2007, 10pg - 12tghr bertempat diDewan Seminar, Masjid As-Syakirin KLCC kami persembahkan khas untuk anda...Kerana Dirimu Begitu Berharga...

Hubungi: 0192313176, 0192050319* Makanan disediakan* Muslimin Muslimat Dijemput Hadir!!!TOLONG SEBARKAN SELUASNYA!!!

Tuesday, May 22, 2007

Syair Ratu Nahrasiyah


Syair Ratu Nahrasiyah

Usah kau lihat pada pohon nan gagah,
Lihatlah pada akarnya,
Yang menunjang ke dalam tanah,
Yang patah akan tumbuh,
Yang hilang akan berganti,
Yang usang akan roboh,
Yang baharu akan menanti,
Usah dihiraukan perubahan zaman,
Hari ini rimba,
Esok kan menjadi taman.

Ratu Nahrasiyah
Rawangsa Khadiyu
1400-1428 Masehi

Tuesday, May 15, 2007

Selamat Hari Ibu


Selamat Hari Ibu


Dedikasi ini ditujukan khas buat bonda tercinta yang telah berkorban segalanya dalam memikul amanah dan tanggungjawab membesarkan kami anak-anakmu..

***SELAMAT HARI IBU***

Kami sayang ma & senantiasa mendoakan kesejahteraanmu...

"Ya Allah Ya Tuhanku, ampunkanlah dosa-dosaku dan juga dosa-dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku ketika waktu kecilku. Amin".

Dedikasi ni juga ditujukan buat semua yang bergelar ibu tak kira di mana berada..Happy Mothers Day...

Forum Memperingati 100 Tahun Hassan al-Banna


FORUM: MEMPERINGATI 100 TAHUN HASSAN AL-BANNA

Tarikh;
20 Mei 2007 / 3 Jamadilawwal 1428 (Ahad)

Masa;
08:30pg - 12:30tgh

Tempat;
Auditorium Kompleks Taman Seni Islam
Seksyen 10 Shah Alam, Selangor Darul Ehsan
(Bersebelahan Masjid Negeri SSAAS)


Pengisian Program;

Ulasan Biografi Hassan Al-Banna "Sumbangan Pemikiran Mujaddid Abad Ini..."
- Ustaz Riduan Md Nor

Wacana "Pengaruh Hassan Al-Banna & Ikhwanul Muslimin Terhadap Dunia Islam"
- Moderator: Ustaz Nazmi Abd Karim
- Ahli Panel: Haji Khalid Samad, Haji Saari Sungib (Abu Urwah), Ustaz Nik Abduh Nik Abd Aziz

Persembahan & Pameran;
- Selingan nasyid & jualan buku-buku Hassan Al-Banna & Ikhwanul Muslimin serta Fikrah Islami

Penyertaan;
- Terbuka kepada seluruh muslimin & muslimat
- Penyertaan daripada pendokong-pendokong Gerakan Islam, pelajar, pendidik serta pihak swasta amat dialukan

Untuk maklumat lanjut sila hubungi;
Azli Yusof (019-387 9570)
Ahmad Sayuti (019-214 0240)
Mohd Azmin (019-220 7634

Anjuran;
I Generasi Inovatif

Tuesday, April 24, 2007

Tangis dan Tawa


TANGIS DAN TAWA



Ketawa ketika kesedihan adalah ketawa ketabahan,

Ketawa ketika kegembiraan adalah ketawa kemenangan,

Tangisan ketika kesedihan adalah tangisan kekecewaan,

Tangisan ketika kegembiraan adalah tangisan kejayaan....

Thursday, March 08, 2007

Takziah

Bismillahirrahman al-Rahim..

Segugus ucapan takziah buat Khadijah sekeluarga atas pemergian Ayahanda tercinta menemui Rabbnya pada 25 Feb yang lalu. Moga-moga rohnya di tempatkan bersama-sama para anbiya`, syuhada`, dan solihin..Amin..Al-Fatihah..

Tuesday, February 20, 2007

Susah dan Senang

Susah dan Senang

Bila ditimpa kesusahan,
Bersabarlah,
Kelak pasti akan datang kesenangan,
Bila datang kesenangan,
Bersiap sedialah,
Kerana kesusahan akan menyusul,
Hidup tidak selalu indah,
Kerana itulah keindahan hidup...

Friday, January 19, 2007


Menyelusuri Perjalananmu Pejuang Agama….

Dato` Fadzil bin Mohd Noor adalah merupakan seorang tokoh pemikir dan ulama, tokoh gerakan belia, pemimpin politik Islam, Ahli Parlimen dan pejuang keadilan yang sangat dihormati dan disegani bukan sahaja oleh masyarakat setempat, tetapi juga oleh lawan dan kawan di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau bukan sahaja sangat disenangi dan dihormati oleh umat Islam, tetapi turut disegani oleh masyarakat bukan Islam kerana karisma, kewibawaan dan keterbukaan kepemimpinannya.

Dato` Fadzil @ Ali bin Mohd Noor telah dilahirkan pada tanggal 13 Mac tahun 1937 Masehi di Kampung Seberang Pumpung yang terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Star, Kedah. Belia yang lebih mesra dipanggil Ustaz Fadzil merupakan anak sulong daripada empat adik-beradik. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang terkenal dan berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Bapa beliau bernama Mohd Noor bin Abdul Hamid merupakan seorang yang mengajar kitab jawi di kampungnya, dan ibu beliau pula bernama Hindun bin Haji Abdul Rahman. Kedua ibu bapa Dato` Fadzil telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.Walau pun begitu Dato` Fadzil sebagai seorang anak sulong daripada empat beradik ini telah menunjukkan bakat kepemimpinan semenjak kecil dan berjaya mewarisi keilmuan agama yang dimiliki oleh keluarganya. Tiga orang adik Dato` Fadzil ialah Ustaz Razi, Husna dan Shahbudin. Adik beliau yang kedua iaitu Ustaz Razi tinggal di Alor Star. Sementara adik beliau yang ketiga pula iaitu Husna telah berkahwin dengan seorang pegawai polis cawangan khas, dan pernah tinggal di Pendang. Adik Dato` Fadzil yang bongsu pula iaitu Shahbudin tinggal di Air Hitam, dekat sempadan Kedah-Perlis.

Dato` Fadzil merupakan cicit kepada Tok Sheikh Jarum yang merupakan salah seorang daripada ulama yang disegani dari wilayah Pattani, Thailand dan terkenal di Kedah. Keturunan ini berhubung daripada sebelah ibunya yang merupakan anak kepada Tuan Guru Haji Abdul Rahman Mohd Idris al-Jarumi yang merupakan guru agama diraja pada zaman Sultan Hamid Halim Shah ( 1882-1943 Masehi ). Sementara moyang beliau pula adalah Tok Sheikh Jarum atau Sheikh Wan Mohammad Idris bin Wan Abdul Jamal bin Abdul Latif bin Sheikh Mohammed Shamsuddin bin Mohammed Faqih bin Muhammad Yassin bin Ibrahim al-Hadhramaut bin Ibar al-Hadhramaut al-Jarumi. Moyang beliau merupakan seorang ulama yang berketurunan Hadhramaut dan berasal dari Kampung Bendang Badang, Daerah Jaha, dalam Wilayah Yala, Pattani. Moyang beliau juga merupakan anak kepada seorang hulubalang Kerajaan Pattani yang berhijrah ke Kedah pada tahun 1900 Masehi.

Selain moyang dan datuk beliau yang menjadi guru agama diraja, bapa saudara Dato` Fadzil juga iaitu Tuan Guru Haji Idris Abdul Rahman merupakan pengasas Pondok Alor Mengkudu, Alor Star, Haji Hussin Abdul Rahman merupakan Imam Masjid Zahir, Alor Star, Dato` Haji Tajuddin Abdul Rahman merupakan Dato` Mursyid Diraja Kedah dan Haji Abdul Hamid Abdul Rahman merupakan Imam Masjid al-Irfan, Derga. Bapa sepupu beliau pula iaitu Haji Nawawi Ahmad merupakan Nazir Sekolah Agama Kedah serta pengasas Sekolah al-Tarbiyah al-Islamiyyah dan Sheikh Abdul Razak Yusof pula merupakan Ketua Pendaftar Insaniah, Kedah. Selain itu, saudara dua pupu beliau pula iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Haji Idris merupakan pengasas Pondok Bendang Badang, Pattani. Selain daripada nama-nama ini, terdapat beberapa nama lain lagi yang turut mencipta nama sebagai tokoh agama di negeri Kedah khususnya dan di Malaysia umumnya.

Sejarah awal pendidikan Dato` Fadzil bermula sekitar tahun 1946 Masehi. Pada ketika itu beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Derga, Alor Star, Kedah selama tiga tahun sehingga tahun 1949 Masehi. Kemudian beliau telah menyambung pengajian ke peringkat menengah di Maktab Mahmud, Alor Star sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi agama sehingga darjah dua belas di maktab yang sama hingga tahun 1962 Masehi. Ekoran kecemerlangan beliau dalam bidang akademik, Dato` Fadzil telah mendapat biasiswa Kerajaan Kedah untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Universiti al-Azhar, Mesir pada tahun 1963 Masehi. Semasa di Universiti al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam ( Syariah ) dan berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 Masehi dengan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang tersebut.Dato` Fadzil pernah diberi peluang dan ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian beliau di peringkat Sarjana ( MA ) di Universiti al-Azhar semasa beliau bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia ( UTM ). Walau bagaimanapun Dato` Fadzil terpaksa membatalkan niat beliau untuk menyambung pelajarannya kembali ekoran daripada penahanan Anwar Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ), dan beliau terpaksa memangku jawatan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) menggantikan Anwar Ibrahim.

Pada Tahun 1967 Masehi, Dato` Fadzil telah kembali ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Beliau mengajar di sini selama lima tahun, iaitu sehingga tahun 1973 Masehi sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menjadi pensyarah Bahagian Pendidikan Islam, Universiti Teknologi Malaysia ( UTM ), Kuala Lumpur. Selain daripada itu, Dato` Fadzil juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia ( PERKIM ) cawangan Negeri Kedah pada tahun 1970 hingga 1973 Masehi. Beliau juga pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) dan menyandang jawatan Setiausaha Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) Pusat pada tahun 1973 hingga 1974 Masehi. Jawatan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) juga pernah disandang oleh beliau selama dua tahun. Pada tahun 1974 Masehi juga, Dato` Fadzil telah diberikan kepercayaan untuk menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia ( PUM ) hingga tahun 1976 Masehi.

Dato` Fadzil telah menamatkan zaman bujangnya pada tahun 1963 Masehi apabila beliau mendirikan rumahtangga dengan sepupunya Siti Khadijah binti Ibrahim yang merupakan kakak kepada Ustazah Jamilah Ibrahim iaitu bekas Ahli Dewan Negara dan Ustaz Shauki Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Langgar. Isteri Dato` Fadzil adalah merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Star, Kedah. Setelah berkahwin, isteri beliau telah turut sama melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar, Mesir bersama-sama dengan beliau. Hasil perkahwinan bersama isterinya Siti Khadijah, Dato` Fadzil telah dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Munna`izzah, Muhammad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Hasil asuhan serta didikan sempurna yang diberikan oleh Dato` Fadzil terhadap anak-anaknya telah membuatkan kesemua anak-anak beliau berjaya mencapai kecemerlangan, khususnya dalam bidang akademik. Kesemua anak Dato` Fadzil merupakan graduan lulusan universiti tempatan dan juga luar negeri. Dua anak perempuan Dato` Fadzil iaitu Huda dan Munna`izzah merupakan peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM ), manakala Salwa pula penuntut di Akademi Islam Universiti Malaya ( UM ). Anak lelaki Dato` Fadzil iaitu Faiz juga merupakan peguam lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM ), abangnya Ammar pula graduan Universiti al-Azhar dan mendapat Doktor Falsafah ( PHD ) di Britain. Fauwaz juga merupakan penuntut di Universiti al-Azhar. Sementara dua lagi anak beliau iaitu Aiman dan Anas masing-masing masih menuntut di Universiti Institut Teknologi Mara ( UITM ).


Dato` Fadzil memiliki personaliti dan sikap yang baik. Beliau merupakan seorang yang agak pemalu dan pendiam, bercakap dengan suara yang perlahan serta tersusun. Walaupun beliau seorang yang agak pemalu dan pendiam, namun menurut Haji Mustapha Ali yang merupakan Naib Presiden PAS sebagaimana yang dipetik daripada artikel yang berjudul Presiden PAS Hidup Serba Sederhana berkata “ Sebenarnya beliau secara private periang orangnya, boleh berlawak dengan sesiapa saja”. Beliau merupakan seorang yang amat merendah diri, hidup dengan cara kampung yang mudah dan sederhana tetapi seorang yang tegas pendiriannya. Merujuk kepada ucapan takziah YB Tun Tan Sri Datuk Dr Mohammed Zahir Ismail yang merupakan Yang DiPertua Dewan Rakyat di Parlimen pada 24 Jun 2002 lalu berkata, “Saya mengenali beliau semenjak dari Kedah lagi, perangainya amat merendah diri tetapi tegas pendiriannya. Penyabar orangnya dan dapat mendengar fikiran orang lain dan dapat memberikan fikirannya sendiri dengan tenang. Beliau mengatur percakapannya dengan suara rendah dan bertutur dengan perlahan-lahan. Saya tidak pernah melihat beliau menunjukkan kemarahan atau menunjukkan kekasaran terhadap sesiapa semasa berbahas dalam dewan ini. Dato` Fadzil juga sememangnya merupakan seorang yang serius, walau bagaimanapun beliau juga adalah seorang yang penyayang. Hubungan beliau dengan anak-anak begitu rapat sekali. Beliau sering memanjakan anak-anak dan cucu-cucunya. Kadang-kadang mereka akan berada di riba beliau, duduk di atas belakang, memicit bahu dan badan beliau. Jika anak-anak dan cucu-cucunya berada jauh daripada beliau, Dato` Fadzil akan memanggil dan mengajak mereka duduk dekat dan bermain bersama-sama dengannya. Sikap manja dan mesra dalam rumah tangga ini telah dibawa oeh Dato` Fadzil keluar daripada rumah sehingga ke pejabat dan di mana-mana saja.

Setelah lebih 35 tahun menyumbangkan bakti kepada perkembangan Islam di negara ini, Dato` Fadzil yang menghidap penyakit kencing manis semenjak 15 tahun yang lalu telah pergi meninggalkan sebuah perjuangan untuk diteruskan oleh semua peringkat generasi. Beliau yang mengadu sakit dada pada 8 Jun 2002 iaitu seminggu selepas penyampaian amanat terakhirnya dalam Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) ke 48 di Pusat Tarbiyah Islam PAS Kelantan ( PUTIK ) telah menjalani pembedahan pintasan koronori jantung ( by-pass coronory ) pada 10 Jun 2002. Selepas 13 hari menjalani pembedahan tersebut, Dato` Fadzil bin Mohd Noor telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Ahad, pukul 10.30 pagi, tanggal 23 Jun 2002 di Wad Unit Rawatan Rapi ( ICU ) Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia ( HUKM ) di Cheras setelah tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan pintasan jantung ( by-pass coronory ). Jenazah Dato` Fadzil telah disemadikan di hadapan musalla Muassassah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah Darul Aman.

Sebelum jenazah Dato` Fadzil dibawa balik ke Kedah, jenazahnya telah terlebih dahulu disembahyang sebanyak lapan kali di Surau al-Mustakimah, Cheras berikutan ketidakmampuan menampung jemaah yang terlalu ramai. Jenazah beliau telah disembahyangkan oleh ribuan umat Islam termasuklah Baginda Sultan Kedah dan juga Timbalan Perdana Menteri. Jenazah Dato` Fadzil telah diterbangan balik dengan penerbangan ehsan Tentera Udara DiRaja Malaysia ( TUDM ) dari Lapangan Terbang Subang terus ke Alor Setar. Apabila jenazah beliau dibawa pulang ke Muassassah Darul Ulum, keadaan di kawasan itu telah disesakkan dengan lebih daripada setengah juta rakyat yang datang dari setiap pelosok negeri, termasuklah dari Selatan Thai berhimpun di sepanjang jalan menuju ke Muassassah Darul Ulum bagi memberikan penghormatan serta mengiringi perjalanan terakhir pejuang bangsa ini. Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagaimana dipetik daripada artikel Tokoh Dalam Kenangan : Al-Marhum Ustaz Dato` Haji Fadzil Mohd Noor semasa Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) ke 52 berkata dalam ucapannya, beberapa minit sebelum jenazah disembahyangkan di muassasah berkata “Sebegitu ramai orang yang datang mengucapkan takziah, begitulah gambaran besarnya jasa al-marhum kepada umat Islam di negara ini”. Jenazah Dato` Fadzil Mohd Noor juga turut disembahyangkan di Muasssasah Darul Ulum dan diimamkan oleh Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Akhirnya jenazah Dato` Fadzil telah selamat dikebumikan pada jam 8.30 malam di Tanah Perkuburan Islam Muassassah Darul Ulum.

Dato` Fadzil adalah merupakan seorang pejuang agama yang telah banyak menyumbangkan jasa dalam usaha membangunkan masyarakat dan memartabatkan Islam di mata dunia. Rangkuman perjuangan yang berteraskan aqidah Islamiyyah selama lebih 35 tahun ini telah meletakkan Dato` Fadzil sebagai seorang tokoh yang unggul pada eranya. Beliau melangkaui batas geografi dalam menyatakan kebenaran, melupakan perbezaan warna kulit untuk menentang kezaliman dan meminggirkan fahaman politik demi sebuah keadilan. Beliau seolah-olah melupakan penat lelah dan jerit perih demi menyampaikan risalah Islam. Beliau merupakan contoh seorang ulama, pendidik serta ahli politik yang cemerlang. Beliau begitu menekankan soal pendidikan di kalangan masyarakat Islam, khususnya dalam pendidikan keagamaan. Justeru itu beliau telah berusaha menubuhkan sebuah Institusi pengajian tinggi Islam terkemuka di negeri Kedah yang menjadi salah satu daripada mercu tanda bagi negeri Kedah. Pemergian beliau pada usia 65 tahun adalah merupakan satu kerugian yang cukup besar dalam pembangunan masyarakat Islam, di mana masyarakat masih memerlukan khidmat dan bimbingan daripada beliau dalam meneruskan perjuangan memartabatkan Islam di bumi Malaysia khususnya.

Rujukan :

1 ) Jabatan Perpustakaan dan Arkib Yusof Rawa. 2006. Tokoh Dalam Kenangan :
Al-Marhum Ustaz Dato` Haji Fadzil Mohd Noor (1937-2002).

2 ) Subky Abd. Latif. 2003. Fadzil Noor : Dia Guru, Dia Kawan. Kuala Lumpur :
Penerbit Al-Azim Sdn. Bhd.

3 ) Hanif Hj Ghazali. 2004. Amalan Harian Dato` Haji Fadzil Mohd Noor. Kedah :
Nusaibah Enterprise.

4 ) Sejarah hidup ringkas Presiden PAS (atas talian)
http://tranung4.tripod.com/b06/pas164.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...